Khamis, 23 Jun 2011

Menunaikan Obligasi Juga Perlu Strategi

Diriwayatkan daripada Saiyyiduna Abdullah ibn Amr r.a, katanya, seseorang telah bertanya Rasulullah SAW:

"Apakah sifat yang paling baik dalam Islam?" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Memberikan makanan serta menyebarkan salam samada kepada orang yang engkau kenali atau tidak kenal"
-riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim-

Hadis di atas saya petik dari sebuah kitab bertajuk "100 Mutiara Hadis" karangan Mohd Sofwan Amrullah terbitan Pustaka Ilmi. Bukanlah saya orang yang faqih dalam membedah dan mentafsir hadis tapi tujuan saya menulis dan cuba menghuraikan serba sedikit dari ilmu kurniaan Allah SWT kepada saya yang sangat sedikit ilmu ini, adalah kerana untuk menjadikan ianya sebagai tazkirah buat saya terlebih dahulu. Di samping rasa ingin mengasah minda dan bakat menulis dengan harapan tulisan saya ini akan ditimbang dengan darah para syuhadak di akhirat kelak.

Rasulullah SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa Islam itu akan luntur dari jiwa umatnya seperti pakaian yang luntur dan lusuh warnanya akibat lama dipakai. Menjadi kewajipan sekalian umat Islam menjalankan tugas memelihara agama dan menjaganya dengan dakwah dan apa jua cara yang dibenarkan syariat. Tidak kiralah kepada Muslim dan non Muslim. Usaha dakwah perlu giat dan mengecapi momentum padu bersifat parallel. Bukan kepada Muslim sahaja. Tidak "universal"lah Islam jika bertumpu pada setengah kaum dan agama sahaja. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memperkuatkan dan memperteguhkan para muslim dengan pegangan aqidah dan amalan Islam yang sohih.

Seluruh pendokong kerja dakwah dalam kalangan masyarakat pada hari ini harus lengkap melengkapi, bahu membahu dan sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Bila kita menyempurnakan lompang yang berlaku dalam jamaah, maka bersyukurlah Allah memilih kita untuk kemuliaan itu. Bukannya mengambil satu pendekatan memperlekehkan atau menghentam individu atau "kumpulan" yang tidak melaksanakan apa yang kita buat.

MEMBERIKAN MAKANAN


Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menerangkan sifat Mukmin yang baik. Kader dakwah dan pendokong Islam harus memiliki sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Imam Hassan Al Banna telah menggariskan satu panduan penting kepada para kader dakwah dan setiap individu Muslim agar melaksanakan tugas membentuk peribadi dan syakhsiah Muslim sebagai anak tangga pertama untuk mencapai agenda tertubuhnya kembali khilafah dan daulah payungan wahyu Ilahi.

Antara sifat mukmin sejati yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas ialah memberi makan samada kepada fakir miskin, musafir, tetamu, sahabat, keluarga, kerabat, muslim mahupun kafir.

Inilah bukti kejernihan jiwa seorang mukmin itu serta keperihatinannya terhadap permasalahan dan kesusahan yang menimpa manusia yang berada di sekelilingnya. Ia tidak mementingkan perutnya sahaja, bahkan senantiasa memikirkan hal mereka yang tidak bernasib baik sepertinya.

Menjadi kesukaan Rasulullah SAW untuk makan beramai-ramai di dalam setalam hidangan makanan. Berkongsi makanan adalah sunnah Baginda SAW yang sangat istimewa dan agung. Kitab seumpama "Syamail Muhammadiyyah" karangan Al Imam Al ‘Allamah At Timiziy rahimahullah telah menggambarkan dengan begitu baik sekali akan sifat dan kesukaan Rasulullah yang kita sedang perkatakan ini.

Abu Hurairah r.a telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW senantiasa melayani ahlus suffah (sahabat yang miskin yang tinggal di masjid Rasulullah SAW) dengan menikmati makan malam bersama mereka dan mendoakan mereka.

MENYEBARKAN SALAM


Kalimah salam adalah kalimah persaudaraan dan pertalian aqidah yang tersimpul dengan sekejap. Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menyuruh kita mengucapkan salam kepada orang yang kita kenal atau kita tidak kenal. Dengan sendirinya, hasil dari perbuatan mulia ini, terjalinkan ikatan perkenalan dan seterusnya menumbuhkan bibit-bibit kasih sayang yang berkekalan sehingga ke akhirat atas nama Islam dan syahadatul haq.

Di dalam doa selepas solat tarawih yang kita aminkan Ramadhan yang lalu dan bakal menjelang tak lama lagi, ada antara doa yang dibacakan imam:

"Jadikan kami sekalian sama-sama berjalan di bawah panji-panji Nabi kami Muhammad SAW.” Bermula dengan ikatan ukhuwwah fillah dan berakhir dengan bersama-sama seiring Rasulullah SAW di akhirat."

Bermanis wajah juga disyaratkan untuk kita lakukan sesama mukmin dan tidak terkecuali juga untuk yang bukan Muslim, zimmiy khususnya. Rasulullah telah menyamakan bermanis muka bila bertemu sesama Mukmin itu dengan mendapat pahala seperti bersedekah harta pada jalan Allah SWT. Manakala bermanis wajah kepada non muslim itu adalah antara jalan untuk mendekati mereka dan juga secara automatik memberikan wajah baik kepada imej Islam yang sememangnya "ultra manis".

KESIMPULAN DARI SAYA

MasyaAllah, hebatnya madrasah tarbiyah nabi dalam mendidik sahabat-sahabat membina keperibadian Muslim yang outstanding. Tidak hairanlah Islam dapat membarah keseluruh pelusuk dua pertiga dunia ketika itu. Kekuatan ruh, peribadi yang sohih dan dakwah efektif menjadi elemen terpenting dalam strategi menembusi pasaran hati yang haus dan dahagakan Nur Islam.

Begitu juga hadis nabi yang saya nyatakan diatas tadi. Sungguh futuristik dan praktikal sabda nabi. Kedalaman maknanya menyusup masuk kedalam sanubari sahabat-sahabat sehingga menatijahkan terbentuknya peribadi mapan dan hadirnya ibrah dan iktibar dalam merangka strategi efektif dalam menunaikan obligasi berdakwah. Sungguh benar, "kita" hari ini kena kembali pada dua khazanah yang sangat bernilai di muka bumi Allah ini. Warisan nabi ini, wajar dijadikan sumber perlembagaan diri, masyarakat dan negara selama-lamanya. Alangkah indahnya hidup berakhlakkan Quran dihiasi Sunnah Nabi.

Selasa, 7 Jun 2011

Cinta Di Waktu Dhuha

Doa Setelah Solat Dhuha

“Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu. Ya Allah, jika rezeki masih di langit, turunkanlah, jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh"

Alunan Doa Setelah Solat Sunat Dhuha oleh UNIC


Jadi, jom sama-sama kita istiqamah solat sunat dhuha tiap-tiap hari. Tak lama. 5-7 minit sahaja. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan ber"facebook" berjam-jam. Dan tak susah pun. Tak cayo, meh den nak koba ha:

  1. Ambil wudhuk dipunca air mutlak berdekatan
  2. Carilah tempat yang tenang untuk solat
  3. Niat, "sahaja aku solat sunat dhuha, 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
  4. Rakaat pertama, disarankan membaca Surah Al Fatihah diikuti Surah As Shams
  5. Rakaat kedua pula, disarankan membaca Surah Al Fatihah diikuti Surah Ad Dhuha
  6. Selesai memberi salam, bertasbihlah pada Allah sebanyak yang mungkin
  7. Berdoa seperti doa yang tertera di atas
Amacam, kan den dah koba sonang. Jadi, apo tunggu laie, jom kita istiqamah. Terutamo pado yang tongah cuti sampai bulan 9 ni. Takdo alasan kato takdo maso. Kalu ado yang koba takdo maso tu, den tahu apo sobab eh. Tak lain tak bukan, membongkang sampai tongahari la tu. Udah-udah la tu jang, moh kito buek dan istiqamah bondo baik ni pulak ha. Moh kito ber"cinta" dengan Maha Pengasih pulak di pagi-pagi hari kito. Pasti "Indah Cinta Di Waktu Dhuha". Ronung-ronungkan dan selamek beramal kato orang nogori sembilan(^,-). ~allahummar zuqnal istiqamah

Khamis, 2 Jun 2011

Amalan Malam Awal Bulan Rejab - Al Fadhilatusy Sheikh Ustaz Muhadir b Haji Joll


Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan

p/s: klik "sini" untuk Risalah "Amalan Malam Awal Bulan Rejab"