Jumaat, 18 Disember 2009

Air Belum Penuh Lagi..

bismillahirrahmanirrahim...

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al Ankabut : 69)

Kali ini berminat saya membuka posting saya dengan sepotong ayat Al Quran yang insyaALLAH ada perkaitannya dalam posting kali ini. Ada 2 figur yang menarik minat saya dalam pembacaan saya minggu ini.

1-FOREST GUMP

Forest Gump adalah seorang yang cacat kakinya. Dia hanya mampu tertatih-tatih dengan menggunakan alat bantuan untuk memenuhi fitrah pergerakannya. Selain itu, dia merupakan seorang yang agak terbelakang mentalnya dan mengalami kesulitan untuk berbicara. Kondisi ini membuatkan Forest menjadi kambing hitam dalam kalangan teman-temannya dan selalu menjadi bahan cemuhan.

Pada suatu ketika, terdapat sekelompok kanak-kanak yang cuba untuk melukai Forest Gump. Forest dilempar batu, dan terpaksa bertatih-tatih berlari supaya tidak dilukai oleh lemparan batu kanak-kanak tadi. Dalam kesakitan dibahagian kaki, dia terus berlari..... berlari...... dan terus berlari, tanpa mempedulikan cemuhan orang-orang yang ada di belakangnya. Dia optimis dia mampu memotivasikan diri sendiri, sehinggakan suatu ‘keajaiban’ telah berlaku.

Kakinya yang cacat dan mendapat sokongan dari alat bantuan tadi, kini menjadi sembuh dan pada waktu itu juga, dia mampu berlari kerana dia percaya bahawa motivasi diri mampu mengatasi segalanya, walaupun cacat dari segi fizikal. Sejak saat itu, dia tidak berhenti berlari, sehinggakan orang menggelarkannya sebagai manusia terpantas dalam larian. Pada ketika itu, MOTIVASI nya telah mengubah kehinaan menjadi kemuliaan.

2-SYEIKH AHMAD YASSIN

Syeikh Ahmad Yasin, adalah seorang pejuang keadilan sejati bagi rakyat Palestin. Beliau hanyalah seorang tua renta yang hanya duduk di kerusi roda. Kaki beliau cacat, tangan dan pendengaran beliau juga terdapat sedikit masalah, kerana seksaan yang harus diterima dari penjajah Israel akibat keteguhan sikapnya memperjuangkan kemerdekaan rakyat Palestin. Tapi cacatnya bukanlah penghalang bagi beliau untuk beralasan mundur dari medan dakwah dan jihad yang suci. Syeikh Ahmad Yasin percaya, bahawa perjuangannya membebaskan rakyat Palestin dari penjajahan adalah sebahagian dari ibadahnya kepada Allah SWT.

Dengan tertatih-tatih duduk di kerusi roda, beliau mampu menggerakkan hampir 2 juta hati pemuda belia Palestin, untuk bergabung dengan gerakan Islam yang dikenali sebagai HAMAS. Perjuangan dan sumbangsihnya untuk Islam diakhiri dengan kemuliaan sebagai seorang syuhada, saat helikopter Apache menghancurkan jasadnya, seusai beliau menunaikan solat subuh di kota Gaza.

Itulah sekelumit orang-orang yang tidak pernah merasa putus asa dengan dirinya sendiri. Masih banyak cerita kejayaan orang lain yang tidak jauh bezanya. Tapi, bagaimana dengan kita? Ketika ini, kondisi kita jauh lebih aman, lebih mapan dan lebih sihat dari Forest Gump atau Syeikh Ahmad Yasin. Namun, apakah sumbangsih yang telah kita berikan untuk masyarakat khususnya umat Islam sendiri? Untuk dakwah Islam, terutamanya.

Pertanyaan-pertanyaan ini seharusnya menjadi motivasi bagi diri kita, untuk lebih bersungguh-sungguh dalam menjalani Tarbiyah Islamiyah. Kita tidak perlu berpeluh-peluh berlari untuk menghindari ancaman Apache bagi menghadiri ke liqo’-liqo' jemaah. Bahkan, kita masih mampu beristirehat dan tertidur nyenyak, tanpa gangguan dari suara peluru dan butiran-butiran bom cluster yang dijatuhkan Amerika di Iraq dan Afghanistan.

PERKAITAN DARI SITUASI FOREST GUMP DAN SHEIKH AHMAD YASSIN

Kita punya modal awal yang JAUH LEBIH BESAR, LEBIH BANYAK DAN LEBIH BERKUALITI dari yang dimiliki oleh Forest Gump atau Syeikh Ahmad Yassin. Lalu, apa yang membuat kita menunggu untuk menjadi orang yang lebih hebat dari mereka? Mampukah kita menjadi orang yang lebih hebat dari mereka? Tentu sekali mampu! Dengan terus menjalani tarbiyah dan beramal. Tarbiyah tanpa amal akan berhujungkan kebosanan, jumud dan amal tanpa tarbiyah akan berhujungkan pada futur apabila lemah semangat keislamannya.

Tarbiyah bukanlah sebuah beban. Seharusnya, tarbiyah menjadikan seorang muslim menjadi lebih hebat, kerana ia mampu mengoptimumkan semua potensi yang seseorang itu miliki dan meminimakan kelemahan seseorang. Sebagaimana Bilal yang menjadi seorang yang hebat. Sebagaimana Umar yang menjadi khalifah kedua, padahal sebelumnya dia merupakan samseng jalanan. Dan sebagaimana Abu Dzar Al Ghiffari yang menjadi penasihat khalifah, padahal dia seorang yang zuhud dan miskin. Sudahkah menjadi renungan bagi kita?

Bertepatanlah dengan tahun baru hirah ini, marilah kita sama-sama mengambil ibrah tahun baru ini sebagai wadah tranformasi kita kearah yang lebih baik. Marilah kita tajdid niat kita semula yang kadangnya tersasar objektifnya. Muhasabah juga perlu bagi menjamin istiqamah kita dalam ibadah mahupun perjuangan. Perkara ini perlu wahai sahabat-sahabiah sekalian kerana, "AIR BELUM PENUH LAGI".

Akhir kalam,

SALAM MA'AL HIJRAH BUAT SEMUA PENDOKONG AGAMA

Ahad, 13 Disember 2009

Tabikku Pada "Si Kulit Hitam"

Cuti pertengahan semester 2 sudahpun bermula. Jari ini pun SUdah lama tak menari. Dua hari lepas, ketika membaca sebuah buku, maka saya tertatap sebuah cerita mengenai seorang sahabat Nabi SAW yang sangat dekat dengan Baginda, muazzin Rasulullah SAW, Saiyyiduna Bilal Ibn Rabah radhiyallahu ‘anhu.

Seorang manusia pilihan Allah yang menjadi tauladan dan bandingan kepada sekalian ummah hingga hari kiamat. Berkulit hitam, seorang hamba abdi pada asalnya, miskin, faqir dan pendatang di bumi Makkah. Dengan rahmat Allah dia terpilih untuk menerima hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketika ‘tuannya’ Umaiyyah bin Khalaf mendapat berita keislaman Bilal, tindakan pertamanya ialah ‘mencekik’ Bilal. Kemudian, kekasih Allah itu disebat di seluruh tubuhnya. Ketika enggan kembali kufur menyembah Laata dan ‘Uzza, ditelanjangkan tanpa seurat benang. Ditiarapkan di atas pasir yang panas dan diletakkan bongkahan batu besar di atasnya hingga hampir putus nafas. Akhirnya, dia dibeli Abu Bakar lalu dimerdekakan.

PERJUANGAN YANG "QUALIFIED"

Diriwayatkan bahawa bila berlaku peristiwa Isra’ Mi’raj, Rasulullah SAW mendengar bunyi ‘tapak kaki’ Bilal di dalam syurga Allah SWT. Berita gembira itu terus dikhabarkan kepada Bilal.

Inilah bukti bahawa perjuangan ‘si kulit hitam’ yang mulia dengan iman ini, diiktiraf Allah SWT. Kalimah ‘ahad….ahad…ahad..” yang diucapkan oleh Bilal ketika diseksa, menggambarkan kepanasan iman yang menggelegak di lubuk jiwanya. Hal ini dikuatkan lagi dengan jawapannya kepada ugutan Umaiyyah;

“Yang menjadi milik belianmu adalah tubuhku, namun hati dan keyakinanku, tiada siapa yang boleh menguasai dan mempengaruhinya”.

Perhatikanlah wahai sahabat sahabiah yang punya akal fikiran yang waras!. Inilah sikap dan pendirian yang sepatutnya dijadikan aqidah mukmin sepanjang zaman. Jika wujudlah peribadi seperti Bilal di zaman ini InsyaAllah, thagut akan mampu dihalau jauh dari bumi Allah. Nescaya takkan bertapak lagi sebarang bentuk jahiliyyah. Dewasa ini, kita amat merindukan peribadi seperti ini.

YOU SHOULD BE THE DEFENDER

Ayuh semua pendokong perjuangan Islam, pemimpin dan orang bawahannya. Kita pertahankan dasar perjuangan yang sohih di atas dasar menunaikan tanggungjawab taqwa dan melaksanakan Islam sebagai ad deen dalam masyarakat dan negara. Jangan sekali-kali cuba dijual dengan harga yang murah! Jangan sekali-kali cuba digadai hanya semata-mata mahu cepat melangkah ke PUTRAJAYA. Tiada guna tergopoh gapah jikalau tergadai konkrit perjuangan yang telah dibina sebelum ini.

Ingatlah:

"TERGOPOH GAPAH ITU DARI SYAITAN DAN KETENANGAN ITU DARI ALLAH SWT"

Isnin, 30 November 2009

Menggenggam Bara


Tersentap saya setelah membaca karya Allahyarham Ustaz Fathi Yakan. Sebak ditambahkan lagi dengan syahdu. Sebutir-sebutir kalam tulisannya menikam sanubari saya. Barangkali, inilah 'izzah yang Allah berikan kepada pejuang yang benar-benar ikhlas berjuang dijalanNYA. Walaupun telah meninggalkan dunia, namun dakwahnya masih terus berbisa menikam jiwa. Saya bermuhasabah sejenak setelah selesai membedah buku "Bahtera Penyelamat Bagi Para Du'ah" buat kali yang kedua. Mungkin saya tidak cukup lagi untuk bergelar "PEJUANG AGAMA ALLAH YANG SEBENAR-BENAR IKHLAS" dalam perjuangan.

Sidang pembaca yang saya hormati sekalian,

Rasulullah SAW adalah suri tauladan sepanjang zaman. Terutamanya kepada para pencinta dan pejuang agama Allah SWT. Antara bekalan para pendakwah dan pejuang agama menurut Al Marhum Syeikh Musthafa Masyhur, ialah kita menurut sunnah Rasul dan menghidupkannya dalam kehidupan seorang da’ie.

Para da’ie adalah kekasih Allah sepanjang zaman. Mereke berjuang menegakkan agama tidak lain dan tidak bukan, hanyalah kerana Allah, kepentingan diri dan ummah umumnya. Mereka bermujahadah siang dan malam tanpa rasa malas dan jemu bagi merealisasikan matlamat Islam itu sendiri.

Firma Allah SWT:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Surah Al Fussilat : 33)

GHURABAA’- YANG TERASING

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa pencinta dan pejuang Islam sepanjang zaman akan menjadi "golongan terasing". Mereka akan menjalani kehidupan yang susah, miskin dan sempit dek kerana "layanan dingin" manusia terhadap mereka. Mereka akan terlempar jauh dan dicela oleh lidah-lidah pencela sepanjang zaman.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya bermula Islam itu dalam keadaan terasing (gharib), dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Beruntunglah mereka yang ghuraba’”

GENGGAM BARA

Melaksanakan Islam di zaman ini adalah ibarat "menggenggam bara". Hadith Rasulullah SAW yang saya nyatakan tadi, juga ada menyiratkan maksud tentang kepayahan berjuang. Para mujahid harus menggenggam bara perjuangan Islam ini hinggalah ia menjadi arang. Para pejuang agama akan senantiasa berhadapan dengan dendam dan salah sangka manusia yang fitrahnya sering tidak berpuas hati. Mereka akan senantiasa dituduh dan dilemparkan fitnah yang kadangkalanya mampu menjatuhkan spirit untuk berjuang.

CADANGAN SAYA

1-Agar membaca karya Allahyarham Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Bahtera Penyelamat Bagi Para Dua’ah”. Moga-moga kita akan dapat apa yang dikatakan penawar dan ubat buat luka dan duka para da’ie.

2-Antara contoh yang saya boleh kemukakan mengenai memperjuangkan Islam ibarat menggenggam bara, sahabat-sahabat bolehlah merujuk hasil tulisan Saudara Roslan SMS dalam blognya, http://n32.blogspot.com. Tulisannya berkisarkan mengenai etika berpakaian Majlis Bandaraya Islam Kota Bharu. Jemputlah membaca.

SALAM JUANG WAHAI SEMUA PENDOKONG AGAMA

Jumaat, 27 November 2009

Bicara Bab Nafsu

Entah mengapa cuti kali ini, saya seakan melepaskan geram dihadapan komputer. Sekejap-sekejap taip posting terbaru. Sekejap-sekejap buka buku untuk tambah input diri dan posting terbaru. Sekejap-sekejap lagi, entah apa pula akan jadi.

Belakangan ini, agak kerap juga saya didatangkan dengan persoalan bekisarkan 'nafsu'. Akhirnya mengakibatkan metabolisme saya sendiri teransang untuk mengadakan sedikit research mengenai perihal ini.

Ketahuilah bahawasanya Islam tidak diturunkan oleh Allah SWT untuk disesuaikan dengan kehendak hati manusia. Sebaliknya manusialah yang mesti menurut kehendak Islam dan menyesuaikan diri dengan ajaran Islam. Allah SWT menjanjikan kejayaan, ketenangan hati dan kebahagiaan bagi mereka yang tekun menurut ajaran Islam dan melaksanakan tuntutan Islam di dalam kehidupan mereka.

MENYANGGAH NAFSU

Ketika Allah SWT memerintahkan Jibril melihat syurga, Allah SWT bertanya kepada Jibril:

“ Bagaimanakah pandangan engkau wahai Jibril setelah engkau melihat syurga ciptaanKU?”. Maka dijawab oleh Jibril, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, bahawa pasti setiap hambaMU yang melihat syurga berkeinginan agar dimasukkan ke dalamnya, namun aku khuatir tiada seorang pun yang akan dapat masuk ke dalamnya”. Ini adalah kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu. Lalu Jibril diperintahkan pula supaya Jibril melihat neraka, lalu berkata Jibril as, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, aku khuatir tidak ada seorang pun dari hambaMU yang akan terselamat dari neraka”. Ini adalah kerana, neraka dipagari Allah dengan perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu."

Memang benar, susahnya dalam menyanggah kehendak nafsu. Hal ini kerana, nafsu seringkali menawarkan keseronokan dan kenikmatan. Kita akan rasa senang dan selesa menurut nafsu kerana ia amat secocok dengan kemahuan syahwat. Memang perit bila kita terpaksa bermujahadah melawan kehendak nafsu seperti pahitnya 'jadam', namun apabila kita berjaya dalam mujahadah tersebut, hasilnya adalah terlebih manis dari madu.

SITUASI KITA

Duduk di medan perjuangan adalah lebih baik dari menjauhkan diri dari jamaah dan perjuangan. Medan perjuangan penuh risiko dan onak duri, sedangkan duduk jauh dari medan sememangnya senang lenang tanpa mehnah dan tribulasi. Tak perlu berjaga malam untuk hadir mesyuarat persatuan dan jamaah. Tak perlu bersengkang mata kerana perlu menyiapkan kertas kerja program jamaah yang langsung tiada imbuhan wang ringgit, jauh sekali ‘claim’ jika melakukannya. Apa yang lebih musatahak bagi mereka(yang jauh dari jamaah) adalah, mereka boleh terus pertahankan keegoan yang selama ini diperjuangkan habis-habisan oleh pejuang agama. Merekakan ada ‘degree’ , mana boleh dengar arahan ketua cawangan yang hanya setakat SRP apatah lagi diarahkan untuk laksanakan tugasan remeh-temeh dan tidak sesuai dengan kesarjanaan yang dimiliki. Lebih-lebih lagi, anda tidak perlu taat dan wala' pada arahan naqib 'kampung' yang berkain pelikat kesana kemari. Memalukan!.

Lebih baik terlibat dengan persatuan yang gah namanya dikampus(kata nafsu) dari terlibat dengan jamaah yang sir namanya dan hazar pergerakannya. Ini lebih selamat dan lebih selesa. Kalau ada chance, 'income' pun masuk.

Jika kita telitikan kembali, individu yang memberikan tazkirah mengenai hal ini akan dicemuh dan dicela. Namun, jangan risau wahai pentazkirah. Kita biarkan mereka terus mencela dan mencemuh. Orang jenis ini adalah orang yang perasan bahawa tarbiyah dialah yang terhebat dan tarbiyah orang lain tidak betul. Semua kerja, dia saja yang betul. Inilah orang yang suka tuduh orang lain tiada tarbiyah dan macam-macam lagi. Hakikatnya, tazkirah sememangnya akan terasa pedas dan pedih untuk orang yang punya hati yang hidup namun ia takkan membekas dan memberi kesan untuk hati yang sentiasa tertutup untuk ditegur.

Saya ada kemukakan firman Allah SWT di bawah sebagai muhasabah bersama dan berharap agar Allah SWT akan menolong kita dalam kita terus bekerja untuk menolong agamaNYA:

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.(44) Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, Kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.(45)”(Surah At-Taubah 44-45)

Saya tutup posting kali ini dengan ucapan dari Ibn Mas'ud:

"SEJAHAT-JAHAT TUHAN YANG DISEMBAH DI ATAS MUKA BUMI ADALAH HAWA NAFSU"

Khamis, 26 November 2009

The Truth Sacrifices

Penyembelihan qurban yang dilakukan pada hari Raya Eidul Adha bertitik tolak daripada pengorbanan 'kabir' yang telah diberikan oleh Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail.

Sewaktu Nabi Ismail telah dewasa dan sudah diberi kudrat untuk menolong ayahandanya, maka Allah telah menguji mereka berdua sebagaimana yang diceritakan oleh Allah:

“Ketika anak itu pandai berusaha(dewasa), berkatalah Ibrahim:"Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?” Ia menjawab: Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan itu, InsyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.” “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini adalah benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah As-Sooffat:102-107)

Akan tetapi Allah tidaklah sekejam itu bahkan tidak kejam walau sekali. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Suruhan itu, hanyalah merupakan satu cubaan dan ujian daripada Allah terhadap hamba-hambaNYA untuk menilai tahap mana kecintaan dan ketaatan hambaNYA itu akan terbukti di dalam menempuh mehnah dan tribulasi ujian. Oleh kerana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah lulus dalam menempuh ujian itu, maka Allah SWT dengan kuasaNYA telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor sembelihan.

Sebagai kesimpulan, orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan, tika mana mereka sanggup berkorban masa, harta, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya dengan berobjektifkan Mardhatillah. Kejayaan dan kecemerlangan sesekali tidak akan datang bergolek. Sebaliknya tanpa pergorbanan, seseorang pelajar itu akan gagal, pentadbir akan hilang daya eksistensi, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur lebur, kampung halaman porak peranda dan negara akan terus dijajah.

Harapnya dengan menyambut Eidul Adha, dapatlah kita ambil dan hayati ibrah-ibrah serta hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali seluruh hati umat Islam yang sedang berada di tebing bahaya kemusnahan.

KULLU 'AM WA ANTUM BI ALFI KHAIR

Rabu, 25 November 2009

Layakkah Kita Menuntut Syurga?

Sememangnya kita akui bahawa segala ibadah dan ketaatan yang kita lakukan selama ini bukanlah sebaik-baik ibadah dan sangat jauh dari kesempurnaan hakiki. Terasa malu mahu menuntut syurga dengan ibadah yang sedikit dan penuh kecacatan. Apatah lagi kita umat akhir zaman, jika mahu dibandingkan dengan ibadah salafus soleh, bezanya adalah seperti langit dan bumi.

Imam An Nawawi menyebutkan bahawa Saiyyiduna 'Ali Ibnu Abi Thalib pernah mengkhatam Al Quran sebanyak 8 kali sehari semalam. Syuruh Al Bukhari pernah menaqalkan bahawa Saiyyiduna ‘Uthman, Saiyyiduna ‘Ali, Saiyyiduna Tamim ad Dari, Imam Abu Hanifah adalah antara manusia soleh pilihan Allah yang selalu mengkhatamkan 30 juzu’ Al Quran dalam satu rakaat witir!. Namun, mereka yang disebutkan ini, senantiasa berguling-guling di dalam mihrab ibadah masing-masing di malam hari ketika mereka bersunyi-sunyi bersama Allah SWT kerana menangisi amalan mereka yang sangat sedikit berbanding permusafiran menuju akhirat yang sangat jauh.

Tidak hairanlah mereka telah dipilih dan diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk memuliakan dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Islam tersebar luas keseluruh pelusuk dunia dengan perjuangan mereka yang ikhlas dan penuh kesungguhan. Mereka telah mencukupkan syarat pejuang agama di dalam diri mereka lalu mereka dimenangkan oleh Allah SWT di atas muka bumi. Jadi, marilah kita bermuhasabah dan melakukan koreksi keatas diri kita.

Namun, sama-samalah kita terus mengharapkan agar Allah SWT sentiasa mengurniakan kita belas kasihanNYA dan merahmati kita semua, dengan menerima ibadah dan ketaatan kita yang sedikit ini. Inilah yang telah diperingatkan oleh Imam Ibnu ‘Athailllah as Sukandari di dalam matan hikamnya, bahawasanya kita lebih memerlukan keramahan dan kelembutan Allah SWT supaya menerima amalan kita berbanding pengampunan terhadap dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah SWT telah menjanjikan keampunan bagi mereka yang bertaubat dengan ikhlas dan jujur. Al Quran menegaskan bahawa, jika kita berbuat kebaikan, maka kebaikan itu adalah manfaat bagi kita dan jika kita berbuat dosa dan kejahatan, maka kejahatan itulah yang akan membinasakan kita. Ketidak taatan kita, tidak sama sekali akan memudharatkan Allah SWT.

Allah SWT bersifat dengan ‘Al Qayyum’ (Tuhan yang berdiri dengan sendiri dan tidak bergantung kepada makhluk) yang memberi maksud bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada amalan soleh yang kita lakukan. Maka sangat mustahak dan betapa perlunya kita mengharapkan agar Allah SWT menerima amalan kita semua.

Dalam keadaan amalan yang penuh cacat cela dan kekurangan ini, kita sangat perlu kepada belas kasihan Allah SWT untuk menyempurnakan amalan kita dan menerimanya sebagai amal soleh.

Sebagai seorang pejuang agama dan seorang da'ie yang mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT, perasaan seperti ini seharusnya menjadi teras dan akar kepada gerak kerja kita dalam perjuangan. Perjuangan, pengorbanan, penat lelah, masa dan tenaga yang kita curahkan untuk menjayakan cita-cita Islam selama ini, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita berharap agar Allah SWT akan mengasihi kita dan mencintai kita. Kita malu untuk menuntut syurga dari Allah dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak seberapa berbanding para sahabah terdahulu. Pengorbanan kita dalam perjuangan, masih belum mencapai tahap pengorbanan maksima seperti sahabah-sahabah dalam perang Tabuk apatah lagi untuk mencapai kedudukan perjuangan dan pengorbanan seperti Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq. Sememangnya tidak terlawan.

Namun, marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar menerima amalan, perjuangan dan pengorbanan yang sedikit ini. Sebab itulah kita mengharapkan Allah mencintai kita dengan apa yang kita lakukan. Jika kasih dan cinta Allah dapat kita capai, nescaya walau sedikit manapun amalan yang kita lakukan, dengan kasih saying dan rahmat dariNYA, pasti amalan kita diterima dan tercatat sebagai amal soleh dari seorang 'hamba' kepada 'tuannya'.

SALAM BERMUHASABAH, WAHAI PEJUANG AGAMA.

Jumaat, 13 November 2009

Mencari Peransang Metabolisme Yang Hilang

Jiwa manusia tidak jauh bezanya dengan anggota tubuh yang lain. Tangan akan lelah jika terus mengangkat. Kaki akan lenguh jika terus berlari. Mata akan berair jika tak henti menatap. Dan, lelahnya jiwa ketika semangat kian surut.

Ada sesuatu yang aneh dirasakan Ka’ab bin Malik. Entah kenapa, sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah ini merasa enggan untuk segera berangkat bersama yang lain menuju Tabuk. Padahal, hampir tidak seorang pun yang luput dari perang besar ini. Semuanya siap ikut. Paling tidak, memberikan sumbangan setakat yang mereka ada.

Ada Apa Dengan Ka’ab?

Selama ini, hampir tiada satu pun peluang jihad disia-siakan Ka’ab. Tapi di Tabuk ini, beliau merasakan ladang gandumnya yang sedikit benar-benar menyibukkannya. Ah, nanti saja. Nanti saja, akan saya kejar rombongan Rasul itu. Nanti, dan nanti. Akhirnya, Ka’ab benar-benar tertinggal hingga peperangan yang memakan waktu sekitar satu setengah bulan itu berakhir.

Mungkin, bukan cuma Ka’ab yang sempat merasakan keanehan itu. Kita pun secara sedar atau tidak, pernah merasa ada sesuatu yang mengganjilkan. Semangat untuk aktif tiba-tiba mengendur. Dan keasyikan pun muncul saat diri cuma sebagai penonton.

Beberapa ulama' dakwah menyebut gejala ini sebagai penyakit futur. Sayid Muhammad Nuh misalnya, menyebut lemahnya semangat dakwah yang sebelumnya berkobar-kobar ini sebagai futur.

Dari segi bahasa, futur bererti berhenti setelah sebelumnya bergerak. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 19 dan 20 yang di antaranya menyatakan malaikat tidak pernah futur. “Dan kepunyaan-Nyalah segala yang di langit dan di bumi. Dan malaikat-malaikat yang di sisiNya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya dan tiada (pula) merasa letih. Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada (futur) henti-hentinya.”

Manusia memang bukan malaikat. Al-Insan atau manusia berasal dari kata nasiya yang bererti lupa. Kadar keimanan manusia pun boleh naik turun. Itulah di antara kelemahan manusia. Dan saling memberi nasihat adalah ubat agar lupa tidak berakibat fatal.

Masalahnya, tidak semua yang sedang bermasalah boleh lapang dada menerima nasihat. Bahkan boleh jadi, mereka tidak sedar yang dirinya dalam keadaan bermasalah. Setidaknya ada tiga keadaan yang menunjukkan kalau seseorang itu memang positif futur.

Pertama
Ada kemalasan dalam menunaikan ibadah. Apa saja. Boleh salat, tilawah, zikir, apalagi infak. Kalaupun tertunai, mereka cuma sekadar menggugurkan kewajiban. Tidak ada semangat berlumba-lumba dalam kebaikan.

Kedua
Ada keinginan untuk selalu menyendiri. Selalu muncul seribu satu alasan agar diri boleh selalu sendiri. Alasannya boleh macam-macam. Mulai kesibukan ekonomi, urusan keluarga, sibuk menghadapi peperiksaan di kampus, dan sebagainya. Pokoknya, selalu ada halangan dalam bertolak-ansur dengan yang lain.

Ketiga
Munculnya kepekaan emosi yang berlebihan. Orang jadi mudah tersinggung. Jangankan ditegur, dipuji pun boleh memunculkan kesalahfahaman. Yang ada di benaknya cuma ada pola berfikir negatif. Semua orang selalu salah, kecuali yang benar-benar cocok dengan dirinya. Dari situ pula, muncul ukuran siapa yang bicara, bukan apa yang dibicarakan.

Bayangkan jika sebuah amanah dipegang oleh mereka yang punya keadaan seperti di atas. Akan terjadi beberapa kemungkinan. Boleh jadi, amanah akan terbengkalai kerana ditinggalkan mereka tanpa belas. Kemungkinan berikutnya, terjadi konflik dalam pos yang diamanahkan. Kerana orang yang punya kecenderungan bekerja sendiri mungkin akan mengalami kesukaran dalam bekerja sebagai one team.

Betapa sukarnya jika futur menghinggapi diri. Kerana itu, perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam futur.

Mengapa Boleh Futur?

Pertama
Berlebihan dalam memahami dan menerapkan ajaran agama. Sebab ini muncul kerana kurangnya kefahaman bahawa Islam sangat parallel dengan fitrah manusia. Tidak ada yang sulit dalam Islam. Pengamalan Islam akan menjadi berat jika diberat-beratkan. Bahkan, dalam jihad pun. “Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan…”

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat, “Sesungguhnya agama Islam itu agama yang mudah dan tidaklah orang yang berlebihan dalam beragama melainkan ia akan dikalahkan olehnya.” (HR. Bukhari)

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda, “Berbuatlah sesuai dengan kemampuanmu, sesungguhnya Allah tidak akan merasa bosan sampai kamu sendiri yang merasa bosan. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang istiqamah sekali pun sedikit.” (Mutafaq ‘alaih)

Kedua
Berlebihan dalam hal yang dibolehkan, mubah. Seorang mukmin menempatkan sarana hidup sebagai kenderaan buat kebahagiaan akhirat. Abu Sulaiman Ad-Darani mengatakan, “Siapa yang kekenyangan maka akan mendapat enam bahaya: kehilangan manisnya bermunajat kepada Allah, susah menghafal ilmu, kurang peduli terhadap sesama (kerana mengira semua orang kenyang seperti dirinya), merasa berat beribadah, dan bergejolak syahwatnya. Kerana, seorang mukmin akan menyibukkan diri berada di lingkungan masjid sementara orang yang perutnya kenyang akan sibuk di sekitar tempat pembuangan sampah.” (Riwayat Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumidin)

Ka’ab bin Malik memang pernah mengalami surut semangat dalam dakwah dan jihad. Tapi, Ka'ab bermunajat memohon ampun pada Allah kerana kekhilafannya, walaupun ampunan itu mesti ia tebus dengan dipulaukan oleh kaum muslimin selama empat puluh hari.

Salam islah dan muhasabah dari saya buat semua pencinta agama Islam. Akhir kalam, marilah bersama kita mencari semula peransang metabolisme yang hilang.