Sesungguhnya Allah telah mentaqdirkan perjalanan hidup para hamba-Nya dengan Qudrat dan Iradat-Nya . Sedangkan kita ternyata , Alhamdulillah disayangi-Nya dengan taklifan sebagai pimpinan ini . Lantaran itu , terimalah wazifah ini seadanya malah dengan penuh kesyukuran kerana Allah sudi mengamanahkan kita dengan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang akan menjadikan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai perlembagaannya .
Kalau kita merenung pentadbiran Badan Agama Dakwah Akhlak dan Rohani ( BADAR ) dan barisan kepimpinan Ketua Pelajar maka perkara paling utama yang perlu dilihat adalah untuk apa kita memegang amanah ini. Sekiranya kita gagal menjawab soalan ini dalam skema yang dikehendaki oleh Islam nescaya pincanglah pentadbiran BADAR mahupun Ketua Pelajar . Janganlah kita berani mendabik dada dan bersenang hati dengan jawatan kerana jawatan itu kelak akan menyeret kita ke neraka atau menjemput kita ke syurga maka pilihlah laluan mana yang kita kehendaki .
Para pemikul amanah Allah sekalian ,
Sedar tak sedar , sesi kepimpinan yang telah berlalu menyaksikan gelombang pentadbiran yang tidak seimbang dari tahun ke tahun . Masalah demi masalah menyusul malah sehingga kepimpinan tidak pernah sunyi dari internal problematic yang melanda dari serendah jawatan sehinggalah ke peringkat pentadbiran yang tertinggi . Namun kesemua permasalahan yang berlaku ini hakikatnya merupakan antara ilmu-ilmu Allah kepada para hamba-Nya yang menggunakan akal mereka . Justeru , para pimpinan sekalian tidak cukupkah sejarah pentadbiran serta permasalahan yang melanda sejak dahulu menjadi iktibar dan pengajaran malah menjadi satu titik tolak ke arah mencetuskan satu revolusi ke arah melahirkan generasi kepimpinan yang berfikiran matang dan mereka hidup dalam Sunnah Rasullallah SAW .
Bentuklah peribadi kita sebagaimana para sahabat agung ; Abu Bakar , Umar , Usman dan Ali . Jua Usamah b. Zaid , Mus’ab b. Umair , al-Arqam bin Abi al-Arqam , Talhah bin Ubaidullah , Ammar bin Yasir , Khabbab al-Arrat dan ramai lagi beliawan Islam yang wajar menjadi teladan para pimpinan . Alangkah indahnya pentadbiran BADAR dan Ketua Pelajar andai mereka berakhlak sebagaimana akhlak Rasulullah SAW dan para sahabatnya r.anhum .
Para pemikul amanah Allah sekalian ,
Kita adalah pemimpin pelajar yang hakikatnya bermaksud pekerja dan petugas pelajar . Tanggungjawab pemimpin adalah membantu sahabat-sahabatnya dalam urusan seharian mereka di sekolah dan asrama di samping mewujudkan iklim ilmiah dan solehah di sekolah. Seringkali kita tersilap dengan menganggap jawatan yang ada pada kita , pakaian kita , tanda nama kita , kasut kita , sijil kita dan pelbagai keistimewaan membolehkan kita merasakan bahawa kita mulia dan berkuasa memberi arahan dan perintah untuk rakan-rakan kita .
Perhatikan satu situasi ini ; apabila sekelompok rakan kita ingin keluar malam atau ponteng untuk membeli makanan di luar kawasan sekolah dengan diketahui oleh pimpinan maka seringkali para pimpinan akan membiarkan mereka melakukan kesalahan dan kemudian melaporkan kepada warden agar pelajar terbabit dihukum . Apakah tindakan ini benar ? Apakah niat kita berbuat demikian ?
Namun bagaimana jika kita segera menghalang mereka untuk melakukan kesalahan kerana amanah kita adalah untuk memimpin rakan-rakan untuk melakukan kebaikan dan menjauhi perkara yang salah . Malah gunakan kebijaksanaan kita untuk berdiplomasi dan menyediakan alternatif buat mereka . Mungkin kita sendiri boleh menjadi wakil dengan memohon kebenaran warden untuk keluar membeli makanan . Maka In Sya Allah dengan cara ini rakan-rakan kita akan memahami bahawa kita berniat untuk membantu dan memudahkan urusan mereka . Jangan berputus asa atau melarikan diri dari memberi dan menerima nasihat . Hubungan kita dengan rakan perlulah dipelihara selari dengan keredhaan Allah .
Lihat bagaimana sunnah Nabi SAW ke atas kita sebagai pemimpin . Nabi SAW begitu menyayangi umatnya maka kasih dan sayangnya ditunjukkan dengan dakwah , bimbingan , khabar gembira , inzar , larangan dan pelbagai aspek lagi kerana kudusnya kasih Nabi bukan hanya di dunia bahkan sehingga di akhirat Baginda SAW akan memberikan syafaat ; kerana apa ? Lantaran Nabi SAW ingin umatnya diredhai Allah dan masuk ke syurga . Itulah sikap dan sifat yang perlu disemai dan diteladani oleh pimpinan . Hidup kita hanyalah sekadar pada nafas , oleh itu jangan sia-siakan masa yang ada kerana ternyata urusan kita lebih banyak dari digit-digit yang tertera di jam tangan kita . Kepimpinan kita masa kini sedikit sebanyak menyumbang kepada gelombang dan corak masyarakat akan datang maka jangan lakukan kesilapan untuk kali yang kedua .
Para pemikul amanah Allah sekalian ,
Pemimpin yang terbaik adalah tidak lain dan tidak bukan Baginda SAW . Baginda mengamalkan apa yang dikatakan bahkan memperingatkan umatnya untuk melakukan perkara yang sama . Sayangnya , kondisi ini agak samar dan kabur dalam aspek kepimpinan BADAR dan Ketua Pelajar sebagaimana yang telah pun berlalu . Kita hanya banyak bercakap , berapi-api berpidato dan sering menyuruh rakan-rakan dan adik-adik kita untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu namun pemimpin sendiri gagal melakukan sedemikian . Inilah kelemahan atau pekung yang amat mustahil untuk ditutupi kerana kepimpinan adalah mereka yang berada di atas serta menjadi tumpuan . Sedikit kepincangan yang tercetus , maka keyakinan orang bawahan dan rakan-rakan akan goyah dan seterusnya akan menyulitkan proses dakwah di sekolah .
Pemimpin juga tidak boleh mengamalkan sikap double-standard dan hipokrit . Pemimpin yang sebenar adalah mereka yang hidup dan turut menempuh kesusahan bersama yang dipimpinnya . Pemimpin bukan sahaja memberi nasihat dengan penuh diplomasi , toleransi dan berhikmah selari dengan redha Allah dan bukannya redha makhluk bahkan jua pada masa yang sama merupakan pendengar ilmu , nasihat , teguran mahupun cemuhan yang baik .
Para pemikul amanah Allah sekalian ,
Dalam merealisasikan kesatuan tindakan maka ia memerlukan kesatuan pemikiran , keimanan dan akidah para pemimpin . Akidah dan keimanan yang mutlak dan sahih akan membentuk keutuhan peribadi rohaniyyah dan jasmaniyyah . Iman dan akidah yang mantap ini pula akan menerbitkan buah pemikiran yang selari dengan tuntutan Islam . Akhirnya barulah terbentuk kesatuan dalam tindakan . Untuk mencapai tahap ini maka pimpinan memerlukan kepada ilmu yang diperolehi melalui wasilah para ustaz dan ustazah selaku pembimbing BADAR dan Ketua Pelajar serta pembacaan kitab di samping kefahaman Islam yang mantap . Sekarang bukan lagi masa untuk kita bergelumang dalam polemik yang hanya merugikan diri sendiri seperti pertentangan antara BADAR dan Ketua Pelajar ( hakikatnya tidak akan wujud sekiranya kita memahami dasar kepimpinan Islam ) , sindrom malas dan lalai serta menyalahkan persatuan jika lemah dalam pelajaran .
Penuhilah dada kita dengan ilmu selagi ada kesempatan malah penuhilah hari-hari kita dengan amalan kebajikan untuk sesiapa sahaja . Janganlah menjadi seperti generasi yang telah lalu di mana kami menyesali kelalaian dan kelekaan kami dalam mengurus masa . Janganlah tewas kepada hawa nafsu kerana peluang kehidupan ini hanya diberikan Allah Ta’ala sekali sahaja . Setiap detik yang kita lalui ini akan mendapat penilaian daripada Allah maka yakinkah kita mampu melihat wajah Allah kelak lantaran maksiat yang banyak kita lakukan .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan