Isnin, 25 Julai 2011

Anda Mampu Mengubahnya...

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

"sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" Surah Ar-Ra’d - 11

PERUBAHAN
. Ayat diatas sangat bersangkut-paut dengan satu konsep yang dinamakan perubahan. Manusia sentiasa menginginkan perubahan daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Itu fitrah. Dari yang miskin, menginginkan untuk menjadi kaya. Dari yang jahil, menginginkan untuk menjadi 'alim dan bermacam-macam lagi bentuk perubahan. Dalam pelayaran merealisasikan perubahan tersebut, kadangnya kita terlalu mengharapkan perubahan itu, berlaku dengan sendirinya berbanding berusaha keras merealisasikannya. Jika itu benar, maka ayat ini seharusnya dianalisis untuk menyedarkan kita bahawa perubahan yang sebenar memerlukan tindakan daripada kita sebelum Allah mengubahnya dengan kuasaNYA.

Firman Allah yang lain:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

"wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kedudukanmu" Surah Muhammad - 7

Jika kita meneliti secara mendalam ayat ini, kita akan mendapati bahawa sebelum datangnya pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus bekerja keras menolong agama Allah. Walaupun sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kita untuk memenangkan agamaNYA, namun usaha kita menjadi salah satu asbab turunnya pertolongan Allah.

Jika dikaitkan dengan ayat ke 11 Surah Ar-Ra’d tadi, kita seharusnya memahami bahawa untuk mencapai sesuatu perubahan yang baik dan disertai dengan pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus berusaha ke arahnya dan tidak hanya menunggu bulan jatuh ke riba.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Frasa-frasa melayu ini cukup cantik dan cukup baik dalam menggambarkan kesungguhan kita untuk mencapai sesuatu secara serius. Usah kita hanya berkata-kata tentang perubahan dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa terjadi tanpa diduga tanpa sebarang usaha yang kita lakukan.


Menjadi satu obligasi buat kita untuk bekerja keras jika inginkan satu perubahan. Perubahan yang bagaimana? Ya! Perubahan ke arah yang lebih baik. Dari sekularisme kepada Islam total. Dari kerajaan yang zalim, kepada kerajaan yang BERSIH dan ADIL. Itulah islah namanya. Selain itu, tidak terlepas juga dalam meningkatkan prestasi akademik, menggemilangkan generasi rabbani, meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan, menambah tsaqafah dan macam-macam lagi.

Ingatlah sebuah hadith Nabi SAW yang mengatakan tentang seseorang yang mengatakan "umat hari ini telah rosak", padahal orang yang mengatakannya itulah yang paling rosak. Maka janganlah kita menjadi salah seorang daripadanya yang hanya duduk santai dan bercerita tentang kerosakan dan kebobrokan, sedangkan tiada usaha langsung untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

Tidak ketinggalan juga Bulan Ramadhan yang bakal kita tempuhi tidak lama lagi. Bulan yang penuh dengan kemuliaan. Bulan yang dianjurkan Allah untuk umat Islam menggarab peluang menjalankan tugas mereka sebagai hamba Allah. Jika kita menjalankan tugas sebagai seorang hamba yang taat di bulan yang barakah ini, nescaya kita akan "grad" dari madrasah Ramadhan ini dengan transformasi dan perubahan yang hasanah insyaAllah. Tidak terlepas juga dibulan yang lain. Menjadi hamba Allah yang taat adalah anjuran buat kita di setiap detik.

Ya! Mengapa saya highlightkan perkataan hamba Allah disitu? Kerana dengan kita memahami apa erti sebenar perhambaan dan pengabdian, nescaya tidak akan ada saat mahupun detik yang berlalu, melainkan terlazimnya zikir dan ibadah kepadaNYA. Maka dengan mudahlah datangnya pertolongan Allah dalam setiap perubahan baik yang kita hajatkan.

PRU-13 juga kian menghampiri. Namun apakah perubahan kita pada PRU kali ini? Adakah kita masih mahu ditakuk yang lama? Saya yakin anda juga mengimpikan legasi kepimpinan yang BERSIH dan ADIL.

jadi, berubahlah demi masa depan negara!!!

Khamis, 23 Jun 2011

Menunaikan Obligasi Juga Perlu Strategi

Diriwayatkan daripada Saiyyiduna Abdullah ibn Amr r.a, katanya, seseorang telah bertanya Rasulullah SAW:

"Apakah sifat yang paling baik dalam Islam?" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Memberikan makanan serta menyebarkan salam samada kepada orang yang engkau kenali atau tidak kenal"
-riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim-

Hadis di atas saya petik dari sebuah kitab bertajuk "100 Mutiara Hadis" karangan Mohd Sofwan Amrullah terbitan Pustaka Ilmi. Bukanlah saya orang yang faqih dalam membedah dan mentafsir hadis tapi tujuan saya menulis dan cuba menghuraikan serba sedikit dari ilmu kurniaan Allah SWT kepada saya yang sangat sedikit ilmu ini, adalah kerana untuk menjadikan ianya sebagai tazkirah buat saya terlebih dahulu. Di samping rasa ingin mengasah minda dan bakat menulis dengan harapan tulisan saya ini akan ditimbang dengan darah para syuhadak di akhirat kelak.

Rasulullah SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa Islam itu akan luntur dari jiwa umatnya seperti pakaian yang luntur dan lusuh warnanya akibat lama dipakai. Menjadi kewajipan sekalian umat Islam menjalankan tugas memelihara agama dan menjaganya dengan dakwah dan apa jua cara yang dibenarkan syariat. Tidak kiralah kepada Muslim dan non Muslim. Usaha dakwah perlu giat dan mengecapi momentum padu bersifat parallel. Bukan kepada Muslim sahaja. Tidak "universal"lah Islam jika bertumpu pada setengah kaum dan agama sahaja. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memperkuatkan dan memperteguhkan para muslim dengan pegangan aqidah dan amalan Islam yang sohih.

Seluruh pendokong kerja dakwah dalam kalangan masyarakat pada hari ini harus lengkap melengkapi, bahu membahu dan sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Bila kita menyempurnakan lompang yang berlaku dalam jamaah, maka bersyukurlah Allah memilih kita untuk kemuliaan itu. Bukannya mengambil satu pendekatan memperlekehkan atau menghentam individu atau "kumpulan" yang tidak melaksanakan apa yang kita buat.

MEMBERIKAN MAKANAN


Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menerangkan sifat Mukmin yang baik. Kader dakwah dan pendokong Islam harus memiliki sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Imam Hassan Al Banna telah menggariskan satu panduan penting kepada para kader dakwah dan setiap individu Muslim agar melaksanakan tugas membentuk peribadi dan syakhsiah Muslim sebagai anak tangga pertama untuk mencapai agenda tertubuhnya kembali khilafah dan daulah payungan wahyu Ilahi.

Antara sifat mukmin sejati yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas ialah memberi makan samada kepada fakir miskin, musafir, tetamu, sahabat, keluarga, kerabat, muslim mahupun kafir.

Inilah bukti kejernihan jiwa seorang mukmin itu serta keperihatinannya terhadap permasalahan dan kesusahan yang menimpa manusia yang berada di sekelilingnya. Ia tidak mementingkan perutnya sahaja, bahkan senantiasa memikirkan hal mereka yang tidak bernasib baik sepertinya.

Menjadi kesukaan Rasulullah SAW untuk makan beramai-ramai di dalam setalam hidangan makanan. Berkongsi makanan adalah sunnah Baginda SAW yang sangat istimewa dan agung. Kitab seumpama "Syamail Muhammadiyyah" karangan Al Imam Al ‘Allamah At Timiziy rahimahullah telah menggambarkan dengan begitu baik sekali akan sifat dan kesukaan Rasulullah yang kita sedang perkatakan ini.

Abu Hurairah r.a telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW senantiasa melayani ahlus suffah (sahabat yang miskin yang tinggal di masjid Rasulullah SAW) dengan menikmati makan malam bersama mereka dan mendoakan mereka.

MENYEBARKAN SALAM


Kalimah salam adalah kalimah persaudaraan dan pertalian aqidah yang tersimpul dengan sekejap. Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW telah menyuruh kita mengucapkan salam kepada orang yang kita kenal atau kita tidak kenal. Dengan sendirinya, hasil dari perbuatan mulia ini, terjalinkan ikatan perkenalan dan seterusnya menumbuhkan bibit-bibit kasih sayang yang berkekalan sehingga ke akhirat atas nama Islam dan syahadatul haq.

Di dalam doa selepas solat tarawih yang kita aminkan Ramadhan yang lalu dan bakal menjelang tak lama lagi, ada antara doa yang dibacakan imam:

"Jadikan kami sekalian sama-sama berjalan di bawah panji-panji Nabi kami Muhammad SAW.” Bermula dengan ikatan ukhuwwah fillah dan berakhir dengan bersama-sama seiring Rasulullah SAW di akhirat."

Bermanis wajah juga disyaratkan untuk kita lakukan sesama mukmin dan tidak terkecuali juga untuk yang bukan Muslim, zimmiy khususnya. Rasulullah telah menyamakan bermanis muka bila bertemu sesama Mukmin itu dengan mendapat pahala seperti bersedekah harta pada jalan Allah SWT. Manakala bermanis wajah kepada non muslim itu adalah antara jalan untuk mendekati mereka dan juga secara automatik memberikan wajah baik kepada imej Islam yang sememangnya "ultra manis".

KESIMPULAN DARI SAYA

MasyaAllah, hebatnya madrasah tarbiyah nabi dalam mendidik sahabat-sahabat membina keperibadian Muslim yang outstanding. Tidak hairanlah Islam dapat membarah keseluruh pelusuk dua pertiga dunia ketika itu. Kekuatan ruh, peribadi yang sohih dan dakwah efektif menjadi elemen terpenting dalam strategi menembusi pasaran hati yang haus dan dahagakan Nur Islam.

Begitu juga hadis nabi yang saya nyatakan diatas tadi. Sungguh futuristik dan praktikal sabda nabi. Kedalaman maknanya menyusup masuk kedalam sanubari sahabat-sahabat sehingga menatijahkan terbentuknya peribadi mapan dan hadirnya ibrah dan iktibar dalam merangka strategi efektif dalam menunaikan obligasi berdakwah. Sungguh benar, "kita" hari ini kena kembali pada dua khazanah yang sangat bernilai di muka bumi Allah ini. Warisan nabi ini, wajar dijadikan sumber perlembagaan diri, masyarakat dan negara selama-lamanya. Alangkah indahnya hidup berakhlakkan Quran dihiasi Sunnah Nabi.

Selasa, 7 Jun 2011

Cinta Di Waktu Dhuha

Doa Setelah Solat Dhuha

“Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu. Ya Allah, jika rezeki masih di langit, turunkanlah, jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh"

Alunan Doa Setelah Solat Sunat Dhuha oleh UNIC


Jadi, jom sama-sama kita istiqamah solat sunat dhuha tiap-tiap hari. Tak lama. 5-7 minit sahaja. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan ber"facebook" berjam-jam. Dan tak susah pun. Tak cayo, meh den nak koba ha:

  1. Ambil wudhuk dipunca air mutlak berdekatan
  2. Carilah tempat yang tenang untuk solat
  3. Niat, "sahaja aku solat sunat dhuha, 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
  4. Rakaat pertama, disarankan membaca Surah Al Fatihah diikuti Surah As Shams
  5. Rakaat kedua pula, disarankan membaca Surah Al Fatihah diikuti Surah Ad Dhuha
  6. Selesai memberi salam, bertasbihlah pada Allah sebanyak yang mungkin
  7. Berdoa seperti doa yang tertera di atas
Amacam, kan den dah koba sonang. Jadi, apo tunggu laie, jom kita istiqamah. Terutamo pado yang tongah cuti sampai bulan 9 ni. Takdo alasan kato takdo maso. Kalu ado yang koba takdo maso tu, den tahu apo sobab eh. Tak lain tak bukan, membongkang sampai tongahari la tu. Udah-udah la tu jang, moh kito buek dan istiqamah bondo baik ni pulak ha. Moh kito ber"cinta" dengan Maha Pengasih pulak di pagi-pagi hari kito. Pasti "Indah Cinta Di Waktu Dhuha". Ronung-ronungkan dan selamek beramal kato orang nogori sembilan(^,-). ~allahummar zuqnal istiqamah

Khamis, 2 Jun 2011

Amalan Malam Awal Bulan Rejab - Al Fadhilatusy Sheikh Ustaz Muhadir b Haji Joll


Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan

p/s: klik "sini" untuk Risalah "Amalan Malam Awal Bulan Rejab"

Rabu, 18 Mei 2011

Jom Solat Dulu

klik pada gambar untuk imej lebih jelas

"meeting itu memang untuk merangka halatuju, tapi solat itu penentu"

Jumaat, 6 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-2

Kesan tarbiyah bagi membentuk aqidah yang mantap dan “masak” di dalam jiwa pendokong agama Allah SWT telah menjadikan mereka senantiasa meletakkan kepentingan Islam lebih dari segalanya. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan peribadi mereka sehingga akhirnya nyawa dan darah, mereka persembahkan kepada Allah SWT.

“AbdurRahman bin Auf pernah menginfaqkan separuh harta miliknya pada zaman Rasulullah SAW, lalu dia menambah lagi dengan 40,000 dinar, lalu ditambah lagi dengan menyerahkan 500 ekor kuda dan 500 ekor unta yang majoriti hartanya ini
diperolehi daripada hasil perdagangan”

Apa yang dapat dilihat dari sikap AbdurRahman tadi adalah natijah dari madrasah tarbiyah nabi dan keyakinan beliau kepada janji Allah SWT. Kerana itulah mereka senantiasa mengutamakan kepentingan Islam walau dengan menginfaqkan separuh dari harta mereka demi menegakkan agama Allah SWT. Kesedaran bahawa dunia adalah barang pinjaman dan amanah dari Allah adalah menjadi sebab utama mereka tidak terpengaruh dengan dunia lalu mengutamakan Islam. Kita juga sudah maklum dan mengetahui bahawa, antara penghalang utama bagi para dai’e adalah nafsu dan cinta kebendaan. Jika kedua musuh ini kita tidak dapat nak atasi dan membiarkan ianya menjadi semakin kuat, maka tersangat mudahlah bagi para dai’e akan gugur di pertengahan jalan dakwah.

Meninggalkan kebendaan bukan bermakna kita tidak perlu berharta. Bahkan Allah sangat menuntut kita agar berharta. Tambahan, dengan berharta, kita lebih mudah untuk menyebarluaskan dakwah. Jalan menuju pahala juga bertambah dengan kita berharta. Mana tidaknya. Dengan berharta, kita dapat bersedekah, kita dapat melipat gandakan syukur kita pada Allah dan bermacam-macam lagi. Sungguh, saya amat terkesan dengan pesanan lecturer Religion In Malaysia yang mengajar saya sem ini. Bagi saya, beliau mempunyai jiwa murabbiah. Beliau bukan sekadar memberi ilmu tetapi bertindak juga sebagai guider menjadi seorang muslim yang praktikal. Pesan beliau, nak jadi seorang pelajar yang cemerlang, banyakkan bersedekah. “Sedekah”lah dengan penuh jiwa dan raga. Percayalah, “pulangan”nya pasti tidak akan terkira dan terjangka dek fikiran kita. Jazakillah Miss Nur ‘Adila diatas pesanan yang sungguh mendalam dan membangun hamasah.

Baik, kembali pada tajuk. Allah SWT telah menegaskan bahawa balasan bagi mereka yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi Islam adalah SYURGA. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚفَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” Surah At Taubah - 111

Inilah yang dikejar dan ingin direbut oleh mukmin yang yakin dengan janji Allah sehingga mereka tegap bersabar ditinggal berseorangan, dipulau, dipenjara, dipisah dari anak isteri dan pelbagai penderitaan lagi. Janji Allah inilah yang menjadi penawar kepada susah payah mereka dalam menelusuri jalan dakwah.

BERILTIZAM DENGAN KERJA-KERJA ISLAM

Kata Ustaz Fathi Yakan:
“Bila saya mengaku sebagai Muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jamaah , bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara yang benar-benar Islam”
-Maza Ya’ni Intimail Islam.

Inilah resam hidup seorang pejuang. Kemana pun dia pergi, walau dimanapun dia berada, Islam akan dijunjung dan dibangun pesatkan. Dia akan beristiqamah dengan jamaah kaum Muslimin dan bermujahadah menjauhi konsep nafsih-nafsih dan bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Seluruh masa dan tenaga dicurahkannya untuk menjayakan cita-cita Islam. Terutamanya dalam memastikan tertegak dan terlaksananya sebuah negara yang “benar-benar” Islam. Dia akan memastikan dirinya tidak akan ada masa terluang tanpa kerja Islam. Dia tidak akan sesekali menjadikan kerja-kerja Islam ini hanyalah sekadar kerja bertaraf, “jika ada masa”. Setiap nafasnya, degupan jantungnya, aliran darahnya dan semuanya hanyalah kerana Allah dan Islam tercinta.

Dan ketahuilah bahawa kesungguhan ini hanya ada pada pemilik hati yang mendapat hidayah dari Allah SWT dan dipilih oleh Allah SWT. Sungguh benar, hidayah itu milik Allah SWT. Kita belum tahu lagi kesudahan hidup kita bagaimana. Su’ul Khatimah ataupun Husnul Khatimah. Amalan kitalah yang akan menentukan khatimah kita.

Kita bukan yang memulakan perjuangan dan bukan kita jugalah yang paling hebat diuji dalam perjuangan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan dengan celaan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan ujian. Kekuatan aqidah kitalah yang menjadi pemangkin kepada jatuh bangkitnya kita.

Akhir kalam, saya yakin, jika Aqidah Kukuh, maka insyaAllah, Sukseslah Harakah. Sirah nabi telah banyak membuktikan kegemilangan Islam bermula dari keteguhan dan keutuhan aqidah. Saya juga akan tetap yakin bahawa tanpa kombinasi kesufian dalam harakah, kita tidak akan mampu mencapai ketamadunan yang ulung dan berkat. Wallaاu a’lam.

"if we study the past, it is to understand the present and
to prepare for the future"

Rabu, 4 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-1

Rasulullah SAW memulakan kerja dakwah di Makkah dengan membina kekuatan aqidah dalam jiwa para sahabat. Kekuatan para sahabat jelas terpancar dari kekuatan aqidah yang yang dipupuk dan dibajai oleh Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah. Di sinilah bermulanya pembinaan jatidiri generasi terbaik para sahabat. Benarlah sabda nabi “khairukum qarni, tsumma yali, tsumma yali, tsumma yali..

Rasulullah SAW tidak bercakap mengenai pembangunan dan tamadun sewaktu memulakan dakwah Islamiyah di Makkah. Baginda memulakannya dengan iman dan aqidah. Para sahabat diperkenalkan kepada Allah yang menciptakan mereka dan hakikat diri mereka yang diciptakan oleh Allah SWT lantas menyubur rasa bertuhan dan menyemai sifat kehambaan di dalam diri para sahabat. Kerana itulah, para sahabat bertukar sepenuhnya dari masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat cerdik dan intelektual kearah ma’rifatullah. Maka tamadun dan peradaban datang mengikut dari belakang. Mereka pencetus tamadun yang terulung di dunia. Tiada tandingan, dan tidak tergambar kegemilangan mereka hatta dinukilkan dengan “tinta emas”.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik" Surah Ali Imran : 110


AQIDAH TUNJANG KONTINUITI DAKWAH

Peranan terpenting aqidah ialah ketika berhadapan dengan ujian dan segala bentuk cabaran. Sedangkan ujian serta cabaran pula adalah sunnah perjuangan dalam kehidupan. Saya teringat kata-kata naqib usrah saya dahulu:

“jalan perjuangan takkan sama sekali dihampari permaidani merah, bahkan penuh sarat dengan onak duri dan cabaran”

Allah SWT pasti akan menguji hambaNYA yang beriman dengan ujian yang kadang-kalanya terasa begitu berat. Semuanya itu bertujuan bagi menguji kejujuran dan keikhlasan kita dalam berjuang. Dan yang paling penting ialah untuk menghapuskan dosa-dosa yang menjadi dinding di antara hamba dengan Allah SWT.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” Surah Al Baqarah : 214

Dalam masyarakat manusia, para anbiya’ adalah mereka yang paling berat ujiannya dari Allah SWT kemudian diikuti dengan para salafussoleh dan yang sedarjat dengan mereka. Keikhlasan dan kejujuran mereka pasti akan diuji oleh Allah SWT. Oleh itu, menjadi tanggungjawab generasi terbaik bagi menggalas perjuangan yang suci ini. Allah SWT telah menyenaraikan 5 ciri generasi terbaik sepertimana dalam firmanNYA:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (1)Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, yang (2)bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang (3)bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang (4)berjihad dijalan Allah, dan yang (5)tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada siapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (pemberianNYA), lagi Maha Mengetahui” Surah Al Maidah : 54

Kelima-lima sifat di atas adalah sinar yang terbit dari aqidah yang teguh dan jitu, lebih-lebih lagi sifat yang terakhir. Para pejuang agama dan benteng Islam sepanjang zaman pasti akan berhadapan dengan celaan manusia munafik dan kafir yang membenci mereka dan tugas-tugas mereka. Golongan musuh dalam selimut ini akan sentiasa menggunakan mulut-mulut mereka untuk memadamkan cahaya agama Allah SWT. Akan tetapi yakinlah, Allah SWT pasti akan menyempurnakan cahaya agamaNYA walau dibenci oleh golongan munafiq dan kafir.

Dengan bekalan aqidah lah kita menjadi yakin dan percaya pada janji Allah SWT. Dan dengan aqidah juga, bahtera dakwah akan dapat dikemudi hingga ke matlamatnya.

Bersambung...