Sememangnya kita akui bahawa segala ibadah dan ketaatan yang kita lakukan selama ini bukanlah sebaik-baik ibadah dan sangat jauh dari kesempurnaan hakiki. Terasa malu mahu menuntut syurga dengan ibadah yang sedikit dan penuh kecacatan. Apatah lagi kita umat akhir zaman, jika mahu dibandingkan dengan ibadah salafus soleh, bezanya adalah seperti langit dan bumi.
Imam An Nawawi menyebutkan bahawa Saiyyiduna 'Ali Ibnu Abi Thalib pernah mengkhatam Al Quran sebanyak 8 kali sehari semalam. Syuruh Al Bukhari pernah menaqalkan bahawa Saiyyiduna ‘Uthman, Saiyyiduna ‘Ali, Saiyyiduna Tamim ad Dari, Imam Abu Hanifah adalah antara manusia soleh pilihan Allah yang selalu mengkhatamkan 30 juzu’ Al Quran dalam satu rakaat witir!. Namun, mereka yang disebutkan ini, senantiasa berguling-guling di dalam mihrab ibadah masing-masing di malam hari ketika mereka bersunyi-sunyi bersama Allah SWT kerana menangisi amalan mereka yang sangat sedikit berbanding permusafiran menuju akhirat yang sangat jauh.
Tidak hairanlah mereka telah dipilih dan diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk memuliakan dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Islam tersebar luas keseluruh pelusuk dunia dengan perjuangan mereka yang ikhlas dan penuh kesungguhan. Mereka telah mencukupkan syarat pejuang agama di dalam diri mereka lalu mereka dimenangkan oleh Allah SWT di atas muka bumi. Jadi, marilah kita bermuhasabah dan melakukan koreksi keatas diri kita.
Namun, sama-samalah kita terus mengharapkan agar Allah SWT sentiasa mengurniakan kita belas kasihanNYA dan merahmati kita semua, dengan menerima ibadah dan ketaatan kita yang sedikit ini. Inilah yang telah diperingatkan oleh Imam Ibnu ‘Athailllah as Sukandari di dalam matan hikamnya, bahawasanya kita lebih memerlukan keramahan dan kelembutan Allah SWT supaya menerima amalan kita berbanding pengampunan terhadap dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah SWT telah menjanjikan keampunan bagi mereka yang bertaubat dengan ikhlas dan jujur. Al Quran menegaskan bahawa, jika kita berbuat kebaikan, maka kebaikan itu adalah manfaat bagi kita dan jika kita berbuat dosa dan kejahatan, maka kejahatan itulah yang akan membinasakan kita. Ketidak taatan kita, tidak sama sekali akan memudharatkan Allah SWT.
Allah SWT bersifat dengan ‘Al Qayyum’ (Tuhan yang berdiri dengan sendiri dan tidak bergantung kepada makhluk) yang memberi maksud bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada amalan soleh yang kita lakukan. Maka sangat mustahak dan betapa perlunya kita mengharapkan agar Allah SWT menerima amalan kita semua.
Dalam keadaan amalan yang penuh cacat cela dan kekurangan ini, kita sangat perlu kepada belas kasihan Allah SWT untuk menyempurnakan amalan kita dan menerimanya sebagai amal soleh.
Sebagai seorang pejuang agama dan seorang da'ie yang mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT, perasaan seperti ini seharusnya menjadi teras dan akar kepada gerak kerja kita dalam perjuangan. Perjuangan, pengorbanan, penat lelah, masa dan tenaga yang kita curahkan untuk menjayakan cita-cita Islam selama ini, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita berharap agar Allah SWT akan mengasihi kita dan mencintai kita. Kita malu untuk menuntut syurga dari Allah dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak seberapa berbanding para sahabah terdahulu. Pengorbanan kita dalam perjuangan, masih belum mencapai tahap pengorbanan maksima seperti sahabah-sahabah dalam perang Tabuk apatah lagi untuk mencapai kedudukan perjuangan dan pengorbanan seperti Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq. Sememangnya tidak terlawan.
Namun, marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar menerima amalan, perjuangan dan pengorbanan yang sedikit ini. Sebab itulah kita mengharapkan Allah mencintai kita dengan apa yang kita lakukan. Jika kasih dan cinta Allah dapat kita capai, nescaya walau sedikit manapun amalan yang kita lakukan, dengan kasih saying dan rahmat dariNYA, pasti amalan kita diterima dan tercatat sebagai amal soleh dari seorang 'hamba' kepada 'tuannya'.
SALAM BERMUHASABAH, WAHAI PEJUANG AGAMA.
salam eidul adha kepada sesiapa yang mengenali saya.. kullu 'am wa antum bialfi khair
BalasPadam