Secara amnya, bila berbicara hal demokrasi dalam politik kampus, rata-rata mahasiswa akan melihat akan kualiti dan kredibiliti sesebuah parti politik kampus tersebut sebelum mendukung dan mengangkat parti tersebut sebagai pilihan. Menyebut pula hal kualiti dan kredibiliti parti, sudah pasti itu adalah transaksi gambaran dalaman dan persona-persona yang mendukung kuat dan menjadi pemimpin di dalam parti tersebut.
Merujuk hal berikut, peribadi-peribadi yang berada di dalam sesebuah parti itulah sebenarnya menjadi pokok pandang dan tauladan yang mampu memberikan pengikut dan simpatisannya (penyokong) sentiasa menyakini karisma dan kemampuan barisan pimpinan untuk memimpin tunjang visi dan misi parti pro-islami tersebut.
Tarbiyah siasah yang bermakna pendidikan politik adalah merupakan hal yang sangat penting untuk difahami oleh setiap barisan pimpinan parti pro-Islam di kancah politik kampus. Ini kerana pemahaman politik yang difahami bukanlah bermakna hanya rencah ilmu politik kampus umum semata iaitu untuk memperoleh kuasa pimpinan dan mempertahan kekuasaan . Akan tetapi, berpolitik kampus di sini ialah untuk menegakkan nilai-nilai kebenaran ilahiah dan memperjuangkan kepentingan dan maslahat masyarakat kampus. Berkuasa untuk melayani ummat mahasiswa dan memimpin untuk memperbaiki sistem yang tidak berpihak kepada nilai-nilai kebaikan dan kebenaran. Itulah lahang yang menjadi misi sesebuah parti pro-Islam di dalam kampus sesebuah universiti.
Dakwah, satu ayat yang membawa erti sangat besar malah satu ketika mendengar sahaja sudah membuat sesetengah pihak itu fobia dan sensitif. Dakwah yang bertujuan menyeru manusia untuk kembali kepada nilai-nilai Islam secara komprehensif bukanlah perkara yang asing di dalam kamus perjuangan parti pro-islami malah penyeruan ke arah pembaikan sahsiah, intelek, maslahat fizikal juga merupakan salah satu jahan kepada dakwah. Hal ini tidak memdeskriminasikan antara politik kampus dan dakwah bahkan asas dan misi sesebuah parti pro-islam itu adalah dakwah itu sendiri yang mengajak ke arah pembaikan dari segala aspek kehidupan mahasiswa baik dari hak kerakyatan mahasiwa mahupun hak pembaikan dalaman peribadi seorang mahasiswa tersebut.
Sehubungan dengan itu, memastikan kejayaan misi sesebuah parti pro-Islam itu adalah suatu perjuangan yang sangat sukar dan memerlukan strategi tertentu demi untuk melihat akan kejayaan yang hakiki iatu kejayaan untuk melihat kebenaran dan kebaikan itu benar-benar termaktub di dalam wilayah kampus tertentu.
Mari kita melihat dasar dan asas kemenangan sesebuah parti itu, selain dari tahap intelek, peduli ummah, kualiti karismatik pemimpin, dan segala macam perancangan pembaikan maslahat, perlu diteliti juga tahap keruhanian dan keimanan sang pemimpin. Kembali kepada sejarah Islam semula. Di penghujung tahun 12 Hijrah, Abu Bakar telah mengirimkan pasukan untuk membebaskan negeri-negeri Syam dari genggaman Romawi. Amr bin Ash r.a dipilih sebagai panglimanya. Pada perang tersebut, jumlah pasukan Islam 40 000 orang, sedang jumlah pasukan Romawi adalah 200 000 orang. Skala pembandingannya adalah satu perlima. Namun akhirnya, kaum muslimin juga yang berjaya mengalahkan mereka. Jumlah yang tak seimbang namun pasukan yang sikit itulah yang mampu menumbangkan pasukan yang lima kali ganda lebih banyak. Apakah penyebabnya?…..adakah pertolongan Allah itu datang tanpa mendasari juga kepada keimanan para prajurit-prajurit Islam tersebut? Kita telah yakin terhadap keimanan para sahabat, yang tidak mampu dibandingkan dengan keimanan manusia di abad mana pun. Terhadap ibadah mereka, kita juga tidak ragu. Kisah-kisah yang menakjubkan tentang peribadi-peribadi yang bekerja kerana Allah itu, tidak dapat dinafikan pada siang hari mereka bersemangat waja di dalam medan pertempuran dan menunggang kuda walaupun pada malam hari mereka giat bersama Tuhan mereka.
Seorang pendakwah di bumi mesir, Syeikh Juma’ah Amin berkomentar pada salah satu ceramahnya
“ mereka mampu menjadi para penunggang kuda di siang hari kerana mereka telah terlebih dahulu menjadi rahib-rahib di malam harinya” .
Itulah kekuatan yang Allah berikan pada peribadi-peribadi tersebut, atas keimanan dan hubungan yang dekat dengan Allah itulah, DIA telah memberikan kemenangan dakwah kepada mereka dan mereka mampu untuk bekerja kepada Allah. Malah atas dasar keimanan mereka itu juga maka tertegaknya agama Islam yang kita anuti sekarang ini, tersebarnya hingga ke tanah Malaysia malah di mana-mana sahaja…..dakwah Islam itu menjadi sesuatu yang luas dan menjadi misi utama hidup mereka sekalipun dilemparkan di bumi asing …dan hal kekuatan perasaan ini takkan hadir tanpa didasari kepada keimanan dan keikhlasan amal kepada Allah..
Subhanallah, itu mungkin alkisah perjuangan para sahabat Rasulullah, lihat sahaja Rasulullah (juga seorang politikus), bukan setakat menangis di malam hari malah tumit kakinya diriwayatkan pecah lantaran kerapnya baginda bangun malam memohon keampunan dan pertolongan dari Allah swt. Mungkin ada yang beranggapan peristiwa itu mungkin terlalu jauh dari era kotemporari kita sekarang, sudah terlalu lapuk bentuk dan perjuangan yang dibawa Rasulullah bersama sahabat. Ya mungkin, tetapi ingat iman, ikhlas, semangat dan amal takkan pernah lapuk dek zaman malah jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, seumpama berjuta hektar terlalu jauh kualiti dalaman berbanding dengan kita yang hidupannya telah divirusi oleh simptom-simpton virus hedonisme, virus keselesaan, virus hiburan melampau, virus asyikan cinta berlainan jantina hingga menjadi barah yang sukar diubati.
Namun, sejarah beberapa dekat lalu turut membuktikan. Kehebatan perjuangan suci Muhammad alFatih pada zaman 1400-an tak dapat dinafikan baik dari orang barat mahupun muslim. Terlatih dengan kehidupan yang sederhana kemudian dididik dengan ilmu seimbang ukhrawi dan duniawi. Jelas nyata memberikan buah penghasilan yang begitu besar di mata Islam. Tertawannya kota Konstantinopel itu bukanlah suatu kejayaan biasa tetapi satu kegemilangan yang luar biasa yang akhirnya setelah 800 tahun barulah ungkapan hadith Rasulullah tentang Konstantinopel menjadi realiti. Jika diperhalusi taktik dan strategi yang digunakan oleh baginda tuan Muhammad al Fatih, jelas kebijakan intelek menjadi sumber kejayaan namun jauh dari sudut pandangan telanjang mata manusia, beliau bukanlah calang-calang orang di hadapan Allah S.W.T. Keimanannya jelas lebih hebat dari kader tenteranya, ibadahnya jauh lebih biasa yang dilakukan oleh peorangan ketika zamannya itu. Lihat, masih releven kisah Muhammad al Fatih dengan kita walau angka perbandingan waktu telah mencapai kepada 600 tahun namun sikap dan unsur dalaman masih tetap relevan biar di era mana sekalipun.
Konklusi dari semua ini, politik dan dakwah adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan istilahnya dari kaca mata parti pro-Islam. Keberhasilan dan kesuksesan berpolitik atau jihad siyasi ini harus berimpak kepada dimensi kehidupan dunia lahiriah dan fikrah mahasiwa. Yang berhujung pangkal kepada pencerdasan anak bangsa dan percetakan generasi rabbani di dalam universiti dari pelbagai aspek pandangan, baik dari aspek sosial budaya, pemikiran, moral dan hak-hak kerakyatan universiti. Ia harus selaras juga dengan cara mewarnai suasana kampus itu dengan suasana yang cantik hakiki dan sembuh dari penyakit-penyakit virus yang disebutkan sebelum ini. Kerana tiadanya penciptaan ubat dari sang penguasa yang baik, orang bawahan akan terus selesa dengan keadaan yang sedia ada, dan orang bawahan hanya akan mampu bertindak sewajar limitasi akta. Jadi, marilah kita menilai tahap keadaan diri masing-masing. Transaksi kejayaan sesebuah parti bukan hanya kepada kecekapan dan ruhaniah barisan pemimpin sahaja tetapi juga barisan penyokong yang pastinya terdorong dari revolusi yang dilakukan pihak pucuk pimpinan. Wallahu ‘alam.
(MahasiswaKini)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan