Jumaat, 21 Ogos 2009
Ramadhan: Detik Untuk Perkemaskan Iman
Diri manusia akan rasa lebih indah dan segar apabila mereka hidup rasa bertuhan. Bagi saya, elemen ketuhanan merupakan faktor utama seseorang insan itu kenal akan diri serta tanggungjawab mereka di atas muka bumi ciptaan Allah s.w.t ini. Masakan mungkin manusia akan mempertaruhkan kudrat mereka untuk beramal seperti yang telah diperintahkan sekiranya tiada asas keyakinan iman mewarnai hati sanubari mereka untuk melaksanakannya.
Ramadhan tiba lagi. Hadiah ini bagi mereka yang benar-benar beriman dan yakin bahawa Ramadhan hadir di atas rahmah dan kasih sayang Allah untuk sekalian umat Nabi Muhammad s.a.w. Justeru, ganjaran yang tidak ternilai ini Allah hadirkan seperti yang difirmankannya di dalam surah Al-Qadar ayat 1-4:
“Sesungguhnya, Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang berkuasa. Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa? Malam yang berkuasa adalah lebih baik daripada seribu bulan. Padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah”
menunjukkan bahawa Ramadhan disediakan khas buat umat Muhammad yang rata-rata hidup sekitar umur 60 puluh tahun sehingga 70 tahun, namun masih berpeluang untuk mengaut ganjaran pahala kebajikan lebih dari seribu bulan ( lebih kurang 83 tahun). Tetapi persoalannya, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan ini dengan tunduk dan patuh serta taat pada ajarannya dan sentiasa berkejar-kejar mencari malam yang penuh kerahmatan itu.
Rakan-rakan yang dikasihi,
Indahnya puasa bukan atas dasar namanya iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Namun yang lebih tinggi nilainya yang perlu kita halusi adalah pengisiannya. Pensyariatan Ramadhan bukan sebagai bulan ibadah semata-mata, tetapi apa yang lebih penting perlu kita fahami ialah bulan mulia ini Allah jadikan sebagai pusat tarbiyyah buat kita. Inilah masanya untuk kita benar-benar mengkoreksi serta menilai semula sejauh mana ketaatan dan kepatuhan atas perintah Allah telah kita laksanakan dan berapa banyak pula kesalahan dan kezaliman yang telah kita lakukan pada jasad pinjaman dari Allah ini. Pada hemat saya, introspeksi (muhasabah) sebegini jarang kita lakukan jika berada di luar Ramadhan.
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghisaban, maka sesungguhnya telah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” ( Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
Analogi yang mampu untuk menggambarkan medan Ramadhan ini adalah seperti menservis semula kenderaan. Sebagaimana kenderaan perlu untuk diservis dari segala aspek untuk suatu perjalanan yang jauh, begitu juga diri setiap insan perlu disemak semula. Jika kenderaan perlu diuji dan diservis breknya agar mampu untuk berfungsi dalam keadaan yang baik tidak kira samada dalam situasi biasa atau kecemasan demi untuk mengelakkan kemalangan, maka perkara yang sama perlu buat kita. Ramadhan selaku pusat servis iman sewajarnya dijadikan medan untuk kita perkemaskan semula dari sudut amal ibadah, keilmuan serta keyakinan diri agar kita mampu untuk berhadapan dengan segala bentuk dugaan, cabaran serta kancah maksiat apabila Ramadhan pergi meninggalkan kita. Bagi orang-orang beriman dan bertawqa yang lulus dengan cemerlang hasil didikan dan asuhan Ramadhan, sudah pasti mereka mampu untuk ‘brek’ dengan mengejut supaya langkah-langkah kaki mereka tidak terhumban ke dalam lubang-lubang maksiat yang durjana.
Inilah bentuk perumpamaan yang sesuai untuk kita fahami fungsi serta peranan sebenar Ramadhan yang Allah perintahkan untuk kita. Terbukti kehadiran Ramadhan sememangnya membenarkan sifat Maha Pemurah, Maha Pengasihani dan Maha Penyayangnya Allah kepada hamba-hambaNya yang senantiasa dahagakan waktu-waktu keemasan untuk mendekatkan diri kepada penciptaNya.
Justeru, saya mewakili saf kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa UIA menyeru agar seluruh warga Muslim kampus diserata dunia supaya sama-sama kita merebut peluang berharga ini dengan melipatkali gandakan usaha amal serta ibadah kita buat Ramadhan kali ini. Ambillah peluang ini juga untuk mendidik diri kita supaya belajar untuk menjauhkn diri daripada perkara-perkara dosa samada yang zahir ataupun tersembunyi agar sepeninggalan Ramadhan nanti kita telah berasa mudah untuk meninggalkan maksiat.
Akhir kalam, saya mengucapkan ‘Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak’ buat seluruh warga Muslim UIA, Darul Quran, SMKA Sheikh Hj Mohd Said, SK Panglima Adnan, Tadika Budiman dan umumi. Wahai kekasihku Ramadhan, kehadiranmu dinanti-nanti, pemergianmu ditangisi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan