Ahad, 1 November 2009

Wujudkah Dakwah VS Politik Kampus?

Secara amnya, bila berbicara hal demokrasi dalam politik kampus, rata-rata mahasiswa akan melihat akan kualiti dan kredibiliti sesebuah parti politik kampus tersebut sebelum mendukung dan mengangkat parti tersebut sebagai pilihan. Menyebut pula hal kualiti dan kredibiliti parti, sudah pasti itu adalah transaksi gambaran dalaman dan persona-persona yang mendukung kuat dan menjadi pemimpin di dalam parti tersebut.

Merujuk hal berikut, peribadi-peribadi yang berada di dalam sesebuah parti itulah sebenarnya menjadi pokok pandang dan tauladan yang mampu memberikan pengikut dan simpatisannya (penyokong) sentiasa menyakini karisma dan kemampuan barisan pimpinan untuk memimpin tunjang visi dan misi parti pro-islami tersebut.

Tarbiyah siasah yang bermakna pendidikan politik adalah merupakan hal yang sangat penting untuk difahami oleh setiap barisan pimpinan parti pro-Islam di kancah politik kampus. Ini kerana pemahaman politik yang difahami bukanlah bermakna hanya rencah ilmu politik kampus umum semata iaitu untuk memperoleh kuasa pimpinan dan mempertahan kekuasaan . Akan tetapi, berpolitik kampus di sini ialah untuk menegakkan nilai-nilai kebenaran ilahiah dan memperjuangkan kepentingan dan maslahat masyarakat kampus. Berkuasa untuk melayani ummat mahasiswa dan memimpin untuk memperbaiki sistem yang tidak berpihak kepada nilai-nilai kebaikan dan kebenaran. Itulah lahang yang menjadi misi sesebuah parti pro-Islam di dalam kampus sesebuah universiti.

Dakwah, satu ayat yang membawa erti sangat besar malah satu ketika mendengar sahaja sudah membuat sesetengah pihak itu fobia dan sensitif. Dakwah yang bertujuan menyeru manusia untuk kembali kepada nilai-nilai Islam secara komprehensif bukanlah perkara yang asing di dalam kamus perjuangan parti pro-islami malah penyeruan ke arah pembaikan sahsiah, intelek, maslahat fizikal juga merupakan salah satu jahan kepada dakwah. Hal ini tidak memdeskriminasikan antara politik kampus dan dakwah bahkan asas dan misi sesebuah parti pro-islam itu adalah dakwah itu sendiri yang mengajak ke arah pembaikan dari segala aspek kehidupan mahasiswa baik dari hak kerakyatan mahasiwa mahupun hak pembaikan dalaman peribadi seorang mahasiswa tersebut.

Sehubungan dengan itu, memastikan kejayaan misi sesebuah parti pro-Islam itu adalah suatu perjuangan yang sangat sukar dan memerlukan strategi tertentu demi untuk melihat akan kejayaan yang hakiki iatu kejayaan untuk melihat kebenaran dan kebaikan itu benar-benar termaktub di dalam wilayah kampus tertentu.

Mari kita melihat dasar dan asas kemenangan sesebuah parti itu, selain dari tahap intelek, peduli ummah, kualiti karismatik pemimpin, dan segala macam perancangan pembaikan maslahat, perlu diteliti juga tahap keruhanian dan keimanan sang pemimpin. Kembali kepada sejarah Islam semula. Di penghujung tahun 12 Hijrah, Abu Bakar telah mengirimkan pasukan untuk membebaskan negeri-negeri Syam dari genggaman Romawi. Amr bin Ash r.a dipilih sebagai panglimanya. Pada perang tersebut, jumlah pasukan Islam 40 000 orang, sedang jumlah pasukan Romawi adalah 200 000 orang. Skala pembandingannya adalah satu perlima. Namun akhirnya, kaum muslimin juga yang berjaya mengalahkan mereka. Jumlah yang tak seimbang namun pasukan yang sikit itulah yang mampu menumbangkan pasukan yang lima kali ganda lebih banyak. Apakah penyebabnya?…..adakah pertolongan Allah itu datang tanpa mendasari juga kepada keimanan para prajurit-prajurit Islam tersebut? Kita telah yakin terhadap keimanan para sahabat, yang tidak mampu dibandingkan dengan keimanan manusia di abad mana pun. Terhadap ibadah mereka, kita juga tidak ragu. Kisah-kisah yang menakjubkan tentang peribadi-peribadi yang bekerja kerana Allah itu, tidak dapat dinafikan pada siang hari mereka bersemangat waja di dalam medan pertempuran dan menunggang kuda walaupun pada malam hari mereka giat bersama Tuhan mereka.

Seorang pendakwah di bumi mesir, Syeikh Juma’ah Amin berkomentar pada salah satu ceramahnya

“ mereka mampu menjadi para penunggang kuda di siang hari kerana mereka telah terlebih dahulu menjadi rahib-rahib di malam harinya” .

Itulah kekuatan yang Allah berikan pada peribadi-peribadi tersebut, atas keimanan dan hubungan yang dekat dengan Allah itulah, DIA telah memberikan kemenangan dakwah kepada mereka dan mereka mampu untuk bekerja kepada Allah. Malah atas dasar keimanan mereka itu juga maka tertegaknya agama Islam yang kita anuti sekarang ini, tersebarnya hingga ke tanah Malaysia malah di mana-mana sahaja…..dakwah Islam itu menjadi sesuatu yang luas dan menjadi misi utama hidup mereka sekalipun dilemparkan di bumi asing …dan hal kekuatan perasaan ini takkan hadir tanpa didasari kepada keimanan dan keikhlasan amal kepada Allah..

Subhanallah, itu mungkin alkisah perjuangan para sahabat Rasulullah, lihat sahaja Rasulullah (juga seorang politikus), bukan setakat menangis di malam hari malah tumit kakinya diriwayatkan pecah lantaran kerapnya baginda bangun malam memohon keampunan dan pertolongan dari Allah swt. Mungkin ada yang beranggapan peristiwa itu mungkin terlalu jauh dari era kotemporari kita sekarang, sudah terlalu lapuk bentuk dan perjuangan yang dibawa Rasulullah bersama sahabat. Ya mungkin, tetapi ingat iman, ikhlas, semangat dan amal takkan pernah lapuk dek zaman malah jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, seumpama berjuta hektar terlalu jauh kualiti dalaman berbanding dengan kita yang hidupannya telah divirusi oleh simptom-simpton virus hedonisme, virus keselesaan, virus hiburan melampau, virus asyikan cinta berlainan jantina hingga menjadi barah yang sukar diubati.

Namun, sejarah beberapa dekat lalu turut membuktikan. Kehebatan perjuangan suci Muhammad alFatih pada zaman 1400-an tak dapat dinafikan baik dari orang barat mahupun muslim. Terlatih dengan kehidupan yang sederhana kemudian dididik dengan ilmu seimbang ukhrawi dan duniawi. Jelas nyata memberikan buah penghasilan yang begitu besar di mata Islam. Tertawannya kota Konstantinopel itu bukanlah suatu kejayaan biasa tetapi satu kegemilangan yang luar biasa yang akhirnya setelah 800 tahun barulah ungkapan hadith Rasulullah tentang Konstantinopel menjadi realiti. Jika diperhalusi taktik dan strategi yang digunakan oleh baginda tuan Muhammad al Fatih, jelas kebijakan intelek menjadi sumber kejayaan namun jauh dari sudut pandangan telanjang mata manusia, beliau bukanlah calang-calang orang di hadapan Allah S.W.T. Keimanannya jelas lebih hebat dari kader tenteranya, ibadahnya jauh lebih biasa yang dilakukan oleh peorangan ketika zamannya itu. Lihat, masih releven kisah Muhammad al Fatih dengan kita walau angka perbandingan waktu telah mencapai kepada 600 tahun namun sikap dan unsur dalaman masih tetap relevan biar di era mana sekalipun.

Konklusi dari semua ini, politik dan dakwah adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan istilahnya dari kaca mata parti pro-Islam. Keberhasilan dan kesuksesan berpolitik atau jihad siyasi ini harus berimpak kepada dimensi kehidupan dunia lahiriah dan fikrah mahasiwa. Yang berhujung pangkal kepada pencerdasan anak bangsa dan percetakan generasi rabbani di dalam universiti dari pelbagai aspek pandangan, baik dari aspek sosial budaya, pemikiran, moral dan hak-hak kerakyatan universiti. Ia harus selaras juga dengan cara mewarnai suasana kampus itu dengan suasana yang cantik hakiki dan sembuh dari penyakit-penyakit virus yang disebutkan sebelum ini. Kerana tiadanya penciptaan ubat dari sang penguasa yang baik, orang bawahan akan terus selesa dengan keadaan yang sedia ada, dan orang bawahan hanya akan mampu bertindak sewajar limitasi akta. Jadi, marilah kita menilai tahap keadaan diri masing-masing. Transaksi kejayaan sesebuah parti bukan hanya kepada kecekapan dan ruhaniah barisan pemimpin sahaja tetapi juga barisan penyokong yang pastinya terdorong dari revolusi yang dilakukan pihak pucuk pimpinan. Wallahu ‘alam.
(MahasiswaKini)

Selasa, 20 Oktober 2009

Menghadapi Dua Perpisahan

Dalam minggu ini sahaja, telah saya hadapi dua perpisahan sementara. Memang telah termaktub dalam fitrah alam, setiap pertemuan yang sementara akan ada perpisahan yang juga sementara. Sememangnya perpisahan yang sementara ini, kadang-kadang menggugat sentimental saya untuk saya meratapi keberangkatan mereka yang terpisah dari saya buat sementara dengan air mata kesyahduan.

PERPISAHAN YANG PERTAMA

Pada tanggal 19 Oktober 2009 yang lalu bersamaan hari Isnin, berlakunya perpisahan sementara buat saya yang pertama iaitu dengan sahabat seperjuangan saya yang bersama dengan saya merealisasikan matlamat Badan Agama Dakwah dan Rohani(BADAR) SMKA Sheikh Hj Mohd Said dahulu. Khususnya kepada Muhammad Safwan yang kini melanjutkan pelajaran ke Morocco dalam bidang "dirasah Islamiyah".

Jiwa ini syahdu lantas menatijahkan rindu kepada seorang sahabat yang suatu ketika dahulu pernah sekali berjuang, menahan perit mehnah dan tribulasi.. Sememangnya semua itu menjadi kerinduan khususnya kepada mereka yang pernah berukhwah.



Pesanan saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang berangkat membawa diri ke negara orang, dalam misi meningkatkan thaqafah, khususnya Muhammad Safwan, Aiman Naim, Ustazah Farah Hanisah dan Ustazah Noraini,

asalnya,
cakerawala ini kosong,
lalu takdir Allah memulakannya dengan satu titik,
yang kemudiannya berkembang menjadi semesta,
tersusun rapi mengikut aturan.

kita juga begitu,
kita juga bermula dari satu titik,
dan pengembangan seluruh anggota kita tanpa cacat,
mengikut aturan Tuhan.

begitu juga dalam erti pencarian,
asalnya kita kosong,
hanya diberikan fitrah Islam,
kitalah yang kena mengembangkannya,
mengikut aturan Tuhan,
agar syariat terjalan sempurna,
tanpa kecacatan.

lantas ingatlah,
"PERUBAHAN ADALAH TITIK PERMULAAN UNTUK MENCETUS TEORI BIG BANG DALAM DIRI"

PERPISAHAN YANG KEDUA

Sememangnya perpisahan yang kedua ini lebih menggamit jiwa, kalbu dan sanubari saya. Keberangkatan ummi dan abi mengerjakan haji pada 20 Oktober yang lalu sangat meransang metabolisme sedih saya untuk diaplikasikan melalui air mata. Tapi saya faham. Ummi dan abi pergi untuk menyahut rukun Islam yang kelima.



Sekalung tahniah kepada ummi dan abi kerana terpilih untuk menjadi tetamu Allah. Anakmu disini mendoakan ummi dan abi mendapat haji yang mabrur. Ameeen..

Rabu, 14 Oktober 2009

Daku Akan Terus Menulis

Ucapan jutaan syukran dan terima kasih atas segala nasihat dan teguran yang telah kalian hamparkan kepada saya. Saya amat bersyukur kepada ALLAH kerana masih lagi terdapat figur-figur yang terus ingin menyambung agenda sang kekasih ALLAH. Mungkin diri saya ini tidak sedar jika kalian tidak menghamparkan saya dengan nasihat dan teguran yang mampu membuatkan saya berfikir lantas menyusun strategi untuk langkah seterusnya.

DAKU AKAN TERUS MENULIS

Inilah statement saya sebagai tanda saya menyahut, menerima segala nasihat dan teguran kalian serta saya juga sedia melakukan modifikasi terutama berkaitan "SIKAP". Saya tetap dan thabat akan terus menulis kerana menjadi seorang "rijal" yang sejati seterusnya menjadi seorang "syabab li inqaz al ummah" adalah cita-cita saya.

Madah Syed Qutb,
"rijal" ialah “golongan yang mempunyai jiwa yang kental, kuat dan murni. Mereka berjuang dan berjihad tanpa ada sebarang kepentingan duniawi, rela mengorbankan segala-galanya, serta rela menanggung segala macam kesusahan dan pahit getir perjuangan. Mereka berjuang tidak mengharapkan selain keredhaan Allah. Hati yang mereka miliki sanggup mengharungi dan merentasi segala bentuk perjalanan dan nasib di dalam perjuangan, samada kesusahan hidup, dibuang negeri, diseksa, dipenjara dan mampu mengorbankan segala-galanya, sekalipun menempuh maut dan mengorbankan nyawa. Mereka berjuang tidak mengharapkan sebarang pembalasan di dunia, sekalipun balasan itu ialah kemenangan Islam, walaupun balasannya ialah kehancuran golongan yang zalim. Mereka berjuang tidak mengharapkan imbuhan, selain melihat hanya akhirat ialah penentu di antara haq dan bathil. Sehingga apabila telah ditemui hati-hati yang sebegitu, maka akan datanglah pertolongan Allah di muka bumi. Itulah "RIJAL" yang layak memikul amanah manhaj Ilahi dan penyebab kemenangan jamaah Islam”.



Akhir kalam,
"Daku akan terus menulis. Biarpun karyaku tidak sehebat Al-Maududi, Al-Ghazali mahupun As-Syafie. Bukan niat ingin mencipta teori ataupun cakap berapi-api. Tapi daku berbangga dengan nikmat Ilahi kerana daku mampu menulis dan berkarya dengan keringatku sendiri. Sekurang-kurangnya karyaku ini dapat daku jadikan bukti di hadapan Ilahi, bahawa jari-jariku ini pernah menari di pentas tarbawi.."

Sekali lagi jutaan terima kasih atas teguran membina yang kalian hamparkan. Jazakallah. Wallahu a'lam.

Ahad, 11 Oktober 2009

Muhasabah Pejuang

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian..

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian..

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pemimpin..

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi kesihatan dan kerehatan,
tidak sanggup untuk engkau 'tadhiyah'kan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi hanya ingin menjadi pemimpin..

Engkau ingin berjuang,
Tapi tolak ansur tidak engkau amalkan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi masa tidak sanggup engkau luangkan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi keluarga lintang-pukang..

Engkau ingin berjuang,
Tapi diri engkau,
tidak engkau tingkatkan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi disiplin diri engkau abaikan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi janji kurang engkau tunaikan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi kasih sayang engkau cuaikan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi ilmu berjuang engkau tinggalkan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi kekasaran dan kekerasan,
engkau jadikan amalan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi rasa bertuhan engkau abaikan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi IMAN dan TAQWA engkau lupakan..

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau tidak tahu,
Apa sebenarnya yang engkau hendak perjuangkan
..

"Kekalahan PAS adalah satu muhasabah terbaik bagi semua pendokong agama ALLAH. Ingat! Kemenangan kita dilewatkan adalah satu wadah pengisalahan terbaik dari segala sudut dalam jemaah, terutama berkaitan dengan SIKAP"

Sabtu, 10 Oktober 2009

Pakatan Rakyat Mampu Buat Gegaran Di Bagan Pinang

Bismillahirrahmanirrahim fi kalami awwalan.

Salam PRK Bagan Pinang. Alhamdulillah, seinfiniti syukur saya rafa'kan kepada Allah S.W.T kerana berpeluang juga saya mencoret kata dilaman blog saya setelah sekian lama. Tambah lagi dengan kesibukan berkhidmat bagi PRK di Bagan Pinang sebagai jentera pemuda.

Kali ini, ingin saya kongsikan satu kajian saya yang telah saya eksperimentasikan semasa berkhidmat sebagai jentera pemuda. Setelah dieksperimentasikan, dapatlah saya konklusikan bahawa bagi PRK di Bagan Pinang kali ini, Pakatan Rakyat mampu membuat kejutan dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang hari ini. Dikuatkan lagi dengan maklumat hasil culaan yang telah saya terima. Hasil culaan tersebut telah dijalankan oleh PKR di semua daerah mengundi, termasuk culaan di kawasan majoriti Melayu, India(estet) dan Cina.

Dalam maklumat tersebut, UMNO mendahului dengan majoriti tipis iaitu 51% berbanding dengan 49% untuk calon PAS.

Maka saya optimis bahawa Pakatan Rakyat mampu merapatkan jurang yang tipis tersebut dan ada kemungkinan besar boleh melakukan kejutan dengan menumbangkan calon Barisan Nasional itu.

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang hari ini menyaksikan pertandingan one by one antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lepas. Beliau memenangi kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS sebelum ini, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Hari ini, tanggal 11 Oktober 2009, seramai 113664 pengundi di Bagan Pinang, termasuk lebih 4,000 pengundi pos, akan menentukan siapa yang bakal menjadi wakil mereka. Pengundian akan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

"Bagaimanapun saya berharap pengundi protes yang membantah pencalonan Tan Sri Isa sebagai calon BN, akan memberikan undi tersebut kepada calon PAS".

Maklumat yang saya terima juga memberitahu bahawa keputusan culaan itu tidak mengambil kira undi pos. Jadi, untuk bermain dalam zon selamat, saya meletakkan situasi "worse case scenario" seolah-olah calon Pakatan Raya tidak mendapat sebarang undi pos.

Maka jika keputusan culaan ini kekal dan tidak banyak berubah sehingga tamat masa mengundi, maka saya cukup-cukup optimis PAS akan merampas kerusi Bagan Pinang kerana pada ketika itu sudah pasti calon PAS akan mendapat undi pos walaupun tidak tahu berapa angkanya. InsyaALLAH...

Sekian coretan pilihanraya.. Wallahu a'lam..

Isnin, 21 September 2009

Membongkar Rahsia Para Orientalis

Fitrah manusia diciptakan oleh Allah, ingin sesuatu yang benar dan suci, khususnya berkaitan dengan perkara yang mereka anuti iaitu agama. Sebab itu wujudnya pelbagai kajian mengenai agama. Natijahnya lahirlah golongan seperti Orientalis atau lebih dikenali sebagai Pro-Muktazilah. Anuar al-Jundi dalam bukunya "al-Muamarat 'ala al-Islam" menjelaskan; Golongan Orientalis, iaitu satu ketumbukan yang menyeru kepada pembaratan, amat mementingkan dan mengagungkan pemikian Muktazilah dan puak Muktazilah. Para Orientalis dan penulis-penulis yang pro-pembaratan juga telah menyifatkan kaum Muktazilah sebagai tokoh pemikiran Yunani yang sebenar dan agung dari kalagan orang Islam.

Membongkar Tipu Daya Orientalis Terhadap Islam

Setelah saya habis membedah buku karangan Ustaz Riduan Mohd Nor yang bertajuk "Siri Serangan Pemikiran:Islam Liberal dan Pluralisme Agama", tertarik saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua membongkar tipu daya Orientals terhadap Islam. Gerakan Orientalis adalah gerakan tokoh-tokoh dunia Barat yang mengkaji tentang dunia timur khususnya dunia Islam meliputi pelbagai aspek seperti ekonomi, hiburan, politik, keagamaan dan pelbagai lagi. Kebanyakan mereka mengkaji ilmu-ilmu Islam dan memaparkannya kepada umat Islam dalam bentuknya yang sudah terpesong daripada yang original.

Gerakan Orientalis meningkat keaktifannya setelah setelah kekalahan Kristian dalam peperangan Salib. Peningkatan Orientalisme ini adalah dalam rangka mereka untuk mencari segi-segi kelemahan umat Islam supaya dapat mereka taklukinya dan mencari segi-segi kekuatan umat Islam untuk dilemahkannya. Dapat disimpulkan bahawa gerakan Orientalis merupakan salah satu dari percubaan-percubaan dan cara-cara yang digunakan oleh Barat melalui pelbagai institusi dan cendiakawan mereka untuk menyerang Islam dengan melontarkan pelbagai pembohongan dan kebatilan keatas Islam, pemikiran Islam, punca dari pengambilan Islam dan sejarah Islam dengan berselindung di bawah tabir ilmiah.

Sasaran serangan mereka ialah terhadap tiga perkara yang mereka detect menjadi faktor kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, iaitu:
-Al Quran
-As-Sunnah
-Syari'at Islam dan Fiqh Islam

Diantara serangan dan tuduhan gerakan Orientalis keatas Al Quran ialah dengan mendakwa Al-Quran adalah khayalan Nabi Muhammad dan tidak ada hubungan dengan wahyu. Diantara serangan mereka keatas As-Sunnah pula ialah dengan menyebarkan tuduhan bahawa, As-Sunnah bertentangan dengan akal dan pengetahuan, juga meragu-ragukan ilmu Sunnah dan punca pengambilannya. Mereka juga menyerang aspek peribadi Rasulullah s.a.w sehingga ketahap mencela kehormatan dan ketinggian darjat baginda. Terhadap Syari'at dan Fiqh Islam pula, mereka menuduh bahawa segala Syari'at dan Fiqh yang dirangka oleh Islam diceduk dari hukum Romawi.

Para Orientalis menyebarkan fikrah mereka dengan cara yang cukup teratur dan sistematik. Diantara cara-cara yang dilakukan oleh mereka ialah melalui penulisan ilmiah pada buku-buku, menggunaka metodogi dan sistematika yang menarik tetapi didalamnya penuh racun-racun yang berbisa yang menghina agama Islam dan penganutnya. Didalamnya penuh dengan fakta-fakta penyelewengan sejarah dan ilmiah yang semuanya objektif. Oleh itu, banyaklah para intelek Islam secara tidak sedar dan cakna telah mengagung-agungkan karya para Orientalis sehingga mereka secara tidak sedar dan cakna pula menjadi mangsa penipuan golongan Orientalis yang berselebungkan ilmiah itu.

Malah ada universiti-universiti didunia Islam telah menjadikan buku-buku karangan Orientalis tersebut sebagai sumber rujukan ilmiah yang terutama untuk pelajar-pelajar mereka khususnya dalam sejarah mengenai Islam dan kaum Muslimin. Disini saya ada menyatakan beberapa buku-buku sumber rujukan dibeberapa institusi dan dalam masa yang sama buku tersebut merupakan karangan intelektualis Orientalis:
-A Literary History of Arabs, karangan Nicholson
-The Short History of Arabs, karangan Philip K.Hitti
-Introduction of Islamic Theology and Law, karangan Golddziher
-The Origin of Muhammadons Jurisprudence, karangan Schacht
-Islam ini Moden History, karangan W.C Smith
-Wither of Islam, karangan H.A.R Gibb

Umat Islam, hari ini perlu diberi kesedaran secara serius supaya menghindari bahaya tipu-daya Orientalisme yang cuba merobek keutuhan agama Islam, tamadun Islam dan penganutnya. Cadangan saya:
1-menganalisis dan seterusnya tidak menghantar golongan muda(anak-anak) memasuki Yayasan Pengajian dan pendidikan yang diadakan oleh Orientalis
2-berwaspada dalam menggunakan buku-buku karangan Orientalis sebagai bahan kajian, mengikuti tulisan-tulisan ilmiah mereka dalam majalah-majalah dan mendengar ceramah-ceramah mereka tentang Islam di internet mahupun dikaca televisyen.

Sabtu, 19 September 2009

Telah Tiba Detik Graduasi..

Hari demi hari ditempuhi.. Sementara pula rasanya kira-kira 720 jam yang berharga daku tempuhi. Seakan tidak puas mengharungi.. Tiba-tiba sahaja daku tiba disesi graduasi "Universiti Ramadhan".. Segala "jawapan ujian" daku, telahpun daku persembahkan selama 720 jam pada Al-Hakim yang akan menghakimi..

Debar jantung menanti keputusan.. Termenung sejenak, lantas daku bermuhasabah. Adakah daku tersenarai dalam "dean list" dari "Universiti Ramadhan"? Adakah daku "graduate" dengan pointer IMAN, IHSAN, IKHLAS dan TAQWA yang tinggi dari "Universiti Ramadhan" pada tahun ini, setelah daku "graduate" dari 8 "Universiti" sebelumnya(Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban)? Walaupun keputusan dari "Universiti-Universiti" sebelum "Universiti Ramadhan" ini belum daku ketahui, tapi daku beri'tiqad bahawa daku akan tahu kelak pabila tiba masanya nanti.

Daku cuba menguatkan diri lantas berbisik pada diri, "daku tidak seharusnya memandang kebelakang.. daku perlu optimis!". Dihari graduasi ini, daku perlu raikan dengan penuh kesyukuran..



Kini, telah tiba detik daku melangkah ke "Universiti Syawal".. Walaupun sayu hati melafazkan selamat tinggal "Universiti Ramadhan" tercinta, tapi bersaksilah "Universiti Ramadhan", pergiku akan daku tangisi dengan tangisan yang menggamit rasa. Terima kasih "Universiti Ramadhan" diatas "tarbiyah" yang telah "kau" tanam dalam diri daku. InsyaALLAH, akan daku siram dengan air tazkirah padamu dan akan daku bajai dengan ISTIQAMAH, agar bunga IMAN, IKHLAS, IHSAN dan TAQWA, kan bercambah dan tumbuh subur.

Mungkin ianya tak sehebat, segah, dan se"zuq" "Universiti Ramadhan" tetapi daku berpandangan, selagi daku memandang ibadah, aktivisme, dakwah, tarbiyah sebagai satu keperluan dan bukannya hanya sebagai satu kewajipan, daku yakin dan percaya, natijahnya juga adalah hasanah setelah tiba masanya untuk daku ketahui segala keputusanku di "Universiti-Universiti" yang telah daku lalui.

Akhir kalam, Salam Lebaran dan Salam Kemaafan saya ucapkan kepada sesiapa sahaja yang mengenali diri saya mahupun tidak diatas segala salah silap, khilaf dan dosa saya yang pasti ada. Wahai Ramadhan Kareem, daku sangat berharap kita akan bertemu dan bersua lagi pada tahun mendatang. Wallahu a'lam..