Sabtu, 9 Oktober 2010

Yakini Kepimpinan Ulama'

Kali ini, cuba untuk jadi berani bagi menyatakan pendapat diri. Baca dahulu baru berspekulasi.
بسم الله الرحمن الرحيم
"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami"
Surah As-Sajdah:24

Beruntungnya kita semua kerana telah dimuliakan dengan iman dan hidup di bawah naungan cahaya petunjuk dari Al Quran yang telah diturunkan oleh Allah SWT untuk memberi pedoman kepada hidup sekalian manusia yang beriman dengannya.

Firman Allah di atas telah memberikan satu harapan yang besar kepada kita bahawasanya Allah SWT akan mengangkat darjat seorang pemimpin yang menyeru agar mentaati perintah Allah SWT dengan penuh konsisten dan sabar.

Dalam perjuangan kita, kesabaran dan ketenangan kita dalam meneruskan perjuangan yang penuh cabaran dan tambah pula diuji dengan lambatnya kemenangan ini, kesabaran terhadap janji Allah SWT adalah sesuatu yang sangat penting. Kita mesti mengakui dengan jujur bahawa disepanjang zaman, para nabi dan ulama’ adalah mereka yang duduk di tangga teratas dalam menjuarai isu kesabaran ini. Rasulullah SAW menegaskan bahawa:

"Manusia yang paling berat ujiannya (lalu bersabar) adalah para nabi kemudiannya diikuti dengan ulama’ dan diikuti para solihin"

Demikian ketetapan dan sunnatullah yang berjalan sepanjang zaman. Walau betapa hebat dan canggih hujjah dan pemikiran tajdid(pembaharuan) yang kita bawa, inilah hakikat yang mesti kita terima. Ulama’ tetap relevan dalam memimpin ummah. Dalam ayat diatas yang saya nyatakan tadi, Allah SWT menegaskan bahawa Allah SWT pasti akan ‘mewujudkan’ kepimpinan yang akan memimpin orang mukmin kepada mentaati hukum Allah SWT. Siapa lagi yang lebih mengerti akan hukum hakam Allah SWT selain para ulama’. Yang bukan ulama’ tidak pernah dinafikan keimanan, keikhlasan dan kemampuan mereka dalam memperjuangkan Islam. Merekalah pembantu dan pendokong terbaik serta jasa mereka tidak pernah diabaikan. Alangkah baiknya jika mereka terus memberikan dokongan terbaik kepada kepimpinan ulama’.


Untuk membantu dan memberikan dokongan, tidak semestinya dengan menduduki tangga kepimpinan tertinggi dalam jamaah. 3 kerusi Naib Presiden dalam PAS adalah laluan dan peluang yang telah diberikan oleh Kepimpinan Ulama’ dalam PAS untuk golongan bukan ulama’ memberikan sokongan dan dokongan.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan agar cukuplah PAS memberikan ruang kepada ulama’ melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama’ dan membiarkan AJK Kerja PAS Pusat itu tidak diketuai oleh seorang ulama’. Ini adalah cadangan yang cuba membawa PAS kembali ke belakang semula. Saya bersetuju dengan kenyataan Ustaz Nik Abduh yang mengatakan bahawa ketika PAS memerlukan kepimpinan untuk memacu gerakannya ke puncak kejayaan, Allah SWT telah mengilhamkan cetusan kepimpinan ulama’ terlaksana dalam PAS. Kepimpinan ulama’ dalam PAS hanyalah penerus kepada apa yang telah terlaksana di zaman Rasulullah SAW.

Al Imam Al Munziri rahimahullah telah menaqalkan sebuah hadis dari Rasulullah SAW di dalam ‘at Targhib wat Tarhib’ bahawa:

"Barangsiapa yang menjadikan Al Quran di hadapannya (beriman, yakin dan beramal dengannya), maka ia (Al Quran) akan memimpinnya ke syurga. Dan barangsiapa yang meletakkannya (Al Quran) di belakangnya (tidak beriman dan tidak beramal dengan hukumnya), maka ia akan melemparkannya ke dalam neraka (dengan sebab tidak beriman dan beramal dengan Al Quran)"

Dalam mentadabbur hadis di atas, kita seharusnya memahami dengan jelas bahawa setiap perjuangan yang kita ingin laksanakan, ia tidak harus keluar dari landasan Al Quran dan As Sunnah. Kepimpinan Ulama’ tidak sewajarnya ‘dikurung’ di dalam Majlis Syura ataupun Dewan Ulama’ sahaja. Namun ia sewajibnya diletakkan sebagai nakhoda dalam saf AJK PAS Pusat yang berperanan sebagai pelaksana terhadap strategi perjuangan dalam PAS.

Dalam menghuraikan hadis di atas juga kita ingin tegaskan bahawa kita tidak mahu menafikan bahawa bukan ulama’ juga mampu untuk memahami Al Quran, akan tetapi jika kita diberi pilih antara yang baik dan terbaik, sudah barang tentu yang terbaiklah pilihan kita. Buat masa sekarang, kita bukannya sudah tiada pilihan, akan tetapi, kita masih ada banyak pilihan untuk memilih yang terbaik.

Sidang pembaca sekalian,
Bukan untuk kelihatan buyers terhadap mana-mana parti. Tapi yang ini yang mampu saya terjemahkan melalui kefahaman saya. Nak beri contoh pun, dah itu yang saya nampak. Nak buat macam mana. 'ala kulli hal, saya punya satu pesan mudah. "KEMBALILAH PADA RUKUN IMAN YANG ENAM". Ni rukun ni. Tak cukup satu tak sah.
Fikir-fikirkanlah...

"BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA'"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan