Ahad, 1 Ogos 2010

Kehadiranmu Dinanti, Keberadaanmu Diamati...

MasyaAllah... Tup tap(2x), pejam celik(2x), tak lama lagi kita akan masuk kefasa yang dinanti-nantikan oleh mukmin sedunia. Ahlan ya Ramadhan. Kedatanganmu dinanti, keberadaanmu diamati.


Sahabat-sahabiah seperjuangan sekalian,
Ramadhan adalah bulan barakah yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Jiwa akan tenang dengan mengingati Allah SWT dan sememangnya di bulan mulia ini, amat mudah sekali mengajak hati mengingati Allah serta membasahi lidah dengan zikrullah kerana nafsu telah dilemahkan serta syaitan diikat kukuh oleh Allah SWT. Ya Allah, alangkah indahnya jika sepanjang tahun beginilah suasananya. Pastinya suasana ini adalah bukti terhadap keberkatan dan kemuliaan bulan ini.

Allah SWT menolong kita dalam beribadah dan berbuat taat serta membanyakkan zikrullah dengan melemahkan nafsu melalui lapar dahaga. Justeru sedikit sebanyak, kita boleh merasakan inilah dia suasana ketaatan yang sebenar serta sifat mukmin yang hakiki. Bila nafsu lemah, tubuh terasa ringan beribadah. Bayangkan ibadah dan zikrullah para sahabah radhiyallahu ‘anhum para pembaca sekalian!. Jika kita yang disebut sebagai generasi pengabai solat dan pengikut syahwat ini turut merasai manis dan lazatnya ibadah di bulan mulia ini, bayangkan pula taat dan ibadah sahabah radhiyallahu ‘anhum.

Para ulama’ salaf menyebutkan bahawa ketenangan dan kelazatan dalam ibadah itu dapat dicapai dengan beberapa perkara:

Pertama: Dengan mengurangkan percakapan yang sia-sia dan tidak berfaedah.
Kedua: Dengan mengurangkan makan minum kerana lapar itu menghidupkan hati.
Ketiga: Dengan banyak berjaga malam untuk beribadah dan istighfar atas segala dosa dan noda.

Sahabat sekalian, kalau kita amati betul-betul petua ulama’ di atas, nescaya kita dapati bahawa ketiga-tiga perkara tersebut terhimpun semuanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tanpa kita sedar, rupanya Allah membantu kita dalam mencapai kemanisan ibadah dan taat melalui kurniaan Ramadhan yang penuh barakah.

Apa yang lebih penting bagi setiap mukmin, kelazatan ibadah dan taat itu biarlah melebar hingga kepada merasai manis dan lazat dalam jihad dan perjuangan. Kemanisan jihad ini telah dicapai dan dirasai oleh para sahabah radhiyallahu ‘anhum sehingga mereka tidak pernah ragu apatah lagi ketinggalan dari menyertai setiap operasi jihad yang dilancarkan oleh Rasulullah SAW.

Kita mendengar riwayat yang sahih mengenai beberapa orang dari kalangan sahabat yang mulia begitu bersungguh-sungguh menggagahi diri untuk keluar ke medan jihad walaupun telah tua dan tidak berkemampuan. Saiyyiduna ‘Amr ibn Jamuh umpamanya. Walaupun berkaki tempang, tetap berkeras mahu keluar ke medan jihad walaupun dihalang oleh anak-anaknya dek kerana ketempangannya. Bila perkara ini diadukan kepada para Rasulullah SAW, ‘Amr ibn Jamuh berkata:

“Aku mahu melangkah masuk ke dalam syurga Allah SWT dengan kakiku yang tempang ini”. Nak!, bukankah kesungguhan ini tidak akan dicapai melainkan dengan merasai lazat dan manisnya berjuang dan berjihad?."

Para ulama’ menyebutkan bahawasanya kemanisan serta kelazatan ibadah, taat dan jihad dapat dirasai adalah kerana zahir dan hati yang bersih dari dosa. Sehinggakan ternampak segala kebenaran janji Allah bagi yang menjadikan seluruh hidupnya ibadah dalam ketaatan serta bersungguh-sungguh dalam berjihad menegakkan agama Allah. Hasil dari keyakinan terhadap janji Allah itulah yang menyebabkan timbulnya kesanggupan untuk berkorban, bermujahadah, bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kesenangan dan kelazatan hidup dunia kerana beribadah dan berjihad.

"allahumma ya Rahman ya Rahim, kurniakan kami kelazatan taat dan ibadah. Limpahkan untuk kami rahmat dan kasihMU hingga kami mampu mengikuti jalan RasulMU dan jejak para sahabat Baginda dengan berkat kurniaan RamadhanMU, Ya Allah."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan