"ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. dengan ilmu membolehkan manusia mengesakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan"
Nasihatnya lagi:
"Allah SWT mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, agar orang ramai boleh menuruti jejaknya"
Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Pesan Muaz lagi:
"seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi"
Nasihatnya lagi:
"dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela menjadi hamba di sisi Allah SWT"
Dengan meletakkan diri sebagai hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah SWT. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah SWT. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.
Seorang yang berilmu berkewajiban mengajarkannya kepada yang lain, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah SWT. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah SWT, kita semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNYA, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit,emas, permata mahupun jiwa dan nyawa.
Nabi Muhammad SAW itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah SWT menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNYA:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNYA' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)" (Surah Al-Isra : 1)
Dalam ayat ini Allah SWT telah memperjalankan hambaNYA, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNYA atau RasulNYA, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNYA berbanding dengan hambaNYA. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya. Nabi Muhammad SAW adalah role model hamba Allah SWT di muka bumi.
Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah SWT menyebut memperjalankan 'hambaNYA' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain.
Justeru, Asmaul Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu, manusia sanggup menjadi hamba Allah SWT (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan, bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah SWT.
Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang berfahaman sedemikian, ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak).
Nasihat Muaz bin Jabal lagi:
"dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah SWT (Wabihi Yuwahhadu)"
Yang dimaksudkan dengan tuhan itu ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia.
Nasihat Muaz lagi:
"dengan ilmu itu manusia menjadi warak"
Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain.
Nasihat Muaz lagi:
"dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung dan mengukuhkan silaturahim"
Kejayaan besar Nabi SAW ialah membina silaturrahim dalam kalangan umat yang sedang berbalah berpandukan wahyu. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi SAW sebagai mengenang jasa Nabi SAW yang telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah.
Nasihatnya lagi:
"ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya"
Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisahkan. Jika ilmu tanpa diamal, maka ilmu menjadi sia-sia.
Tazkirah akhir Muaz:
"diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangnya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')"
Mutiara Kalam dari: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan