Khamis, 27 Januari 2011

Indahnya Seni Tarbiyah Allah

Cukup halus tatkala menghayati seni tarbiyah Allah SWT yang sebenar. Dan sebaik-baik tarbiyah Allah adalah dengan ujian dan musibah. Kaifiyat tarbiyah Allah bilamana diteliti kehalusannya akan menimbulkan keinsafan dalam diri. Inilah tarbiyah Allah SWT. Tarbiyah-NYA menyemarakkan iman seseorang. Hati yang lalai akan menjadi lebih dekat dan rindu pada Allah SWT. Apabila akal menjadi ukuran penilaian kaifiyat tarbiyah Allah, sudah pastilah seseorang itu merasa dirinya tidak berguna, kecewa dan tidak redha dengan ujian yang menimpa. Maka lahirlah sifat-sifat mazmumah dalam hati lantaran buruk sangkanya pada tarbiyah Allah SWT.

Berbeza pula apabila iman menjadi kayu ukur bagi kaifiyat tarbiyah ini. Dalam buku “Al-Hikam” karangan Ibn Ata’illah As-Sakandari, beliau mengibaratkan ujian itu suatu nikmat yang tersembunyi atau ditangguhkan. Hanya dapat diperolehi dengan bersangka baik pada Allah SWT. Dan orang yang paling bersangka baik pada Allah adalah Rasulullah SAW, qudwatun hasanah sepanjang zaman. MasyaAllah..!!

Tarbiyah Allah SWT memerlukan penghayatan yang tinggi. Penghayatan iman yang mantap mampu mendorong seseorang itu lebih akrab dengan tuhanNYA. Mengimbas sejarah islam bagaimana Rasulullah SAW diuji menjadi anak yatim piatu di waktu kecil usianya. Baginda tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Banyak lagi ujian-ujian yang baginda terpaksa lalui khususnya dalam penyebaran dakwah baginda. Bermula dengan dakwah secara rahsia sehinggalah dakwah baginda secara terbuka. Namun ujian itulah yang mentarbiyahkan Rasulullah saw menjadi seorang yang cekal, sabar dan tabah sebagai seorang hamba Allah yang unggul peribadinya.

Setiap kehidupan itu pastinya akan berteman dengan ujian. Samada ujian kebaikan atau sebaliknya. Sekalipun kita melihat orang kaya yang banyak hartanya, bahagia hidupnya, tetapi dalam bahagia itu, dirinya menjadi perhatian Allah dan manusia. Allah mengujinya samada bersyukur atau kufur pada RahmatNYA. Hakikatnya manusia kala ini terlalu ramai yang tewas dengan nafsunya. Nafsu yang terlalu dimanja-manja dengan wang ringgit dan segala macam kemewahan, pangkat, darjat dan kecantikan yang selalunya menjadikan si pemiliknya lupa diri, bongkak, ujub dan segala macam lagi sifat-sifat mazmumah yang bersarang dihati.


Akan tetapi, nafsu menjadi lemah tikamana kesusahan itu yang menjadi santapannya. Ramai manusia apabila ditimpa dengan musibah dan ujian, hatinya lebih lembut untuk menerima hidayah Allah. Sirah perjuangan Nabi Muhammad di Mekah menjadi buktinya. Ramai di kalangan masyarakat arab ketika itu yang menerima Islam di awal penyebarannya terdiri di kalangan orang yang faqir miskin, hamba abdi dan kaum perempuan yang dianiaya. Di sinilah letaknya hikmatnya Allah SWT menguji hambaNYA dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Fitrah manusia, ketika bergembira amat jarang hatinya mengingati Allah SWT. Hati yang banyak bergembira cenderung hatinya kepada hubbud dunya(cintakan dunia). Dan amatlah rugi orang yangg hatinya cinta kepada dunia dan seisinya sedang dunia itu bersifat FANA'.

Tikamana diri kita diuji oleh Allah dengan kebaikan dunia, maka bersyukurlah pada nikmat kurniaNYA. Itu tandanya diri kita dalam pemerhatianNYA. Siapkan diri dengan iman dan taqwa, kerana itulah yang akan menjadi benteng kita daripada godaan syaitan dan nafsu kita yang tidak ada istilah waktu untuknya melalaikan kita. Sungguh, nafsu itulah yang paling hampir dengan diri kita. Maka, kalahkanlah ia dengan banyak memberi atau bersedekah kerana Allah SWT. Jikalau ujian Allah berupa kekayaan, banyakkanlah menghulur pada yang memerlukan. Sungguh kekayaan itu hanyalah pinjaman semata. Kita hanyalah insan yang hanya menumpang kesempurnaan sifat-sifatNYA. Jadikanlah barang pinjaman itu sebagai wasilah untuk kita mendekatkan diri kita pada ALLAH SWT.

Sekiranya ujian nikmat itu berupa darjat dan pangkat, maka ingatlah kekuasaanNYA dan AgungNYA Allah SWT. Sekiranya ujian itu berupa kecantikan, ingatlah akan diri kita, kecantikan itu hanyalah sementara dan kecantikan itu hanyalah nilaian zahir bagi manusia. Jadikanlah dirimu begitu berharga dan bernilai di hadapan Allah SWT. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda:

"sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan kekayaan kamu, tetapi Allah melihat pada amal dan hati-hati kamu"

Andai diri kita diuji dengan kesusahan hidup, tetapkanlah hati kita dan bersangka baiklah pada ALLAH SWT. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicara kita. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNYA. Sedang diri kita di uji, Allah sebenarnya ingin memelihara kita dari sejuta keburukan. Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah kita lapangkan dada kita dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hati kita. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran bersangka baiknya kita pada ALLAH SWT. Mulakanlah hari kita dengan senyuman dengan lidah kita sentiasa bertahmid memuji Allah SWT, dan hati kita sentiasa mengingati Allah SWT dan merasa bahagia sepanjang masa.

Jadilah orang yang bersyukur sewaktu menerima ujianNYA lebih-lebih lagi tika musibah menimpa. Itu tanda kasih sayang Allah SWT pada kita agar hati kita sentiasa bertaut rindu dengan namaNYA. Usah mengeluh pada RahmatNYA, sekalipun ujian musibah menjadi tamu hidup kita. Insafilah dan hayatilah simbolik kesusahan hidup yang menimpa kita. Allah Maha Mengetahui sedang kita sedikitpun tidak mengetahui. Serahkanlah kehidupan kita sepenuhnya pada Allah SWT setelah kita iringinya dengan usaha. Pasti suatu hari nanti, diri kita akan tersenyum syukur dan bahagia atas ketentuanNYA. Dan ketika itulah baru kita mengetahui, itulah yang terbaik untuk diri kita.

Isnin, 24 Januari 2011

-Under Construction-


Salam keamanan kepada semua sidang pembaca sekalian. Sekadar ingin memaklumkan bahawa blog ini akan terhenti seketika peng"updatan"nya dek kerana penstrukturan semula blog. Jadi mohon kepada sidang pembaca agar bersabar menanti. Moga Allah bersama kesabaran kalian.

Isnin, 13 Disember 2010

Kita Tentera Demi Fikrah dan Aqidah

­­Ya Allah… Lama sungguh saya tidak mengupdate laman sesawang ini. Maaf kepada sidang pembaca sekalian. Sungguh… Saya telah menyiapkan post-post yang saya bakal terbitkan dalam laman ini sudah agak lama, namun hanya berakhir dengan “save” berformat Microsoft word sahaja dek kerana tidak berkesempatan untuk online lantas menge “post”.. Sekali lagi saya memohon maaf. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mengingatkan saya agar istiqamah dalam meng “update” blog.

FOKUS SAYA KALI INI

Ibnul Jauzi berkata di pinggiran Tigris:

“langkah pertama adalah pengorbanan jiwa”

Pemuda dalam kisah Ashabul Ukhdud telah mengorbankan nyawa beliau untuk kepentingan sejagat. Hingga nama beliau dikenang-kenang.


Seorang Arab Badwi, hanya berasal dari pedalaman dan tidak mempunyai ketinggian dalam ilmu, namun beliau memeluk islam dengan segenap jiwa seraya berkata kepada Rasulullah SAW:

“aku akan berhijrah bersamamu”

Dalam Perang Khaibar, Nabi SAW memberikan harta ghanimah(rampasan perang) kepada beliau. Namun kemudiannya beliau membawa harta tersebut kepada Nabi SAW seraya berkata:

“bukan kerana itu(harta ghanimah) aku mengikutimu. Akan tetapi aku mengikutimu kerana aku ingin agar satu saat nanti aku terkena lemparan panah disini(sambil menunjukkan kearah lehernya) sehingga aku terbunuh dan masuk syurga kerananya.”

Ternyata kemudiannya, beliau syahid dipanah dibahagian leher. Nabi SAW menghormati jenazah beliau dengan mengkafani beliau dengan baju besi kepunyaan baginda SAW sambil berdoa:

“Ya Allah, ini adalah hambaMU, dia keluar untuk berhijrah dijalanMU dan terbunuh sebagai syahid. Dan aku bersaksi atas perkara itu”

Subhanallah. Keikhlasan Arab Badwi ini sungguh mempesona. Beliau meskipun layak menerima ghanimah perang, namun beliau menolaknya kerana mimpi indah beliau adalah meraih gelaran syuhada’. Beliau tidak bermimpi mahukan harta. Mimpi yang asyik mengganggu tidur beliau ialah mati sebagai seorang panglima. Jauh sekali dengan kita. Duit, isteri cantik, suami hensem, kereta besar dan duniawi indah menjadi idaman dan mimpi kita di setiap waktu. Jarang sekali untuk kita bermimpi menjadi seorang pejuang yang membantu kearah mendaulatkan islam di muka bumi. Hatta, angan-angan pun jauh sekali.

Erti IKHLAS dalam jihad yang diterangkan oleh Hassan Al-Banna ialah:

“setiap kata-kata, amalan dan jihad saudara muslim adalah demi Allah, untuk mencari keredhaanNYA dan ganjaran baik dariNYA, tanpa memandang kepada sebarang imbuhan, kemegahan, gelaran, atau populariti. Dengan itu, dia akan menjadi tentera kepada fikrah dan aqidah, bukannya demi kebendaan dan kepentingan peribadi.”

Antara lawan bagi ikhlas adalah riya’, yang juga dianggap sebagai syirik kecil. Saidina Ali r.a ada menggariskan beberapa indikator yang menunjukkan sifat riya’ dalam diri manusia:

1. Bersemangat di hadapan khalayak

2. Kendur apabila bersendirian

3. Bersungguh apabila dipuji

4. Lentur apabila dikeji

Nilai perjuangan yang tinggi adalah perjuangan semata-mata kerana Allah SWT. Atas dasar ini, Ikhwanul Muslimin melaungkan 5 gagasan utama perjuangan sepertimana yang biasa kita dengar dalam lagu Bingkai Kehidupan, Shoutul Harakah:

Allah Tuhan dan matlamat kami,

Rasul ikutan dan taulan kami,

Al Quran dustur dan perlembagaan kami,

Jihad jalan kami,

Mati dijalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Konklusi dan pengajaran yang boleh kita ambil adalah kita kembali kepada cerita Arab Badwi tadi. Iman yang dimiliki oleh Arab Badwi ini telah melangkaui sempadan keimanan yang biasa. Beliau sudah menutup kedua-dua mata beliau daripada melihat kesenangan dunia apatah lagi beliau sudah lali dengan kesusahan. Lalu dengan itu, beliau menjadikan seluruh matlamat perjuangan adalah demi menegakkan kalimah Allah hingga ia tertegak.

MOGA KITA TERGOLONG DALAM GOLONGAN TENTERA DEMI FIKRAH DAN AQIDAH DAN BUKANNYA TENTERA DEMI KEBENDAAN DAN KEPENTINGAN PERIBADI

Selasa, 16 November 2010

Mungkin Ini Kegagalan Kita...

Iman adalah senjata paling utama bagi seorang daie pembela agama dalam perjalanannya menggalas amanah dakwah ilallah di atas muka bumi ini. Untuk berdepan dengan segala cabaran hidup, persiapan keimanan yang teguh adalah perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap pendokong cita-cita Islam.

Setiap daie wajib meyakini bahawa ajal maut, manfaat dan mudharat, hidup mati, rezeki segalanya telah ditentukan serta berada di dalam kekuasaan Allah SWT. Sekiranya berhimpun sekalian manusia untuk memberi manfaat kepadanya atau mendatangkan mudharat kepadanya, nescaya tidak akan terjadi melainkan dengan izin Allah SWT jua.

Firman Allah SWT:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal"
Surah At Taubah:51

Dengan keyakinan inilah setiap pejuang agama bergerak di muka bumi ini menyebarkan agama Allah tanpa rasa gerun dan takut kepada sesiapapun dari kalangan makhluk. Hanya Allah tempat pergantungan dan kepada keredhaan Allah jua tempat tujuan. Kerana itu jualah kita melihat keberanian yang sangat luar biasa terbit dari peribadi setiap daie dalam menyampaikan agama Allah SWT. Meraka tidak pernah gentar kepada mana-mana pemerintah zalim dan tidak memperdulikan celaan orang yang mencela.

Ketahuilah bahawa, bilamana kita berada di dalam saf perjuangan menegakkan agama Allah, maka itu sebenarnya adalah kerana pilihan Allah SWT jua. Allah yang memberikan kekuatan untuk kita berjalan di atas jalan ini yang penuh dengan onak dan duri. Ramai yang tidak berupaya untuk berada di medan yang penuh pancaroba ini. Ramai yang memilih laluan selesa tanpa bahaya dan fitnah yang merintangi. Walau berlatar belakang pendidikan agama sekalipun, ia bukan jaminan untuk menjamin keberadaan di atas jalan dakwah. Bahkan kita melihat bahawa ramai graduan agama yang memilih untuk berada di medan yang lebih selesa dari bergabung diri dengan perjuangan di medan sukar ini. Ramai yang memilih untuk berada di belakang tabir dari berada di saf hadapan. Kata mereka "Ini pun masih dikira sumbangan kami kepada jamaah dan perjuangan, walau kami tidak terlibat secara langsung dengan jamaah, tapi kami masih bersama jamaah".


Inilah yang dikatakan masuk bakul angkat sendiri. Berjuang tanpa mengikut kehendak jamaah. Bahkan ada yang mewujudkan jamaah dalam jamaah. Semuanya kerana mengikut nafsu yang mahu bergerak dengan selesa dan selamat.

Bermuhasabahlah kita bersama, bahawa tiada jalan dakwah tanpa ujian dan bencana fitnah manusia. Jangan sampai kita tersalah atau tersilap dan lebih buruk lagi jika terpedaya. Tidak usah mencipta jalan sendiri, kerana jalan kebersamaan ini telah terbentang sekian lama dengan janji syurga dihujungnya. Syaratnya sabar, ikhlas dan istiqamah. Sedikit benar yang bersyukur dalam kalangan hamba Allah.

Amat menyedihkan dengan kenyataan sesetengah sahabat yang mengatakan bahawa belum tentu mereka yang berada di saf hadapan mempunyai niat yang ikhlas dalam perjuangan. Kadang-kadang, mereka yang di sebalik tabir masuk syurga dahulu sebelum mereka kerana niat yang ikhlas. Pening juga mahu memberikan jawapan kepada puak ini kerana meraka juga memahami hujjah syara’.

Apa yang kita tahu, bahawa keikhlasan itu ada pembuktiannya. Bila zaman makkah berlalu dengan tarbiyyah imaniyah yang hebat, menjelma pula zaman madinah yang penuh dengan ujian terhadap keimanan di dada. Mereka yang tidak keluar ke medan Tabuk telah dipulau oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Rasulullah tidak menerima sikap mereka yang memberikan alasan untuk tidak keluar ke medan jihad.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”
Surah At Taubah:45

Kefahaman dari ayat di atas ialah, iman ‘belakang tabir’ tidak boleh diterima selama-lamanya dan tiba satu ketika, ia wajib berakhir dengan keluar berjihad di saf hadapan. Zaman berteori ada penamatnya. Tidak boleh selamanya berteori. Kita wajib mempraktikkan segala ilmu yang ada untuk perjuangan di saf hadapan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri sentiasa berada di saf hadapan perjuangan. Benar, mereka yang berjuang di medan selesa dan selamat itu tetap beriman dengan Rasulullah, tetapi pembuktiannya tiada. Jika benar mencintai Rasulullah, relakanlah hati dan jasad untuk dilukai demi perjuangan, yang juga pernah menghinggap pada diri Baginda.

KONKLUSI MUDAH DARI SAYA, SEBENARNYA RAMAI DIANTARA KITA MASIH BELUM CUKUP MENGHAYATI KONSEP BERIMAN PADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT. ITULAH JAWAPAN SEBENAR DAN JUGA MERUPAKAN IBRAH DARI AYAT DIATAS.

SALAM 'EIDUL ADHA
BUAT SIDANG PEMBACA I-MUJADDID.BLOGSPOT.COM YANG DIRAHMATI ALLAH SWT SEKALIAN. JADIKAN EIDUL ADHA KALI INI SEBAGAI PEMANGKIN SEMANGAT TADHIYAH KITA UNTUK PERJUANGAN

ikhlas dan sejuta kemaafan dari,
Syahmi Syazeril b Azmi

Rabu, 3 November 2010

N.45: Dun Galas... Allah Akan Berikan Yang Terbaik

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ ۗ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

"Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram Dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan Yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"

ALLAH MAHA PERKASA DAN MAHA BIJAK

Pernyataan bahawa Allah Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala penyataan bahawa Allah Maha Bijak menegaskan pula bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu diberikan.


Kemenangan dengan istilah AL-FALAH melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat.

Manakala kemenangan dengan istilah AL-NASR/AL-FATH pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuh-NYA.

Kemenangan AL-FAWZ pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Inilah kemenangan hakiki, yang menjadi buruan setiap mukmin mujahid. (Ustaz Yusof Embong)

"‘GALAS’ ADALAH UNTUK DI‘galas’ DAN AKAN DI‘galas’ OLEH ORANG YANG BERHAK UNTUK MENG‘galas’"

Berehat Di Syurga atau Berehat Di Dunia... Mana Satu Menjadi Pilihan?

Hakikatnya, memimpin diri sendiri adalah jauh lebih payah dari memimpin orang lain. Saya masih teringat kata guru saya, ramai pahlawan dan panglima perang yang hebat di medan perang, tetapi kalah dengan diri sendiri. Jalaluddin ar Rumi pernah berkata:

“Aku melihat ramai yang pandai berenang tetapi lemas di laut, akan tetapi aku belum pernah melihat sampan yang bernama iman dan cinta itu karam di lautan”

Saiyyiduna ‘Umar al Khattab pernah memberitahu bahawa seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam. “tafaqqahu qabla an tasawwadu”, begitulah lebih kurang bunyinya yang bererti “faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin”. Sangat dalam pengertian ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Kerana itu jugalah Asy Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal, jihad, pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang memimpin amal dan perjuangan itu jahil dan berpaksikan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.

Namun ini bukanlah bermakna, nak kena lengkapkan diri dahulu baru seru orang kearah kebaikan dan cegah orang dari kemungkaran. Persepsi ini, saya kira amat salah sekali. Hal ini kerana, menyeru manusia kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, juga merupakan salah satu manhaj mengfaqihkan diri. Untuk diri seorang dai’e, satu sifat penting yang perlu ada adalah berani. Untuk menjadi seorang yang hebat dan memberi impak kepada masyarakat, sifat berani itu sangat dituntut.


Kita merindukan du’at yang berjiwa Khalid Al Walid yang sanggup mati berjuang dijalan Allah SWT. Kita juga merindukan du’at yang berjiwa Umar Al Khattab yang gagah perkasa dan berani menyatakan hak disamping mengkuburkan kebatilan. Dan kita juga amat sekali merindukan jiwa du’at seperti Rasulullah SAW yang berjaya melahirkan generasi du’at yang hebat.

Saya tertarik dengan kekentalan semangat Gabenor Syarifuddin Barghisy. Antara kata-kata beliau yang masyhur:

“siapa yang takut terbunuh atau tertawan, maka lebih baik baginya beristirahat di rumah dengan anak isterinya”

Kata-kata yang berbekalkan keberaniaan terpandu ini dilafazkan oleh beliau ketika dalam mesyuarat yang direncanakan oleh Asaduddin Syirkuh. Mesyuarat kali itu bertujuan untuk mencari resolusi bagi mengalahkan tentera lawan yang teramat ramai. Dan ketika dalam kekalutan mesyuarat itulah, Gabenor Syarifuddin Barghisy melaungkan kata-kata ini.

Jika kita lihat, bukan Gabenor Syarifuddin sahaja yang memperingatkan kita agar jangan kita duduk tanpa berfikir dan beramal untuk Islam. Banyak lagi tokoh lain yang turut melaungkan saranan yang sama. Antaranya, Tuan Guru Nik Aziz. Kata beliau:

“duk sajo tamboh lalai pulok, dosa”(bahasa Kelantan)

Kata Arwah Ustaz Fadzil Noor:

“jangan biarkan sehari dalam hidup anda berlalu tanpa memikirkan tentang Islam”

Mengapa sebegini ramai tokoh-tokoh hebat memperingatkan kita tentang perkara ini. Tujuannya satu sahaja sahabat-sahabat. Agar kita tidak menjadi ASHABUL ‘UQUL AL MUSTARIHAH, yang membawa makna ‘PEMILIK AKAL YANG BERISTIRAHAT’.

Oleh itu sahabat-sahabat, mari sama-sama kita renungkan sejenak. Jika kita lihat, Imam Al Nawawi sendiri tidak membiarkan dirinya beristirahat dari menuntut ilmu. Setengah riwayat menyebut, kesibukan beliau menuntut ilmu sehingga membuatkan beliau terlupa untuk berkahwin. Bayangkan sahabat-sahabat sekalian. Memang jauh bezanya dengan kita. Kita belajar pun tak habis lagi, ibadah pun terumbang-ambing lagi.. dah sibuk-sibuk fikir pasal kahwin. “tapi tidak bermakna kahwin awal itu salah”. (^^,).. Perkara ini memerlukan kepada perbahasan yang panjang. Mungkin bukan diruang ini untuk saya menerangkan.

Konklusi yang saya dapat nyatakan disini adalah, yang pertama, orang Islam tidak boleh membiarkan majoriti masa mereka kosong tanpa diisi dengan perkara berfaedah. Sekurang-kurangnya, berfikir dan merenung tentang Islam. Keduanya, orang Islam mesti menjadi berani. Mereka mesti berani mencabar risiko dan menongkah arus.

“SESUNGGUHNYA PEJUANG ISLAM ITU TIDAK MAHU BEREHAT DI DUNIA KERANA MEREKA INGIN BEREHAT DI SYURGA”

Rabu, 20 Oktober 2010

Sungguh Agung Cinta"mu" Padaku

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNYA. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah:

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNYA. Maka taati dan bertakwalah kepadaNYA. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku ,bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Saidina Abu Bakar As SiddiQ menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Saidina Umar al-Khattab dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Saidina Usman bin Affan menghela nafas panjang dan Saidina Ali b Abi Talib menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua" keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Saidina Ali dan bersama dengan seorang lagi sahabat dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu,s eluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam" kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah."Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu,Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka ,para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu" kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku:

"Kuharamkan syurga bagi siapa saja,kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya" kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat,saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah berteriak, kerana sakit yang tidak tertahan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uusiikum bis salati, wa maa malakat aimanukum" - "peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Saidatina Fatimah Az-Zahra' menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi wabaarik wa sallim. Betapa agungnya cinta Rasulullah kepada kita. Tapi kita??? ......

Ayuh kita renungkan dan hayati bersama!!!