Selasa, 16 November 2010

Mungkin Ini Kegagalan Kita...

Iman adalah senjata paling utama bagi seorang daie pembela agama dalam perjalanannya menggalas amanah dakwah ilallah di atas muka bumi ini. Untuk berdepan dengan segala cabaran hidup, persiapan keimanan yang teguh adalah perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap pendokong cita-cita Islam.

Setiap daie wajib meyakini bahawa ajal maut, manfaat dan mudharat, hidup mati, rezeki segalanya telah ditentukan serta berada di dalam kekuasaan Allah SWT. Sekiranya berhimpun sekalian manusia untuk memberi manfaat kepadanya atau mendatangkan mudharat kepadanya, nescaya tidak akan terjadi melainkan dengan izin Allah SWT jua.

Firman Allah SWT:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal"
Surah At Taubah:51

Dengan keyakinan inilah setiap pejuang agama bergerak di muka bumi ini menyebarkan agama Allah tanpa rasa gerun dan takut kepada sesiapapun dari kalangan makhluk. Hanya Allah tempat pergantungan dan kepada keredhaan Allah jua tempat tujuan. Kerana itu jualah kita melihat keberanian yang sangat luar biasa terbit dari peribadi setiap daie dalam menyampaikan agama Allah SWT. Meraka tidak pernah gentar kepada mana-mana pemerintah zalim dan tidak memperdulikan celaan orang yang mencela.

Ketahuilah bahawa, bilamana kita berada di dalam saf perjuangan menegakkan agama Allah, maka itu sebenarnya adalah kerana pilihan Allah SWT jua. Allah yang memberikan kekuatan untuk kita berjalan di atas jalan ini yang penuh dengan onak dan duri. Ramai yang tidak berupaya untuk berada di medan yang penuh pancaroba ini. Ramai yang memilih laluan selesa tanpa bahaya dan fitnah yang merintangi. Walau berlatar belakang pendidikan agama sekalipun, ia bukan jaminan untuk menjamin keberadaan di atas jalan dakwah. Bahkan kita melihat bahawa ramai graduan agama yang memilih untuk berada di medan yang lebih selesa dari bergabung diri dengan perjuangan di medan sukar ini. Ramai yang memilih untuk berada di belakang tabir dari berada di saf hadapan. Kata mereka "Ini pun masih dikira sumbangan kami kepada jamaah dan perjuangan, walau kami tidak terlibat secara langsung dengan jamaah, tapi kami masih bersama jamaah".


Inilah yang dikatakan masuk bakul angkat sendiri. Berjuang tanpa mengikut kehendak jamaah. Bahkan ada yang mewujudkan jamaah dalam jamaah. Semuanya kerana mengikut nafsu yang mahu bergerak dengan selesa dan selamat.

Bermuhasabahlah kita bersama, bahawa tiada jalan dakwah tanpa ujian dan bencana fitnah manusia. Jangan sampai kita tersalah atau tersilap dan lebih buruk lagi jika terpedaya. Tidak usah mencipta jalan sendiri, kerana jalan kebersamaan ini telah terbentang sekian lama dengan janji syurga dihujungnya. Syaratnya sabar, ikhlas dan istiqamah. Sedikit benar yang bersyukur dalam kalangan hamba Allah.

Amat menyedihkan dengan kenyataan sesetengah sahabat yang mengatakan bahawa belum tentu mereka yang berada di saf hadapan mempunyai niat yang ikhlas dalam perjuangan. Kadang-kadang, mereka yang di sebalik tabir masuk syurga dahulu sebelum mereka kerana niat yang ikhlas. Pening juga mahu memberikan jawapan kepada puak ini kerana meraka juga memahami hujjah syara’.

Apa yang kita tahu, bahawa keikhlasan itu ada pembuktiannya. Bila zaman makkah berlalu dengan tarbiyyah imaniyah yang hebat, menjelma pula zaman madinah yang penuh dengan ujian terhadap keimanan di dada. Mereka yang tidak keluar ke medan Tabuk telah dipulau oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Rasulullah tidak menerima sikap mereka yang memberikan alasan untuk tidak keluar ke medan jihad.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”
Surah At Taubah:45

Kefahaman dari ayat di atas ialah, iman ‘belakang tabir’ tidak boleh diterima selama-lamanya dan tiba satu ketika, ia wajib berakhir dengan keluar berjihad di saf hadapan. Zaman berteori ada penamatnya. Tidak boleh selamanya berteori. Kita wajib mempraktikkan segala ilmu yang ada untuk perjuangan di saf hadapan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri sentiasa berada di saf hadapan perjuangan. Benar, mereka yang berjuang di medan selesa dan selamat itu tetap beriman dengan Rasulullah, tetapi pembuktiannya tiada. Jika benar mencintai Rasulullah, relakanlah hati dan jasad untuk dilukai demi perjuangan, yang juga pernah menghinggap pada diri Baginda.

KONKLUSI MUDAH DARI SAYA, SEBENARNYA RAMAI DIANTARA KITA MASIH BELUM CUKUP MENGHAYATI KONSEP BERIMAN PADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT. ITULAH JAWAPAN SEBENAR DAN JUGA MERUPAKAN IBRAH DARI AYAT DIATAS.

SALAM 'EIDUL ADHA
BUAT SIDANG PEMBACA I-MUJADDID.BLOGSPOT.COM YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN. JADIKAN EIDUL ADHA KALI INI SEBAGAI PEMANGKIN SEMANGAT TADHIYAH KITA UNTUK PERJUANGAN

ikhlas dan sejuta kemaafan dari,
Syahmi Syazeril b Azmi

Rabu, 3 November 2010

N.45: Dun Galas... Allah Akan Berikan Yang Terbaik

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ ۗ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

"Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram Dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan Yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"

ALLAH MAHA PERKASA DAN MAHA BIJAK

Pernyataan bahawa Allah Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala penyataan bahawa Allah Maha Bijak menegaskan pula bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu diberikan.


Kemenangan dengan istilah AL-FALAH melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat.

Manakala kemenangan dengan istilah AL-NASR/AL-FATH pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuh-NYA.

Kemenangan AL-FAWZ pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Inilah kemenangan hakiki, yang menjadi buruan setiap mukmin mujahid. (Ustaz Yusof Embong)

"‘GALAS’ ADALAH UNTUK DI‘galas’ DAN AKAN DI‘galas’ OLEH ORANG YANG BERHAK UNTUK MENG‘galas’"

Berehat Di Syurga atau Berehat Di Dunia... Mana Satu Menjadi Pilihan?

Hakikatnya, memimpin diri sendiri adalah jauh lebih payah dari memimpin orang lain. Saya masih teringat kata guru saya, ramai pahlawan dan panglima perang yang hebat di medan perang, tetapi kalah dengan diri sendiri. Jalaluddin ar Rumi pernah berkata:

“Aku melihat ramai yang pandai berenang tetapi lemas di laut, akan tetapi aku belum pernah melihat sampan yang bernama iman dan cinta itu karam di lautan”

Saiyyiduna ‘Umar al Khattab pernah memberitahu bahawa seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam. “tafaqqahu qabla an tasawwadu”, begitulah lebih kurang bunyinya yang bererti “faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin”. Sangat dalam pengertian ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Kerana itu jugalah Asy Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal, jihad, pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang memimpin amal dan perjuangan itu jahil dan berpaksikan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.

Namun ini bukanlah bermakna, nak kena lengkapkan diri dahulu baru seru orang kearah kebaikan dan cegah orang dari kemungkaran. Persepsi ini, saya kira amat salah sekali. Hal ini kerana, menyeru manusia kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, juga merupakan salah satu manhaj mengfaqihkan diri. Untuk diri seorang dai’e, satu sifat penting yang perlu ada adalah berani. Untuk menjadi seorang yang hebat dan memberi impak kepada masyarakat, sifat berani itu sangat dituntut.


Kita merindukan du’at yang berjiwa Khalid Al Walid yang sanggup mati berjuang dijalan Allah SWT. Kita juga merindukan du’at yang berjiwa Umar Al Khattab yang gagah perkasa dan berani menyatakan hak disamping mengkuburkan kebatilan. Dan kita juga amat sekali merindukan jiwa du’at seperti Rasulullah SAW yang berjaya melahirkan generasi du’at yang hebat.

Saya tertarik dengan kekentalan semangat Gabenor Syarifuddin Barghisy. Antara kata-kata beliau yang masyhur:

“siapa yang takut terbunuh atau tertawan, maka lebih baik baginya beristirahat di rumah dengan anak isterinya”

Kata-kata yang berbekalkan keberaniaan terpandu ini dilafazkan oleh beliau ketika dalam mesyuarat yang direncanakan oleh Asaduddin Syirkuh. Mesyuarat kali itu bertujuan untuk mencari resolusi bagi mengalahkan tentera lawan yang teramat ramai. Dan ketika dalam kekalutan mesyuarat itulah, Gabenor Syarifuddin Barghisy melaungkan kata-kata ini.

Jika kita lihat, bukan Gabenor Syarifuddin sahaja yang memperingatkan kita agar jangan kita duduk tanpa berfikir dan beramal untuk Islam. Banyak lagi tokoh lain yang turut melaungkan saranan yang sama. Antaranya, Tuan Guru Nik Aziz. Kata beliau:

“duk sajo tamboh lalai pulok, dosa”(bahasa Kelantan)

Kata Arwah Ustaz Fadzil Noor:

“jangan biarkan sehari dalam hidup anda berlalu tanpa memikirkan tentang Islam”

Mengapa sebegini ramai tokoh-tokoh hebat memperingatkan kita tentang perkara ini. Tujuannya satu sahaja sahabat-sahabat. Agar kita tidak menjadi ASHABUL ‘UQUL AL MUSTARIHAH, yang membawa makna ‘PEMILIK AKAL YANG BERISTIRAHAT’.

Oleh itu sahabat-sahabat, mari sama-sama kita renungkan sejenak. Jika kita lihat, Imam Al Nawawi sendiri tidak membiarkan dirinya beristirahat dari menuntut ilmu. Setengah riwayat menyebut, kesibukan beliau menuntut ilmu sehingga membuatkan beliau terlupa untuk berkahwin. Bayangkan sahabat-sahabat sekalian. Memang jauh bezanya dengan kita. Kita belajar pun tak habis lagi, ibadah pun terumbang-ambing lagi.. dah sibuk-sibuk fikir pasal kahwin. “tapi tidak bermakna kahwin awal itu salah”. (^^,).. Perkara ini memerlukan kepada perbahasan yang panjang. Mungkin bukan diruang ini untuk saya menerangkan.

Konklusi yang saya dapat nyatakan disini adalah, yang pertama, orang Islam tidak boleh membiarkan majoriti masa mereka kosong tanpa diisi dengan perkara berfaedah. Sekurang-kurangnya, berfikir dan merenung tentang Islam. Keduanya, orang Islam mesti menjadi berani. Mereka mesti berani mencabar risiko dan menongkah arus.

“SESUNGGUHNYA PEJUANG ISLAM ITU TIDAK MAHU BEREHAT DI DUNIA KERANA MEREKA INGIN BEREHAT DI SYURGA”