Samaada sedar atau tidak, kita telah kembali dijajah oleh orang-orang Barat melalui cara yang sangat halus tapi amat berbisa. Mereka telah menyuntik vaksin berbahaya ke dalam pemikiran rakyat Malaysia bagi menghalang dan menyekat pemikiran secara Islam menular dan berkembang di bumi yang kita sayangi ini, Malaysia. Suntikan itu tidak menyakitkan, tetapi, dalam jangka masa panjang ia telah menyebabkan pembentukan satu tumor yang berkembang secara tidak terkawal. Tumor ini amat menyakitkan dan sukar diubati. Hari demi hari, tumor ini telah memusnahkan aset penting negara, iaitu para remaja masa kini. Pelajar masa kini, remaja terutamanya,semakin berani membuli rakan sendiri, dan kadang-kadang sehingga sanggup memukul dan membunuh. Ke manakah menghilangnya nilai ukhuwah yang diajarkan oleh As-Syahid Hassan Al- Banna? Pelajar sekarang juga berani menengking guru malahan ada yang sampai sanggup mencurahkan asid ke wajah guru tersebut. Di manakah adab-adab belajar yang telah diajarkan oleh Imam Al- Ghazali? Secara tidak langsung, masalah-masalah ini telah menggoyahkan sistem pendidikan negara.
Sekiranya hal ini dibiarkan berleluasa, peradaban Malaysia sudah pasti akan terbantut dan sukar untuk dibangunkan.Sesungguhnya peradaban negara amat bergantung kepada pendidikan yang diterapkan ke dalam jiwa setiap pemuda-pemudi negara. Apabila direnungkan kembali, telah timbul salah faham dalam dunia pendidikan zaman kini. Pendidikan yang ada di sekolah, pondok dan berbagai universiti sekarang ini telah disempitkan ertinya sekadar perpindahan dan pengajaran ilmu dan kepakaran, baik ilmu-ilmu ekonomi, politik, bahasa, sains, teknologi, kejuruteraan, mahupun ilmu-ilmu Islam seperti tauhid, feqah dan tasawuf. Jadi, kita tidak perlu hairan sekiranya ada pelajar Fakulti Pengajian Islam ataupun Fakulti Sains dan Teknologi yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Walaupun sistem pendidikan sekarang ini dilabelkan Islam, ia hanya mampu mengubah dasar, matlamat serta teknik pentadbiran aqliah dan lahiriah sahaja, namun ia tidak mampu mengubah jiwa manusia sehingga manusia itu merasakan dirinya adalah hamba Allah Yang Esa.Secara tegasnya, para pemimpin dan pendidik pada masa kini tidak faham apa itu manusia. Mereka sangka manusia hanyalah fizikal dan akal sahaja. Ada juga yang tahu bahawa selain fizikal dan akal, manusia juga mempunyai roh atau nurani, tetapi mereka tidak tahu betapa pentingnya roh ini dan tidak tahu bagaimana membangunkan roh atau nurani tersebut. Bahkan mereka sendiri tidak mampu mendidik dam membangunkan hati nurani atau roh mereka sendiri. Akhirnya mereka hanya mampu menjayakan pembangunan akal dan material sahaja, sedangkan rohaniah anak didiknya tidak jauh bezanya dengan haiwan.
Mengapa ini semua terjadi? Perlu diakui di sini bahawa kebanyakan manusia pada masa ini bersikap sombong dan alpa. Manusia lupa bahawa yang berhak mendidik manusia adalah Allah s.w.t. Allah yang menciptakan manusia, yang menciptakan dunia. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Allah tahu masalah dunia, Dia apa yang sedang bermain di dalam fikiran manusia pada detik ini, dan Dia juga tahu nafsu dan rohaniah manusia. Tapi, kerana sayangkan hamba-hambaNya, Allah s.w.t. telah menyampaikan kaedah yang paling tepat untuk mendidik manusia. Kaedah itu Allah telah kirim kepada kita melalui utusan-Nya, Rasulullah s.a.w. Malangnya, manusia itu bongkak. manusia menganggap dirinya terlalu pandai dan mengambil alih kuasa Allah untuk mendidik. Mereka guna akal dan kaedah ciptaan mereka untuk mendidik manusia. Inilah suatu kesalahan besar manusia. Secara sedar atau tidak, manusia sudah menuhankan diri sendiri. Na'uzubillah.. Manusia sudah ingin menjadi Tuhan. Maka datanglah kemurkaan Allah kepada hamba-hambaNya. Semakin banyak sekolah dan universiti dibangunkan, semakin ramai orang masuk ke dalam sistem pendidikan buatan manusia, semakin banyak kejahatan dan masalah dalam masyarakat. Inilah rahsia yang tersembunyi, rahsia yang tersirat, yang ahli dan pakar pendidikan tidak nampak, sebab mereka hanya melihat yang lahiriah saja dengan menggunakan mata dan akal sahaja.Marilah kembali kepada Al-Quran. Semua kaedah yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul sudah tercatat di dalam Al-Quran. Kitab suci ini seharusnya dijadikan resepi untuk mengatasi masalah kehidupan, dan bukan semata-mata zikir dan doa demi memperoleh kelebihannya sehingga tidak memberi kesan dalam membangun cara berfikir, sudut pandangan dan orientasi hidup serta perilaku individu, keluarga dan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan