Rabu, 18 Mei 2011

Jom Solat Dulu

klik pada gambar untuk imej lebih jelas

"meeting itu memang untuk merangka halatuju, tapi solat itu penentu"

Jumaat, 6 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-2

Kesan tarbiyah bagi membentuk aqidah yang mantap dan “masak” di dalam jiwa pendokong agama Allah SWT telah menjadikan mereka senantiasa meletakkan kepentingan Islam lebih dari segalanya. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan peribadi mereka sehingga akhirnya nyawa dan darah, mereka persembahkan kepada Allah SWT.

“AbdurRahman bin Auf pernah menginfaqkan separuh harta miliknya pada zaman Rasulullah SAW, lalu dia menambah lagi dengan 40,000 dinar, lalu ditambah lagi dengan menyerahkan 500 ekor kuda dan 500 ekor unta yang majoriti hartanya ini
diperolehi daripada hasil perdagangan”

Apa yang dapat dilihat dari sikap AbdurRahman tadi adalah natijah dari madrasah tarbiyah nabi dan keyakinan beliau kepada janji Allah SWT. Kerana itulah mereka senantiasa mengutamakan kepentingan Islam walau dengan menginfaqkan separuh dari harta mereka demi menegakkan agama Allah SWT. Kesedaran bahawa dunia adalah barang pinjaman dan amanah dari Allah adalah menjadi sebab utama mereka tidak terpengaruh dengan dunia lalu mengutamakan Islam. Kita juga sudah maklum dan mengetahui bahawa, antara penghalang utama bagi para dai’e adalah nafsu dan cinta kebendaan. Jika kedua musuh ini kita tidak dapat nak atasi dan membiarkan ianya menjadi semakin kuat, maka tersangat mudahlah bagi para dai’e akan gugur di pertengahan jalan dakwah.

Meninggalkan kebendaan bukan bermakna kita tidak perlu berharta. Bahkan Allah sangat menuntut kita agar berharta. Tambahan, dengan berharta, kita lebih mudah untuk menyebarluaskan dakwah. Jalan menuju pahala juga bertambah dengan kita berharta. Mana tidaknya. Dengan berharta, kita dapat bersedekah, kita dapat melipat gandakan syukur kita pada Allah dan bermacam-macam lagi. Sungguh, saya amat terkesan dengan pesanan lecturer Religion In Malaysia yang mengajar saya sem ini. Bagi saya, beliau mempunyai jiwa murabbiah. Beliau bukan sekadar memberi ilmu tetapi bertindak juga sebagai guider menjadi seorang muslim yang praktikal. Pesan beliau, nak jadi seorang pelajar yang cemerlang, banyakkan bersedekah. “Sedekah”lah dengan penuh jiwa dan raga. Percayalah, “pulangan”nya pasti tidak akan terkira dan terjangka dek fikiran kita. Jazakillah Miss Nur ‘Adila diatas pesanan yang sungguh mendalam dan membangun hamasah.

Baik, kembali pada tajuk. Allah SWT telah menegaskan bahawa balasan bagi mereka yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi Islam adalah SYURGA. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚفَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” Surah At Taubah - 111

Inilah yang dikejar dan ingin direbut oleh mukmin yang yakin dengan janji Allah sehingga mereka tegap bersabar ditinggal berseorangan, dipulau, dipenjara, dipisah dari anak isteri dan pelbagai penderitaan lagi. Janji Allah inilah yang menjadi penawar kepada susah payah mereka dalam menelusuri jalan dakwah.

BERILTIZAM DENGAN KERJA-KERJA ISLAM

Kata Ustaz Fathi Yakan:
“Bila saya mengaku sebagai Muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jamaah , bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara yang benar-benar Islam”
-Maza Ya’ni Intimail Islam.

Inilah resam hidup seorang pejuang. Kemana pun dia pergi, walau dimanapun dia berada, Islam akan dijunjung dan dibangun pesatkan. Dia akan beristiqamah dengan jamaah kaum Muslimin dan bermujahadah menjauhi konsep nafsih-nafsih dan bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Seluruh masa dan tenaga dicurahkannya untuk menjayakan cita-cita Islam. Terutamanya dalam memastikan tertegak dan terlaksananya sebuah negara yang “benar-benar” Islam. Dia akan memastikan dirinya tidak akan ada masa terluang tanpa kerja Islam. Dia tidak akan sesekali menjadikan kerja-kerja Islam ini hanyalah sekadar kerja bertaraf, “jika ada masa”. Setiap nafasnya, degupan jantungnya, aliran darahnya dan semuanya hanyalah kerana Allah dan Islam tercinta.

Dan ketahuilah bahawa kesungguhan ini hanya ada pada pemilik hati yang mendapat hidayah dari Allah SWT dan dipilih oleh Allah SWT. Sungguh benar, hidayah itu milik Allah SWT. Kita belum tahu lagi kesudahan hidup kita bagaimana. Su’ul Khatimah ataupun Husnul Khatimah. Amalan kitalah yang akan menentukan khatimah kita.

Kita bukan yang memulakan perjuangan dan bukan kita jugalah yang paling hebat diuji dalam perjuangan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan dengan celaan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan ujian. Kekuatan aqidah kitalah yang menjadi pemangkin kepada jatuh bangkitnya kita.

Akhir kalam, saya yakin, jika Aqidah Kukuh, maka insyaAllah, Sukseslah Harakah. Sirah nabi telah banyak membuktikan kegemilangan Islam bermula dari keteguhan dan keutuhan aqidah. Saya juga akan tetap yakin bahawa tanpa kombinasi kesufian dalam harakah, kita tidak akan mampu mencapai ketamadunan yang ulung dan berkat. Wallaاu a’lam.

"if we study the past, it is to understand the present and
to prepare for the future"

Rabu, 4 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-1

Rasulullah SAW memulakan kerja dakwah di Makkah dengan membina kekuatan aqidah dalam jiwa para sahabat. Kekuatan para sahabat jelas terpancar dari kekuatan aqidah yang yang dipupuk dan dibajai oleh Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah. Di sinilah bermulanya pembinaan jatidiri generasi terbaik para sahabat. Benarlah sabda nabi “khairukum qarni, tsumma yali, tsumma yali, tsumma yali..

Rasulullah SAW tidak bercakap mengenai pembangunan dan tamadun sewaktu memulakan dakwah Islamiyah di Makkah. Baginda memulakannya dengan iman dan aqidah. Para sahabat diperkenalkan kepada Allah yang menciptakan mereka dan hakikat diri mereka yang diciptakan oleh Allah SWT lantas menyubur rasa bertuhan dan menyemai sifat kehambaan di dalam diri para sahabat. Kerana itulah, para sahabat bertukar sepenuhnya dari masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat cerdik dan intelektual kearah ma’rifatullah. Maka tamadun dan peradaban datang mengikut dari belakang. Mereka pencetus tamadun yang terulung di dunia. Tiada tandingan, dan tidak tergambar kegemilangan mereka hatta dinukilkan dengan “tinta emas”.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik" Surah Ali Imran : 110


AQIDAH TUNJANG KONTINUITI DAKWAH

Peranan terpenting aqidah ialah ketika berhadapan dengan ujian dan segala bentuk cabaran. Sedangkan ujian serta cabaran pula adalah sunnah perjuangan dalam kehidupan. Saya teringat kata-kata naqib usrah saya dahulu:

“jalan perjuangan takkan sama sekali dihampari permaidani merah, bahkan penuh sarat dengan onak duri dan cabaran”

Allah SWT pasti akan menguji hambaNYA yang beriman dengan ujian yang kadang-kalanya terasa begitu berat. Semuanya itu bertujuan bagi menguji kejujuran dan keikhlasan kita dalam berjuang. Dan yang paling penting ialah untuk menghapuskan dosa-dosa yang menjadi dinding di antara hamba dengan Allah SWT.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” Surah Al Baqarah : 214

Dalam masyarakat manusia, para anbiya’ adalah mereka yang paling berat ujiannya dari Allah SWT kemudian diikuti dengan para salafussoleh dan yang sedarjat dengan mereka. Keikhlasan dan kejujuran mereka pasti akan diuji oleh Allah SWT. Oleh itu, menjadi tanggungjawab generasi terbaik bagi menggalas perjuangan yang suci ini. Allah SWT telah menyenaraikan 5 ciri generasi terbaik sepertimana dalam firmanNYA:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (1)Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, yang (2)bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang (3)bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang (4)berjihad dijalan Allah, dan yang (5)tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada siapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (pemberianNYA), lagi Maha Mengetahui” Surah Al Maidah : 54

Kelima-lima sifat di atas adalah sinar yang terbit dari aqidah yang teguh dan jitu, lebih-lebih lagi sifat yang terakhir. Para pejuang agama dan benteng Islam sepanjang zaman pasti akan berhadapan dengan celaan manusia munafik dan kafir yang membenci mereka dan tugas-tugas mereka. Golongan musuh dalam selimut ini akan sentiasa menggunakan mulut-mulut mereka untuk memadamkan cahaya agama Allah SWT. Akan tetapi yakinlah, Allah SWT pasti akan menyempurnakan cahaya agamaNYA walau dibenci oleh golongan munafiq dan kafir.

Dengan bekalan aqidah lah kita menjadi yakin dan percaya pada janji Allah SWT. Dan dengan aqidah juga, bahtera dakwah akan dapat dikemudi hingga ke matlamatnya.

Bersambung...

Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi!!!