Rabu, 20 Oktober 2010

Sungguh Agung Cinta"mu" Padaku

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNYA. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah:

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNYA. Maka taati dan bertakwalah kepadaNYA. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku ,bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Saidina Abu Bakar As SiddiQ menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Saidina Umar al-Khattab dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Saidina Usman bin Affan menghela nafas panjang dan Saidina Ali b Abi Talib menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua" keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Saidina Ali dan bersama dengan seorang lagi sahabat dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu,s eluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam" kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah."Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu,Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka ,para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu" kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku:

"Kuharamkan syurga bagi siapa saja,kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya" kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat,saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah berteriak, kerana sakit yang tidak tertahan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uusiikum bis salati, wa maa malakat aimanukum" - "peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Saidatina Fatimah Az-Zahra' menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi wabaarik wa sallim. Betapa agungnya cinta Rasulullah kepada kita. Tapi kita??? ......

Ayuh kita renungkan dan hayati bersama!!!

Sabtu, 9 Oktober 2010

Yakini Kepimpinan Ulama'

Kali ini, cuba untuk jadi berani bagi menyatakan pendapat diri. Baca dahulu baru berspekulasi.
بسم الله الرحمن الرحيم
"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami"
Surah As-Sajdah:24

Beruntungnya kita semua kerana telah dimuliakan dengan iman dan hidup di bawah naungan cahaya petunjuk dari Al Quran yang telah diturunkan oleh Allah SWT untuk memberi pedoman kepada hidup sekalian manusia yang beriman dengannya.

Firman Allah di atas telah memberikan satu harapan yang besar kepada kita bahawasanya Allah SWT akan mengangkat darjat seorang pemimpin yang menyeru agar mentaati perintah Allah SWT dengan penuh konsisten dan sabar.

Dalam perjuangan kita, kesabaran dan ketenangan kita dalam meneruskan perjuangan yang penuh cabaran dan tambah pula diuji dengan lambatnya kemenangan ini, kesabaran terhadap janji Allah SWT adalah sesuatu yang sangat penting. Kita mesti mengakui dengan jujur bahawa disepanjang zaman, para nabi dan ulama’ adalah mereka yang duduk di tangga teratas dalam menjuarai isu kesabaran ini. Rasulullah SAW menegaskan bahawa:

"Manusia yang paling berat ujiannya (lalu bersabar) adalah para nabi kemudiannya diikuti dengan ulama’ dan diikuti para solihin"

Demikian ketetapan dan sunnatullah yang berjalan sepanjang zaman. Walau betapa hebat dan canggih hujjah dan pemikiran tajdid(pembaharuan) yang kita bawa, inilah hakikat yang mesti kita terima. Ulama’ tetap relevan dalam memimpin ummah. Dalam ayat diatas yang saya nyatakan tadi, Allah SWT menegaskan bahawa Allah SWT pasti akan ‘mewujudkan’ kepimpinan yang akan memimpin orang mukmin kepada mentaati hukum Allah SWT. Siapa lagi yang lebih mengerti akan hukum hakam Allah SWT selain para ulama’. Yang bukan ulama’ tidak pernah dinafikan keimanan, keikhlasan dan kemampuan mereka dalam memperjuangkan Islam. Merekalah pembantu dan pendokong terbaik serta jasa mereka tidak pernah diabaikan. Alangkah baiknya jika mereka terus memberikan dokongan terbaik kepada kepimpinan ulama’.


Untuk membantu dan memberikan dokongan, tidak semestinya dengan menduduki tangga kepimpinan tertinggi dalam jamaah. 3 kerusi Naib Presiden dalam PAS adalah laluan dan peluang yang telah diberikan oleh Kepimpinan Ulama’ dalam PAS untuk golongan bukan ulama’ memberikan sokongan dan dokongan.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan agar cukuplah PAS memberikan ruang kepada ulama’ melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama’ dan membiarkan AJK Kerja PAS Pusat itu tidak diketuai oleh seorang ulama’. Ini adalah cadangan yang cuba membawa PAS kembali ke belakang semula. Saya bersetuju dengan kenyataan Ustaz Nik Abduh yang mengatakan bahawa ketika PAS memerlukan kepimpinan untuk memacu gerakannya ke puncak kejayaan, Allah SWT telah mengilhamkan cetusan kepimpinan ulama’ terlaksana dalam PAS. Kepimpinan ulama’ dalam PAS hanyalah penerus kepada apa yang telah terlaksana di zaman Rasulullah SAW.

Al Imam Al Munziri rahimahullah telah menaqalkan sebuah hadis dari Rasulullah SAW di dalam ‘at Targhib wat Tarhib’ bahawa:

"Barangsiapa yang menjadikan Al Quran di hadapannya (beriman, yakin dan beramal dengannya), maka ia (Al Quran) akan memimpinnya ke syurga. Dan barangsiapa yang meletakkannya (Al Quran) di belakangnya (tidak beriman dan tidak beramal dengan hukumnya), maka ia akan melemparkannya ke dalam neraka (dengan sebab tidak beriman dan beramal dengan Al Quran)"

Dalam mentadabbur hadis di atas, kita seharusnya memahami dengan jelas bahawa setiap perjuangan yang kita ingin laksanakan, ia tidak harus keluar dari landasan Al Quran dan As Sunnah. Kepimpinan Ulama’ tidak sewajarnya ‘dikurung’ di dalam Majlis Syura ataupun Dewan Ulama’ sahaja. Namun ia sewajibnya diletakkan sebagai nakhoda dalam saf AJK PAS Pusat yang berperanan sebagai pelaksana terhadap strategi perjuangan dalam PAS.

Dalam menghuraikan hadis di atas juga kita ingin tegaskan bahawa kita tidak mahu menafikan bahawa bukan ulama’ juga mampu untuk memahami Al Quran, akan tetapi jika kita diberi pilih antara yang baik dan terbaik, sudah barang tentu yang terbaiklah pilihan kita. Buat masa sekarang, kita bukannya sudah tiada pilihan, akan tetapi, kita masih ada banyak pilihan untuk memilih yang terbaik.

Sidang pembaca sekalian,
Bukan untuk kelihatan buyers terhadap mana-mana parti. Tapi yang ini yang mampu saya terjemahkan melalui kefahaman saya. Nak beri contoh pun, dah itu yang saya nampak. Nak buat macam mana. 'ala kulli hal, saya punya satu pesan mudah. "KEMBALILAH PADA RUKUN IMAN YANG ENAM". Ni rukun ni. Tak cukup satu tak sah.
Fikir-fikirkanlah...

"BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA'"