Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,
Kali ini tertarik saya untuk ajak sahabat-sahabat untuk muhasabah sejenak. Hari raya eidul fitri atau juga dikenali sebagai "hari graduasi". Ya, sahabat-sahabat!!! Hari ini kita telah tiba didetik graduasi. Namun, adakah kualiti graduasi kita, bertepatan dengan apa yang kita sepatutnya dapat daripada "universiti", atau ianya hanya sekadar graduasi bertaraf "RUGI". Disini, saya cadangkan "5" indikator buat tatapan sahabat-sahabat sekalian. Satu sahaja tujuan saya. Iaitu untuk kita sama-sama RECHECK!!! Takut-takut, graduasi kita pada tahun ini, hanya berakhir dengan taraf "RUGI". Ya Allah ku mohon agar na'uzubillahi min zalik...
PERTAMA:
Menjaga dan memelihara kesatuan umat kerana ia adalah satu kewajipan yang disepakati oleh ummah tanpa sebarang khilaf. Jangan kerana perkara khilafiah, kita bergaduh dan bermasam muka. Para ulama’ telah menegaskan bahawa perkara khilafiah itu berlaku di antara yang ‘benar’ dan yang ‘paling benar’ bukannya berlaku di antara yang benar dan yang salah. Selagimana setiap pendapat yang dikemukakan oleh mana-mana pihak berasaskan dalil yang sahih dari Al Quran, Al Hadith, Ijmak dan Qiyas maka kita harus berlapang dada dan bertolak ansur. Ingat!!! Puasa menyama tarafkan ummah. Tak kiralah kaya ke, miskin ke, faqeh ilmu ke, jahil ilmu ke, semua orang kena puasa. Disitulah titik persamaannya.
KEDUA:
Kita wajib mengambil peluang sebaik mungkin untuk meraih taqwa yang telah Allah janjikan dengan kedatangan Ramadhan. Sememangnya Ramadhan itu diprogramkan oleh Allah SWT untuk melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada Allah agar lebih ramai yang berpotensi untuk memasuki jannah. Boleh dikatakan bahawa semua program yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus, iktikaf, infaq, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor, memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa.”
Surah Al Baqarah:183
KETIGA:
Ramadhan adalah bulan Al Quran. Seharusnya kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali menghayati dan mengingati fungsi dan tujuan sebenar penurunan Al Quran. Kegagalan umat Islam zaman ini memahami tujuan sebenar penurunan Al Quran serta mengamalkan seluruh isi kandungannya menyebabkan mereka lemah, berpecah serta dikuasai musuh. Isi kandungan Al Quran kini, hanya menjadi perhiasan dinding serta pemula majlis sahaja, tanpa ajarannya diamalkan serta dilaksanakan dalam kehidupan umat Islam.
شَهْرُرَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.
"Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa"
Surah Al-Baqarah:185
Sabda nabi:
وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يَتَدَارَسَهُ الْقَرْآنَ
"Yang mana baginda(Rasulullah SAW) bertemu Jibril pada setiap malam dalam bulan Ramadan, baginda bertadarus Al-Quran"
Riwayat Imam Bukhari
KEEMPAT:
Berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala puasa. Kita seharusnya belajar serta memberi penekanan untuk melatih serta mengingatkan diri agar berhati-hati dengan semua pengikis pahala puasa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Kalau boleh kita tulis besar-besar semua perkara tersebut dan lekatkan di dinding bilik atau sudut yang paling mudah kita lihat setiap hari supaya ia menjadi ‘pentazkirah harian’ kepada diri kita yang mudah lalai ini(cadangan sahaja).
Sabda nabi:
.اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ فَاِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلاَ يَرْفَثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَاِنِ امْرُؤٌ شَتَمَهُ اَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ اِنِّيْ صَائِمٌ
"Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa"
Riwayat Imam Ahmad
KELIMA:
Bersedia dengan kefahaman dan target yang jelas untuk mengamalakan segala cara dan kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk meraih pahala dan redha Allah di bulan Ramadhan. Jangan sia-siakan kedatangan bulan berkat dan bulan maghfirah ini. Jangan hanya habiskan masa dengan tidur dan memerap di bilik kolej sahaja. Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat menjadikan Ramadhan sebagai bulan jihad dan perjuangan. Baginda dan sahabat-sahabat keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan. Baginda mengirim 6 sariah(rombongan kecil tentera Islam) untuk menjalankan misi jihad Islam. Dan banyak lagi aktiviti amal soleh yang Baginda tinggalkan buat ikutan umat sepanjang zaman.
Sabda nabi:
يَقُوْلُ عَزَّ وَجَلَّ : اَلصَّوْمُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَاَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ اَجْلِيْ ، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ، فَرْحَةٌ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِيْنَ يُلْقَى رَبَّهُ
"Azza Wajalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya"
Riwayat Imam Bukhari
Dalam satu hadis Qudsi:
كُلُّ حَسَـنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ فَلَهُ عَشْرُ اَمْثَالِهَا اِلاَّ الصِّيَامَ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ
"Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untukKu dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya".
Riwayat Imam An Nasa'i
عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابَا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ لَهُ مِنْ ذَنْبِهِ
"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang bangun(menghidupkan ibadah) dibulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab(mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu"
Riwayat Imam Al Bukhari
Wallahu a'lam. Dihari yang mulia ini, ayuhlah kita basahi hari graduasi kita pada hari ini dengan tangisan keinsafan. Moga-moga ianya menjadi penyuci buat diri yang bergelumang dengan dosa hasil dari perbuatan tegar kita pada aktiviti yang bertaraf "rugi".
Dikesempatan ini, saya ingin memohon maaf atas segala kekhilafan dan kekasaran yang pernah saya lakukan. Akhir kalam,
"laisal 'aidu man labisa jadid, walakinnal 'aida man tho'atuhu yazid"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan