Dalam minggu ini sahaja, telah saya hadapi dua perpisahan sementara. Memang telah termaktub dalam fitrah alam, setiap pertemuan yang sementara akan ada perpisahan yang juga sementara. Sememangnya perpisahan yang sementara ini, kadang-kadang menggugat sentimental saya untuk saya meratapi keberangkatan mereka yang terpisah dari saya buat sementara dengan air mata kesyahduan.
PERPISAHAN YANG PERTAMA
Pada tanggal 19 Oktober 2009 yang lalu bersamaan hari Isnin, berlakunya perpisahan sementara buat saya yang pertama iaitu dengan sahabat seperjuangan saya yang bersama dengan saya merealisasikan matlamat Badan Agama Dakwah dan Rohani(BADAR) SMKA Sheikh Hj Mohd Said dahulu. Khususnya kepada Muhammad Safwan yang kini melanjutkan pelajaran ke Morocco dalam bidang "dirasah Islamiyah".
Jiwa ini syahdu lantas menatijahkan rindu kepada seorang sahabat yang suatu ketika dahulu pernah sekali berjuang, menahan perit mehnah dan tribulasi.. Sememangnya semua itu menjadi kerinduan khususnya kepada mereka yang pernah berukhwah.
Pesanan saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang berangkat membawa diri ke negara orang, dalam misi meningkatkan thaqafah, khususnya Muhammad Safwan, Aiman Naim, Ustazah Farah Hanisah dan Ustazah Noraini,
asalnya,
cakerawala ini kosong,
lalu takdir Allah memulakannya dengan satu titik,
yang kemudiannya berkembang menjadi semesta,
tersusun rapi mengikut aturan.
kita juga begitu,
kita juga bermula dari satu titik,
dan pengembangan seluruh anggota kita tanpa cacat,
mengikut aturan Tuhan.
begitu juga dalam erti pencarian,
asalnya kita kosong,
hanya diberikan fitrah Islam,
kitalah yang kena mengembangkannya,
mengikut aturan Tuhan,
agar syariat terjalan sempurna,
tanpa kecacatan.
lantas ingatlah,
"PERUBAHAN ADALAH TITIK PERMULAAN UNTUK MENCETUS TEORI BIG BANG DALAM DIRI"
PERPISAHAN YANG KEDUA
Sememangnya perpisahan yang kedua ini lebih menggamit jiwa, kalbu dan sanubari saya. Keberangkatan ummi dan abi mengerjakan haji pada 20 Oktober yang lalu sangat meransang metabolisme sedih saya untuk diaplikasikan melalui air mata. Tapi saya faham. Ummi dan abi pergi untuk menyahut rukun Islam yang kelima.
Sekalung tahniah kepada ummi dan abi kerana terpilih untuk menjadi tetamu Allah. Anakmu disini mendoakan ummi dan abi mendapat haji yang mabrur. Ameeen..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan