Khamis, 26 November 2009

The Truth Sacrifices

Penyembelihan qurban yang dilakukan pada hari Raya Eidul Adha bertitik tolak daripada pengorbanan 'kabir' yang telah diberikan oleh Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail.

Sewaktu Nabi Ismail telah dewasa dan sudah diberi kudrat untuk menolong ayahandanya, maka Allah telah menguji mereka berdua sebagaimana yang diceritakan oleh Allah:

“Ketika anak itu pandai berusaha(dewasa), berkatalah Ibrahim:"Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?” Ia menjawab: Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan itu, InsyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.” “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini adalah benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah As-Sooffat:102-107)

Akan tetapi Allah tidaklah sekejam itu bahkan tidak kejam walau sekali. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Suruhan itu, hanyalah merupakan satu cubaan dan ujian daripada Allah terhadap hamba-hambaNYA untuk menilai tahap mana kecintaan dan ketaatan hambaNYA itu akan terbukti di dalam menempuh mehnah dan tribulasi ujian. Oleh kerana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah lulus dalam menempuh ujian itu, maka Allah SWT dengan kuasaNYA telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor sembelihan.

Sebagai kesimpulan, orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan, tika mana mereka sanggup berkorban masa, harta, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya dengan berobjektifkan Mardhatillah. Kejayaan dan kecemerlangan sesekali tidak akan datang bergolek. Sebaliknya tanpa pergorbanan, seseorang pelajar itu akan gagal, pentadbir akan hilang daya eksistensi, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur lebur, kampung halaman porak peranda dan negara akan terus dijajah.

Harapnya dengan menyambut Eidul Adha, dapatlah kita ambil dan hayati ibrah-ibrah serta hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali seluruh hati umat Islam yang sedang berada di tebing bahaya kemusnahan.

KULLU 'AM WA ANTUM BI ALFI KHAIR

1 ulasan:

  1. Salam Eidul Adha kepada sesiapa yang mengenali saya... Kullu 'am wa antum bi alfi khair..

    BalasPadam