Daku muhasabah seketika. Meniti kehidupan sebagai seorang hamba kepada Khaliq yang bukanlah satu perjalanan yang mudah. Penuh ranjau, onak dan duri serta musuh yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan dan merosakkan keikhlasan ubudiyah kepada Allah SWT. Mungkin kerana susah dan payah itulah yang menjadikan jalan Allah yang ditempuh para salikin, jalan yang sangat mulia dan hebat di sisi Allah SWT. Ganjarannya bukan main hebat lagi. Memang ganjaran susah payah dan jerit perih kehidupan itu selalunya manis dan puas.
Allah SWT menjanjikan syurga bagi hamba yang bertaqwa, sedangkan taqwa adalah sepayah-payah jalan yang perlu dilalui sang hamba. Bukan sedikit bekalan dan persediaan yang perlu dibuat. Bukannya senang usaha yang perlu dijalankan untuk meraih title "muttaqin". Namun susah payah itu, di akhirnya adalah syurga.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, aitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)” (Surah An Naba’:31-36)
SYAITAN
Firman Allah SWT:
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu”. (Surah Yaasiin:60)
Inilah perintah Allah kepada semua hambaNYA agar menjauhi jejak langkah syaitan, berhati-hati dengan tipudayanya serta menjadikan ia musuh yang ketat lagi hakiki. Dalam sibuk berjuang dan berjihad memerangi sekalian musuh Islam, jangan sampai dibiarkan syaitan menguasai diri. Lalu yang betul hanyalah kita Pendapat pimpinan, orang lain, salah belaka. Hanya pandangan kita yang sesuai dengan kehendak zaman. Sedangkan pendapat kita adalah pendapat yang ‘berseorangan’, sedangkan pandangan pimpinan adalah pandangan ‘ramai’ dan bersifat sunnah kerana diputus secara jamaah.
Minhaj al Abidin telah merakamkan luahan mutiara ilmu Hujjatul Islam Al Ghazali rahimahullah bahawa:
“Hendaklah kamu memerangi syaitan kerana dua perkara. Pertama, kerana ia musuh yang nyata lagi jelas dan yang kedua kerana ia diciptakan untuk bermusuhan denganmu”
Kata Yahya bin Mu’az al Razi pula:
“Syaitan mempunyai masa lapang sedangkan kamu sentiasa sibuk. Dia melihat kamu sedangkan kamu tidak melihat dia. Kamu lupa kepadanya sedangkan dia tidak lupa kepadamu. Dan nafsumu membantu syaitan. Justeru semestinya kamu memerangi syaitan, jika tidak nescaya kamu binasa”
Jika diperhatikan kepada pesanan dan peringatan para ulama’ amilin di atas, jelas lagi terang bahawa seolah-olah tiada jalan untuk melepaskan diri dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha tanpa jemu menyesatkan anak Adam. Kerana itulah kita mendapati bahawa begitu banyak sekali manusia yang berjaya dirosakkan syaitan dan hanya sedikit yang berjaya lolos dari godaannya dengan rahmat Allah.
Al ‘Allamah Syeikh Dr Said Ramadhan Al Buthi hafizahullah telah menjelaskan di dalam syarah Hikam Ibnu ‘Athaillahnya bahawa persoalan yang sering timbul di dalam dada setiap mukmin ialah kenapa Allah SWT mengizinkan syaitan merosakkan dan menyesatkan sedang dalam masa yang sama kita diperintahkan untuk taat dan patuh. Kenapa kita senantiasa dihambat dosa dan keingkaran kepada ‘titah’ Allah SWT, sedangkan kita diwajibkan taat kepada Allah. Maka dijawab oleh beliau bahawa, begitulah Allah mendidik hambaNYA agar kembali kepada Allah SWT jika ingin selamat dari syaitan.
Hanya Allah yang dapat memberikan kita kekuatan untuk terus taat dan beribadah dan hanya Allah juga yang dapat menyelamatkan diri kita dari hasutan syaitan. Hanya Allah juga yang dapat menunjukkan jalan bagaimana untuk selamat dari kesesatan ciptaan dan permainan syaitan.
Firman Allah:
"Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?” (Surah Yaasiin:61-62)
Akhir kalam,
"JADIKAN 2009 SEBAGAI MUHASABAH BUAT KITA DAN AYUNKAN LEBIH LAJU LANGKAH PERJUANGAN DI 2010"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan