Selasa, 8 Jun 2010

Halal & Haram Dalam Siasah

Saya tertarik dengan peringatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz(TGNA) pada 2 tahun yang lalu(bulan Julai tak silap) bahawa selain daripada menekankan kepentingan halal haram dalam makan minum, kita mesti beri perhatian serius terhadap soal halal haram dalam politik. Munasabahnya peringatan TGNA tersebut adalah kerana segala-galanya adalah bertitik tolak daripada kekuasaan politik.


Makan minum akan menjadi halal(halalan thoiyyiban kata orang hari ini) bilamana penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berkesan dilaksanakan dalam memastikan tiada makan minum yang haram dalam negara. Kerajaan melalui JAKIM sudah tentu dapat melaksanakan perkara ini tanpa sebarang masalah, kecuali ada kekangan dan kongkongan tertentu ataupun pelaksanaan yang sambil lewa yang akhirnya mampu menyebabkan dasar halal haram ini gagal dilaksanakan.

ULAMA’ MUKHLISIN

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT bilamana Dia mewujudkan dan melahirkan di tengah-tengah kita semua, seorang ulama' bahkan ramai ulama' yang ikhlas mendidik dan menegur. Antara sifat khusus bagi seorang ulama' ialah "khasyyatillah" yakni perasaan takut dan gerun hanya kepada Allah SWT semata-mata. Rasa takut pada Allah inilah mendorong para ulama' berkata benar walaupun pahit dan berkata dengan yang benar walau di hadapan pemerintah yang zalim sekalipun. Sabda Rasulullah SAW :

"Bahawa seafdhal-afdhal jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim"

Cabaran berhadapan dengan pemerintah yang zalim ini sangatlah berat dugaannya. Namun seorang ulama’ yang ikhlas akan terus beristiqamah mempertahankan prinsip kebenaran Islam. Mempertahankan prinsip yang benar inilah yang menjadi sebab kepada kesyahidan para ulama'. Kalau di Malaysia ini, Asy Syahid Ustaz Ibrahim Libya adalah contohnya. Jika Masyitah yang sangat lemah dan juga seorang wanita berjaya mati syahid dalam mempertahankan aqidah yang benar, maka sudah tentu para ulama' adalah terlebih gagah lagi dalam soal mempertahankan kebenaran.

Namun kita pasti akan melihat wujudnya ulama' dunia dan ulama' jahat di sepanjang zaman. Merekalah yang yang menjadi sebab kepada terjadinya fitnah yang besar di kalangan umat. Pendapat yang sangat mengelirukan adalah ciri-ciri khas mereka. Padahal mengampu dan membodek pemerintah adalah perhiasan kehidupan mereka. Jauhilah mereka demi keselamatan kita semua.

BILA PERINGATAN DISAMPAIKAN

Politik adalah sebahagian dari tuntutan keimanan. Bila ikatan politik wahyu dirungkaikan dari leher umat oleh serangan ajaran sekular dan perencanaan jahat musuh, maka bermulalah episode punah jahanamnya kesucian ajaran Islam. Para ulama' dipenjarakan oleh politik haram, pintu masjid ditutup rapat dari menjadi sumber hidayah kebenaran kepada umat, orang-orang fasik diberikan pengiktirafan, pendokong kebenaran dicela dan difitnah serta dilabel dengan label kejahatan dan khianat.

Harta negara diselewengkan sewenang-wenangnya. Dilaporkan bahawa sebanyak RM7 bilion ringgit wang royalti minyak Terengganu dibelanjakan sepanjang sepenggal pemerintahan Idris Jusoh tanpa direkodkan kemana wang itu dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan. Alat ganti kereta yang sebenarnya bernilai RM3000, tetapi di"claim" dengan nilai RM 29,000. Siasah haram membenarkan penipuan dan penyelewengan.

Yang lebih malang ialah apabila politik haram dilaksanakan maka syariat Islam sukar untuk direalisasikan. Perkara ini sememangnya pasti. Kita boleh lihat, kerja politik haram ialah membina masjid untuk mengesahkan bahawa mereka mengamalkan Islam, tetapi syariat dan hukum Islam ditolak demi mendapatkan "redha" musuh Islam.
ALANGKAH KEJI DAN JIJIKNYA PERBUATAN INI!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan