Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Ramadhan mendidik kita menjadi hamba Allah yang hakiki. Antara rasa hati yang terdetik sebagai seorang hamba ialah pemerhatian dan intipan Allah SWT ke atas setiap gerak gerinya. Dalam kata lain, mereka senantiasa merasai kebersamaan Allah SWT didalam setiap detik kehidupan. Tidak ada sesaat pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT.
Ia adalah ibarat seperti kita yang senantiasa dipantau oleh polis atau SB. Walaupun kita tidak buat sebarang kesalahan, namun kita pasti tertanya-tanya dan "gedebar" perut, apabila SB selalu telefon kita, kereta polis pagi petang ada di hadapan rumah kita dan selalu mengekori kita. Kita dengan sendirinya akan menjaga tingkah laku dan memerhati dengan sungguh-sungguh segala tindakan kita agar tidak melanggar undang-undang. Saudaraku, ingatlah, pemerhatian Allah SWT jauh lebih halus dan lebih detail dari pemerhatian Polis/SB.
Polis atau SB akan tidur, sedangkan Allah SWT tidak pernah tidur dan suci dari semua sifat makhluk. Polis akan berhenti rehat untuk makan minum dan sebagainya sedangkan Allah tidak makan, tidak minum dan tidak perlukan rehat seperti kita. Pemerhatian Allah tiada batasan sedangkan pemerhatian Polis dan SB ada batas dan hadnya. Allah SWT sangat-sangat mengetahui segala gerak-geri dan kondisi kita, hatta yang terbisik dihati pun, Allah SWT tahu.
Justeru, berwaspadalah dengan segala tindakan dan pertuturan bahkan gerak hati sepanjang kehidupan kita yang berbaki didunia ini, kerana semuanya dalam pemerhatian Allah SWT.
Satu lagi, di samping merasai pemerhatian Allah SWT, kita juga harus merasakan setiap yang diperhatikan Allah SWT tidak juga akan terlepas dari perhitungan. Tidak ada yang kecil mahupun yang besar melainkan semuanya dalam hitungan Allah SWT. Sebagaimana yang telah Allah peringatkan di dalam Surah Al Zalzalah:
(7)فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
(8)وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
FOKUS SAYA KALI INI
"Meyakini perhitungan Allah SWT ini adalah merupakan penawar jiwa bagi setiap mukmin. Mereka yakin bahawa ketaatan dan kemaksiatan akan dibalas. Imam Al Ghazali ‘alaihi rahmatullah menyebutkan di dalam Minhajul ‘Abidin bahawa, apabila seorang hamba ingin melakukan dosa, maka hendaklah ia segera mengingati akibat dari dosa tersebut iaitu "NERAKA" Allah SWT. InsyaAllah, dengan segera ia tertahan dari bermaksiat kepada Allah SWT.
Buat para da’ie dan pejuang agama serta penggerak amal islami, yakinlah bahawa segala kesusahan dan kepayahan demi perjuangan menegakkan syari’atullah dalam diri dan negara pasti diperhatikan dan dihitung dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di dalam kitab-kitab sahih Hadis Rasulullah SAW, direkodkan bahawa debu-debu yang melekat dibetis para mujahid akan menyebabkan betis tersebut tidak akan dimamah api neraka Allah SWT."
Yakinilah jua bahawa pengkhianatan pemerintah thaghut yang zalim serta pengikut mereka sepanjang zaman, pasti didalam pemerhatian Allah serta perhitunganNYA dan akan dibalas di akhirat kelak dengan seadil-adilnya di hadapan mahkamah Allah SWT.
Sebagai penutup, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa "HATI" adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT. Perbaikilah "HATI" dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Hiasilah ia dengan ikhlas dan taqwa. Isilah ia dengan ilmu dan makrifah. Nescaya ia akan jernih, tenang serta bahagia menantikan janji-janji Rabnya tertunai di akhirat kelak.
RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan