Ahad, 26 September 2010

"qul huwallahu ahad"

Mari ikut saya ramai-ramai. Baca "elok-elok" ye.

قل هو الله احد
"KATAKANLAH ALLAH ITU MAHA ESA"

Alhamdulillah, tidak terhingga saya panjatkan kepada Allah SWT kerana memberikan nikmat masa lapang dan menggerakkan hati ini untuk memanfaatkannya. Syukur juga saya panjatkan sekali lagi kepada Allah SWT kerana mengurniakan ketabahan dan kesabaran pada saya setelah "hatrik" hari berterusan tanpa henti saya tempuhi dalam menghabiskan 3 kertas yang dicompilekan dari 3 buah buku tebal. Berbaloi tak berbaloi itu bergantung pada kita.


Habis exam biology hari tu, naluri membuak-buak serta meronta-ronta nak habiskan sekurang-kurangnya 1 buah kitab baru sebelum "sayonara" menjelang. Setelah agak lama berfikir dan menilai prioriti, akhirnya karya agung Sayyid Qutb menjadi pilihan. Kitab Tafsir Fi Zilalil Quran ku pinjam dari roomateku, Akh Syafiq Kamil. Katanya ada jilid juzu' 'amma sahaja. Saya mengeluh kecewa. Pun begitu, sekali pun tidak menggoyahkan niat saya untuk terus meminjam. Terima kasih ye roomate. Kitab tersebut kini, telah menjadi pinjaman dan amanah seketika buat diri saya. Setelah meminjam terus saya mengambil wudu' lantas memulakan pembacaan. Syukran kepada Akh Dzulkhairi kerana menyedarkan akan keberkatan wudu' dalam memulakan apa-apa sahaja bentuk pembacaan.

FOKUS SAYA KALI INI

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Kalam Allah yang termaktub dalam kitab suci Al Quranul Kareem, merupakan satu kalam sangat mendalam maksudnya. Tidak hairanlah jika Saidina Umar Al-Khattab masuk Islam kerana keindahan kalamNYA. Ayat قل هو الله احد yang saya ajak sahabat-sahabat baca bersama saya tadi, merupakan satu kalam yang sangat mendalam jika kita teliti dengan kacamata ilmu dan iman.

Sayyid Qutb membahaskan ayat ini dengan panjang lebarnya dalam karya beliau. Kalam yang membawa makna "KATAKANLAH ALLAH ITU MAHA ESA" merupakan satu kalam keramat. Ayat ini membuktikan betapa esanya Allah SWT. Apabila hati ini bersih dari segala perasaan terhadap perkara yang lain selain dari Allah SWT yang tunggal dan bersih dari pergantungannya kepada yang lain, maka ketika itulah hati kita akan bebas dari segala belenggu dan ikatan zulumat, bebas dari sebarang ketakutan yang menjadi sumber terencatnya gerak kerja Islam.

Apa lagi yang kita inginkan wahai sahabat-sahabat sekalian, setelah kita meraih hati yang benar-benar berserah pada Allah SWT. Nescaya, saya optimis, tiada apa lagi yang kita inginkan melainkan agar ditetapkan ketetapan hati agar terus menyerah diri kepada Allah dengan sebenar-benar serah. Hati yang berserah pada Allah SWT adalah hati yang bersih. Hanya manusia berhati bersih sahaja akan menemui hakikat segala penciptaan dan segala kejadian kerana pandangannya lahir dari sumber yang suci tanpa dipengaruhi oleh sebarang anasir. Inilah hati yang dikatakan oleh para salafussoleh sebagai "HATI YANG HIDUP".

Hati yang tawajjuh kepada Allah SWT, akan melahirkan manusia beraqidah teguh dan mapan. Mana tidaknya. Segala perkara yang dilihat dan dibuatnya, semua dihubungkan lansung kepada Allah SWT. Kalimah alhamdulillah, subhanallah tidak pernah letih melafaz. Perbuatannya pula natijah dari kesyukuran kepada Allah SWT. Didiklah hati kita untuk sentiasa "relate"kan segala kejadian yang berlaku adalah kerana qada' dan qadar Allah SWT. Sebab itu kita lihat, dalam Al Quran sendiri menafikan isme-isme yang lahir. Sekali lagi saya ajak sahabat-sahabat
"قل هو الله احد"- "KATAKANLAH ALLAH ITU MAHA ESA".

Selain ayat ini, banyak lagi ayat Al Quran lain yang menunjukkan bahawa tiada perkara yang berlaku tanpa kehendak Allah SWT. Antaranya:

وما رميت إذ رميت ولكن الله رمى
"bukan engkau yang memanah ketika engkau memanah tetapi Allah jualah yang memanah"

وما النّصر إلاّ من عند الله
"tiada kemenangan melainkan dari sisi Allah SWT"

Banyak lagi ayat lain yang menunjukkan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dari sinilah lahirnya satu sistem hidup yang sempurna. Iaitu satu sistem ibadah kepada Allah SWT yang esa, samada dalam keinginan atau ketakutan atau dalam kesenangan atau kesusahan. Sistem inilah yang akan melahirkan muslim yang sufi. Tambahan pula mereka ini keluar berjuang di jalan Allah SWT untuk menegakkan syari'at islam yakni daulah dan khilafah islamiah. Dari situ pula, elemen haraki dalam diri seseorang muslim itu muncul. Sufi+Haraki, nescaya Islam kan tegak secara total kembali.

Subhanallah sahabat-sahabat, ini baru ulasan dari ayat pertama Surah Al Ikhlas. Belum lagi pergi pada ayat yang kedua dan seterusnya. Sungguh Allah Itu Maha Bijaksana. Oleh itu sahabat-sahabat, perkasakanlah aqidah dan iman kita. Dalam memperkasakan aiqdah dan iman kita ini sahabat-sahabat, saya cadangkan sahabat-sahabat berguru. Tujuannya supaya kita melalui proses pemerkasaan dengan pemahaman yang sohih dan bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata. Bersama memperkasa aqidah dan iman demi mengembalikan "senyuman" dan "sinaran" Islam di muka bumi Allah SWT. Kehendak kita dalam mengembalikan daulah dan khilafah islamiah, bergantung pada kehendak Allah SWT. Cepat atau lambat, semuanya kehendak Allah SWT. Tapi, daulah dan khilafah islamiah pasti akan kembali. Banyakkanlah bertaqarrub pada Allah dan memohon agar dipermudahkan segala urusan kearahnya.

ومآ تشآؤن إلآّ أن يشآء الله
"dan kamu tidak kehendakinya melainkan apabila dikehendaki Allah SWT"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan