Masih banyak perkara yang saya belum pelajari dari usrah. Banyak dan banyak sangat. Betullah apa yang selalu dipesankan oleh naqib saya bahawa jangan sekali-kali tinggalkan usrah walau kita sudah menjadi murabbi sekalipun!. Makin tinggi amanah yang jamaah berikan pada kita, maka perlu kita dekatkan diri dengan program tarbiyyah. Usrah adalah ibarat ruh dalam perjuangan.
Ada pimpinan kini yang sudah lama meninggalkan usrah dan program tarbiyyah. Natijahnya kita akan mula jadi perasan dan taajjub dengan diri sendiri. Akhirnya, kita sendiri akan membenarkan dan memperjuangkan betapa ‘tidak salahnya’ sikap cuaikan usrah. Saya masih teringat soalan yang dilontarkan oleh seorang pembentang dalam suatu seminar yang saya ikuti; “ Kalau kita tak ikut usrah, apa lagi yang kita nak ikut?. Kalau kita tak ikut tarbiyah, tarbiyah apa lagi yang kita nak ikut?.” Dalam hati saya jawab, “Akhirnya, pemimpin yang pernah ditarbiyyah dan pernah berbai'ah dahulu, jadi munafiq”.
Saya juga tertarik dengan istilah ahli dan pimpinan dikampus yang naik melalui cara ‘touch n go’. Ini istilah masyhur Ustaz Idris Ahmad. Tambahan pula dalam masa sekarang ini, populariti menjadi ukuran untuk seseorang diangkat menjadi kepimpinan dalam sesebuah organisasi walaupun dia hanya baru setahun jagung dalam perjuangan dan yang paling penting masih belum diuji sama seperti saya yang juga, masih belum kena ujian berat-berat dalam perjuangan. Nanti ada pula orang kata, kalau tidak kena ujian maka tak boleh jadi pimpinanlah ya. Hakikatnya, bukan begitu maksud saya. Apa yang kita kena faham sekarang, kesabaran dan ketabahan serta terus beristiqamah walau diuji dengan berat sekalipun, adalah syarat utama untuk menjadi golongan saf hadapan dalam perjuangan.
Satu lagi istilah yang saya belajar ialah ‘kalis tarbiyah’. Golongan ini rasa diri mereka tidak perlu lagi ikut program tarbiyah. Program luaran, tepat jam 9.00 pagi dah sampai. Program tarbiyah, lagi setengah jam nak tamat baru sampai. Mungkin ada kerja lain yang lebih mustahak dan penting dari sudut aulawiyatnya. Namun kalau setiap kali program tarbiyah jadi macam tu, selalu lewat dan datang sekadar nak tunjuk muka, maka apa maksudnya lagi kalau bukan kerana merasakan tarbiyah tidak mustahak. Termasuklah dalam golongan ini, mereka yang mendakwa diri mereka ulama’ dan ustaz. Hakikatnya, kadang-kadang golongan professional dan berlatar belakangkan sekular, kadang-kadang lebih komited dengan usrah. Dunia dah terbalik.
Maka kita harus menyorot kembali apa yang pernah Tuan Guru Nik Aziz katakan dalam muktamar bahawa golongan ulama’ harus memacu perjuangan sesuai dengan status mereka, dan professionallah gandingan terbaik untuk membantu dan menolong para ulama’. Namun ulama’ yang kita mahukan adalah ulama’ yang larut dalam masyarakat, faqeh dengan keperluan semasa umat, tidak menganggap status ulama’ menjadikan mereka tidak boleh ditegur dan menutup pintu nasihat dan mampu menjadi cahaya pedoman ummah dengan taqwa dan ‘khasyyah’ yang ada di dalam jiwa para ulama’. Dan yang pastinya, kepimpinan ulama’ masih relevan dan ulama’ yang sedang memimpin juga mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan