Khamis, 18 Ogos 2011

Ramadhan Memacu Momentum Berkualitas

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَ ۗ
وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيم

“kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negeriNya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” Surah At Taubah - 40

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat; dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam), yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” Surah At Taubah - 41

JIKA KAMU ENGGAN

Di dalam ayat ke 40, Allah SWT telah memberikan penegasan bahawa jika tidak ada yang mahu menjadi penolong agama Allah dan perjuangan Nabi, maka Allah pasti akan menolong Rasulullah SWT dengan kekuatan dan qudrah yang tidak terlawan dan terbayang dek manusia. Di hujung ayat ke 40, Allah telah memberikan janji dan kepastian kepada seluruh pejuang agama bahawa Allah pasti akan menjulang tinggi kalimah Allah yakni Islam dan Allah pasti akan mengalahkan seruan kufur dan syirik. Walaupun kemenangan itu lambat tiba, namun ia sesuatu yang pasti. Kebatilan itu tampak kuat namun ia tidak akan kekal. Kebenaran itu tampak lemah namun ia mendapat jaminan nusrah dan keteguhan dari Allah SWT.

Dr Hamka telah menjelaskan juga bahawa ayat ke 40 ini adalah ayat yang jelas turun untuk menjelaskan kedudukan Saiyyiduna Abu Bakar sebagai umat nombor satu di sisi Rasulullah SAW. Ayat ini juga menggambarkan betapa mendalamnya cinta dan kasih Abu Bakar terhadap Rasulullah SAW yang tergambar melalui keresahan dan kerisauan beliau terhadap keselamatan Rasulullah SAW sewaktu mereka berdua bersembunyi di dalam Gua Tsur sehingga terpaksa ditenangkan oleh Rasullah SAW serta diperteguhkan keyakinannya kepada pertolongan dan nusrah dari Allah SWT.

WAJIB BERJUANG SAMADA BERAT ATAU RINGAN

Allah SWT dalam ayat berikutnya menjelaskan bahawa kita wajib berjuang melaksanakan perintah jihad samada dalam keadaan ringan ataupun berat.

Berikut saya nukilkan beberapa tafsiran “ringan ataupun berat” sepertimana dalam ayat 41 Surah At Taubah, menurut pandang sisi ulama’. Menurut Imam Mujahid maksud ringan ialah kaya dan maksud berat adalah miskin sedangkan Imam Al Hasan menafsirkan ringan dengan maksud muda dan berat sebagai tua.

Zaid bin Ali dan Al Hakam bin ‘Utbah pula memberi erti ringan ialah tidak banyak urusan yang merintangi dan berat adalah banyak urusan yang merintangi.

Menurut Zaid bin Aslam pula, ringan ialah yang belum berkeluarga dan berat ialah yang telah banyak tanggungan keluarga. Menurut Ibnu Zaid pula, ringan ialah orang yang tidak mempunyai harta benda, manakala berat ialah orang yang mempunyai banyak harta sehingga begitu payah dan susah untuk meninggalkannya.
Ayat yang ke 41 juga menjelaskan juga bahawa wajib kita mengorbankan harta dan nyawa dalam menegakkan agama Allah. Allah juga memberikan jaminan bahawa orang yang mengorbankan harta dan nyawa pada jalan Allah SWT telah melakukan satu tindakan yang mengundang rahmat dan redha Allah.

Kebetulan, saya teringat, baru-baru ini saya ada menonton sebuah filem Hindustan yang cukup menarik. Kronologinya tidak lari dari satu peristiwa yang berlaku di Malaysia Julai lalu. “Chillar Party”. Sebuah filem yang sangat menarik dan penuh motivasi saya kira. Filem ini menampilkan sebuah kumpulan kanak-kanak yang bernama “Chillar Party”, yang berusaha keras dan luar biasa menuntut hak agar pihak kerajaan memberi sijil NOC kepada seekor anjing dan dalam masa yang sama, dimata seorang menteri ketika itu, anjing itu dianggap jijik dan mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat. Gara-gara si menteri itu merasakan dengan beliau memainkan dan memenangi isu anjing ini, beliau akan di anggap hero dimata masyarakat lantas mempunyai peluang untuk memenangi pilihanraya akan datang.


Namun, menteri itu terlupa akan luar biasanya kuasa berjemaah, tadhiyyah dan intelektualisme anak muda serta masyarakat. “Chillar Party” merasakan perkara ini perlu mendapat perhatian masyarakat bagi mereka meramaikan lagi penyokong yang menyokong tuntutan mereka. Lantas mereka merencanakan demonstrasi luar biasa yang bertemakan warna “putih”. Hasilnya, demonstrasi tersebut berjaya mendapat perhatian media dan secara automatik membuka mata masyarakat mengenai tuntutan mereka.

Apa yang saya nak kaitkan filem ini dengan post saya kali ini adalah pada 1 watak yang ada dalam filem ini. Watak tersebut adalah “Second Hand”. Mungkin kalian pelik dengan nama-nama yang ada dalam filem ini. Namun inilah hakikat keunikan cerita ini. Sebenarnya “Second Hand” ini, bukanlah nama sebenar budak itu. Itu hanya gelaran yang beliau dapat dari sahabat sekumpulan beliau. Beliau digelar “Second Hand” kerana, dalam hidup beliau, apa yang beliau pakai dan guna, semuanya adalah warisan dari abangnya. Baju sekolah, seluar, kasut dan kelengkapan lain, semuanya adalah “Second Hand”.


Jadi, dengan itu, beliau bertekad untuk mengumpul duit sendiri untuk membeli segala kelengkapan baru agar beliau tidak lagi digelar “Second Hand”. Ketika wang hampir cukup untuk membolehkan beliau membeli segala kelengkapan baru, Chillar Party juga memerlukan sejumlah wang untuk memudahkan gerak kerja mereka menyampaikan tuntutan. Beliau juga dalam masa yang sama merupakan ahli yang bekerja untuk menyampaikan tuntutan pada pihak kerajaan, merasakan perjuangan lebih memerlukan duit tersebut. Lantas beliau menginfakkan kesemua wang beliau untuk perjuangan menuntut hak. Meskipun berat, namun demi memenangkan perjuangan, beliau rela bangkit samada dalam keadaan ringan ataupun berat.

Banyak lagi moral yang boleh kita dapat dari filem ini khususnya untuk aktivis dakwah. Saya cadangkan anda tonton sendiri filem ini. Dalam filem ini, isunya remeh tapi mampu menggegar dunia. Tapi saya pelik, di negara kita, isu besar lagi jelas pun pihak berkuasa tidak boleh buka mata. Sudah jelas pun tidak mahu di ambil tindakan. Suara rakyat pula dianggap sebagai sampah. Saya kira satu sahaja puncanya. Kata ustaz saya, semua ini kerana masyarakat mahupun pimpinan meletakkan “khauf” pada manusia dan bukannya “khauf” dan “khashyah” pada Allah. Mereka takut manusia cemuh, mereka takut manusia menggulingkan legasi dan kroni zalim mereka. Sedangkan yang paling baik pada pandangan Allah SWT adalah mereka yang bertaqwa. Mereka yang berusaha memimpin negara dengan penuh ketaqwaan dan rasa takut pada Allah. Mereka yang berusaha mengharmonikan negara dengan warna warni Islam. Kerana sungguh benar Islam itu bersifat ‘alamiyyah.

Dan perlu kita ingat juga, Islam itu juga bersifat inqilabiyyah. Dan sememangnya pasti, kejahilan itu akan terkubur dan Islam itu akan kembali dijulang di persada dunia. Jadi, kita tidak boleh bergoyang kaki lagi. Kita kena bangkit samada ringan ataupun berat, kaya ataupun miskin, muda ataupun tua. Ramadhan bukan bermakna berhenti berjuang. Ramadhan bermakna bermulanya perjuangan. Perang yang pertama berlaku adalah pada bulan Ramadhan. Jadi, mengapa tidak kita memulakan langkah kita mulai sekarang untuk cetuskan momentum kemenangan Islam dimuka bumi Allah SWT. Momentum bukan sebarang momentum, tetapi momentum yang outstanding sifatnya dan mempunyai nilai tambah berupa istiqamah. Inilah momentum yang lahir dari tarbiyah bulan yang mulia. Kerana...

"RAMADHAN MEMACU MOMENTUM BERKUALITAS"

Berikut saya nukilkan sekali lagi post "Ramadhan Power, Jihad Pun Kena Power". Wallahu a'lam