Sabtu, 28 Julai 2012

Himpunan Solidariti Ummah

Tanggal 27 Julai 2012, bergemanya laungan takbir di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Gombak oleh mahasiswa Islam menghantar semangat perjuangan sebagai bukti kebersamaan mahasiswa Islam terhadap mangsa kekejaman di Syria, Myanmar dan Palestin.

Bagi menyeru masyarakat agar terus-menerus memanjatkan doa secara khusus kepada Allah di bulan Ramadan yang mulia ini bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Syria, Myanmar dan Palestin dan juga bagi menyebarluaskan maklumat dan informasi terkini berkenaan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi di Syria, Rohingya dan Palestin kepada seluruh peringkat masyarakat, Al Aqsa Friend’s Society IIUM, Al Salam Club Malaysia and Rohingya Youth Council Arakan dengan kerjasama Ma'ruf Club telah menganjurkan Himpunan Solidariti Ummah.




Himpunan dimulakan sejurus selepas solat jumaat oleh Saudara Syahmi Syazeril selaku pengawal dan pengerusi majlis himpunan. Pentas himpunan terus dihangatkan lagi dengan ucapan dan penerangan dari Cikgu Azmi, (Setiausaha) Agong MAPPIM-SHURA. Cikgu Azmi banyak menyentuh tentang situasi terkini yang sedang berlaku di Myanmar disamping mengemukakan alternatif-alternatif yang telah dilakukan oleh beberapa NGO untuk membantu saudara-saudara kita di Syria, Myanmar dan Palestin.




Kemudian, pentas himpunan terus dihangatkan lagi dengan ucapan dan penerangan dari Mr. Ghiyathudeen Bin Maulana Abdul Salam, Union of World Rohingya Organizations(UWRO). Beliau banyak menceritakan tentang sejarah wujudnya bangsa Rohingya itu sendiri dan apakah kronologi dan rentetan konflik di Myanmar.




Ma'ruf Club telah diberi penghormatan oleh pihak penganjur untuk memberikan ucapan selaku wakil mahasiswa. Saudara Amiruddin Ismail, Presiden Ma'ruf Club tampil lantang memberi ucapan yang penuh spirit. Banyak dalam ucapan beliau menyeru supaya mahasiswa Islam terus menerus cakna dan mendoakan saudara-saudara kita di Syria, Myanmar dan Palestin.




Himpunan ditutup dengan doa yang penuh syahdu dari Br Rashid dari Myanmar. MasyaAllah, ternyata doanya sungguh syahdu dan penuh pengharapan sehingga menyebabkan sebilangan peserta himpunan mengalirkan air mata. Himpunan berakhir dengan satu laungan takbir yang penuh semangat dari peserta himpunan. Alhamdulillah juga, kutipan derma yang diperoleh sangat memberansangkan. Semoga Allah mengganjari kalian semua dengan rahmat dan maghfirah.






Mahasiswa Islam membantah kekejaman terhadap umat Islam di Syria, Rohingya dan Palestin!!!

Isnin, 23 Julai 2012

Resolusi Urgent Meeting : We Are Brother

Urgent Meeting : We Are Brother


Menyedari bahawa adalah suatu kewajipan di sisi agama bagi mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam khususnya yang sedang ditindas dan dizalimi di Syria, Myanmar dan Palestin, pada 18 Julai 2012 bertempat di Kulliyah Of Education UIAM, Institut Forum Siswa (i-FORSIS) dengan kerjasama Ma’ruf Club (MC) UIAM telah menganjurkan “Urgent Meeting : We Are Brother” bagi menetapkan suatu pendirian terhadap isu tersebut dan menyediakan pelan tindakan yang dapat meningkatkan kecaknaan dan rasa tanggungjawab ummah terhadap musibah yang sedang melanda umat Islam di Syria, Mnyanmar, Palestin dan negara-negara umat Islam yang lain.

Hasil daripada pertemuan itu :-

Kami sekeras-kerasnya membantah sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan tersebut dan pembunuhan yang dilakukan itu juga merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan prinsip agama.

Kami menyeru supaya umat Islam dan masyarakat yang prihatin supaya :


  1. Mengusahakan sedaya upaya bagi mengumpul dan menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
  2. Berterusan memanjatkan doa secara khusus kepada Allah di bulan Ramadan yang mulia ini bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Syria, Mnyanmar dan Palestin. 
  3. Menyebarluaskan maklumat dan informasi terkini berkenaan keadaan umat Islam yang ditindas dan dizalimi di Syria, Mnyanmar dan Palestin kepada seluruh peringkat masyarakat melalui medium dan pendekatan yang pelbagai. 


Oleh itu, kami akan :


  1. Menyediakan platform bagi membina dan mengukuhkan kesatuan umat Islam serta bertujuan membincangkan pendirian dan pelan tindakan terhadap isu-isu yang melanda umat Islam.
  2. Melancarkan dana khas bagi mengumpul bantuan kewangan untuk disalurkan kepada umat Islam Syria, Mnyanmar dan Palestin.
  3. Menganjurkan kempen secara berterusan dan besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap keadaan umat Islam yang lain.
  4. Mengadakan “Himpunan Solidariti Ummah” pada hari Jumaat, 27 Julai 2012, 2 PM di Masjid UIAM Gombak. 


Oleh hal yang demikian, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan agenda ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Resolusi ini disediakan dan dipersetujui sebulat suara oleh :

-Hasbullah Mohd Faudzi, Moderator i-FORSIS
-Mohd Aizzat Abd Rahim, Ma'ruf Club
-Ni' Nurul Ain Mamat Nor, Ma'ruf Club
-Muhammad Uzair Izzat Amir, PEMBINA
-Abdullah Abdulwoheb Al Kamel, Syria
-Qutub Shah, Myanmar
-Muhammad Sayed, Myanmar
-Hassan AbuOmar, Palestin
-Ummi Kalsom, Vietnam
-Muhammad Andi Piadani, Indonesia
-Tami Astie Ulhiza, Indonesia
-Yan Mary, Cambodia

Tarikh : 23 Julai 2012 (3 Ramadan 1433 H)


Khamis, 12 Julai 2012

Resolusi Bersama Sidang Meja Bulat Isu-isu Antarabangsa Parti Islam & NGO Islam Nusantara


Resolusi Bersama Sidang Meja Bulat Isu-isu Antarabangsa Parti Islam dan NGO Islam Nusantara.

Kami, mewakili suara umat Islam Nusantara yang diwakili oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia, telah bersidang dan membuat resolusi berikut;

  1. Kami bersama-sama umat Islam seluruh dunia dan umat Islam di Syria mengutuk sekeras- kerasnya kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Syria pimpinan Bashar Al-Assad. 
  2. Justeru, kami menggesa kerajaan Syria menghentikan serta-merta kezaliman tersebut jika tidak Basyar Al-Assad akan menerima nasib yang sama sebagaimana Hosni Mubarak, Zine El Abidine Ben Ali dan Muammar Ghaddafi.
  3. Dalam masa sama, umat Islam mengharapkan agar Pertubuhan Negara-negara Islam atau Organization of the Islamic Conference (OIC) yang dianggotai oleh Negara-negara umat Islam seluruh dunia segera memanggil anggotanya untuk mengadakan persidangan tergempar untuk membincangkan isu ini sekaligus menghentikan kezaliman yang berlaku.
  4. Selain itu, kami menolak sebarang campur tangan luar terutama Amerika Syarikat, barat dan konco-konconya daripada terlibat di dalam isu ini yang dilihat cuba mengambil kesempatan menaguk di air yang keruh di dalam persitiwa yang berlaku di Syria. 
  5. Tidak lupa juga kepada krisis keganasan yang berlaku di Myanmar yang melibatkan pembunuhan berama-ramai umat Islam Rohingya, kami turut mengecam kejadian ganas ini dan mendesak kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera untuk menghentikannya dan menggesa OIC turut membincangkan isu ini untuk mencari titik penyelesaian.
  6. Akhir sekali, kami berharap agar umat Islam seluruh dunia dan di Nusantara khususnya untuk tidak putus-putus berdoa kepada Allah terutama di dalam bulan Ramadhan kelak agar Allah memberi kemenangan kepada umat Islam di Syria, Myanmar dan di seluruh dunia umumnya. 

Sekian, terima kasih.

Resolusi ini telah disepakati oleh:


Ustaz Nasrudin Hassan - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merangkap Pengerusi Bertindak,

Dr Raja Ahmad Al-Hiss - Lajnah Antarabangsa DPPM merangkap Koordinator,

Dr Mohd Fauzi Zakaria - Persatuan Ulama Malaysia (PUM),

Sdra Mohamad Raimi Ab Rahim - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Sdra Eikhwan Ali - Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS),

Sdra Teddy S Gunawan - Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS),

Sdra Abdulhalim Naha - Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT),

Sdra Mu’min Effendi - Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia.


12 Julai 2012
Kuala Lumpur, Malaysia.