Isnin, 1 Februari 2010

Qudwah Para Mujahid-Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq

bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahum ila yaumiddin, wa ba’du :

Rasa agak lama tidak update blog sesawang ini. Alhamdulillah, detik ini berkesempatan juga nak update.

Sahabat-sahabiah sekalian, perjuangan Islam sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada meneladani Sirah (catatan kehidupan) Baginda Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT memberikan sebaik-baik balasan kepada sekalian para ulama’ mukhlisin yang telah merintis jalan dan membuat pengorbanan yang sangat tinggi dalam menghimpun, menyalin, mengkaji, menulis dan seterusnya menyebarkan ilmu berkaitan Sirah Rasulullah SAW ini.

Kita mendapati bahawa apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi kenyataan melalui sirah Baginda SAW. Antaranya ialah, bahawa tidak akan diutuskan seorang Rasul melainkan pasti akan ada diantara manusia ini yang akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi penolong dan pembantu mereka.

Generasi para sahabah adalah sebuah generasi terpilih yang telah diangkat kemuliaan mereka itu dengan menjadi penolong dan pembantu Rasulullah SAW dalam aspek jihad dan perjuangan mereka. Mereka telah meredah dan merintis jalan dakwah Islam yang penuh dengan cabaran dan onak duri demi menjulang kemuliaan Islam serta memenangkan Islam di atas muka bumi. Mereka telah membuktikan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul dengan menabur sejuta pengorbanan yang tiada nilai. Merekalah generasi yang patah takkan tumbuh, hilang takkan berganti.



Antara contoh keteladanan yang sangat agung dalam perjuangan dan jihad pada jalan Allah adalah Saiyyiduna Abu Bakar As Siddiq Radhiyallahu ‘anhu. Dialah qudwah para mujahid sepanjang zaman atas pembuktian kecintaan yang mendalam terhadap jalan dakwah kepada Allah dan Rasul SAW.

MEMBELA DAN MENOLONG RASULULLAH SAW


Dari ‘Urwah bin Zubair berkata: “Aku pernah berkata kepada Abdullah ibn ‘Amr ibn Ash: Beritahukan kepadaku akan gangguan terbesar orang-orang musyrik terhadap Rasulullah SAW?”. Dia menjawab; “Ketika Rasulullah SAW sedang solat di Hijir Ismail, tiba-tiba datang Uqbah bin Abi Mu’ith memegang tengkuk Rasulullah SAW kemudian melilitkan bajunya ke leher Baginda dan menariknya dengan kuat sehingga leher beliau tercekik. Pada waktu itu datanglah Abu Bakar memegang batang tangkuk Uqbah dan menolaknya sekuat hati agar jauh dari Rasulullah SAW seraya berkata dengan ucapan yang telah dirakam oleh Allah SWT di dalam keagungan wahyu Al QuranNYA:

"Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: Tuhanku ialah Allah? Sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu?"

Surah Al-Ghafir-28

Ada sebuah riwayat dari Saiyyiduna ‘Ali ibn Abi Thalib bahawa pernah Ali menyebut: “ Tunjukkan kepadaku siapakah manusia yang paling berani? Mereka menjawab: "Anda wahai Amirul Mukminin". Ali berkata: "Abu Bakar". Ketika perang Badar, kami membuat bangunan pelindung untuk Rasulullah SAW. Kami berkata: "Siapa yang akan bersama Rasulullah SAW menjaga Baginda supaya tidak ada seorang tentera musyrik pun yang dapat menghayun pedang kepada Baginda SAW?". Demi Allah, tidak ada seorang pun yang menjaga Baginda melainkan Abu Bakar yang sentiasa menghunuskan pedang melindungi Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang cuba menyerang Rasulullah SAW kecuali dia pasti akan melawannya. Dialah manusia paling berani."

Akhir kalam,

JADIKANLAH GENERASI PARA SAHABAH SEBAGAI QUDWAH PERJUANGAN. MOGA-MOGA KITA BEROLEH KEKUATAN UNTUK TERUS THABAT DALAM MEMPERJUANGKAN AGAMA ALLAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan