Jumaat, 27 Ogos 2010

Keluhan Subuh...

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatanganseorang tetamu tetapku. "Assalamualaikum", seru Subuh. "Wa'alaikumsalam", sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Ku bertanyakan khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat. "Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu tempat.

Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi semua tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.


"Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa. Disitulah aku meratah buah Tahajjud dengan penuh puas serta asyik".

Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.

"Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai.

"Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh.

"Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh.

Aku agak buntu, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. "Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".

Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?"

"InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum", seru Subuh.

"Waalaikumsalam", jawabku kembali.

Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

-tamat-

RENUNGAN:

Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Magrib dan Isyak ye? Dan, apalah agaknya keluhan Tahajjud, Tasbih, Hajat, Witir dan lain-lain pula ye?

JAWAPANNYA... TERSIRAT DALAM DIRI KITA...

Rabu, 25 Ogos 2010

Ibu Tunggal Menjentik Mindaku...

Satu hari seorang ibu tunggal mencoret kepadaku,

SEBELUM SURAT DIBUKA

MUKA SURAT 1, PERENGGAN 1

"Assalamualaikum anakanda shami,
Syukur… sejuk hati mak bila dengar anak beri ceramah tadi... muka anak, tak lari dari wajah anak mak yang nombor 2. Putih muka dia macam anak… hensem… Cuma anak mak tak pakai ketayap je… tapi, anak nombor 2 mak ni lain… dia tak sama macam anak… dia buang mak, nak… dia tak sayang mak… layan mak macam mak tiada harga diri… mak sedih nak, mak sedih sangat…

PERENGGAN 2

Masa anak beri ceramah tadi, tiba-tiba mak teringat pada arwah suami mak… arwah suami mak memang garang… habis semua nak disebat dengan getah paipnya bila dia marah… anak-anak pun takut dengan dia… mak ada dua orang anak… anak mak yang pertama, perempuan… arkitek… tapi, dia dah pergi dulu dari mak… dia sakit barah… kalau dia masih ada, mesti dia yang akan jaga mak… dia memang seorang yang lemah lembut… tapi mak kecewa dengan anak nombor 2 mak… dia tak sayang mak nak… Anak janganlah buat macam ni pada mak anak sendiri… menyumpah mereka nanti nak… tak cium bau syurga nanti… anak tahu kan…

PERENGGAN 3

Cuma ada sedikit pesanan yang mak ingin sampaikan pada anak… Sayang ibu bapa anak. Jangan hancurkan hati mereka. Jangan bergaduh sesama adik-beradik ye nak. Cari kawan-kawan yang baik je. Kalu tak baik, nanti takut jadi macam anak nombor 2 mak… sebab salah pilih kawanlah tu… nanti jadi ustaz yang baik-baik. Jangan lupa diri bila dah berjaya dan terkenal nanti. Ceramah nanti baik-baik ye nak. Mak suka dengar anak berceramah…

MUKA SURAT 2, PERENGGAN 4&5

Dan yang akhir sekali nak, JANGAN LUPA DOAKAN MAK walaupun anak tak kenal rupa mak… anak memang anak yang baik… mak tengok dari jauh pun, mak dah tahu anak ni, anak yang baik… mak teringin nak ada anak macam anak… jadi ustaz… berbakti pada orang… mak tak pandai agama nak… mak tak dapat nak ajar anak mak agama… harapkan pada arwah suami mak untuk ajar anak-anak… itupun solat sahaja.

Tapi mak bersyukur nak… duka mak hilang sekejap bila tengok anak tadi… belum jadi ustaz pun lagi… cakap macam orang dah besar… ingat ye pesan mak tadi… jaga diri baik-baik ye nak…"


FOKUS SAYA KALI INI

Berikut adalah gambar dan salinan surat dari salah seorang ibu tunggal yang hadir ke Grand Charity Ifthor ENGENIUS dan MEDCY pada 19 Ogos 2010 yang lalu. Pada malam itu, saya telah dijemput untuk memberi tazkirah Ramadhan bagi mengisi ruang waktu antara Maghrib dan Isya'. Ibu tunggal ini, mengamanahkan surat ini kepada seorang komiti yang bertugas pada malam itu untuk diberikan pada saya.

Jujur saya katakan, disaat saya membaca surat ini, disamping menitiskan air mata, perkara pertama yang terlintas difikiran saya ialah, ucapan "TERIMA KASIH dan SAYANG" yang tidak terhingga buat mama dan papa saya, guru-guru saya, murabbi-murabbi saya, naqib-naqib saya, adik-beradik saya dan sahabat-sahabat saya yang tidak pernah jenuh mendidik dan mentarbiah saya selama ini. Sesungguhnya, saya bersyukur pada Allah SWT kerana menghantar kalian dalam hidup saya.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Bukan tujuan saya meletakkan surat ini sebagai post terbaru saya kali ini bagi tujuan mengangkat dan membangga diri. Tujuan dan apa yang saya harapkan adalah, kita sedar TANGGUNGJAWAB kita sebagai seorang DA'IE dan sebagai seorang ANAK yang "MUSLIM". Tempelak pada diri kita!!! Adakah tanggungjawab kita kepada masyarakat disekitar kita telah terlaksana? Adakah "KEBAJIKAN" mereka telah tertunai. Tempelaklah pada diri kita wahai sahabat-sahabiah sekalian, agar kita sedar.

Isi surat yang ditulis oleh ibu tunggal ini kepada saya, saya ibaratkan ibarat jari yang menjentik minda bagi menyedarkan saya tentang masyarakat dunia. Wahai mahasiswa-mahasiswi kampus sekalian, tugas kita besar dan masih luas. Duduk mengatur dan melaksana strategi dakwah dikampus tidak cukup mencabar lagi buat kita sebenarnya. Lapangan ummah kita besar lagi mahasiswa-mahasiswi sekalian. Caknalah kita kepada perkara dunia. Bukankah cakna kepada apa yang berlaku pada saudara-saudara kita diluar sana merupakan sabdaan nabi kita juga??? Fikir-fikirkanlah sahabat-sahabiah mahasiswa sekalian.

Ini cabaran buat kita. Kita tidak boleh tidur lagi sekarang. Kita harus bangkit. "MEREKA" memerlukan kita. "MEREKA" dahagakan ilmu, "MEREKA" dahagakan kaifiat wadah maghfirah. Ayuh kita bantu mereka disamping kita bantu diri kita, sahabat-sahabiah sekalian.

"KEBANGKITAN KITA, SATU KEGEMBIRAAN BUAT MEREKA"

Sabtu, 21 Ogos 2010

Kita Bukan Sendirian...

Bismillah fi kalami awwalan. Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada sidang pembaca sekalian atas kelambatan saya meng"update" blog sesawang ini, memandangkan banyak aulawiyat yang perlu dilaksanakan dahulu belakangan ini.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Ramadhan mendidik kita menjadi hamba Allah yang hakiki. Antara rasa hati yang terdetik sebagai seorang hamba ialah pemerhatian dan intipan Allah SWT ke atas setiap gerak gerinya. Dalam kata lain, mereka senantiasa merasai kebersamaan Allah SWT didalam setiap detik kehidupan. Tidak ada sesaat pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT.


Ia adalah ibarat seperti kita yang senantiasa dipantau oleh polis atau SB. Walaupun kita tidak buat sebarang kesalahan, namun kita pasti tertanya-tanya dan "gedebar" perut, apabila SB selalu telefon kita, kereta polis pagi petang ada di hadapan rumah kita dan selalu mengekori kita. Kita dengan sendirinya akan menjaga tingkah laku dan memerhati dengan sungguh-sungguh segala tindakan kita agar tidak melanggar undang-undang. Saudaraku, ingatlah, pemerhatian Allah SWT jauh lebih halus dan lebih detail dari pemerhatian Polis/SB.

Polis atau SB akan tidur, sedangkan Allah SWT tidak pernah tidur dan suci dari semua sifat makhluk. Polis akan berhenti rehat untuk makan minum dan sebagainya sedangkan Allah tidak makan, tidak minum dan tidak perlukan rehat seperti kita. Pemerhatian Allah tiada batasan sedangkan pemerhatian Polis dan SB ada batas dan hadnya. Allah SWT sangat-sangat mengetahui segala gerak-geri dan kondisi kita, hatta yang terbisik dihati pun, Allah SWT tahu.

Justeru, berwaspadalah dengan segala tindakan dan pertuturan bahkan gerak hati sepanjang kehidupan kita yang berbaki didunia ini, kerana semuanya dalam pemerhatian Allah SWT.

Satu lagi, di samping merasai pemerhatian Allah SWT, kita juga harus merasakan setiap yang diperhatikan Allah SWT tidak juga akan terlepas dari perhitungan. Tidak ada yang kecil mahupun yang besar melainkan semuanya dalam hitungan Allah SWT. Sebagaimana yang telah Allah peringatkan di dalam Surah Al Zalzalah:

(7)فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
(8)وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Ini menunjukkan bahawa yang baik mahupun yang jahat, walau sebesar atom sekalipun, pasti akan diperlihatkan dan dibalas di akhirat kelak.

FOKUS SAYA KALI INI

"Meyakini perhitungan Allah SWT ini adalah merupakan penawar jiwa bagi setiap mukmin. Mereka yakin bahawa ketaatan dan kemaksiatan akan dibalas. Imam Al Ghazali ‘alaihi rahmatullah menyebutkan di dalam Minhajul ‘Abidin bahawa, apabila seorang hamba ingin melakukan dosa, maka hendaklah ia segera mengingati akibat dari dosa tersebut iaitu "NERAKA" Allah SWT. InsyaAllah, dengan segera ia tertahan dari bermaksiat kepada Allah SWT.

Buat para da’ie dan pejuang agama serta penggerak amal islami, yakinlah bahawa segala kesusahan dan kepayahan demi perjuangan menegakkan syari’atullah dalam diri dan negara pasti diperhatikan dan dihitung dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di dalam kitab-kitab sahih Hadis Rasulullah SAW, direkodkan bahawa debu-debu yang melekat dibetis para mujahid akan menyebabkan betis tersebut tidak akan dimamah api neraka Allah SWT."


Yakinilah jua bahawa pengkhianatan pemerintah thaghut yang zalim serta pengikut mereka sepanjang zaman, pasti didalam pemerhatian Allah serta perhitunganNYA dan akan dibalas di akhirat kelak dengan seadil-adilnya di hadapan mahkamah Allah SWT.

Sebagai penutup, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa "HATI" adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT. Perbaikilah "HATI" dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Hiasilah ia dengan ikhlas dan taqwa. Isilah ia dengan ilmu dan makrifah. Nescaya ia akan jernih, tenang serta bahagia menantikan janji-janji Rabnya tertunai di akhirat kelak.

RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA

Khamis, 12 Ogos 2010

Ramadhan Power, Jihad Pun Kena Power

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan,
كل رمضان وانتم بألف خير kepada seluruh umat Islam sedunia. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana masih mempertemukan kita dengan bulan yang penuh barakah ini.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Adalah menjadi harapan dan setinggi-tinggi cita-cita seorang Mukmin itu agar amalnya diterima oleh Allah SWT. Rasa takut amalan tidak diterima Allah SWT menyebabkan berlakunya muhasabah terhadap setiap amalan dan berlakunya juga peningkatan serta penambahbaikan terhadap ibadah dan amal soleh. Dalam masa yang sama, harapan agar Allah SWT menerima segala amal tidak pernah kunjung padam, bahkan semakin bertambah, sangka baik kita kepada Allah, bahawa Allah pasti akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan dengan syarat terpeliharanya keikhlasan serta tuntutan syara’.

Ramadhan adalan bulan pembersihan. Ia membersih hati dan jiwa, membersihkan tubuh dari penyakit, membersihkan hati dari penguasaan nafsu syahwat dan yang paling utama, Ramadhan membersihkan kita dari dosa.


Ramadhan adalah bulan maghfirah. Setiap kebaikan yang dilakukan di bulan ini dijanjikan keampunan dan kelepasan dari api neraka. Tidak ada waktu dan saat seumpama Ramadhan yang dapat menandingi kehebatannya dari sudut janji gandaan pahala serta keampunan dari Allah SWT.

Al Imam Al Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan sabdaan Nabi SAW:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keyakinan (terhadap janji Allah SWT) maka diampunkan dosa-dosa yang dilakukannya”

Imam Ibn Khuzaimah dalam sahihnya telah meriwayatkan hadis yang di sampaikan oleh Saiyyiduna Salman Al Farisi bahawa Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang memberikan jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa(bulan Ramadhan) maka diampunkan dosa-dosanya serta dibebaskan batang lehernya dari neraka”

Bahkan lebih banyak lagi hadis yang menegaskan hal yang sama. Maka sabitlah keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa serta bersungguh-sungguh beribadah di dalam bulan penuh barakah ini.

Para sahabat yang mendapat tarbiyah lansung dari Rasulullah SAW adalah generasi yang sangat menjiwai perkara ini. Jika perkara-perkara sunat yang dilakukan di bulan Ramadhan dijanjikan keampunan oleh Allah SWT, maka sudah tentu perkara-perkara wajib akan mendapat habuan yang lebih besar dan hebat dari Allah. Kerana itulah mereka keluar ke medan jihad di bulan Ramadhan walaupun dalam keadaan penat, lapar, dahaga serta penuh dengan kekurangan serta jumlah bilangan yang sedikit.

Namun kerana ingin meraih redha dan maghfirah dari Allah yang Rahman dan Rahim, mereka melangkah ke medan jihad memerangi musuh Allah SWT seperti yang berlaku di medan Badar al Kubra. Ia berlaku ketika kefardhuan puasa kali pertama diperintahkan oleh Allah SWT pada tahun ke-2 Hijrah. Dengan jumlah yang sedikit berbanding musuh yang tiga kali ganda lebih ramai serta lengkap bersenjata, mereka mendepani musuh dengan tawakkal yang tinggi serta bercita-cita agar dipilih oleh Allah SWT sebagai syahid.

Ini membuktikan bahawa, Ramadhan bukannya bulan untuk kita berehat dari jihad dan perjuangan. Beruntunglah mereka yang terus menghidupkan kefardhuan jihad menegakkan ma'ruf dan mengkuburkan mungkar, walaupun di bulan Ramadhan.

رمضان كريم , الله اكرم

Ahad, 1 Ogos 2010

Kehadiranmu Dinanti, Keberadaanmu Diamati...

MasyaAllah... Tup tap(2x), pejam celik(2x), tak lama lagi kita akan masuk kefasa yang dinanti-nantikan oleh mukmin sedunia. Ahlan ya Ramadhan. Kedatanganmu dinanti, keberadaanmu diamati.


Sahabat-sahabiah seperjuangan sekalian,
Ramadhan adalah bulan barakah yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Jiwa akan tenang dengan mengingati Allah SWT dan sememangnya di bulan mulia ini, amat mudah sekali mengajak hati mengingati Allah serta membasahi lidah dengan zikrullah kerana nafsu telah dilemahkan serta syaitan diikat kukuh oleh Allah SWT. Ya Allah, alangkah indahnya jika sepanjang tahun beginilah suasananya. Pastinya suasana ini adalah bukti terhadap keberkatan dan kemuliaan bulan ini.

Allah SWT menolong kita dalam beribadah dan berbuat taat serta membanyakkan zikrullah dengan melemahkan nafsu melalui lapar dahaga. Justeru sedikit sebanyak, kita boleh merasakan inilah dia suasana ketaatan yang sebenar serta sifat mukmin yang hakiki. Bila nafsu lemah, tubuh terasa ringan beribadah. Bayangkan ibadah dan zikrullah para sahabah radhiyallahu ‘anhum para pembaca sekalian!. Jika kita yang disebut sebagai generasi pengabai solat dan pengikut syahwat ini turut merasai manis dan lazatnya ibadah di bulan mulia ini, bayangkan pula taat dan ibadah sahabah radhiyallahu ‘anhum.

Para ulama’ salaf menyebutkan bahawa ketenangan dan kelazatan dalam ibadah itu dapat dicapai dengan beberapa perkara:

Pertama: Dengan mengurangkan percakapan yang sia-sia dan tidak berfaedah.
Kedua: Dengan mengurangkan makan minum kerana lapar itu menghidupkan hati.
Ketiga: Dengan banyak berjaga malam untuk beribadah dan istighfar atas segala dosa dan noda.

Sahabat sekalian, kalau kita amati betul-betul petua ulama’ di atas, nescaya kita dapati bahawa ketiga-tiga perkara tersebut terhimpun semuanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tanpa kita sedar, rupanya Allah membantu kita dalam mencapai kemanisan ibadah dan taat melalui kurniaan Ramadhan yang penuh barakah.

Apa yang lebih penting bagi setiap mukmin, kelazatan ibadah dan taat itu biarlah melebar hingga kepada merasai manis dan lazat dalam jihad dan perjuangan. Kemanisan jihad ini telah dicapai dan dirasai oleh para sahabah radhiyallahu ‘anhum sehingga mereka tidak pernah ragu apatah lagi ketinggalan dari menyertai setiap operasi jihad yang dilancarkan oleh Rasulullah SAW.

Kita mendengar riwayat yang sahih mengenai beberapa orang dari kalangan sahabat yang mulia begitu bersungguh-sungguh menggagahi diri untuk keluar ke medan jihad walaupun telah tua dan tidak berkemampuan. Saiyyiduna ‘Amr ibn Jamuh umpamanya. Walaupun berkaki tempang, tetap berkeras mahu keluar ke medan jihad walaupun dihalang oleh anak-anaknya dek kerana ketempangannya. Bila perkara ini diadukan kepada para Rasulullah SAW, ‘Amr ibn Jamuh berkata:

“Aku mahu melangkah masuk ke dalam syurga Allah SWT dengan kakiku yang tempang ini”. Nak!, bukankah kesungguhan ini tidak akan dicapai melainkan dengan merasai lazat dan manisnya berjuang dan berjihad?."

Para ulama’ menyebutkan bahawasanya kemanisan serta kelazatan ibadah, taat dan jihad dapat dirasai adalah kerana zahir dan hati yang bersih dari dosa. Sehinggakan ternampak segala kebenaran janji Allah bagi yang menjadikan seluruh hidupnya ibadah dalam ketaatan serta bersungguh-sungguh dalam berjihad menegakkan agama Allah. Hasil dari keyakinan terhadap janji Allah itulah yang menyebabkan timbulnya kesanggupan untuk berkorban, bermujahadah, bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kesenangan dan kelazatan hidup dunia kerana beribadah dan berjihad.

"allahumma ya Rahman ya Rahim, kurniakan kami kelazatan taat dan ibadah. Limpahkan untuk kami rahmat dan kasihMU hingga kami mampu mengikuti jalan RasulMU dan jejak para sahabat Baginda dengan berkat kurniaan RamadhanMU, Ya Allah."