Jumaat, 27 November 2009

Bicara Bab Nafsu

Entah mengapa cuti kali ini, saya seakan melepaskan geram dihadapan komputer. Sekejap-sekejap taip posting terbaru. Sekejap-sekejap buka buku untuk tambah input diri dan posting terbaru. Sekejap-sekejap lagi, entah apa pula akan jadi.

Belakangan ini, agak kerap juga saya didatangkan dengan persoalan bekisarkan 'nafsu'. Akhirnya mengakibatkan metabolisme saya sendiri teransang untuk mengadakan sedikit research mengenai perihal ini.

Ketahuilah bahawasanya Islam tidak diturunkan oleh Allah SWT untuk disesuaikan dengan kehendak hati manusia. Sebaliknya manusialah yang mesti menurut kehendak Islam dan menyesuaikan diri dengan ajaran Islam. Allah SWT menjanjikan kejayaan, ketenangan hati dan kebahagiaan bagi mereka yang tekun menurut ajaran Islam dan melaksanakan tuntutan Islam di dalam kehidupan mereka.

MENYANGGAH NAFSU

Ketika Allah SWT memerintahkan Jibril melihat syurga, Allah SWT bertanya kepada Jibril:

“ Bagaimanakah pandangan engkau wahai Jibril setelah engkau melihat syurga ciptaanKU?”. Maka dijawab oleh Jibril, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, bahawa pasti setiap hambaMU yang melihat syurga berkeinginan agar dimasukkan ke dalamnya, namun aku khuatir tiada seorang pun yang akan dapat masuk ke dalamnya”. Ini adalah kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu. Lalu Jibril diperintahkan pula supaya Jibril melihat neraka, lalu berkata Jibril as, “ Maha Suci bagiMU Ya Allah, aku khuatir tidak ada seorang pun dari hambaMU yang akan terselamat dari neraka”. Ini adalah kerana, neraka dipagari Allah dengan perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu."

Memang benar, susahnya dalam menyanggah kehendak nafsu. Hal ini kerana, nafsu seringkali menawarkan keseronokan dan kenikmatan. Kita akan rasa senang dan selesa menurut nafsu kerana ia amat secocok dengan kemahuan syahwat. Memang perit bila kita terpaksa bermujahadah melawan kehendak nafsu seperti pahitnya 'jadam', namun apabila kita berjaya dalam mujahadah tersebut, hasilnya adalah terlebih manis dari madu.

SITUASI KITA

Duduk di medan perjuangan adalah lebih baik dari menjauhkan diri dari jamaah dan perjuangan. Medan perjuangan penuh risiko dan onak duri, sedangkan duduk jauh dari medan sememangnya senang lenang tanpa mehnah dan tribulasi. Tak perlu berjaga malam untuk hadir mesyuarat persatuan dan jamaah. Tak perlu bersengkang mata kerana perlu menyiapkan kertas kerja program jamaah yang langsung tiada imbuhan wang ringgit, jauh sekali ‘claim’ jika melakukannya. Apa yang lebih musatahak bagi mereka(yang jauh dari jamaah) adalah, mereka boleh terus pertahankan keegoan yang selama ini diperjuangkan habis-habisan oleh pejuang agama. Merekakan ada ‘degree’ , mana boleh dengar arahan ketua cawangan yang hanya setakat SRP apatah lagi diarahkan untuk laksanakan tugasan remeh-temeh dan tidak sesuai dengan kesarjanaan yang dimiliki. Lebih-lebih lagi, anda tidak perlu taat dan wala' pada arahan naqib 'kampung' yang berkain pelikat kesana kemari. Memalukan!.

Lebih baik terlibat dengan persatuan yang gah namanya dikampus(kata nafsu) dari terlibat dengan jamaah yang sir namanya dan hazar pergerakannya. Ini lebih selamat dan lebih selesa. Kalau ada chance, 'income' pun masuk.

Jika kita telitikan kembali, individu yang memberikan tazkirah mengenai hal ini akan dicemuh dan dicela. Namun, jangan risau wahai pentazkirah. Kita biarkan mereka terus mencela dan mencemuh. Orang jenis ini adalah orang yang perasan bahawa tarbiyah dialah yang terhebat dan tarbiyah orang lain tidak betul. Semua kerja, dia saja yang betul. Inilah orang yang suka tuduh orang lain tiada tarbiyah dan macam-macam lagi. Hakikatnya, tazkirah sememangnya akan terasa pedas dan pedih untuk orang yang punya hati yang hidup namun ia takkan membekas dan memberi kesan untuk hati yang sentiasa tertutup untuk ditegur.

Saya ada kemukakan firman Allah SWT di bawah sebagai muhasabah bersama dan berharap agar Allah SWT akan menolong kita dalam kita terus bekerja untuk menolong agamaNYA:

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.(44) Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, Kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.(45)”(Surah At-Taubah 44-45)

Saya tutup posting kali ini dengan ucapan dari Ibn Mas'ud:

"SEJAHAT-JAHAT TUHAN YANG DISEMBAH DI ATAS MUKA BUMI ADALAH HAWA NAFSU"

3 ulasan:

  1. salam..

    isi kajian boleh didapati melalui internet, buku/kitab.. isi kajian jugak boleh diperolehi dari hidupnya hati.. kaji camana nk idup kan hati, supaya ilmu seluas lautan dpt diserap.. satu lagi, supaya kita boleh imbangi antara kebenaran yg dicipta dgn kebenaran yg sebenarnya benar..

    cuba tanya hati, boleh tak kita buang nafsu? ;)

    ~ ayah lae

    BalasPadam
  2. hakikatnya kita tidak blh MEMBUANG nafsu, tapi kita blh MENGAWAL nafsu...

    BalasPadam
  3. alhamdulillah.. nafsu/syahwat tak boleh dibuang sbb ia ibarat 'cas bateri' sbg tenaga utk menggerakkan jasad.. utk mengawal, kita perlu bersihkan nafsu.. camana nak bersihkan? ada macam2 cara.. salah satu melalui jalan sufi..tp jalan sufi tu jauh perjalanannya.. so tanya hati, camana cara nk bersihkan nafsu..

    BalasPadam