Isnin, 18 Januari 2010

Sedetik Yang Bermakna

Baru sebentar tadi tirai FESTIVEN 2010 ditutup. Tadi juga saya telah dijemput untuk membaca doa penutupan sebagai simbolik penutupan FESTIVEN 2010. Tirai penutupan FESTIVEN kali ini ditambah lagi dengan satu ceramah bertajuk "Malam Pertama di Alam Barzakh". Sungguh menarik penyampaian yang disampaikan oleh Ustaz Azlan. Penuh muhasabah disebalik kalam-kalam tuturan beliau. Sehingga berjaya mengalirkan air mata para pendengar.

Ceramah Ustaz Azlan disusuli pula dengan persembahan nasyid dari kumpulan nasyid IN-TEAM dan Saujana.

Bergambar Bersama IN-TEAM


Sementara hadirin dan hadirat berpusu-pusu mendapatkan autograf dari artis nasyid tersebut, saya mengambil peluang untuk bertemu dengan Akh Sya'ari yang turut hadir ketika majlis berlansung. Semangat saya disuntik dengan vaksin kata yang Akh Sya'ari tinggalkan pada saya sebelum berangkat pulang ke Gombak. "tak perlu tunggu masuk jemaah untuk menjalankan agenda ma'aruf.. pasakkan aqidah, lantas ayunkan langkah perjuangan.. ana tunggu anta di UIAM Gombak, InsyaAllah..". Begitulah kata yang dituturkan Akh Sya'ari pada saya walaupun pada hakikatnya InsyaAllah saya akan ke UIAM Kuantan untuk meneruskan pengajian diperingkat ijazah dalam Kulliyah Of Bio-Medic. Banyak lagi perkara yang menjadi bualan antara kami. Walaupun sempat berbicara seketika, tapi saat itu sangat bermakna.

Bergambar Bersama Mantan S/U GAMIS

Syukran Akh Sya'ari atas vaksin terbaik dikala diri sedang dilanda virus 'down'.

Sabtu, 16 Januari 2010

Sekilas RAFEST '10

Pada 4-10 Januari 2010 yang lalu, pihak Foundation Student Coordination Council(FSCC) telah menganjurkan Raudhah Festival 2010(RAFEST '10) bertempat di kampus Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pelbagai event telah berlansung. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah juga, saya berjaya mengendalikan taklifat saya sebagai Head Committee of Discipline Unit bagi RAFEST kali ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua Sub Committee of Discipline Unit(Solihin, Zulhilmi, Ustazah Adlina, Ustazah Asma' dan Ustazah Hazwani) kerana sudi bersama saya dalam merealisasikan tugas ini. Tidak lupa juga pada "team amar ma'ruf nahi mungkar" kami yang diberi nama Campus Buddies yang turut sama menyumbang keringat dalam merealisasikan misi disiplin ini. Semoga Allah membalas jasa kalian.


Bergambar bersama Vice President FSCC





Bergambar bersama 'Campus Buddies'

Sabtu, 2 Januari 2010

Kini, Mengelak "Torpedo" Di 2010

Daku muhasabah seketika. Meniti kehidupan sebagai seorang hamba kepada Khaliq yang bukanlah satu perjalanan yang mudah. Penuh ranjau, onak dan duri serta musuh yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan dan merosakkan keikhlasan ubudiyah kepada Allah SWT. Mungkin kerana susah dan payah itulah yang menjadikan jalan Allah yang ditempuh para salikin, jalan yang sangat mulia dan hebat di sisi Allah SWT. Ganjarannya bukan main hebat lagi. Memang ganjaran susah payah dan jerit perih kehidupan itu selalunya manis dan puas.

Allah SWT menjanjikan syurga bagi hamba yang bertaqwa, sedangkan taqwa adalah sepayah-payah jalan yang perlu dilalui sang hamba. Bukan sedikit bekalan dan persediaan yang perlu dibuat. Bukannya senang usaha yang perlu dijalankan untuk meraih title "muttaqin". Namun susah payah itu, di akhirnya adalah syurga.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, aitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)” (Surah An Naba’:31-36)

SYAITAN

Firman Allah SWT:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu”. (Surah Yaasiin:60)

Inilah perintah Allah kepada semua hambaNYA agar menjauhi jejak langkah syaitan, berhati-hati dengan tipudayanya serta menjadikan ia musuh yang ketat lagi hakiki. Dalam sibuk berjuang dan berjihad memerangi sekalian musuh Islam, jangan sampai dibiarkan syaitan menguasai diri. Lalu yang betul hanyalah kita Pendapat pimpinan, orang lain, salah belaka. Hanya pandangan kita yang sesuai dengan kehendak zaman. Sedangkan pendapat kita adalah pendapat yang ‘berseorangan’, sedangkan pandangan pimpinan adalah pandangan ‘ramai’ dan bersifat sunnah kerana diputus secara jamaah.

Minhaj al Abidin telah merakamkan luahan mutiara ilmu Hujjatul Islam Al Ghazali rahimahullah bahawa:

“Hendaklah kamu memerangi syaitan kerana dua perkara. Pertama, kerana ia musuh yang nyata lagi jelas dan yang kedua kerana ia diciptakan untuk bermusuhan denganmu”

Kata Yahya bin Mu’az al Razi pula:

“Syaitan mempunyai masa lapang sedangkan kamu sentiasa sibuk. Dia melihat kamu sedangkan kamu tidak melihat dia. Kamu lupa kepadanya sedangkan dia tidak lupa kepadamu. Dan nafsumu membantu syaitan. Justeru semestinya kamu memerangi syaitan, jika tidak nescaya kamu binasa”

Jika diperhatikan kepada pesanan dan peringatan para ulama’ amilin di atas, jelas lagi terang bahawa seolah-olah tiada jalan untuk melepaskan diri dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha tanpa jemu menyesatkan anak Adam. Kerana itulah kita mendapati bahawa begitu banyak sekali manusia yang berjaya dirosakkan syaitan dan hanya sedikit yang berjaya lolos dari godaannya dengan rahmat Allah.

Al ‘Allamah Syeikh Dr Said Ramadhan Al Buthi hafizahullah telah menjelaskan di dalam syarah Hikam Ibnu ‘Athaillahnya bahawa persoalan yang sering timbul di dalam dada setiap mukmin ialah kenapa Allah SWT mengizinkan syaitan merosakkan dan menyesatkan sedang dalam masa yang sama kita diperintahkan untuk taat dan patuh. Kenapa kita senantiasa dihambat dosa dan keingkaran kepada ‘titah’ Allah SWT, sedangkan kita diwajibkan taat kepada Allah. Maka dijawab oleh beliau bahawa, begitulah Allah mendidik hambaNYA agar kembali kepada Allah SWT jika ingin selamat dari syaitan.

Hanya Allah yang dapat memberikan kita kekuatan untuk terus taat dan beribadah dan hanya Allah juga yang dapat menyelamatkan diri kita dari hasutan syaitan. Hanya Allah juga yang dapat menunjukkan jalan bagaimana untuk selamat dari kesesatan ciptaan dan permainan syaitan.

Firman Allah:

"Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang lurus. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?” (Surah Yaasiin:61-62)

Akhir kalam,

"JADIKAN 2009 SEBAGAI MUHASABAH BUAT KITA DAN AYUNKAN LEBIH LAJU LANGKAH PERJUANGAN DI 2010"

Jumaat, 18 Disember 2009

Air Belum Penuh Lagi..

bismillahirrahmanirrahim...

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al Ankabut : 69)

Kali ini berminat saya membuka posting saya dengan sepotong ayat Al Quran yang insyaALLAH ada perkaitannya dalam posting kali ini. Ada 2 figur yang menarik minat saya dalam pembacaan saya minggu ini.

1-FOREST GUMP

Forest Gump adalah seorang yang cacat kakinya. Dia hanya mampu tertatih-tatih dengan menggunakan alat bantuan untuk memenuhi fitrah pergerakannya. Selain itu, dia merupakan seorang yang agak terbelakang mentalnya dan mengalami kesulitan untuk berbicara. Kondisi ini membuatkan Forest menjadi kambing hitam dalam kalangan teman-temannya dan selalu menjadi bahan cemuhan.

Pada suatu ketika, terdapat sekelompok kanak-kanak yang cuba untuk melukai Forest Gump. Forest dilempar batu, dan terpaksa bertatih-tatih berlari supaya tidak dilukai oleh lemparan batu kanak-kanak tadi. Dalam kesakitan dibahagian kaki, dia terus berlari..... berlari...... dan terus berlari, tanpa mempedulikan cemuhan orang-orang yang ada di belakangnya. Dia optimis dia mampu memotivasikan diri sendiri, sehinggakan suatu ‘keajaiban’ telah berlaku.

Kakinya yang cacat dan mendapat sokongan dari alat bantuan tadi, kini menjadi sembuh dan pada waktu itu juga, dia mampu berlari kerana dia percaya bahawa motivasi diri mampu mengatasi segalanya, walaupun cacat dari segi fizikal. Sejak saat itu, dia tidak berhenti berlari, sehinggakan orang menggelarkannya sebagai manusia terpantas dalam larian. Pada ketika itu, MOTIVASI nya telah mengubah kehinaan menjadi kemuliaan.

2-SYEIKH AHMAD YASSIN

Syeikh Ahmad Yasin, adalah seorang pejuang keadilan sejati bagi rakyat Palestin. Beliau hanyalah seorang tua renta yang hanya duduk di kerusi roda. Kaki beliau cacat, tangan dan pendengaran beliau juga terdapat sedikit masalah, kerana seksaan yang harus diterima dari penjajah Israel akibat keteguhan sikapnya memperjuangkan kemerdekaan rakyat Palestin. Tapi cacatnya bukanlah penghalang bagi beliau untuk beralasan mundur dari medan dakwah dan jihad yang suci. Syeikh Ahmad Yasin percaya, bahawa perjuangannya membebaskan rakyat Palestin dari penjajahan adalah sebahagian dari ibadahnya kepada Allah SWT.

Dengan tertatih-tatih duduk di kerusi roda, beliau mampu menggerakkan hampir 2 juta hati pemuda belia Palestin, untuk bergabung dengan gerakan Islam yang dikenali sebagai HAMAS. Perjuangan dan sumbangsihnya untuk Islam diakhiri dengan kemuliaan sebagai seorang syuhada, saat helikopter Apache menghancurkan jasadnya, seusai beliau menunaikan solat subuh di kota Gaza.

Itulah sekelumit orang-orang yang tidak pernah merasa putus asa dengan dirinya sendiri. Masih banyak cerita kejayaan orang lain yang tidak jauh bezanya. Tapi, bagaimana dengan kita? Ketika ini, kondisi kita jauh lebih aman, lebih mapan dan lebih sihat dari Forest Gump atau Syeikh Ahmad Yasin. Namun, apakah sumbangsih yang telah kita berikan untuk masyarakat khususnya umat Islam sendiri? Untuk dakwah Islam, terutamanya.

Pertanyaan-pertanyaan ini seharusnya menjadi motivasi bagi diri kita, untuk lebih bersungguh-sungguh dalam menjalani Tarbiyah Islamiyah. Kita tidak perlu berpeluh-peluh berlari untuk menghindari ancaman Apache bagi menghadiri ke liqo’-liqo' jemaah. Bahkan, kita masih mampu beristirehat dan tertidur nyenyak, tanpa gangguan dari suara peluru dan butiran-butiran bom cluster yang dijatuhkan Amerika di Iraq dan Afghanistan.

PERKAITAN DARI SITUASI FOREST GUMP DAN SHEIKH AHMAD YASSIN

Kita punya modal awal yang JAUH LEBIH BESAR, LEBIH BANYAK DAN LEBIH BERKUALITI dari yang dimiliki oleh Forest Gump atau Syeikh Ahmad Yassin. Lalu, apa yang membuat kita menunggu untuk menjadi orang yang lebih hebat dari mereka? Mampukah kita menjadi orang yang lebih hebat dari mereka? Tentu sekali mampu! Dengan terus menjalani tarbiyah dan beramal. Tarbiyah tanpa amal akan berhujungkan kebosanan, jumud dan amal tanpa tarbiyah akan berhujungkan pada futur apabila lemah semangat keislamannya.

Tarbiyah bukanlah sebuah beban. Seharusnya, tarbiyah menjadikan seorang muslim menjadi lebih hebat, kerana ia mampu mengoptimumkan semua potensi yang seseorang itu miliki dan meminimakan kelemahan seseorang. Sebagaimana Bilal yang menjadi seorang yang hebat. Sebagaimana Umar yang menjadi khalifah kedua, padahal sebelumnya dia merupakan samseng jalanan. Dan sebagaimana Abu Dzar Al Ghiffari yang menjadi penasihat khalifah, padahal dia seorang yang zuhud dan miskin. Sudahkah menjadi renungan bagi kita?

Bertepatanlah dengan tahun baru hirah ini, marilah kita sama-sama mengambil ibrah tahun baru ini sebagai wadah tranformasi kita kearah yang lebih baik. Marilah kita tajdid niat kita semula yang kadangnya tersasar objektifnya. Muhasabah juga perlu bagi menjamin istiqamah kita dalam ibadah mahupun perjuangan. Perkara ini perlu wahai sahabat-sahabiah sekalian kerana, "AIR BELUM PENUH LAGI".

Akhir kalam,

SALAM MA'AL HIJRAH BUAT SEMUA PENDOKONG AGAMA

Ahad, 13 Disember 2009

Tabikku Pada "Si Kulit Hitam"

Cuti pertengahan semester 2 sudahpun bermula. Jari ini pun SUdah lama tak menari. Dua hari lepas, ketika membaca sebuah buku, maka saya tertatap sebuah cerita mengenai seorang sahabat Nabi SAW yang sangat dekat dengan Baginda, muazzin Rasulullah SAW, Saiyyiduna Bilal Ibn Rabah radhiyallahu ‘anhu.

Seorang manusia pilihan Allah yang menjadi tauladan dan bandingan kepada sekalian ummah hingga hari kiamat. Berkulit hitam, seorang hamba abdi pada asalnya, miskin, faqir dan pendatang di bumi Makkah. Dengan rahmat Allah dia terpilih untuk menerima hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketika ‘tuannya’ Umaiyyah bin Khalaf mendapat berita keislaman Bilal, tindakan pertamanya ialah ‘mencekik’ Bilal. Kemudian, kekasih Allah itu disebat di seluruh tubuhnya. Ketika enggan kembali kufur menyembah Laata dan ‘Uzza, ditelanjangkan tanpa seurat benang. Ditiarapkan di atas pasir yang panas dan diletakkan bongkahan batu besar di atasnya hingga hampir putus nafas. Akhirnya, dia dibeli Abu Bakar lalu dimerdekakan.

PERJUANGAN YANG "QUALIFIED"

Diriwayatkan bahawa bila berlaku peristiwa Isra’ Mi’raj, Rasulullah SAW mendengar bunyi ‘tapak kaki’ Bilal di dalam syurga Allah SWT. Berita gembira itu terus dikhabarkan kepada Bilal.

Inilah bukti bahawa perjuangan ‘si kulit hitam’ yang mulia dengan iman ini, diiktiraf Allah SWT. Kalimah ‘ahad….ahad…ahad..” yang diucapkan oleh Bilal ketika diseksa, menggambarkan kepanasan iman yang menggelegak di lubuk jiwanya. Hal ini dikuatkan lagi dengan jawapannya kepada ugutan Umaiyyah;

“Yang menjadi milik belianmu adalah tubuhku, namun hati dan keyakinanku, tiada siapa yang boleh menguasai dan mempengaruhinya”.

Perhatikanlah wahai sahabat sahabiah yang punya akal fikiran yang waras!. Inilah sikap dan pendirian yang sepatutnya dijadikan aqidah mukmin sepanjang zaman. Jika wujudlah peribadi seperti Bilal di zaman ini InsyaAllah, thagut akan mampu dihalau jauh dari bumi Allah. Nescaya takkan bertapak lagi sebarang bentuk jahiliyyah. Dewasa ini, kita amat merindukan peribadi seperti ini.

YOU SHOULD BE THE DEFENDER

Ayuh semua pendokong perjuangan Islam, pemimpin dan orang bawahannya. Kita pertahankan dasar perjuangan yang sohih di atas dasar menunaikan tanggungjawab taqwa dan melaksanakan Islam sebagai ad deen dalam masyarakat dan negara. Jangan sekali-kali cuba dijual dengan harga yang murah! Jangan sekali-kali cuba digadai hanya semata-mata mahu cepat melangkah ke PUTRAJAYA. Tiada guna tergopoh gapah jikalau tergadai konkrit perjuangan yang telah dibina sebelum ini.

Ingatlah:

"TERGOPOH GAPAH ITU DARI SYAITAN DAN KETENANGAN ITU DARI ALLAH SWT"

Isnin, 30 November 2009

Menggenggam Bara


Tersentap saya setelah membaca karya Allahyarham Ustaz Fathi Yakan. Sebak ditambahkan lagi dengan syahdu. Sebutir-sebutir kalam tulisannya menikam sanubari saya. Barangkali, inilah 'izzah yang Allah berikan kepada pejuang yang benar-benar ikhlas berjuang dijalanNYA. Walaupun telah meninggalkan dunia, namun dakwahnya masih terus berbisa menikam jiwa. Saya bermuhasabah sejenak setelah selesai membedah buku "Bahtera Penyelamat Bagi Para Du'ah" buat kali yang kedua. Mungkin saya tidak cukup lagi untuk bergelar "PEJUANG AGAMA ALLAH YANG SEBENAR-BENAR IKHLAS" dalam perjuangan.

Sidang pembaca yang saya hormati sekalian,

Rasulullah SAW adalah suri tauladan sepanjang zaman. Terutamanya kepada para pencinta dan pejuang agama Allah SWT. Antara bekalan para pendakwah dan pejuang agama menurut Al Marhum Syeikh Musthafa Masyhur, ialah kita menurut sunnah Rasul dan menghidupkannya dalam kehidupan seorang da’ie.

Para da’ie adalah kekasih Allah sepanjang zaman. Mereke berjuang menegakkan agama tidak lain dan tidak bukan, hanyalah kerana Allah, kepentingan diri dan ummah umumnya. Mereka bermujahadah siang dan malam tanpa rasa malas dan jemu bagi merealisasikan matlamat Islam itu sendiri.

Firma Allah SWT:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Surah Al Fussilat : 33)

GHURABAA’- YANG TERASING

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa pencinta dan pejuang Islam sepanjang zaman akan menjadi "golongan terasing". Mereka akan menjalani kehidupan yang susah, miskin dan sempit dek kerana "layanan dingin" manusia terhadap mereka. Mereka akan terlempar jauh dan dicela oleh lidah-lidah pencela sepanjang zaman.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya bermula Islam itu dalam keadaan terasing (gharib), dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Beruntunglah mereka yang ghuraba’”

GENGGAM BARA

Melaksanakan Islam di zaman ini adalah ibarat "menggenggam bara". Hadith Rasulullah SAW yang saya nyatakan tadi, juga ada menyiratkan maksud tentang kepayahan berjuang. Para mujahid harus menggenggam bara perjuangan Islam ini hinggalah ia menjadi arang. Para pejuang agama akan senantiasa berhadapan dengan dendam dan salah sangka manusia yang fitrahnya sering tidak berpuas hati. Mereka akan senantiasa dituduh dan dilemparkan fitnah yang kadangkalanya mampu menjatuhkan spirit untuk berjuang.

CADANGAN SAYA

1-Agar membaca karya Allahyarham Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Bahtera Penyelamat Bagi Para Dua’ah”. Moga-moga kita akan dapat apa yang dikatakan penawar dan ubat buat luka dan duka para da’ie.

2-Antara contoh yang saya boleh kemukakan mengenai memperjuangkan Islam ibarat menggenggam bara, sahabat-sahabat bolehlah merujuk hasil tulisan Saudara Roslan SMS dalam blognya, http://n32.blogspot.com. Tulisannya berkisarkan mengenai etika berpakaian Majlis Bandaraya Islam Kota Bharu. Jemputlah membaca.

SALAM JUANG WAHAI SEMUA PENDOKONG AGAMA

Jumaat, 27 November 2009

Bicara Bab Nafsu

Entah mengapa cuti kali ini, saya seakan melepaskan geram dihadapan komputer. Sekejap-sekejap taip posting terbaru. Sekejap-sekejap buka buku untuk tambah input diri dan posting terbaru. Sekejap-sekejap lagi, entah apa pula akan jadi.

Belakangan ini, agak kerap juga saya didatangkan dengan persoalan bekisarkan 'nafsu'. Akhirnya mengakibatkan metabolisme saya sendiri teransang untuk mengadakan sedikit research mengenai perihal ini.

Ketahuilah bahawasanya Islam tidak diturunkan oleh Allah SWT untuk disesuaikan dengan kehendak hati manusia. Sebaliknya manusialah yang mesti menurut kehendak Islam dan menyesuaikan diri dengan ajaran Islam. Allah SWT menjanjikan kejayaan, ketenangan hati dan kebahagiaan bagi mereka yang tekun menurut ajaran Islam dan melaksanakan tuntutan Islam di dalam kehidupan mereka.

MENYANGGAH NAFSU

Ketika Allah SWT memerintahkan Jibril melihat syurga, Allah SWT bertanya kepada Jibril:

“ Bagaimanakah pandangan engkau wahai Jibril setelah engkau melihat syurga ciptaanKU?”. Maka dijawab oleh Jibril, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, bahawa pasti setiap hambaMU yang melihat syurga berkeinginan agar dimasukkan ke dalamnya, namun aku khuatir tiada seorang pun yang akan dapat masuk ke dalamnya”. Ini adalah kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu. Lalu Jibril diperintahkan pula supaya Jibril melihat neraka, lalu berkata Jibril as, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, aku khuatir tidak ada seorang pun dari hambaMU yang akan terselamat dari neraka”. Ini adalah kerana, neraka dipagari Allah dengan perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu."

Memang benar, susahnya dalam menyanggah kehendak nafsu. Hal ini kerana, nafsu seringkali menawarkan keseronokan dan kenikmatan. Kita akan rasa senang dan selesa menurut nafsu kerana ia amat secocok dengan kemahuan syahwat. Memang perit bila kita terpaksa bermujahadah melawan kehendak nafsu seperti pahitnya 'jadam', namun apabila kita berjaya dalam mujahadah tersebut, hasilnya adalah terlebih manis dari madu.

SITUASI KITA

Duduk di medan perjuangan adalah lebih baik dari menjauhkan diri dari jamaah dan perjuangan. Medan perjuangan penuh risiko dan onak duri, sedangkan duduk jauh dari medan sememangnya senang lenang tanpa mehnah dan tribulasi. Tak perlu berjaga malam untuk hadir mesyuarat persatuan dan jamaah. Tak perlu bersengkang mata kerana perlu menyiapkan kertas kerja program jamaah yang langsung tiada imbuhan wang ringgit, jauh sekali ‘claim’ jika melakukannya. Apa yang lebih musatahak bagi mereka(yang jauh dari jamaah) adalah, mereka boleh terus pertahankan keegoan yang selama ini diperjuangkan habis-habisan oleh pejuang agama. Merekakan ada ‘degree’ , mana boleh dengar arahan ketua cawangan yang hanya setakat SRP apatah lagi diarahkan untuk laksanakan tugasan remeh-temeh dan tidak sesuai dengan kesarjanaan yang dimiliki. Lebih-lebih lagi, anda tidak perlu taat dan wala' pada arahan naqib 'kampung' yang berkain pelikat kesana kemari. Memalukan!.

Lebih baik terlibat dengan persatuan yang gah namanya dikampus(kata nafsu) dari terlibat dengan jamaah yang sir namanya dan hazar pergerakannya. Ini lebih selamat dan lebih selesa. Kalau ada chance, 'income' pun masuk.

Jika kita telitikan kembali, individu yang memberikan tazkirah mengenai hal ini akan dicemuh dan dicela. Namun, jangan risau wahai pentazkirah. Kita biarkan mereka terus mencela dan mencemuh. Orang jenis ini adalah orang yang perasan bahawa tarbiyah dialah yang terhebat dan tarbiyah orang lain tidak betul. Semua kerja, dia saja yang betul. Inilah orang yang suka tuduh orang lain tiada tarbiyah dan macam-macam lagi. Hakikatnya, tazkirah sememangnya akan terasa pedas dan pedih untuk orang yang punya hati yang hidup namun ia takkan membekas dan memberi kesan untuk hati yang sentiasa tertutup untuk ditegur.

Saya ada kemukakan firman Allah SWT di bawah sebagai muhasabah bersama dan berharap agar Allah SWT akan menolong kita dalam kita terus bekerja untuk menolong agamaNYA:

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.(44) Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, Kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.(45)”(Surah At-Taubah 44-45)

Saya tutup posting kali ini dengan ucapan dari Ibn Mas'ud:

"SEJAHAT-JAHAT TUHAN YANG DISEMBAH DI ATAS MUKA BUMI ADALAH HAWA NAFSU"