Isnin, 29 Mac 2010

Monolog Diri, Apabila Diuji....

Tiba-tiba sahaja diri ini bermonolog...

Mengimbau perjalanan diri sebagai hamba Rabbi,
Teringat satu saat diuji,
Kadangnya seakan ingin mengalah dan menyerah diri,
Akhirnya jumpa juga daku, satu konklusi,
Rupanya daku sering terlupa,
adanya kasih sayang Rabbi setiap kali daku diuji.
Ya Allah,
kasih sayangMu,
benar-benar menyentap jiwa dan nurani,
Terima kasih Ya Rabbi,
Terima kasih kerana sudi untuk terus menguji.

Sahabat-sahabiah sekalian,

Kasih sayang Allah SWT tiada tolak bandingnya. Kasih Allah pasti membawa kepada kejayaan dan syurga berbanding kasih sayang manusia yang tidak semestinya membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan. Bahkan kasih sayang yang tidak bertempat akan membawa kehancuran dan kebinasaan.

Bila seorang ayah atau ibu mengasihi anaknya dengan cara yang salah maka akan terjadilah seperti yang dipaparkan oleh Tan Sri P. Ramlee di dalam filem ‘Anakku Sazali’. Sehingga untuk menegur kesalahan pun tidak tahu bagaimana untuk menyusun ayat agar tidak terguris perasaan si anak, maka inilah sebab kepada kehancuran anak itu. Bila tanda kasih adalah dengan mencurahkan kekayaan dan kemewahan serta menunaikan segala kehendak si anak, maka akan lahirlah anak yang sombong dan bongkak.

Allah SWT mencintai hambaNya dengan pelbagai cara yang sangat mengandungi unsur tarbiyyah dan didikan. Tidak ada makhluk yang paling dicintai oleh Allah SWT selain daripada Rasulullah SAW. Namun Baginda tidak pernah sunyi dari ujian, kepayahan dalam dakwah serta kesusahan dalam kehidupan. Adakah itu semua bermakna Allah SWT tidak mengasihi Baginda SAW?. Jawabnya sama sekali tidak!. Rasulullah SAW pernah ditawarkan gunung ganang Makkan ditukar menjadi emas lalu diberikan kepada Baginda SAW. Namun Baginda SAW telah menolak tawaran tersebut dengan penuh adab serta dengan ilham dari Allah SWT. Sebaliknya Baginda SAW memohon supaya dijadikan kenyang sehari dan lapar sehari. Semuanya itu adalah kerana Baginda mahu menjadi hamba yang bersyukur.

Dalam masa yang sama, Allah SWT mendidik sekalian hambaNya bahawa kesenangan hidup dan kekayaan harta bukanlah segala-galanya. Berapa ramai yang berputus asa dengan kehidupan dunia yang penuh tipu daya ini dan ramai jua yang telah tenggelam dengan mabuk dunia hingga hilang jati diri dan rosaklah kejernihan hati.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawasanya Allah SWT apabila mengasihi hambanya; maka Allah SWT akan menguji hambaNya itu dengan ujian serta musibah. Lalu sesiapa yang redha dan sabar, ia akan terpilih sebagai hamba yang sabar dan bersyukur di sisi Allah SWT. Terangkatlah ia disisi Rabbul ‘Alamin sebagai hamba yang muqarrabin dan dekat denganNya lalu layak dicurahkan rahmat dan keampunan dariNya.

Sabar dan redha dengan ujian Allah jua menjadi sebab kepada terhapusnya dosa dan terangkatnya kedudukan dan darjat disisi Allah. Semakin berat ujian maka semakin besarlah pahalanya dan semakin cerah peluang untuk dekat dengan Allah SWT. Rugilah mereka yang tidak diuji. Lebih besar kerugian bagi mereka yang tidak sabar dengan ujian. Dan jika hendak difikirkan, siapa kita untuk tidak diuji oleh Allah SWT? Renung-renungkanlah...

Wallahu a'lam

Isnin, 22 Mac 2010

Sekilas Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional


Salam juang buat semua pendokong agama. InsyaAllah, berminat pula kali ini untuk berkongsi mengenai serba sedikit mengenai apa yang saya dapat sepanjang mengikuti Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional pada 20 Mac yang lalu. Meskipun dihalang, disabotaj dan ditegah oleh "pihak-pihak berkenaan", namun kongres ini masih lagi dapat dijayakan. Biarpun hanya dapat duduk diatas karpet empuk, dan bukannya diatas kerusi selesa, namun, ianya tidak sama sekali menggugat "jiwa menggoncang dunia" kami, mahasiswa.

Seronok dapat bertemu dengan front-front mahasiswa. Ditambah pula, Presiden GAMIS, Akh Idris, tiba ditempat kongres pada masa yang sama dengan saya. Kami juga turut sama mencari-cari Dewan Banquet gara-gara sesat di kota raya Petaling Jaya. Sepanjang pencarian, banyak benda yang saya dapat dari mutiara kata beliau.



Semasa semua front membentangkan kertas kerja mereka, kalam mereka saya teliti satu persatu. Mata saya hanya mampu terkebil-kebil menyaksikan front-front membentangkan kertas kerja dengan penuh berkarisma. Kelantangan mereka berpencak digelanggang intelektualime, membuatkan saya teruja untuk bercita-cita menjadi pengganti mereka satu hari kelak. Amiin. InsyaAllah.

Secara konklusinya, antara resolusi yang dapat dicapai dalam kongres tersebut adalah:

1)Semua front akan berpegang kepada 5 prinsip untuk terus memastikan kebersamaan dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Prinsip perjuangan SMM ialah:

-Independence
-Intellectual
-Integrity
-Responsive
-Progressive

2)Membawa kebersamaan semua front di peringkat SMM, dan dibumikan diperingkat kampus berdasarkan 5 prinsip perjuangan.

3) Meluaskan skop perjuangan mahasiswa meliputi aspek Nasional dan Internasional secara holistik dan integral.

Wallahu a'lam...

Jumaat, 19 Mac 2010

Tolong Ingatkan Daku...


tolong ingatkan daku,
andai daku terlupakan Tuhan,
dalam kelapangan dan kesibukan,
dalam kesenangan dan kesusahan.

tolong ingatkan daku,
jangan jadi anak derhaka,
mak ayah dilupakan jangan,
usah diluka hati dan perasaan.

tolong ingatkan daku,
supaya ingat pesanan murabbi dan guru,
bukan sekadar peringatan,
tapi tarbiyah berpanjangan.

tolong ingatkan daku,
dengarlah dan bacalah al-quran,
tika radio penuh hiburan,
tika tv penuh hindustan.

tolong ingatkan daku,
di mana islamnya zahirku,
jika aurat didedahkan,
disingkat, diketat dan dijarangkan.

tolong ingatkan daku,
jadilah sahabat yang baik,
sentiasa memberi peringatan,
sentiasa menerima teguran.

tolong ingatkan daku,
kalau bercinta biar keranaNYA,
dalam memilih utamakan Iman,
kelak ikatan dihindari syaitan.

tolong ingatkan daku,
hidup ini satu kembara,
kutiplah mutiara dalam perjalanan,
moga di sana menjadi bekalan.

tolong ingatkan daku,
diri ini milik Yang Kuasa,
kepadaNYA jiwa diserahkan,
segala-galanya Dialah tumpuan.

Jumaat, 12 Mac 2010

Cerpen: Kisah Adik Beradik...

Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, sebuah keluarga besar telah pergi piknik di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya-raya. Ada tauke balak, ada tauke minyak, ada tauke minyak sawit, ada tauke getah, ada tauke emas dan macam-macam lagi. Namun, tidak mungkin dalam satu bakul buah itu, semuanya elok, pasti ada jugak yang busuk.

Sebenarnya kehidupan adik-beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Turki. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik-adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin itu semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mulai lupa diri.

Satu hari, semasa keluarga ini berpiknik, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam. Perlakuan ini berlaku di depan khemah abang-abang yang kaya ini. Pencabulan si adik itu dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau kehidupan orang lain disitu. Adik-adik yang lemah ini hanya mampu memandang dengan kesayuan. Tetapi si abang-abang, hanya melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.

Tidak lama selepas itu pula, salah seorang adik lelaki mereka pula telah lemas dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru, bahaya.

Akhirnya, di saat adik perempuan mereka diratah dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu, dan adik lelaki pula hampir kelemasan di tengah lautan, mereka telah duduk berbincang sambil makan makanan yang mewah-mewah dan minuman yang lazat-lazat.

Tajuk persidangan kita hari ini adalah, "Cara-cara menyelamatkan adik perempuan yang dirogol dan adik lelaki yang kelemasan." Itulah kata si abang sulung selaku pengerusi majlis.

Adik-adik yang lebih muda dengan bersemangat hendak terus bertumbuk dengan
pendatang-pendatang haram tersebut, dan juga tanpa menghiraukan keselamatan, ingin sahaja terus menyelamatkan adik lelaki mereka yang semakin kelemasan itu. Tetapi dengan tenang si abang-abang berkata, "Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan. Cuba sikit hormat orang tua. Kita ambik jalan yang lebih berdiplomasi."

Akhirnya, si abang berjumpa dengan ketua pendatang haram tersebut.

"Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan rogol tu dulu. Kita buat gencatan nafsu."

Maka mereka pun berbincang. Sambil berbincang itu, pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berjalan sambil ditonton oleh adik-beradik yang lain.

Tentang si adik lelaki yang kelemasan, seorang dari mereka cuba pendapatkan bot penyelamat, tapi dihalang oleh abang yang lain.

"Hoi monyet... senyaplah... pengkhianat!" Getus hati si adik yang tidak puas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.

Akhirnya adik-adik berdarah muda telah diketepikan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda ada yang dikenakan akta Ikut Suka Aku, dikhatankan buat kali kedua, dirosakkan khemahnya dan pelbagai lagi. Manakala, adik-adik perempuan muda pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.

Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat kununnya tergempar pula. Kali ni mereka agak sepakat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul adik perempuan kami."

"Selamatkan adik kami yang kelemasan."

Tetapi mereka hanya memasang banner di sepanjang pantai tersebut. Dengan harapan, ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka semakin terus dicabul. Pakaian adik perempuan mereka sudah tidak ada lagi di tubuh. Adik-beradik tadi hanya terus menonton drama cabul-mencabul itu dari dekat selepas bermesyuarat yang kononnya tergempar itu.

Adik lelaki mereka pula sekiranya tadi tangannya kelihatan, kini seolah-olah sudah hampir mati. Hanya menunggu malaikat maut datang mengambil nyawa. Lalu, diangkatlah lagi banner "Selamatkanlah adik kami yang kelemasan" setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang membantu.

Bila melihat banner itu tidak berkesan. Mereka bermesyuarat lagi. Dan mereka mengeluarkan banner yang baru. Yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan terus dinodai. Adik lelaki sudah semakin hanyut di tengah lautan... Adik-beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan banner dengan wording yang lebih menarik....

Itulah kisah keluarga besar di satu tempat yang dirahsiakan namanya.


MAKSUD DISEBALIK FIGUR-FIGUR DIDALAM KISAH INI:

+ adik perempuan=
PALESTIN
+ adik lelaki=
IRAQ
+ abang-abang=
NEGARA ARAB YANG KAYA RAYA
+ adik-adik yang senyap=
NEGARA UMAT ISLAM YANG MAMBANGUN/MUNDUR
+ adik-adik yang berdarah muda=
GERAKAN-GERAKAN ISLAM
+ mesyuarat=
MESYUARAT OIC
+ bapa yang telah meninggal dunia=
KHALIFAH

Wallahu a'lam...

Ahad, 7 Mac 2010

Ku Damba Syahid Di JalanMU..

Sedang leka membelek-belek buku "Detik Itu" karangan Ustaz Malik Mazlee, saya tersentap melihat satu hadis riwayat Imam Malik yang berbunyi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَوَفَاةً بِبَلَدِ رَسُولِكَ

"Ya Allah, aku mohon mati syahid di jalanMu dan wafat di negeri RasulMu(Madinah)"

Inilah bacaan doa Khalifah Umar bin Khattab RA, Khalifah Kedua kerajaan Islam Madinah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sewaktu beliau sedang wukuf di Arafah. Beliau telah menceritakan hal ini kepada salah seorang sahabat di Madinah, selepas pulang dari menunaikan ibadah haji.

“Wahai Khalifah, kalau engkau hendak mati syahid, tidak mungkin di sini.. Keluarlah berjihad, baru boleh jumpa!” Komen sahabatnya itu pada Umar.

“Sekurang-kurangnya aku dah ajukan pada Allah, dan terserah pada Allah, apa yang akan berlaku!” Jawab Umar.

Esokan paginya, semasa Umar sedang mengimami solat Subuh di masjid, tiba-tiba dalam suasana kegelapan pagi itu, seorang pengkhianat Majusi bernama Abu Lu'luah telah menikam beliau dengan tiga tikaman, menyebabkan beliau tersungkur rebah ke mihrab. Abdur Rahman bin Auf cepat-cepat menggantinya, mengambil kedudukan sebagai imam itu dan terus sembahyang sehingga selesai sambil menangis. Tidak lama sesudah itu, Umar menghembuskan nafasnya terakhir. Beliau syahid di jalan Allah. Beliau wafat dalam keadaan sedang memimpin solat kaum Muslimin. Subhanallah!



Kesimpulannya, berdasarkan riwayat ini, kita dapat menyimpulkan bahawa Islam menganjurkan supaya umatnya mengharapkan ‘mati syahid’. Bahkan inilah detik yang dinanti-nantikan seperti doa para terdahulu. Bukan sekadar senjata dan panduan untuk hidup, bahkan untuk matipun! Mati yang paling mulia adalah mati syahid. Secara umumnya, ia bererti mati dalam perjuangan menegakkan agama Allah, akibat pembunuhan oleh pihak musuh kuffar di medan perang. Begitu juga Nabi SAW menyebutkan beberapa bentuk kematian yang dinilai mati syahid adalah seperti mati lemas, mati semasa mempertahankan harta dari dirampas perompak, mati kerana terkena wabak, atau juga mati bagi seorang wanita yang sedang berjuang melahirkan bayinya.

Begitu juga Asy-Syahid Abdul Aziz Ar-Rantisi, misalnya. Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin HAMAS di Gaza, Palestin. Hanya beberapa waktu sebelum beliau wafat dalam sebuah wawancara beliau berkata…

“Setiap orang pasti menemui kematian. Kematian boleh datang dalam berbagai bentuk. Kalau aku boleh memilih, aku berharap mati syahid di jalan Allah dalam bentuk dirudal oleh helikopter Apache pasukan Yahudi Zionis Israel...”

Akhirnya memang betul, tidak berapa lama lepas itu beliau ditewaskan oleh helikopter Apache pasukan Zionis sebagaimana yang beliau sendiri cita-citakan. Syahid... Subhanallah!!!

Nabi pernah memberi tahu…

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَا

"Barangsiapa memohon dengan jujur kepada Allah agar mati syahid maka Allah akan berikan kepada beliau kedudukan syuhada walaupun beliau mati di atas katil.”

Oleh itu berdoalah kita agar direzekikan mati syahid.

ALLAHU GHOYATUNA,
ARRASUL QUDWATUNA,
AL-QURAN DUSTURUNA,
ALJIHADU SABILUNA,
ALMAUTU FI SABILILLAH ASMA AMANINA.

Rabu, 3 Mac 2010

Soleh Tanpa Nama

“Berapa banyak terjadi, golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar
Surah Al-Baqarah:249


Al-Quran banyak bercerita tentang orang-orang soleh tanpa nama. Memang ada kisah israiliyat yang menghuraikan nama-nama dari orang-orang tanpa nama di dalam Al-Quran. Namun, tidak perlu mudah bagi kita untuk mempercayai kisah israiliyat itu. Ini kerana mengimani kebenaran peristiwanya, lalu mengambil pelajarannya, jauh lebih penting berbanding mengetahui siapakah nama orang-orang itu.

DUA ORANG SOLEH PENGIKUT MUSA

Setelah selamat daripada kejaran Firaun, Musa dan kaumnya disuruh memasuki Baitul Maqdis. Tapi para pengikutnya enggan, kecuali dua orang di antara mereka.

“Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut(kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang(kota itu), maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang, dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”
Surah Al-Maidah:23

ORANG SOLEH PEMILIK KEBUN

Al-Quran juga mengisahkan seorang pemilik kebun yang soleh. Beliau mempunyai seorang saudara yang kufur kepada Allah. Dengan kesolehan itu, kebun beliau selamat, sedangkan kebun saudaranya binasa.

“Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antar kedua kebun itu Kami buatkan ladang. Kedua-dua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kebun itu, dan dia mempunyai kekayaan yang besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika dia bercakap-cakap dengan dia; “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”.

Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan dating, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun ini”. Kawannya yang mukmin berkata kepadanya sedang dia sedang bercakap-cakap dengannya: “Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Tuhanku”

Surah Al-Kahfi:32–38


SEORANG LELAKI DARI HUJUNG KOTA

Ada seorang lelaki soleh yang turut membantu Musa. Beliau membawa informasi bis sir(rahsia). Bagaimana lelaki tersebut mengetahui informasi penting daripada para penguasa ketika itu, tidak diketahui. Yang pasti, membina hubungan dengan orang-orang yang mempunyai posisi strategik sangat diperlukan dalam dakwah, meskipun tidak sampai terikat secara loyalti.

“Dan datanglah seorang lelaki dari hujung kota ini, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”
Surah Al-Qashash:20

ORANG SOLEH DITENGAH KERAJAAN FIRAUN

Dalam lingkungan Firaun, terdapat seorang soleh yang telah lama memendam imannya. Pada suatu hari, dia muncul memberanikan diri dan menyuarakan imannya serta menyedarkan Firaun dan para pengawalnya dengan bahasa keimanan yang penuh wibawa.

“Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan “Tuhanku ialah Allah” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu”. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta”
Surah Al-Ghafir:28

“Dan orang yang beriman itu berkata: Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir kamu akan ditimpa (bencana) seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu. (Yakni)seperti keadaan kaum Tsamud, Nuh, ‘Aad dan orang-orang yang datang sesudah mereka. Dan Allah tidak menghendaki perbuatan kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya. Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan seksaan hari panggil-memanggil, (iaitu) hari ketika kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan kamu dari azab Allah, dan siapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorng pun yang akan memberi petunjuk”
Surah Al-Ghafir:30–33

PANDANGAN SAYA

Apa yang boleh saya boleh simpulkan pada posting saya kali ini, terdapat pelajaran tersendiri daripada kisah orang soleh tanpa nama yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran:

PERTAMA
Peranan-peranan tertentu dalam dakwah, kadangnya lebih memerlukan fungsinya berbanding titlenya. Meskipun pada masa tertentu, formaliti memiliki keperluannya sendiri. Tapi itu hanya sekadar term sahaja.

KEDUA
Ada peranan-peranan strategik dalam dakwah yang memerlukan kerahsiaan(sir).

KETIGA
Semua orang berpotensi menjadi soleh. Title soleh bukan sahaja dimonopoli oleh orang-orang besar, ternama, terkenal, dan yang punya banyak hubungan. Tidak sama sekali. Tapi haikatnya, semua orang mempunyai kredibiliti untuk menjadi soleh.



KEEMPAT
Segala bentuk kesolehan haruslah diikhlaskan kerana Allah SWT sahaja. Tiada kompromi. Orang-orang soleh tanpa nama yang dikisahkan dalam Al-Quran, makrifatullah mereka lebih dalam berbanding orang berada disekitar mereka. Perkara ini dapat dirasakan daripada kalimah-kalimah mereka. Semua bersifat menusuk kalbu, penuh hikmah dan begitu tajam. Semua itu adalah natijah dan buah keikhlasan yang selama ini mereka tempa. Seluruh isi hati mereka dipenuhi oleh rasa hub dan cinta yang tulus kepada Allah SWT.

SAHABAT-SAHABIAH SEKALIAN, BAGAIMANA PULA DENGAN KITA? RENUNG-RENUNGKANLAH...

Aduhai... Adik Syafiah Humaira Sahari...


Tatkala dunia mula menunjukkan kebenciannya pada manusia, di saat itu jugalah kejahilan sifat manusia semakin ketara. Hingga hilang sifat kemanusiaan.

Maka tidak mustahil jika alam kini mahu mengakhiri hayatnya kerana manusia juga sudah mula hilang kewarasan dalam diri, sedangkan sesama manusia sendiri pun, kita tidak dapat menjadi insan yang berperikemanusiaan. Apatah lagi dengan alam. Satu persatu alam dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat manusia. Oleh itu, jangan pernah menyalahkan takdir andai alam mula menunjukkan belang. Kerana ia adalah wajar untuk kita yang tidak pernah sedar akan erti kehidupan.

Sedih dan terkilan akan isu yang timbul ini. Seorang anak kecil yang tidak berdosa, diperlaku seperti haiwan yang tidak bernyawa. Apa dosa dan salahnya? Sanggup di perlaku sebegitu sehingga menatijahkan maut. Mana pergi sifat kemanusiaan kita. Memperlakukan insan yang bernyawa seperti itu. Sewajarnya yang bersalah di kenakan tindakan yang sewajarnya kerana dia tidak layak menjadi manusia normal dan bersyariat.

Dipijak dan ditendang....!!!

Mana pergi kewarasan akal?
Mana pergi sifat kasih sayang?
Mana pergi sifat-sifat kemanusiaan?

Dan mana pergi ketakutan pada Allah. Rasanya baru sahaja beberapa hari kita menyambut Maulidur Rasul. Namun tidak sedikitpun kita menghayati dan mengambil ibrah disebalik peristiwa tersebut. Mahupun mendalami erti perjuangan Rasul yang kita cintai dan sayangi.

Sedih... Anak yang tidak berdosa menjadi mangsa. Semoga Allah memberi pengadilan yang setimpa kepada mereka yang terlibat.

Semoga Roh adik Syafiah Humaira Sahari tenang di sana. Amiiin..

~AL-FATIHAH~