Isnin, 13 Disember 2010

Kita Tentera Demi Fikrah dan Aqidah

­­Ya Allah… Lama sungguh saya tidak mengupdate laman sesawang ini. Maaf kepada sidang pembaca sekalian. Sungguh… Saya telah menyiapkan post-post yang saya bakal terbitkan dalam laman ini sudah agak lama, namun hanya berakhir dengan “save” berformat Microsoft word sahaja dek kerana tidak berkesempatan untuk online lantas menge “post”.. Sekali lagi saya memohon maaf. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mengingatkan saya agar istiqamah dalam meng “update” blog.

FOKUS SAYA KALI INI

Ibnul Jauzi berkata di pinggiran Tigris:

“langkah pertama adalah pengorbanan jiwa”

Pemuda dalam kisah Ashabul Ukhdud telah mengorbankan nyawa beliau untuk kepentingan sejagat. Hingga nama beliau dikenang-kenang.


Seorang Arab Badwi, hanya berasal dari pedalaman dan tidak mempunyai ketinggian dalam ilmu, namun beliau memeluk islam dengan segenap jiwa seraya berkata kepada Rasulullah SAW:

“aku akan berhijrah bersamamu”

Dalam Perang Khaibar, Nabi SAW memberikan harta ghanimah(rampasan perang) kepada beliau. Namun kemudiannya beliau membawa harta tersebut kepada Nabi SAW seraya berkata:

“bukan kerana itu(harta ghanimah) aku mengikutimu. Akan tetapi aku mengikutimu kerana aku ingin agar satu saat nanti aku terkena lemparan panah disini(sambil menunjukkan kearah lehernya) sehingga aku terbunuh dan masuk syurga kerananya.”

Ternyata kemudiannya, beliau syahid dipanah dibahagian leher. Nabi SAW menghormati jenazah beliau dengan mengkafani beliau dengan baju besi kepunyaan baginda SAW sambil berdoa:

“Ya Allah, ini adalah hambaMU, dia keluar untuk berhijrah dijalanMU dan terbunuh sebagai syahid. Dan aku bersaksi atas perkara itu”

Subhanallah. Keikhlasan Arab Badwi ini sungguh mempesona. Beliau meskipun layak menerima ghanimah perang, namun beliau menolaknya kerana mimpi indah beliau adalah meraih gelaran syuhada’. Beliau tidak bermimpi mahukan harta. Mimpi yang asyik mengganggu tidur beliau ialah mati sebagai seorang panglima. Jauh sekali dengan kita. Duit, isteri cantik, suami hensem, kereta besar dan duniawi indah menjadi idaman dan mimpi kita di setiap waktu. Jarang sekali untuk kita bermimpi menjadi seorang pejuang yang membantu kearah mendaulatkan islam di muka bumi. Hatta, angan-angan pun jauh sekali.

Erti IKHLAS dalam jihad yang diterangkan oleh Hassan Al-Banna ialah:

“setiap kata-kata, amalan dan jihad saudara muslim adalah demi Allah, untuk mencari keredhaanNYA dan ganjaran baik dariNYA, tanpa memandang kepada sebarang imbuhan, kemegahan, gelaran, atau populariti. Dengan itu, dia akan menjadi tentera kepada fikrah dan aqidah, bukannya demi kebendaan dan kepentingan peribadi.”

Antara lawan bagi ikhlas adalah riya’, yang juga dianggap sebagai syirik kecil. Saidina Ali r.a ada menggariskan beberapa indikator yang menunjukkan sifat riya’ dalam diri manusia:

1. Bersemangat di hadapan khalayak

2. Kendur apabila bersendirian

3. Bersungguh apabila dipuji

4. Lentur apabila dikeji

Nilai perjuangan yang tinggi adalah perjuangan semata-mata kerana Allah SWT. Atas dasar ini, Ikhwanul Muslimin melaungkan 5 gagasan utama perjuangan sepertimana yang biasa kita dengar dalam lagu Bingkai Kehidupan, Shoutul Harakah:

Allah Tuhan dan matlamat kami,

Rasul ikutan dan taulan kami,

Al Quran dustur dan perlembagaan kami,

Jihad jalan kami,

Mati dijalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Konklusi dan pengajaran yang boleh kita ambil adalah kita kembali kepada cerita Arab Badwi tadi. Iman yang dimiliki oleh Arab Badwi ini telah melangkaui sempadan keimanan yang biasa. Beliau sudah menutup kedua-dua mata beliau daripada melihat kesenangan dunia apatah lagi beliau sudah lali dengan kesusahan. Lalu dengan itu, beliau menjadikan seluruh matlamat perjuangan adalah demi menegakkan kalimah Allah hingga ia tertegak.

MOGA KITA TERGOLONG DALAM GOLONGAN TENTERA DEMI FIKRAH DAN AQIDAH DAN BUKANNYA TENTERA DEMI KEBENDAAN DAN KEPENTINGAN PERIBADI