Sabtu, 20 Februari 2010

Iktibar dari Hud-hud

Alhamdulillah. Syukur pada Allah kerana diberi kesempatan juga untuk mencoret semula setelah 2 minggu bertungkus-lumus bejuang dimedan peperiksaan baru-baru ini. Terdetik pula pada kali ini untuk berkongsi mengenai perkara baru yang saya dapat kelmarin. Ketika sedang sibuk membuat preparation untuk menghadapi exam fizik, saya juga turut mendengar siaran radio IKIM.FM. Dalam kesibukan menelaah, tiba-tiba saya disentap dengan satu kisah menarik yang disampaikan oleh seorang penyampai radio IKIM.FM. Cerita mengenai Hud-hud.

Hud-hud, si burung kecil yang menjadi salah satu bala tentera Nabi Sulaiman, berinisiatif terbang ke negeri Saba’, tanpa perintah Sulaiman. Selaku pemimpin, Nabi Sulaiman sudah tentu sekali akan gusar atas pemergian Hud-hud yang tidak diketahuinya. Bahkan baginda akan memberikan hukuman keras terhadap Hud-hud kerana sikapnya itu. Nabi Sulaiman kemudiannya berusaha untuk bertanyakan kemanakah burung Hud-hud itu, pergi.

Tidak lama kemudian, Hud-hud pun muncul. Sebagai pemimpin, Nabi Sulaiman melakukan pemeriksaan(mutaba’ah), kemana Hud-hud menghilang sejak tadi. Tapi Hud-hud bukan jenis sebarangan perajurit, apatah lagi suka mensia-siakan amanah. Hud-hud mungkin malah sudah bersedia dengan segala alasan syar’i, alasan struktur(tandzimi), dan alasan konsepsi(minhaji). Secara syar’i, inisiatifnya untuk pergi meninggalkan Nabi Sulaiman, sang komandan, bukan untuk urusan maksiat. Secara strukturnya(tandzimi), Hud-hud merupakan perajurit yang kreatif, dalam usaha untuk mencari maklumat-maklumat yang bermanfaat bagi Nabi Sulaiman. Secara minhaji, ia telah melakukan pengamatan tentang tingkah laku ratu Saba’ dan kaumnya yang bertentangan dengan misi aqidah Nabi Sulaiman.

Hud-hud memang perajurit yang cerdas. Ia sangat mengerti dan faham sefaham-fahamnya akan misinya menyebarkan dakwah tauhid kepada seluruh penduduk bumi. Natijah dari inisiatif Hud-hud itu, telah berlaku satu peristiwa besar. Ratu Saba’ telah tunduk dan mengikuti agama tauhid Nabi Sulaiman. ini membuktikan, Hud-hud telah melakukan tugasnya dengan baik, serius dan berani.



KAITAN SANG HUD-HUD DENGAN SANG PEMBURU SYAHID(DAI'E)

PERTAMA:
Seorang da’i haruslah memiliki inisiatif dan kreativiti dalam menimbang kemaslahatan yang ada. Kita hendaklah berusaha untuk keluar dari ruang lingkup jumud dalam usaha merealisasikan misi dakwah. Pemikiran yang mencapah dan kreatif mampu menatijahkan keberjayaan dalam dakwah.

KEDUA:
Seorang pemimpin mestilah berwawasan luas dan harus sedar bahawa tidak semua benda yang berlaku, diketahuinya dengan baik. Nabi Sulaiman adalah nabi yang dikurniakan Allah mampu memahami bahasa haiwan dan jin, tapi jelas, baginda tidak mengetahui keberadaan negeri Saba’ yang masih tenggelam dalam lautan syirik kepada Yang Maha Esa.

KETIGA:
Walaupun perkara yang dilakukan Hud-hud adalah perkara yang kecil, iaitu dengan hanya menyaksikan sekelompok kaum yang menyembah matahari, namun pada hakikatnya, Hud-hud memiliki sudut pandang yang tajam. Ia mampu memandang fenomena itu dari sudut pandangan yang lain. Hud-hud berjaya menyampaikan informasi yang diperolehinya dengan baik sehingga berjaya meyakinkan Nabi Sulaiman. Konsekuensinya, Ratu Saba' akhirnya beriman kepada Allah.

Begitulah seharusnya seorang da’i. Kreatif dan efektif dalam berjuang. Namun, seorang dai'e harus mampu menilai fenomena itu dari sisi yang berbeza dengan syarat, ianya tidak tersasar dengan misi dakwah yang kita gariskan.

CREATIVE WITHOUT EFECTIVE GIVE NOTHING TO SOMETHING

Sabtu, 6 Februari 2010

Tabahkan Kami Seperti Para NabiMu Ya Allah

Teringat sewaktu berpuasa ketika dibangku sekolah rendah dahulu. Dalam rangka mengisi masa terluang di waktu petang sejak awal Ramadhan di samping menunggu masuknya waktu berbuka, saya ada jadikan rancangan Jejak Rasul di saluran TV3 sebagai tontonan. Terdetik dalam hati, alangkah baiknya jika rancangan-rancangan TV yang mempunyai nilai ilmu, motivasi dan pendidikan yang tinggi seperti ini dapat diperbanyakkan dalam senarai rancangan dan program televisyen negara kita.

Kita mesti mengakui hakikat bahawasanya rancangan televisyen yang negatif lebih banyak daripada yang positif. Media masa seharusnya membantu dalam mendidik dan mencorak wajah masyarakat yang bersih dari penyelewengan akhlak dan moral. Melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berilmu juga harus dibantu oleh media. Namun perkara ini adalah terletak kepada acuan yang ditetapkan oleh pemerintah. Jika acuannya rosak dan tidak baik, maka akan lahirlah kerosakan dan kebobrokan.



Kembali kita pada rancangan Jejak Rasul. Jiwa dai’e yang dimiliki oleh para anbiya’, adalah diibaratkan seteguh gunung. Mereka tidak pernah mengenal erti lemah dan putus asa. Keazaman yang jitu telah menjadikan mereka tabah dalam dakwah. Saya dapati bagaimana ditunjukkan bahawa medan yang menjadi gelanggang dakwah para Rasul ‘alaihimussolatu wassalam, adalah padang pasir yang kering kontang serta dikelilingi gunung ganang yang bisu dan kaku. Namun kegigihan perjuangan mereka tiada tolak bandingnya.

Dengan penuh kesedaran dan keinsafan, kita akui bahawa cabaran yang dihadapi oleh para da’ie dan muslim dewasa ini tidak seterik apa yang dialami oleh para anbiya’. Kita masih boleh berehat dalam suasana sejuk dan dingin penghawa dingin. Penentangan masyarakat terhadap kita tidak sekurang ajar penentangan yang diberikan oleh kaum sasaran dakwah para anbiya’ terdahulu. Apa yang dialami oleh Nabi Nuh, Hud, Saleh, Luth dan selain mereka telah menjadikan kita kecut perut mengenangkannya.

Yang menjadi cabaran kita di zaman ini adalah kasih sayang kita pada harta benda kekayaan, serta pangkat darjat dan kedudukan. Keselesaan kita telah meragut kesungguhan, istiqamah dan kesanggupan kita untuk berkorban demi menjulang 'izzah Islam. Dan jangan lupa, malas juga satu cabaran buat kita dek kerana dibuai dan didodoi dengan kesenangan hidup penuh santai buat sekian lama. Kita hebat dalam bercakap dan menulis tentang kesederhanaan Rasulullah SAW dalam kehidupan, namun untuk meneladani Baginda adalah jauh sekali.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan memilih kita untuk menelusuri jalan tinggalan, warisan dan pusaka para Anbiya’.

ALLAHUMMA, BANGKITKAN KAMI DI AKHIRAT KELAK BERSAMA ANBIYA'MU

Isnin, 1 Februari 2010

Qudwah Para Mujahid-Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq

bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahum ila yaumiddin, wa ba’du :

Rasa agak lama tidak update blog sesawang ini. Alhamdulillah, detik ini berkesempatan juga nak update.

Sahabat-sahabiah sekalian, perjuangan Islam sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada meneladani Sirah (catatan kehidupan) Baginda Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT memberikan sebaik-baik balasan kepada sekalian para ulama’ mukhlisin yang telah merintis jalan dan membuat pengorbanan yang sangat tinggi dalam menghimpun, menyalin, mengkaji, menulis dan seterusnya menyebarkan ilmu berkaitan Sirah Rasulullah SAW ini.

Kita mendapati bahawa apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi kenyataan melalui sirah Baginda SAW. Antaranya ialah, bahawa tidak akan diutuskan seorang Rasul melainkan pasti akan ada diantara manusia ini yang akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi penolong dan pembantu mereka.

Generasi para sahabah adalah sebuah generasi terpilih yang telah diangkat kemuliaan mereka itu dengan menjadi penolong dan pembantu Rasulullah SAW dalam aspek jihad dan perjuangan mereka. Mereka telah meredah dan merintis jalan dakwah Islam yang penuh dengan cabaran dan onak duri demi menjulang kemuliaan Islam serta memenangkan Islam di atas muka bumi. Mereka telah membuktikan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul dengan menabur sejuta pengorbanan yang tiada nilai. Merekalah generasi yang patah takkan tumbuh, hilang takkan berganti.



Antara contoh keteladanan yang sangat agung dalam perjuangan dan jihad pada jalan Allah adalah Saiyyiduna Abu Bakar As Siddiq Radhiyallahu ‘anhu. Dialah qudwah para mujahid sepanjang zaman atas pembuktian kecintaan yang mendalam terhadap jalan dakwah kepada Allah dan Rasul SAW.

MEMBELA DAN MENOLONG RASULULLAH SAW


Dari ‘Urwah bin Zubair berkata: “Aku pernah berkata kepada Abdullah ibn ‘Amr ibn Ash: Beritahukan kepadaku akan gangguan terbesar orang-orang musyrik terhadap Rasulullah SAW?”. Dia menjawab; “Ketika Rasulullah SAW sedang solat di Hijir Ismail, tiba-tiba datang Uqbah bin Abi Mu’ith memegang tengkuk Rasulullah SAW kemudian melilitkan bajunya ke leher Baginda dan menariknya dengan kuat sehingga leher beliau tercekik. Pada waktu itu datanglah Abu Bakar memegang batang tangkuk Uqbah dan menolaknya sekuat hati agar jauh dari Rasulullah SAW seraya berkata dengan ucapan yang telah dirakam oleh Allah SWT di dalam keagungan wahyu Al QuranNYA:

"Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: Tuhanku ialah Allah? Sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu?"

Surah Al-Ghafir-28

Ada sebuah riwayat dari Saiyyiduna ‘Ali ibn Abi Thalib bahawa pernah Ali menyebut: “ Tunjukkan kepadaku siapakah manusia yang paling berani? Mereka menjawab: "Anda wahai Amirul Mukminin". Ali berkata: "Abu Bakar". Ketika perang Badar, kami membuat bangunan pelindung untuk Rasulullah SAW. Kami berkata: "Siapa yang akan bersama Rasulullah SAW menjaga Baginda supaya tidak ada seorang tentera musyrik pun yang dapat menghayun pedang kepada Baginda SAW?". Demi Allah, tidak ada seorang pun yang menjaga Baginda melainkan Abu Bakar yang sentiasa menghunuskan pedang melindungi Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang cuba menyerang Rasulullah SAW kecuali dia pasti akan melawannya. Dialah manusia paling berani."

Akhir kalam,

JADIKANLAH GENERASI PARA SAHABAH SEBAGAI QUDWAH PERJUANGAN. MOGA-MOGA KITA BEROLEH KEKUATAN UNTUK TERUS THABAT DALAM MEMPERJUANGKAN AGAMA ALLAH

Isnin, 18 Januari 2010

Sedetik Yang Bermakna

Baru sebentar tadi tirai FESTIVEN 2010 ditutup. Tadi juga saya telah dijemput untuk membaca doa penutupan sebagai simbolik penutupan FESTIVEN 2010. Tirai penutupan FESTIVEN kali ini ditambah lagi dengan satu ceramah bertajuk "Malam Pertama di Alam Barzakh". Sungguh menarik penyampaian yang disampaikan oleh Ustaz Azlan. Penuh muhasabah disebalik kalam-kalam tuturan beliau. Sehingga berjaya mengalirkan air mata para pendengar.

Ceramah Ustaz Azlan disusuli pula dengan persembahan nasyid dari kumpulan nasyid IN-TEAM dan Saujana.

Bergambar Bersama IN-TEAM


Sementara hadirin dan hadirat berpusu-pusu mendapatkan autograf dari artis nasyid tersebut, saya mengambil peluang untuk bertemu dengan Akh Sya'ari yang turut hadir ketika majlis berlansung. Semangat saya disuntik dengan vaksin kata yang Akh Sya'ari tinggalkan pada saya sebelum berangkat pulang ke Gombak. "tak perlu tunggu masuk jemaah untuk menjalankan agenda ma'aruf.. pasakkan aqidah, lantas ayunkan langkah perjuangan.. ana tunggu anta di UIAM Gombak, InsyaAllah..". Begitulah kata yang dituturkan Akh Sya'ari pada saya walaupun pada hakikatnya InsyaAllah saya akan ke UIAM Kuantan untuk meneruskan pengajian diperingkat ijazah dalam Kulliyah Of Bio-Medic. Banyak lagi perkara yang menjadi bualan antara kami. Walaupun sempat berbicara seketika, tapi saat itu sangat bermakna.

Bergambar Bersama Mantan S/U GAMIS

Syukran Akh Sya'ari atas vaksin terbaik dikala diri sedang dilanda virus 'down'.

Sabtu, 16 Januari 2010

Sekilas RAFEST '10

Pada 4-10 Januari 2010 yang lalu, pihak Foundation Student Coordination Council(FSCC) telah menganjurkan Raudhah Festival 2010(RAFEST '10) bertempat di kampus Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pelbagai event telah berlansung. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah juga, saya berjaya mengendalikan taklifat saya sebagai Head Committee of Discipline Unit bagi RAFEST kali ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua Sub Committee of Discipline Unit(Solihin, Zulhilmi, Ustazah Adlina, Ustazah Asma' dan Ustazah Hazwani) kerana sudi bersama saya dalam merealisasikan tugas ini. Tidak lupa juga pada "team amar ma'ruf nahi mungkar" kami yang diberi nama Campus Buddies yang turut sama menyumbang keringat dalam merealisasikan misi disiplin ini. Semoga Allah membalas jasa kalian.


Bergambar bersama Vice President FSCC





Bergambar bersama 'Campus Buddies'

Sabtu, 2 Januari 2010

Kini, Mengelak "Torpedo" Di 2010

Daku muhasabah seketika. Meniti kehidupan sebagai seorang hamba kepada Khaliq yang bukanlah satu perjalanan yang mudah. Penuh ranjau, onak dan duri serta musuh yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan dan merosakkan keikhlasan ubudiyah kepada Allah SWT. Mungkin kerana susah dan payah itulah yang menjadikan jalan Allah yang ditempuh para salikin, jalan yang sangat mulia dan hebat di sisi Allah SWT. Ganjarannya bukan main hebat lagi. Memang ganjaran susah payah dan jerit perih kehidupan itu selalunya manis dan puas.

Allah SWT menjanjikan syurga bagi hamba yang bertaqwa, sedangkan taqwa adalah sepayah-payah jalan yang perlu dilalui sang hamba. Bukan sedikit bekalan dan persediaan yang perlu dibuat. Bukannya senang usaha yang perlu dijalankan untuk meraih title "muttaqin". Namun susah payah itu, di akhirnya adalah syurga.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, aitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)” (Surah An Naba’:31-36)

SYAITAN

Firman Allah SWT:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu”. (Surah Yaasiin:60)

Inilah perintah Allah kepada semua hambaNYA agar menjauhi jejak langkah syaitan, berhati-hati dengan tipudayanya serta menjadikan ia musuh yang ketat lagi hakiki. Dalam sibuk berjuang dan berjihad memerangi sekalian musuh Islam, jangan sampai dibiarkan syaitan menguasai diri. Lalu yang betul hanyalah kita Pendapat pimpinan, orang lain, salah belaka. Hanya pandangan kita yang sesuai dengan kehendak zaman. Sedangkan pendapat kita adalah pendapat yang ‘berseorangan’, sedangkan pandangan pimpinan adalah pandangan ‘ramai’ dan bersifat sunnah kerana diputus secara jamaah.

Minhaj al Abidin telah merakamkan luahan mutiara ilmu Hujjatul Islam Al Ghazali rahimahullah bahawa:

“Hendaklah kamu memerangi syaitan kerana dua perkara. Pertama, kerana ia musuh yang nyata lagi jelas dan yang kedua kerana ia diciptakan untuk bermusuhan denganmu”

Kata Yahya bin Mu’az al Razi pula:

“Syaitan mempunyai masa lapang sedangkan kamu sentiasa sibuk. Dia melihat kamu sedangkan kamu tidak melihat dia. Kamu lupa kepadanya sedangkan dia tidak lupa kepadamu. Dan nafsumu membantu syaitan. Justeru semestinya kamu memerangi syaitan, jika tidak nescaya kamu binasa”

Jika diperhatikan kepada pesanan dan peringatan para ulama’ amilin di atas, jelas lagi terang bahawa seolah-olah tiada jalan untuk melepaskan diri dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha tanpa jemu menyesatkan anak Adam. Kerana itulah kita mendapati bahawa begitu banyak sekali manusia yang berjaya dirosakkan syaitan dan hanya sedikit yang berjaya lolos dari godaannya dengan rahmat Allah.

Al ‘Allamah Syeikh Dr Said Ramadhan Al Buthi hafizahullah telah menjelaskan di dalam syarah Hikam Ibnu ‘Athaillahnya bahawa persoalan yang sering timbul di dalam dada setiap mukmin ialah kenapa Allah SWT mengizinkan syaitan merosakkan dan menyesatkan sedang dalam masa yang sama kita diperintahkan untuk taat dan patuh. Kenapa kita senantiasa dihambat dosa dan keingkaran kepada ‘titah’ Allah SWT, sedangkan kita diwajibkan taat kepada Allah. Maka dijawab oleh beliau bahawa, begitulah Allah mendidik hambaNYA agar kembali kepada Allah SWT jika ingin selamat dari syaitan.

Hanya Allah yang dapat memberikan kita kekuatan untuk terus taat dan beribadah dan hanya Allah juga yang dapat menyelamatkan diri kita dari hasutan syaitan. Hanya Allah juga yang dapat menunjukkan jalan bagaimana untuk selamat dari kesesatan ciptaan dan permainan syaitan.

Firman Allah:

"Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?” (Surah Yaasiin:61-62)

Akhir kalam,

"JADIKAN 2009 SEBAGAI MUHASABAH BUAT KITA DAN AYUNKAN LEBIH LAJU LANGKAH PERJUANGAN DI 2010"