Khamis, 2 Jun 2011

Amalan Malam Awal Bulan Rejab - Al Fadhilatusy Sheikh Ustaz Muhadir b Haji Joll


Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan

p/s: klik "sini" untuk Risalah "Amalan Malam Awal Bulan Rejab"

Rabu, 18 Mei 2011

Jom Solat Dulu

klik pada gambar untuk imej lebih jelas

"meeting itu memang untuk merangka halatuju, tapi solat itu penentu"

Jumaat, 6 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-2

Kesan tarbiyah bagi membentuk aqidah yang mantap dan “masak” di dalam jiwa pendokong agama Allah SWT telah menjadikan mereka senantiasa meletakkan kepentingan Islam lebih dari segalanya. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan peribadi mereka sehingga akhirnya nyawa dan darah, mereka persembahkan kepada Allah SWT.

“AbdurRahman bin Auf pernah menginfaqkan separuh harta miliknya pada zaman Rasulullah SAW, lalu dia menambah lagi dengan 40,000 dinar, lalu ditambah lagi dengan menyerahkan 500 ekor kuda dan 500 ekor unta yang majoriti hartanya ini
diperolehi daripada hasil perdagangan”

Apa yang dapat dilihat dari sikap AbdurRahman tadi adalah natijah dari madrasah tarbiyah nabi dan keyakinan beliau kepada janji Allah SWT. Kerana itulah mereka senantiasa mengutamakan kepentingan Islam walau dengan menginfaqkan separuh dari harta mereka demi menegakkan agama Allah SWT. Kesedaran bahawa dunia adalah barang pinjaman dan amanah dari Allah adalah menjadi sebab utama mereka tidak terpengaruh dengan dunia lalu mengutamakan Islam. Kita juga sudah maklum dan mengetahui bahawa, antara penghalang utama bagi para dai’e adalah nafsu dan cinta kebendaan. Jika kedua musuh ini kita tidak dapat nak atasi dan membiarkan ianya menjadi semakin kuat, maka tersangat mudahlah bagi para dai’e akan gugur di pertengahan jalan dakwah.

Meninggalkan kebendaan bukan bermakna kita tidak perlu berharta. Bahkan Allah sangat menuntut kita agar berharta. Tambahan, dengan berharta, kita lebih mudah untuk menyebarluaskan dakwah. Jalan menuju pahala juga bertambah dengan kita berharta. Mana tidaknya. Dengan berharta, kita dapat bersedekah, kita dapat melipat gandakan syukur kita pada Allah dan bermacam-macam lagi. Sungguh, saya amat terkesan dengan pesanan lecturer Religion In Malaysia yang mengajar saya sem ini. Bagi saya, beliau mempunyai jiwa murabbiah. Beliau bukan sekadar memberi ilmu tetapi bertindak juga sebagai guider menjadi seorang muslim yang praktikal. Pesan beliau, nak jadi seorang pelajar yang cemerlang, banyakkan bersedekah. “Sedekah”lah dengan penuh jiwa dan raga. Percayalah, “pulangan”nya pasti tidak akan terkira dan terjangka dek fikiran kita. Jazakillah Miss Nur ‘Adila diatas pesanan yang sungguh mendalam dan membangun hamasah.

Baik, kembali pada tajuk. Allah SWT telah menegaskan bahawa balasan bagi mereka yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi Islam adalah SYURGA. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚفَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” Surah At Taubah - 111

Inilah yang dikejar dan ingin direbut oleh mukmin yang yakin dengan janji Allah sehingga mereka tegap bersabar ditinggal berseorangan, dipulau, dipenjara, dipisah dari anak isteri dan pelbagai penderitaan lagi. Janji Allah inilah yang menjadi penawar kepada susah payah mereka dalam menelusuri jalan dakwah.

BERILTIZAM DENGAN KERJA-KERJA ISLAM

Kata Ustaz Fathi Yakan:
“Bila saya mengaku sebagai Muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jamaah , bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara yang benar-benar Islam”
-Maza Ya’ni Intimail Islam.

Inilah resam hidup seorang pejuang. Kemana pun dia pergi, walau dimanapun dia berada, Islam akan dijunjung dan dibangun pesatkan. Dia akan beristiqamah dengan jamaah kaum Muslimin dan bermujahadah menjauhi konsep nafsih-nafsih dan bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Seluruh masa dan tenaga dicurahkannya untuk menjayakan cita-cita Islam. Terutamanya dalam memastikan tertegak dan terlaksananya sebuah negara yang “benar-benar” Islam. Dia akan memastikan dirinya tidak akan ada masa terluang tanpa kerja Islam. Dia tidak akan sesekali menjadikan kerja-kerja Islam ini hanyalah sekadar kerja bertaraf, “jika ada masa”. Setiap nafasnya, degupan jantungnya, aliran darahnya dan semuanya hanyalah kerana Allah dan Islam tercinta.

Dan ketahuilah bahawa kesungguhan ini hanya ada pada pemilik hati yang mendapat hidayah dari Allah SWT dan dipilih oleh Allah SWT. Sungguh benar, hidayah itu milik Allah SWT. Kita belum tahu lagi kesudahan hidup kita bagaimana. Su’ul Khatimah ataupun Husnul Khatimah. Amalan kitalah yang akan menentukan khatimah kita.

Kita bukan yang memulakan perjuangan dan bukan kita jugalah yang paling hebat diuji dalam perjuangan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan dengan celaan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan ujian. Kekuatan aqidah kitalah yang menjadi pemangkin kepada jatuh bangkitnya kita.

Akhir kalam, saya yakin, jika Aqidah Kukuh, maka insyaAllah, Sukseslah Harakah. Sirah nabi telah banyak membuktikan kegemilangan Islam bermula dari keteguhan dan keutuhan aqidah. Saya juga akan tetap yakin bahawa tanpa kombinasi kesufian dalam harakah, kita tidak akan mampu mencapai ketamadunan yang ulung dan berkat. Wallaاu a’lam.

"if we study the past, it is to understand the present and
to prepare for the future"

Rabu, 4 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-1

Rasulullah SAW memulakan kerja dakwah di Makkah dengan membina kekuatan aqidah dalam jiwa para sahabat. Kekuatan para sahabat jelas terpancar dari kekuatan aqidah yang yang dipupuk dan dibajai oleh Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah. Di sinilah bermulanya pembinaan jatidiri generasi terbaik para sahabat. Benarlah sabda nabi “khairukum qarni, tsumma yali, tsumma yali, tsumma yali..

Rasulullah SAW tidak bercakap mengenai pembangunan dan tamadun sewaktu memulakan dakwah Islamiyah di Makkah. Baginda memulakannya dengan iman dan aqidah. Para sahabat diperkenalkan kepada Allah yang menciptakan mereka dan hakikat diri mereka yang diciptakan oleh Allah SWT lantas menyubur rasa bertuhan dan menyemai sifat kehambaan di dalam diri para sahabat. Kerana itulah, para sahabat bertukar sepenuhnya dari masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat cerdik dan intelektual kearah ma’rifatullah. Maka tamadun dan peradaban datang mengikut dari belakang. Mereka pencetus tamadun yang terulung di dunia. Tiada tandingan, dan tidak tergambar kegemilangan mereka hatta dinukilkan dengan “tinta emas”.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik" Surah Ali Imran : 110


AQIDAH TUNJANG KONTINUITI DAKWAH

Peranan terpenting aqidah ialah ketika berhadapan dengan ujian dan segala bentuk cabaran. Sedangkan ujian serta cabaran pula adalah sunnah perjuangan dalam kehidupan. Saya teringat kata-kata naqib usrah saya dahulu:

“jalan perjuangan takkan sama sekali dihampari permaidani merah, bahkan penuh sarat dengan onak duri dan cabaran”

Allah SWT pasti akan menguji hambaNYA yang beriman dengan ujian yang kadang-kalanya terasa begitu berat. Semuanya itu bertujuan bagi menguji kejujuran dan keikhlasan kita dalam berjuang. Dan yang paling penting ialah untuk menghapuskan dosa-dosa yang menjadi dinding di antara hamba dengan Allah SWT.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” Surah Al Baqarah : 214

Dalam masyarakat manusia, para anbiya’ adalah mereka yang paling berat ujiannya dari Allah SWT kemudian diikuti dengan para salafussoleh dan yang sedarjat dengan mereka. Keikhlasan dan kejujuran mereka pasti akan diuji oleh Allah SWT. Oleh itu, menjadi tanggungjawab generasi terbaik bagi menggalas perjuangan yang suci ini. Allah SWT telah menyenaraikan 5 ciri generasi terbaik sepertimana dalam firmanNYA:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (1)Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, yang (2)bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang (3)bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang (4)berjihad dijalan Allah, dan yang (5)tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada siapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (pemberianNYA), lagi Maha Mengetahui” Surah Al Maidah : 54

Kelima-lima sifat di atas adalah sinar yang terbit dari aqidah yang teguh dan jitu, lebih-lebih lagi sifat yang terakhir. Para pejuang agama dan benteng Islam sepanjang zaman pasti akan berhadapan dengan celaan manusia munafik dan kafir yang membenci mereka dan tugas-tugas mereka. Golongan musuh dalam selimut ini akan sentiasa menggunakan mulut-mulut mereka untuk memadamkan cahaya agama Allah SWT. Akan tetapi yakinlah, Allah SWT pasti akan menyempurnakan cahaya agamaNYA walau dibenci oleh golongan munafiq dan kafir.

Dengan bekalan aqidah lah kita menjadi yakin dan percaya pada janji Allah SWT. Dan dengan aqidah juga, bahtera dakwah akan dapat dikemudi hingga ke matlamatnya.

Bersambung...

Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi!!!




Sabtu, 19 Mac 2011

Kurangkan Slogan, Banyakkan Tindakan!!!

Saya banyak memerhatikan figur-figur reformis Islam yang terkemuka lantas berfikir, apakah yang menjadikan mereka begitu hebat dan disanjungi masyarakat. Jika nak dikatakan kredibiliti mereka dalam merencanakan revolusi atau berkata-kata, saya kira bukan sekadar itu. Jika nak dikatakan kewarakan mereka dalam beribadah dan beramal, juga saya kira, bukan sekadar itu. Saya yakin dan optimis, pasti ada satu kelebihan luar biasa yang sukar kita lihat dari sudut kacamata zahir sahaja.

Sedang tangan membelek-belek buku untuk mencari isi untuk kuliah yang lepas, tiba-tiba ada satu topik yang betul-betul menarik minat saya dan secara tidak sengaja telah menjawab persoalan yang bermain difikiran saya. Sungguh cantik perencanaan Allah SWT. Maka, saya teliti dan membedah topik tersebut, berpaksikan beberapa rujukan. Alhamdulillah, saya kini mampu muncul dengan satu konklusi.

APA RAHSIA MEREKA?

Mereka tidak banyak berbicara, tetapi hati mereka sentiasa bertutur dengan keikhlasan. Tangan dan kaki mereka, amal, perbuatan dan ibadah mereka, sudah cukup untuk menceritakan siapa mereka. Hassan Al Banna pernah bermadah lantas berpesan:

“biar sahaja tingkah dan amal kita menceritakan siapa kita”

sambil menambah dalam bicara yang lain, “jangan banyak berpropaganda”. Dalam kalam beliau yang lain, beliau berpesan kepada jundi-jundi Islam: “tidak sama orang yang bercakap dengan orang yang beramal”. Jundi Islam yang mendengar bicara beliau ketika itu terus terbakar semangat mereka. Semangat mereka ketika itu digambarkan seperti si pelumba lari di medan perlumbaan, berlumba merebut redha Allah. Sebab mereka yakin redha Allah bersama dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan mengurangkan propaganda dan membanyakkan tindakan.

Firman Allah SWT:

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

“amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

Pernah seorang ulama’ ketika mengajar kitab, meninggalkan satu bab dan terus berpindah ke bab yang lain. Setelah beberapa hari, baru disentuh bab berkenaan. Anak muridnya menjadi hairan lantas bertanya kenapa. Beliau dengan tenang menjawab: “aku tidak akan mengajar satu bab yang belum lagi aku beramal”.

Alangkah indahnya gagasan ini. Mereka tidak mahu banyak berbicara bahkan mereka lebih suka beramal dan membiarkan amal mereka menceritakan siapa mereka yang sebenarnya. Tambahan pula, mereka menjadikan ilmu sebagai wadah tazkirah untuk terus berADAB dengan ilmu. BerADAD dengan ilmu bererti kita mengamalkan segala ilmu yang kita ada. Tiada guna kita cakap berdegar-degar tapi praktikalnya, CHEROI(entah kemana).

Kelmarin, sementara menunggu papa habis waktu pejabat untuk ke kenduri saudara saya di Shah Alam, saya sempat membelek karya Ibnu ‘Ataillah, Al Hikam yang berada di dalam kereta mama memandangkan mama mengaji kitab ini dan kereta tersebutlah menjadi teman setia mama untuk ke kelas pengajian. Termaktub dalam kitab tersebut, Ibnu ‘Ataillah menceritakan bahawa amalan itu ibarat cahaya dan kebanyakan orang yang soleh itu, “cahayanya telah menyelubungi sebelum kata-katanya terpacul”. Mungkin konsep praktikal atau amal melebihi kata-kata inilah yang menjadi teras figur-figur yang saya kagumi lantas menatijahkan kalam yang terpacul dari mulut mereka menjadi penuh karisma dan terus menjadi inspirasi hatta jasad sudah tidak lagi bersama dimuka bumi.

Tidak cukup sekadar dengan kata-kata, perbuatan mereka terus-menerus juga menjadi panduan manusia sehingga hari ini. MasyaAllah, hebatnya kuasa amalan. Amalan, bicaranya dalam diam namun gelombangnya sungguh dahsyat sehinggakan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mengambil ibrah darinya. Mungkin inilah rezeki yang Allah janjikan kepada mereka yang mati di jalan Allah SWT. Firman Allah:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

“jangan kamu sangkakan mereka yang terkorban di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan diberikan rezeki”

Bukan bermakna kita tidak boleh bercakap selepas ini. Post ini bertujuan untuk sama-sama kita sedar bahawa banyak berkata-kata kadang-kalanya mengundang murka Allah jika tidak diiringi dengan praktikalnya. Berkatalah kita dengan penuh HIKMAH. Hikmah ini pula, banyak definisi yang ulama’ kita syarahkan. Antaranya, Ibnu Abbas mendefiniskan hikmah itu adalah kata-kata yang berteraskan penghuraian dari Al Quran. Imam Malik pula mendefiniskan hikmah itu adalah kata-kata yang penuh tafakkur pada Allah SWT lantas mengamalkannya.

Ada baiknya juga kita ambil definisi Sheikh Idris Al Marbawi . Beliau mendefinisikan bahawa hikmah itu adalah kata-kata yang berisi didalamnya, makna yang halus(tidak mengguriskan mana-mana pihak) dan bersifat ilmiah yang penuh faedah. Dan Allah SWT secara umumnya menyebut, hikmah hanya diberikan kepada orang tertentu dan beruntunglah orang yang mendapatnya.

Konklusinya, dakwah dengan perbuatan lebih baik dan berbekas berbanding kata-kata. Nabi SAW ketika mengajak sahabat melakukan sesuatu, baginda melaksanakannnya terlebih dahulu. Peristiwa Ummu Salamah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah boleh dijadikan contoh terbaik.

“orang jahil menyangka mereka diam kerana mereka mereka tidak pandai berbicara, walhal hikmah yang memaksa mereka berdiam. Dan orang yang jahil menyangka mereka banyak bercakap kerana mereka tukang celoteh, walhal nasihat kerana Allah mendesak mereka agar berbicara”

Selasa, 8 Mac 2011

Kamasalil Jasadin Wahid

Ya Allah. Baru ku tahu indahnya sebuah ikatan yang berteraskan aqidah. Ikatan yang bersama menuju kearah satu matlamat yang sama. Betapa istimewanya ikatan ini. Hari ini, masuk hari ketiga saya dirumah. Namun, jiwa ini tetap kosong tanpa sahabat-sahabat seperjuangan disisi. Demi Allah, saat daku mengimbau detik-detik suka dan duka kita bersama, mata ini tidak dapat menahan “mendung yang tiba”. Air mataku secara spontan keluar. Namun, apa yang ku harapkan, moga-moga air mata ini menjadi bukti keikhlasan dalam kita bersahabat serta berjuang.

Sahabat seperjuanganku yang dirahmati Allah,
Seketika, sebak menahan daku untuk terus menulis. Biarlah seketika gambar ini berbicara agar bisa ku kuat untuk menulis semula.

Ukhwah Fillah Abadan Abada
p/s: ni sahaja gambar yang sempat edit. bagi mereka yang tiada gambarnya disini, jangan kecil hati ye(^,-)

SAHABAT-SAHABAT, INILAH IBARATNYA KITA!!!


Dalam satu pertempuran menentang tentera Romawi, tentera Islam menghadapi kesulitan untuk menembusi benteng Romawi yang ketika itu terlalu kebal. Pelbagai percubaan telah dibuat namun tentera Islam belum berjaya menembusinya.

Akhirnya, bangkitlah Az Zubair memecahkan kebuntuan. Az Zubair menawarkan dirinya untuk memanjat tembok itu dan akan membuka pintu benteng tersebut dari dalam. Sahabat-sahabat yang lain menganggap aksi tersebut adalah aksi kematian. Sudah pasti bahaya menanti dihadapan. Namun Az Zubair tidak mempedulikannya. Beliau dengan berani menyerahkan jiwanya kepada Allah seraya mencabar siapa yang berani menuruti langkahnya.

Berbekalkan kudrat dan semangat yang membara, Az Zubair memanjat benteng tersebut. Tentera Romawi sudah siap untuk menyerang Az Zubair yang pada zahirnya telah terbuka untuk diserang secara percuma. Sahabat-sahabat yang berada dibawah tidak dapat menahan melihat Az Zubair keseorangan memanjat dan mendokong ibrah panji perjuangan Islam. Atas dasar kebersamaan dan berteraskan Ukhwah Islamiyah, sahabat-sahabat yang berada dibawah mula mengatur strategi bagi melindungi Az Zubair yang sedang memanjat.

Dengan kepakaran memanah yang dimiliki majoriti tentera Islam, Az Zubair berjaya dilindungi seterusnya, berjaya melepasi benteng tersebut. Akhirnya, pintu benteng sudah berjaya dibuka dari dalam lantas memudahkan tentera Islam untuk menyerang meraih kemenangan.

diambil dari blog Alif Azuan. Nice picture bro(^,-).

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Begitulah ibaratnya kita. Bahu-membahu, kebersamaan menjadi panduan pergerakan kita. Amal jamai'e paksi pergerakan kita. Mana mungkin semangat dan matlamat memartabatkan Islam itu hanya didokong dan direalisaikan hanya dengan wujudnya satu jasad, satu kepakaran dan satu semangat. Sewajarnya, ianya mesti berjasad-jasad dan yang paling penting jiwa kenalah BERMANGAT-MANGAT. Betul tak sahabat-sahabat(^,-)??? Huhu.

Setiap orang mempunyai kepakaran tersendiri. Salurkanlah kepakaran yang ada hanya untuk Islam yang tercinta. Biarlah tertegaknya Islam kelak, ada sumbangan yang boleh kita banggakan. Dan sebab itulah, Allah kurniakan kita kepakaran dan kemahiran. Manifestasi syukur itu, pada perbuatan dan bukan sekadar pada hati dan lisan.

Akhir kalam, diri yang dhoif ini ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua sahabat-sahabat yang mengenali diri ini. Diri ini, tidak terlepas dari melakukan kesilapan hatta telah kucuba sedaya yang mungkin untuk tidak melukai hatimu. Terima kasih kerana sudi menjadi "seorang sahabat" dikala daku susah dan senang. Semoga Allah meredhai persahabatan kita. Manfaatkanlah cuti berlandaskan syariatNYA.

Jom layan lirik ni sat. Nak nyanyi pun takpe(^,-). Bila nyanyi lagu ni, sampai kat satu part, mesti akan teringat kat 'Ain Faya Faya. Nak tahu, tanya dia sendiri. Hehe(^,-).

Di sini kita pernah bertemu
Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru
Dan hidupku kini ceria

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ingatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan bersimpul padu

Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

p/s:oit, dah nak habis ni, baru sedar, sentimental jugak aku ni. Takpe-takpe. Sekali sekala. huhu(^,-)

TEMAN YANG PALING BAIK IALAH APABILA KAMU LIHAT WAJAHNYA TERINGAT ALLAH, APABILA MENDENGAR KATA-KATANYA MENAMBAH ILMU AGAMA DAN APABILA MELIHAT GERAK GERINYA TERINGAT MATI