Khamis, 12 Ogos 2010

Ramadhan Power, Jihad Pun Kena Power

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan,
كل رمضان وانتم بألف خير kepada seluruh umat Islam sedunia. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana masih mempertemukan kita dengan bulan yang penuh barakah ini.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,
Adalah menjadi harapan dan setinggi-tinggi cita-cita seorang Mukmin itu agar amalnya diterima oleh Allah SWT. Rasa takut amalan tidak diterima Allah SWT menyebabkan berlakunya muhasabah terhadap setiap amalan dan berlakunya juga peningkatan serta penambahbaikan terhadap ibadah dan amal soleh. Dalam masa yang sama, harapan agar Allah SWT menerima segala amal tidak pernah kunjung padam, bahkan semakin bertambah, sangka baik kita kepada Allah, bahawa Allah pasti akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan dengan syarat terpeliharanya keikhlasan serta tuntutan syara’.

Ramadhan adalan bulan pembersihan. Ia membersih hati dan jiwa, membersihkan tubuh dari penyakit, membersihkan hati dari penguasaan nafsu syahwat dan yang paling utama, Ramadhan membersihkan kita dari dosa.


Ramadhan adalah bulan maghfirah. Setiap kebaikan yang dilakukan di bulan ini dijanjikan keampunan dan kelepasan dari api neraka. Tidak ada waktu dan saat seumpama Ramadhan yang dapat menandingi kehebatannya dari sudut janji gandaan pahala serta keampunan dari Allah SWT.

Al Imam Al Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan sabdaan Nabi SAW:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keyakinan (terhadap janji Allah SWT) maka diampunkan dosa-dosa yang dilakukannya”

Imam Ibn Khuzaimah dalam sahihnya telah meriwayatkan hadis yang di sampaikan oleh Saiyyiduna Salman Al Farisi bahawa Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang memberikan jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa(bulan Ramadhan) maka diampunkan dosa-dosanya serta dibebaskan batang lehernya dari neraka”

Bahkan lebih banyak lagi hadis yang menegaskan hal yang sama. Maka sabitlah keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa serta bersungguh-sungguh beribadah di dalam bulan penuh barakah ini.

Para sahabat yang mendapat tarbiyah lansung dari Rasulullah SAW adalah generasi yang sangat menjiwai perkara ini. Jika perkara-perkara sunat yang dilakukan di bulan Ramadhan dijanjikan keampunan oleh Allah SWT, maka sudah tentu perkara-perkara wajib akan mendapat habuan yang lebih besar dan hebat dari Allah. Kerana itulah mereka keluar ke medan jihad di bulan Ramadhan walaupun dalam keadaan penat, lapar, dahaga serta penuh dengan kekurangan serta jumlah bilangan yang sedikit.

Namun kerana ingin meraih redha dan maghfirah dari Allah yang Rahman dan Rahim, mereka melangkah ke medan jihad memerangi musuh Allah SWT seperti yang berlaku di medan Badar al Kubra. Ia berlaku ketika kefardhuan puasa kali pertama diperintahkan oleh Allah SWT pada tahun ke-2 Hijrah. Dengan jumlah yang sedikit berbanding musuh yang tiga kali ganda lebih ramai serta lengkap bersenjata, mereka mendepani musuh dengan tawakkal yang tinggi serta bercita-cita agar dipilih oleh Allah SWT sebagai syahid.

Ini membuktikan bahawa, Ramadhan bukannya bulan untuk kita berehat dari jihad dan perjuangan. Beruntunglah mereka yang terus menghidupkan kefardhuan jihad menegakkan ma'ruf dan mengkuburkan mungkar, walaupun di bulan Ramadhan.

رمضان كريم , الله اكرم

Ahad, 1 Ogos 2010

Kehadiranmu Dinanti, Keberadaanmu Diamati...

MasyaAllah... Tup tap(2x), pejam celik(2x), tak lama lagi kita akan masuk kefasa yang dinanti-nantikan oleh mukmin sedunia. Ahlan ya Ramadhan. Kedatanganmu dinanti, keberadaanmu diamati.


Sahabat-sahabiah seperjuangan sekalian,
Ramadhan adalah bulan barakah yang penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Jiwa akan tenang dengan mengingati Allah SWT dan sememangnya di bulan mulia ini, amat mudah sekali mengajak hati mengingati Allah serta membasahi lidah dengan zikrullah kerana nafsu telah dilemahkan serta syaitan diikat kukuh oleh Allah SWT. Ya Allah, alangkah indahnya jika sepanjang tahun beginilah suasananya. Pastinya suasana ini adalah bukti terhadap keberkatan dan kemuliaan bulan ini.

Allah SWT menolong kita dalam beribadah dan berbuat taat serta membanyakkan zikrullah dengan melemahkan nafsu melalui lapar dahaga. Justeru sedikit sebanyak, kita boleh merasakan inilah dia suasana ketaatan yang sebenar serta sifat mukmin yang hakiki. Bila nafsu lemah, tubuh terasa ringan beribadah. Bayangkan ibadah dan zikrullah para sahabah radhiyallahu ‘anhum para pembaca sekalian!. Jika kita yang disebut sebagai generasi pengabai solat dan pengikut syahwat ini turut merasai manis dan lazatnya ibadah di bulan mulia ini, bayangkan pula taat dan ibadah sahabah radhiyallahu ‘anhum.

Para ulama’ salaf menyebutkan bahawa ketenangan dan kelazatan dalam ibadah itu dapat dicapai dengan beberapa perkara:

Pertama: Dengan mengurangkan percakapan yang sia-sia dan tidak berfaedah.
Kedua: Dengan mengurangkan makan minum kerana lapar itu menghidupkan hati.
Ketiga: Dengan banyak berjaga malam untuk beribadah dan istighfar atas segala dosa dan noda.

Sahabat sekalian, kalau kita amati betul-betul petua ulama’ di atas, nescaya kita dapati bahawa ketiga-tiga perkara tersebut terhimpun semuanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tanpa kita sedar, rupanya Allah membantu kita dalam mencapai kemanisan ibadah dan taat melalui kurniaan Ramadhan yang penuh barakah.

Apa yang lebih penting bagi setiap mukmin, kelazatan ibadah dan taat itu biarlah melebar hingga kepada merasai manis dan lazat dalam jihad dan perjuangan. Kemanisan jihad ini telah dicapai dan dirasai oleh para sahabah radhiyallahu ‘anhum sehingga mereka tidak pernah ragu apatah lagi ketinggalan dari menyertai setiap operasi jihad yang dilancarkan oleh Rasulullah SAW.

Kita mendengar riwayat yang sahih mengenai beberapa orang dari kalangan sahabat yang mulia begitu bersungguh-sungguh menggagahi diri untuk keluar ke medan jihad walaupun telah tua dan tidak berkemampuan. Saiyyiduna ‘Amr ibn Jamuh umpamanya. Walaupun berkaki tempang, tetap berkeras mahu keluar ke medan jihad walaupun dihalang oleh anak-anaknya dek kerana ketempangannya. Bila perkara ini diadukan kepada para Rasulullah SAW, ‘Amr ibn Jamuh berkata:

“Aku mahu melangkah masuk ke dalam syurga Allah SWT dengan kakiku yang tempang ini”. Nak!, bukankah kesungguhan ini tidak akan dicapai melainkan dengan merasai lazat dan manisnya berjuang dan berjihad?."

Para ulama’ menyebutkan bahawasanya kemanisan serta kelazatan ibadah, taat dan jihad dapat dirasai adalah kerana zahir dan hati yang bersih dari dosa. Sehinggakan ternampak segala kebenaran janji Allah bagi yang menjadikan seluruh hidupnya ibadah dalam ketaatan serta bersungguh-sungguh dalam berjihad menegakkan agama Allah. Hasil dari keyakinan terhadap janji Allah itulah yang menyebabkan timbulnya kesanggupan untuk berkorban, bermujahadah, bersungguh-sungguh serta sanggup meninggalkan kesenangan dan kelazatan hidup dunia kerana beribadah dan berjihad.

"allahumma ya Rahman ya Rahim, kurniakan kami kelazatan taat dan ibadah. Limpahkan untuk kami rahmat dan kasihMU hingga kami mampu mengikuti jalan RasulMU dan jejak para sahabat Baginda dengan berkat kurniaan RamadhanMU, Ya Allah."

Sabtu, 31 Julai 2010

Hei Pemuda-Pemudi Dakwah!!!


Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna Rahimahullah telah berpesan:

“Wahai Pemuda, seandainya kamu meyakini fikrah kami dan kamu mengikuti jejak langkah kami dan kamu bersama kami di atas jalan Islam yang murni ini, kamu tinggalkan segala fikrah kecuali fikrah Islam dan kamu waqafkan segala tenaga dan usaha kamu untuk aqidah yang kamu yakini ini, maka semua itu akan mendatangkan kebaikan untukmu di dunia dan akhirat.

Allah akan membuktikan kepadamu apa yang telah dibuktikan kepada generasi Islam yang pertama dahulu. Setiap orang yang bekerja dengan penuh ikhlas dan setia dalam medan dakwah ini akan mendapati sesuatu yang mengisi hemah dan cita-citanya. Ia akan mendapati sesuatu yang mengisi segala daya dan tenaga yang ada padanya.
Tetapi sekiranya kamu enggan dan memilih sikap yang serba salah dan tidak jelas, terumbang ambing di antara seruan-seruan yang mengecewakan dan menyesatkan, maka sesungguhnya angkatan Islam dan tentera-tentera Allah akan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengira bilangan samada sedikit atau ramai.”


Firman Allah SWT:
“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
Surah Ali ‘Imran:126

MEYAKINI ISLAM SEBAGAI WADAH PERJUANGAN DAN KEHIDUPAN

Sistem kepercayaan adalah merupakan akar kehidupan manusia. Didalam Islam, ia dinamakan dan diistilah sebagai iman, aqidah atau tauhid. Imanlah yang melakari kehidupan seorang mukmin. Manusia beriman adalah manusia hebat dan cemerlang di dunia dan akhirat. Iman membentuk keyakinan. Dengan keyakinan manusia hidup dan meneruskan kehidupan. Tanpa keyakinan yang benar, manusia akan tumpas dan kalah di atas pentas kehidupan.

Islam harus menjadi teras keyakinan dan kepercayaan. Meyakini selain darinya hanya akan menempah kerugian dunia dan akhirat. Imam Hassan Al Banna mengajak kita meyakini fikrah perjuangan dan kehidupan Islam. Kita wajib meninggalkan fikrah-fikrah selain Islam. Curahkan segala tenaga dan usaha untuk menegakkan Islam dalam kehidupan peribadi dan umat. Berusahalah untuk menjadi insan soleh dan ‘muslih’ terhadap orang lain. Bukan sahaja membaiki diri tetapi berusaha jua membaiki orang sekeliling. Inilah jalan kebaikan dunia dan akhirat.

ISLAM TELAH MEMBUKTIKAN KEHEBATAN DAN KEMAMPUANNYA

Masyarakat ‘haprak’ arab jahiliyah telah diubah secara total oleh pelaksanaan dan penghayatan Islam yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap mereka. Mereka akhirnya telah menjadi pemimpin dunia dengan keadilan kepimpinan yang diberkati Allah dan penguasaan bidang keduniaan yang hebat.

Generasi awal umat ini telah diiktiraf sebagai ‘khaira ummah’ yang menjadi pemimpin dunia dalam masa tidak sampai 30 tahun kemudian ketuanan mereka berterusan selama ribuan tahun. Melaka pernah bernaung di bawah kepimpinan Uthmaniah Turki suatu ketika dahulu. Ini semuanya membuktikan kemampuan Islam!.

Rasulullah SAW telah menjalankan tugas mendidik, membangunkan jiwa kehambaan dan memberikan ilmu pengetahuan dengan sebaik-baiknya tanpa jemu kepada umat sepanjang hayat Baginda SAW. Dengan penat lelah dan tanpa putus asa tersebut, Baginda telah melahirkan generasi terbaik yang tiada tandingan.

Justeru umat hari ini sangat memerlukan ‘murabbi’ yang istiqamah, ikhlas, kenal kaedah dan jalan serta mempunyai kemampuan dan mampu untuk meraih pertolongan dan nusrah Allah SWT untuk menyatupadukan umat dan mengembalikan umat kepada kehebatannya. Hakikatnya, umat hari ini tidak kekurangan ‘muallim’ (guru) tetapi umat rindukan ‘murabbi’(pendidik).

BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT

Allah SWT telah membentangkan jalan untuk kita pilih. Setiap jalan sudah ada garis panduan dan gambarannya. Jangan tersilap pilih jalan dan tidak sepatutnya tersilap. Panduan Allah jelas dan terang benderang. Hanya akal yang buta ilmu tidak mampu memimpin hati kepada jalan yang sebenar. Atau boleh jadi kita telah buta mata hati walaupun mata zahir terang dan siap dengan kacamatanya sekali.

Pilihlah jalan kehidupan dan perjuangan yang betul. Bekerja, beramal dan berjuanglah. Samada kita mahu bersama kafilah dakwah ini ataupun tidak, ia akan terus berjalan, walau sedikit bilangan penumpangnya sekalipun. Kemenangan itu dari sisi Allah SWT.

Rabu, 14 Julai 2010

Adakah Yang "Cacat" Akan Tetap "Cacat"???

HAYATI KATA BELIAU...

Tidakkah kalian lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini? Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati(lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku yang perlahan ini.

Aku tidak mampu untuk kemana-mana tempat untuk memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan kerusi rodaku. Aku yang sudah beruban putih dan berada dipenghujung usia. Aku yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab hingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai orang Arab. Kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian telah mati binasa.

Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu kaum pun bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah. Tiada satu kaum pun yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia yang dianiaya dan dizalimi kepada pembunuh dan penjenayah serta pengganas?

Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat ini membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan beban kami.

Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lantas mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan? Ya Allah, perkuatkan saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambaMU yang beriman...

Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar mengenai peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati membelakang(melarikan diri) dan akan mati bersama-sama kami, anak-anak kami, wanita-wanita, orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih kerana kami telah belajar bahawa kami tetap akan mati walaupun kami menyerah. Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahid.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami, sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini.

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu?(3x). Lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah. Dan engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa engkau tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan menyerbu kami. Atau kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?

Ya Allah, kami mengadu kepadaMU darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan, wanita-wanita yang dijandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan, tanam-tanaman yang dirosakkan.

Ya Allah, kami mengadu kepadaMU, berseleraknya kesatuan(umat) kami, berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya jalan kami, terkebelakangnya kami. Kami mengadu kepadaMU betapa lemahnya kaum kami, betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh kami.

Ucapan Asy Syahid Abd Aziz Rantisi sejurus mengambil alih kepimpinan HAMAS dari Asy Syahid Syeikh Ahmad Yassin pula:

“Buat apa kita takutkan kematian, semua manusia akan mati, samada kerana dibunuh ataupun kerana sakit. Jika saya diberikan peluang untuk memilih samada ingin mati kerana sakit jantung ataupun kerana (ditembak oleh) Helikopter Apatchie, saya memilih helikopter Apatchie!”



KONKLUSI DARI SAYA

Sungguh menyentuh jiwa ucapan Al Imam Ar Rabbani Asy Shahid Sheikh Ahmad Ismail Yaasin. Ingin saya ajak sidang pembaca sekalian untuk menukar perkataan "Arab" itu, kepada "Melayu". Dan anggaplah golongan seperti Al Imam Ar Rabbani Asy Shahid Sheikh Ahmad Ismail Yaasin adalah "golongan yang perjuangkan Islam di Malaysia" tapi di"buta"kan, di"lumpuh"kan, di"pekak"kan dan bermacam-macam lagi oleh "firaun-firaun" "kecil" dan "halus". Di Malaysia, kita memang punyai golongan berjiwa berani, tapi malang sekali, golongan ini di"cacat"kan. Sayang sebilion kali sayang.

Tapi, jangan risau wahai jiwa-jiwa perindu keamanan sekalian. Islam pasti akan bergemerlapan satu hari nanti. Kita akan bersatu dalam "golongan" tersebut. Biar diri ini di"cincang dadu" atau di"headshot" dek sniper yang senyap bunyinya. Kita tak perlu takut semua itu. "firaun-firaun" "kecil" dan "halus" itu memang tidak pernah puas untuk buat kita "bisu" dan terus "cacat". Ataupun "mati" terus. Kita jiwa perindu syahid. Tak akan gentar dek agenda pen"cacat"an yang akan mereka lakukan. Kita "kudung kaki", kita ada "tangan" untuk berjuang. Kalu "kudung" semua pun, kita punya Allahul 'azim yang akan membantu.

"YAKINLAH BAHAWA PERTOLONGAN ALLAH ITU AKAN SENTIASA BERSAMA PENDOKONG AGAMA"

Cukuplah sebagai ayat yang akan saya sertakan ini sebagai "secankir teh pengubat letih" bagi kita
"PENDOKONG TEGAR" agama Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

"Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong Allah(agama), nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu"
(Surah Muhammad:7)

Selasa, 29 Jun 2010

Segalanya Bermula Dari Hati...

Kali ini, terasa ingin merungkai satu peristiwa agung, iaitu Isra’ wal Mi’raj yang berlaku ke atas Baginda Rasulullah SAW dan saya kira, ianya mampu menjadi salah satu indikator yang terbaik untuk menjadikan kita terasa begitu kerdil di hadapan Allah SWT. Masih banyak yang belum diterokai dari ilmu Allah yang Maha Luas dan sudah tentu tidak ada daya dan upaya bagi menusia kerdil seperti kita ini, untuk menjangkau kehebatan dan keluasan ilmu Allah SWT kecuali mereka-mereka yang dipilih oleh Allah untuk didedahkan sebahagian kecil darinya.

Sungguh benarlah bahawa permulaan perjalanan menuju Allah SWT harus bermula dengan kebersihan dan kejernihan hati. Inilah titik bidayah kepada jalan menuju keredhaan Allah yang abadi di akhirat. Menurut al Imam Ibni Abi Jamrah, pendapat yang rajah ialah Nabi SAW dibelah dadanya 4 kali. Pertama; ketika Baginda masih kecil di dalam pemeliharaan dan penjagaan ibu susuannya Halimah as Sa’diyah rdh, kali kedua; ketika Baginda mencapai umur baligh, kali ketiga; ketika Baginda menerima wahyu dan keempat; ketika Baginda diisra’ dan dimi’rajkan.

Ketika berlakunya isra’ dan mi’raj, Rasulullah SAW sedang tidur di sisi Ka’bah dengan diapit oleh Saiyyiduna Hamzah dan Saiyyiduna Ja’far Ibn Abi Thalib radhiyallahu ‘anhuma. Ketika itulah datang malaikat membawa bekas emas yang terisi hikmah dan iman lalu dibelah dada Nabi SAW, dikeluarkan hati Baginda dan dicuci dengan air zamzam. Dibersihkan dari hati Nabi SAW karat hitam yang menjadi tempat duduknya syaitan bagi menyempurnakan tugas kerasulan agar bertindak menurut wahyu semata-mata. Kemudian bermulalah perjalanan agung tersebut dengan berkendenraankan buraq dan ditemani Jibril.

Di dalam hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah bahawasanya di dalam hatimu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh tubuh, jika rosak ia maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah bahawa itulah yang dinamakan hati”

Sahabat sahabiah sekalian,
Segalanya bermula dari hati. Ketaatan kepada Allah, jihad dan pengorbanan, kasih sayang dan kecintaan, kecenderungan kepada maksiat, karam dalam keseronokan dunia, kebencian dan kemarahan, semuanya bermula dari hati. Hati adalah asas integriti dan kekuatan dan dari situ jugalah menjadi asas kelemahan dan ketewasan. Yang paling penting, hati yang diselaputi dosa dan maksiat tidak akan menemui jalan menuju Allah SWT. Jika jalan menuju Allah tidak ditemui, maka jalan syaitanlah yang akan mengisi "ruang penginapan" di dalam diri. Itulah setebal-tebal hijab antara hamba dengan Sang Pencipta.

Kecintaan kepada Islam dan istiqamah beramal dengannya adalah bermula dari hati. Pertama, hati yang mempunyai kemahuan dan yang kedua, hati yang dipilih untuk menerima curahan hidayah dari Allah SWT.

Firman Allah :

"Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya(membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang Yang tidak beriman"
Surah Al-An'am:125

Kefahaman terhadap ayat di atas ialah, rasa lapang dada, kemahuan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan dan semangat perjuangan yang tinggi yang terlihat dari kader dakwah adalah kerana hati yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Di dalam peristiwa agung Isra’ Mi’raj, Rasulullah SAW telah ditunjukkan pembalasan Allah kepada ahli ketaatan dan ahli maksiat. Bilamana Baginda terhidu keharuman ruh para syuhada' yang syahid kerana mempertahankan aqidah seperti keluarga Yasir dan Masyitah, tukang sikat puteri Firaun, maka sudah tentu sekali peristiwa ini menjadi dorongan yang sangat kuat bagi para mujahid meneruskan perjuangan mereka. Yakin dan percayalah bahawa perjuangan kita tidak akan dipersiakan oleh Allah SWT.

Tanya hati dan diri kita, apa yang sebenarnya menghalang kita untuk aktif di arena perjuangan jika tidak kerana hati yang cenderung kepada kesenangan duniawi. Pupuklah hati dengan kesungguhan mujahadah di jalan Allah SWT. Moga-moga, ia akan memancarkan nur kemahuan dan kesanggupan yang tinggi untuk hidup mulia dan mati syahid.

Rabu, 16 Jun 2010

"Islam Adil Untuk Semua"

Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki Yahudi tua. “Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”. Detik hati sang gabenor.

Dipendekkan cerita, Yahudi itu dipanggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.

“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor dengan nada ancaman.

Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.

“Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?" Tanya Umar al-Khattab kehairanan.

Datuk tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan dengan seorang khalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah reda, datuk tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melaporkan aduan kesnya penuh kesedihan.

Merah padam wajah Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. “Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr!” kecam Umar.

“Sungguh tuan saya tidak mengada-ngadakan cerita walau sepotong ayat” sahut datuk itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.

“Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir” perintah khalifah Al-Farooq Umar al-Khattab.

Orang Yahudi itu semakin kebingungan. “Tuan, adakah tuan sedang mempermainkan saya?” kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. “Jangan–jangan khalifah dengan gabenornya dua kali lima saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan, pasti akan menindas kaum minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,” bisik hati orang tua itu dengan penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh khalifah Umar al-Khattab.


Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, datuk tua Yahudi itu semakin tidak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Bongkar dan runtuhkan masjid itu!” teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.

Yahudi itu segera berlari keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah yang hampir siap dibina itu.

“Tunggu!” jerit orang tua Yahudi itu. “Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga tuan begitu nekad membuat keputusan membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya saya benar-benar tak faham?” tanya orang tua itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.

Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu penuh mesra. “Wahai datuk, sebenarnya, tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk”.

“Tapi...” datuk tua itu cuba mencelah.

“Namun, kerana ia mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa, betapa tingginya pun kekuasaan seseorang, ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Lurus seperti huruf alif. Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya!” jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.

“Sesungguhnya, amat agung ajaran agama tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu pasrah berserta linangan air mata yang tak tertahan.

Allahu Akbar!. Inilah Islam yang benar dan agung. Inilah antara deretan kisah sejarah dan keunikan pemerintahan Islam yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya daripada seorang tua Yahudi! Kita hendaklah sentiasa menegakkan keadilan tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerintah menerima teguran!. Sungguh mengharukan... Tidak pernah berdendam atau bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa berlengah atau ditangguhkan. Betapa kerendahan yang ada pada pemerintah-pemerintah teladan. Sehingga mampu menawan hati kuffar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan!

Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, “umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya...”. (amat besarlah kata-kata Rasulullah SAW)

"ISLAM ADIL UNTUK SEMUA"

Selasa, 8 Jun 2010

Halal & Haram Dalam Siasah

Saya tertarik dengan peringatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz(TGNA) pada 2 tahun yang lalu(bulan Julai tak silap) bahawa selain daripada menekankan kepentingan halal haram dalam makan minum, kita mesti beri perhatian serius terhadap soal halal haram dalam politik. Munasabahnya peringatan TGNA tersebut adalah kerana segala-galanya adalah bertitik tolak daripada kekuasaan politik.


Makan minum akan menjadi halal(halalan thoiyyiban kata orang hari ini) bilamana penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berkesan dilaksanakan dalam memastikan tiada makan minum yang haram dalam negara. Kerajaan melalui JAKIM sudah tentu dapat melaksanakan perkara ini tanpa sebarang masalah, kecuali ada kekangan dan kongkongan tertentu ataupun pelaksanaan yang sambil lewa yang akhirnya mampu menyebabkan dasar halal haram ini gagal dilaksanakan.

ULAMA’ MUKHLISIN

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT bilamana Dia mewujudkan dan melahirkan di tengah-tengah kita semua, seorang ulama' bahkan ramai ulama' yang ikhlas mendidik dan menegur. Antara sifat khusus bagi seorang ulama' ialah "khasyyatillah" yakni perasaan takut dan gerun hanya kepada Allah SWT semata-mata. Rasa takut pada Allah inilah mendorong para ulama' berkata benar walaupun pahit dan berkata dengan yang benar walau di hadapan pemerintah yang zalim sekalipun. Sabda Rasulullah SAW :

"Bahawa seafdhal-afdhal jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim"

Cabaran berhadapan dengan pemerintah yang zalim ini sangatlah berat dugaannya. Namun seorang ulama’ yang ikhlas akan terus beristiqamah mempertahankan prinsip kebenaran Islam. Mempertahankan prinsip yang benar inilah yang menjadi sebab kepada kesyahidan para ulama'. Kalau di Malaysia ini, Asy Syahid Ustaz Ibrahim Libya adalah contohnya. Jika Masyitah yang sangat lemah dan juga seorang wanita berjaya mati syahid dalam mempertahankan aqidah yang benar, maka sudah tentu para ulama' adalah terlebih gagah lagi dalam soal mempertahankan kebenaran.

Namun kita pasti akan melihat wujudnya ulama' dunia dan ulama' jahat di sepanjang zaman. Merekalah yang yang menjadi sebab kepada terjadinya fitnah yang besar di kalangan umat. Pendapat yang sangat mengelirukan adalah ciri-ciri khas mereka. Padahal mengampu dan membodek pemerintah adalah perhiasan kehidupan mereka. Jauhilah mereka demi keselamatan kita semua.

BILA PERINGATAN DISAMPAIKAN

Politik adalah sebahagian dari tuntutan keimanan. Bila ikatan politik wahyu dirungkaikan dari leher umat oleh serangan ajaran sekular dan perencanaan jahat musuh, maka bermulalah episode punah jahanamnya kesucian ajaran Islam. Para ulama' dipenjarakan oleh politik haram, pintu masjid ditutup rapat dari menjadi sumber hidayah kebenaran kepada umat, orang-orang fasik diberikan pengiktirafan, pendokong kebenaran dicela dan difitnah serta dilabel dengan label kejahatan dan khianat.

Harta negara diselewengkan sewenang-wenangnya. Dilaporkan bahawa sebanyak RM7 bilion ringgit wang royalti minyak Terengganu dibelanjakan sepanjang sepenggal pemerintahan Idris Jusoh tanpa direkodkan kemana wang itu dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan. Alat ganti kereta yang sebenarnya bernilai RM3000, tetapi di"claim" dengan nilai RM 29,000. Siasah haram membenarkan penipuan dan penyelewengan.

Yang lebih malang ialah apabila politik haram dilaksanakan maka syariat Islam sukar untuk direalisasikan. Perkara ini sememangnya pasti. Kita boleh lihat, kerja politik haram ialah membina masjid untuk mengesahkan bahawa mereka mengamalkan Islam, tetapi syariat dan hukum Islam ditolak demi mendapatkan "redha" musuh Islam.
ALANGKAH KEJI DAN JIJIKNYA PERBUATAN INI!!!