Selasa, 29 Jun 2010

Segalanya Bermula Dari Hati...

Kali ini, terasa ingin merungkai satu peristiwa agung, iaitu Isra’ wal Mi’raj yang berlaku ke atas Baginda Rasulullah SAW dan saya kira, ianya mampu menjadi salah satu indikator yang terbaik untuk menjadikan kita terasa begitu kerdil di hadapan Allah SWT. Masih banyak yang belum diterokai dari ilmu Allah yang Maha Luas dan sudah tentu tidak ada daya dan upaya bagi menusia kerdil seperti kita ini, untuk menjangkau kehebatan dan keluasan ilmu Allah SWT kecuali mereka-mereka yang dipilih oleh Allah untuk didedahkan sebahagian kecil darinya.

Sungguh benarlah bahawa permulaan perjalanan menuju Allah SWT harus bermula dengan kebersihan dan kejernihan hati. Inilah titik bidayah kepada jalan menuju keredhaan Allah yang abadi di akhirat. Menurut al Imam Ibni Abi Jamrah, pendapat yang rajah ialah Nabi SAW dibelah dadanya 4 kali. Pertama; ketika Baginda masih kecil di dalam pemeliharaan dan penjagaan ibu susuannya Halimah as Sa’diyah rdh, kali kedua; ketika Baginda mencapai umur baligh, kali ketiga; ketika Baginda menerima wahyu dan keempat; ketika Baginda diisra’ dan dimi’rajkan.

Ketika berlakunya isra’ dan mi’raj, Rasulullah SAW sedang tidur di sisi Ka’bah dengan diapit oleh Saiyyiduna Hamzah dan Saiyyiduna Ja’far Ibn Abi Thalib radhiyallahu ‘anhuma. Ketika itulah datang malaikat membawa bekas emas yang terisi hikmah dan iman lalu dibelah dada Nabi SAW, dikeluarkan hati Baginda dan dicuci dengan air zamzam. Dibersihkan dari hati Nabi SAW karat hitam yang menjadi tempat duduknya syaitan bagi menyempurnakan tugas kerasulan agar bertindak menurut wahyu semata-mata. Kemudian bermulalah perjalanan agung tersebut dengan berkendenraankan buraq dan ditemani Jibril.

Di dalam hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah bahawasanya di dalam hatimu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh tubuh, jika rosak ia maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah bahawa itulah yang dinamakan hati”

Sahabat sahabiah sekalian,
Segalanya bermula dari hati. Ketaatan kepada Allah, jihad dan pengorbanan, kasih sayang dan kecintaan, kecenderungan kepada maksiat, karam dalam keseronokan dunia, kebencian dan kemarahan, semuanya bermula dari hati. Hati adalah asas integriti dan kekuatan dan dari situ jugalah menjadi asas kelemahan dan ketewasan. Yang paling penting, hati yang diselaputi dosa dan maksiat tidak akan menemui jalan menuju Allah SWT. Jika jalan menuju Allah tidak ditemui, maka jalan syaitanlah yang akan mengisi "ruang penginapan" di dalam diri. Itulah setebal-tebal hijab antara hamba dengan Sang Pencipta.

Kecintaan kepada Islam dan istiqamah beramal dengannya adalah bermula dari hati. Pertama, hati yang mempunyai kemahuan dan yang kedua, hati yang dipilih untuk menerima curahan hidayah dari Allah SWT.

Firman Allah :

"Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya(membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang Yang tidak beriman"
Surah Al-An'am:125

Kefahaman terhadap ayat di atas ialah, rasa lapang dada, kemahuan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan dan semangat perjuangan yang tinggi yang terlihat dari kader dakwah adalah kerana hati yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Di dalam peristiwa agung Isra’ Mi’raj, Rasulullah SAW telah ditunjukkan pembalasan Allah kepada ahli ketaatan dan ahli maksiat. Bilamana Baginda terhidu keharuman ruh para syuhada' yang syahid kerana mempertahankan aqidah seperti keluarga Yasir dan Masyitah, tukang sikat puteri Firaun, maka sudah tentu sekali peristiwa ini menjadi dorongan yang sangat kuat bagi para mujahid meneruskan perjuangan mereka. Yakin dan percayalah bahawa perjuangan kita tidak akan dipersiakan oleh Allah SWT.

Tanya hati dan diri kita, apa yang sebenarnya menghalang kita untuk aktif di arena perjuangan jika tidak kerana hati yang cenderung kepada kesenangan duniawi. Pupuklah hati dengan kesungguhan mujahadah di jalan Allah SWT. Moga-moga, ia akan memancarkan nur kemahuan dan kesanggupan yang tinggi untuk hidup mulia dan mati syahid.

Rabu, 16 Jun 2010

"Islam Adil Untuk Semua"

Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki Yahudi tua. “Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”. Detik hati sang gabenor.

Dipendekkan cerita, Yahudi itu dipanggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.

“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor dengan nada ancaman.

Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.

“Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?" Tanya Umar al-Khattab kehairanan.

Datuk tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan dengan seorang khalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah reda, datuk tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melaporkan aduan kesnya penuh kesedihan.

Merah padam wajah Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. “Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr!” kecam Umar.

“Sungguh tuan saya tidak mengada-ngadakan cerita walau sepotong ayat” sahut datuk itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.

“Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir” perintah khalifah Al-Farooq Umar al-Khattab.

Orang Yahudi itu semakin kebingungan. “Tuan, adakah tuan sedang mempermainkan saya?” kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. “Jangan–jangan khalifah dengan gabenornya dua kali lima saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan, pasti akan menindas kaum minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,” bisik hati orang tua itu dengan penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh khalifah Umar al-Khattab.


Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, datuk tua Yahudi itu semakin tidak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Bongkar dan runtuhkan masjid itu!” teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.

Yahudi itu segera berlari keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah yang hampir siap dibina itu.

“Tunggu!” jerit orang tua Yahudi itu. “Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga tuan begitu nekad membuat keputusan membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya saya benar-benar tak faham?” tanya orang tua itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.

Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu penuh mesra. “Wahai datuk, sebenarnya, tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk”.

“Tapi...” datuk tua itu cuba mencelah.

“Namun, kerana ia mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa, betapa tingginya pun kekuasaan seseorang, ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Lurus seperti huruf alif. Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya!” jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.

“Sesungguhnya, amat agung ajaran agama tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu pasrah berserta linangan air mata yang tak tertahan.

Allahu Akbar!. Inilah Islam yang benar dan agung. Inilah antara deretan kisah sejarah dan keunikan pemerintahan Islam yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya daripada seorang tua Yahudi! Kita hendaklah sentiasa menegakkan keadilan tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerintah menerima teguran!. Sungguh mengharukan... Tidak pernah berdendam atau bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa berlengah atau ditangguhkan. Betapa kerendahan yang ada pada pemerintah-pemerintah teladan. Sehingga mampu menawan hati kuffar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan!

Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, “umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya...”. (amat besarlah kata-kata Rasulullah SAW)

"ISLAM ADIL UNTUK SEMUA"

Selasa, 8 Jun 2010

Halal & Haram Dalam Siasah

Saya tertarik dengan peringatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz(TGNA) pada 2 tahun yang lalu(bulan Julai tak silap) bahawa selain daripada menekankan kepentingan halal haram dalam makan minum, kita mesti beri perhatian serius terhadap soal halal haram dalam politik. Munasabahnya peringatan TGNA tersebut adalah kerana segala-galanya adalah bertitik tolak daripada kekuasaan politik.


Makan minum akan menjadi halal(halalan thoiyyiban kata orang hari ini) bilamana penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berkesan dilaksanakan dalam memastikan tiada makan minum yang haram dalam negara. Kerajaan melalui JAKIM sudah tentu dapat melaksanakan perkara ini tanpa sebarang masalah, kecuali ada kekangan dan kongkongan tertentu ataupun pelaksanaan yang sambil lewa yang akhirnya mampu menyebabkan dasar halal haram ini gagal dilaksanakan.

ULAMA’ MUKHLISIN

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT bilamana Dia mewujudkan dan melahirkan di tengah-tengah kita semua, seorang ulama' bahkan ramai ulama' yang ikhlas mendidik dan menegur. Antara sifat khusus bagi seorang ulama' ialah "khasyyatillah" yakni perasaan takut dan gerun hanya kepada Allah SWT semata-mata. Rasa takut pada Allah inilah mendorong para ulama' berkata benar walaupun pahit dan berkata dengan yang benar walau di hadapan pemerintah yang zalim sekalipun. Sabda Rasulullah SAW :

"Bahawa seafdhal-afdhal jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim"

Cabaran berhadapan dengan pemerintah yang zalim ini sangatlah berat dugaannya. Namun seorang ulama’ yang ikhlas akan terus beristiqamah mempertahankan prinsip kebenaran Islam. Mempertahankan prinsip yang benar inilah yang menjadi sebab kepada kesyahidan para ulama'. Kalau di Malaysia ini, Asy Syahid Ustaz Ibrahim Libya adalah contohnya. Jika Masyitah yang sangat lemah dan juga seorang wanita berjaya mati syahid dalam mempertahankan aqidah yang benar, maka sudah tentu para ulama' adalah terlebih gagah lagi dalam soal mempertahankan kebenaran.

Namun kita pasti akan melihat wujudnya ulama' dunia dan ulama' jahat di sepanjang zaman. Merekalah yang yang menjadi sebab kepada terjadinya fitnah yang besar di kalangan umat. Pendapat yang sangat mengelirukan adalah ciri-ciri khas mereka. Padahal mengampu dan membodek pemerintah adalah perhiasan kehidupan mereka. Jauhilah mereka demi keselamatan kita semua.

BILA PERINGATAN DISAMPAIKAN

Politik adalah sebahagian dari tuntutan keimanan. Bila ikatan politik wahyu dirungkaikan dari leher umat oleh serangan ajaran sekular dan perencanaan jahat musuh, maka bermulalah episode punah jahanamnya kesucian ajaran Islam. Para ulama' dipenjarakan oleh politik haram, pintu masjid ditutup rapat dari menjadi sumber hidayah kebenaran kepada umat, orang-orang fasik diberikan pengiktirafan, pendokong kebenaran dicela dan difitnah serta dilabel dengan label kejahatan dan khianat.

Harta negara diselewengkan sewenang-wenangnya. Dilaporkan bahawa sebanyak RM7 bilion ringgit wang royalti minyak Terengganu dibelanjakan sepanjang sepenggal pemerintahan Idris Jusoh tanpa direkodkan kemana wang itu dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan. Alat ganti kereta yang sebenarnya bernilai RM3000, tetapi di"claim" dengan nilai RM 29,000. Siasah haram membenarkan penipuan dan penyelewengan.

Yang lebih malang ialah apabila politik haram dilaksanakan maka syariat Islam sukar untuk direalisasikan. Perkara ini sememangnya pasti. Kita boleh lihat, kerja politik haram ialah membina masjid untuk mengesahkan bahawa mereka mengamalkan Islam, tetapi syariat dan hukum Islam ditolak demi mendapatkan "redha" musuh Islam.
ALANGKAH KEJI DAN JIJIKNYA PERBUATAN INI!!!