Sabtu, 5 Februari 2011

Yasqut Hosni Mubarak!!! Yahya Asy Sya'ab!!!

“Yasqut Hosni Mubarak!!! Yahya Asy Sya’ab!!!”
“Turun Hosni Mubarak!!! Hidup Rakyat!!!”

Begitulah slogan yang dilaungkan dan menjadi paparan dikain rentang oleh ribuan rakyat Malaysia yang turun berdemonstrasi di Masjid As-Syakirin KLCC menghala ke Jalan Tun Razak semalam. Terasa kerugian yang teramat kerana tidak dapat bersama merasai kehangatan berdemo semalam dek kerana ada urusan keluarga di Kelantan. Pun begitu, aku mahu engkau tahu wahai demonstran-demonstran sekalian, biarpun jasadku tidak bersama kalian, akan tetapi, jiwa dan semangatku tetap satu bersama kalian. Kita sama membantah. Kita sama berjuang. Kita sama tidak bersetuju. Cuma bezanya aku dengan caraku, engkau dengan caramu. Mungkin kali ini aku tidak punya peluang menjadi demonstran sepertimu, namun aku yakin masih ada lagi peluang yang boleh ku garab lantas membuatkan daku berdiri setaraf denganmu. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang kerana perjuangan kita hanyalah satu. Ketumbukan kita juga mesti satu dan padu.

SEKILAS ISU DI MESIR DAN TUNISIA

Seperti yang kita semua maklum, Mesir hari ini hangat dengan rusuhan demi rusuhan bagi menumbangkan kerajaan “si gila kuasa” Hosni Mubarak. Inilah yang dinamakan revolusi Mesir. Revolusi ini diinspirasikan daripada revolusi Tunisia baru-baru ini yang dipimpin oleh Rachid Ghanouchi dan dijangka banyak negara timur tengah akan tegar menurut jejak langkah rakyat Tunisia dan Mesir untuk berdemo.

Hosni Mubarak ialah diktator yang memerintah Mesir selama 30 tahun, dan mungkin anda tidak tahu Hosni Mubarak adalah pemerintah kejam, perampas harta rakyat dan juga sekutu US dan juga menyokong Israel. Media Malaysia kurang melaporkan berita mengenai ini dan ramai yang tidak tahu. Satu sahaja sebabnya. Sebab media Malaysia juga turut berkompromi dan mungkin juga takut dengan kecaman yang bakal berlaku apabila berita kebobrokan Hosni Mubarak ini dibocorkan. Sebab itu, diperingkat PAS sendiri mencabar agar “anak Razak” mengutuk kekejaman Hosni. Anda rasa berani tak dia? Huhu. Apa-apapun wallahu a’lam. Ini sekadar spekulasi saya sahaja. Kita tunggu dan lihat. Adakah cabaran itu berani disahut? Kembali kepada isu Mesir dan Tunisia.

Rakyat disana diuji dengan bermacam-macam ujian. Dengan huru haranya, dengan internet serta komunikasi telefon bimbit disekat, lebih kurang 5000 banduan terlepas dari penjara yang mana boleh menjejaskan keselamatan rakyat disana dan bermacam-macam lagi ujian. Memang wajar mereka berdemo. Hak asasi seperti ini tidak diberi kepada rakyat, ada hati nak memuaskan hati rakyat dengan kepimpinan anda wahai “si gi-pang(gila pangkat)”. Ya Allah, datangkanlah bantuan keatas rakyat disana Ya Allah dan moga rakyat disana tergolong dalam golongan yang berjihad menuju redhaMU Ya Allah.


Jangan takut sahabat-sahabat seperjuanganku di Mesir sekalian. Kalian lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kita berbeza sahabat-sahabat sekalian. Kita berjuang untuk menumbangkan kerajaan yang zalim. Kita bukan pak turut yang rela mendiamkan diri menjadi boneka dan mainan kerajaan.


Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956 yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Sheikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Sheikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Sheikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Sheikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Hosni Mubarak serta kroninya wajar kita lawan. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat. Saya kira cukup saya berbicara tentang Mesir kali ini. Dengan berbekalkan lampiran fakta sahabat saya yang telah saya edit, saya harap kalian sudah mendapat sedikit gambaran tentang peristiwa yang berlaku di Mesir.

ADUHAI NEGARAKU, MALAYSIA

Ayuh kita alih fokus kita dalam ruang lingkup Malaysia pula. Semalam kita digemparkan dengan demonstrasi yang berlaku di Masjid As Syakirin, dimana demonstrasi yang mensasarkan gabungan 2 matlamat. Pertama, menggesa supaya Hosni Mubarak turun dan yang kedua, menggesa kerajaan supaya membawa pelajar Malaysia yang berada di Mesir pulang. Sahabat-sahabat seperjuanganku di Mesir, inilah tanda keberjayaan kalian. Semangat kalian telah sampai ke sini. Dan juga, ini bukti kami bersama kalian.


Wahai pihak kerajaan, lupakan sahaja gagasan 1Malaysia mu. Kalian retorik dalam bergagasan. Di mana slogan rakyat didahulukan kebanggaan kalian. Mengapa lambat kalian mengambil tindakan? Kalian memang pelik. Mereka yang berdemo semalam menuntut perkara yang benar. Isu ini sama sahaja macam isu Palestin saya kira. Mengapa perlu dihalang? Mengapa "engkau" hantar FRU dan polis-polis untuk buat kacau sedangkan kami berhimpun secara aman. Ada juga yang ditangkap. Haish. Sah! Kalian memang pelik.

Lagi peliknya, masih ada pihak yang masih nakal mengambil kesempatan menaikkan harga minyak sedang mata rakyat bertumpu kepada isu Revolusi Mesir. Memang nakal. Hentikanlah kebobrokan yang kalian lakukan. Tidak puaskah kalian melihat ada golongan yang tertindas? Atau kalian memang seronok melihat ada yang tertindas? Sebab itu saya cadangkan, “engkau” lupakan sahaja gagasanmu. Buat sakit hati sahaja. Sudahlah. Saya sudah meluat untuk berbicara mengenai perkara ini.

Tapi buatmu pihak kerajaan, dalam daku menentang kebobrokan yang kalian lakukan, daku tidak pernah lupa mendoakan agar sama-sama kita diberi hidayah olehNYA agar kembali kelandasan yang benar lantas memacakkan Islam ditempat yang tertinggi di Malaysia, seterusnya di peringkat dunia. Sebab dalam Islam, tiada istilah penindasan. Dalam Islam juga tiada istilah kezaliman. Tetapi dalam Islam, kita berteraskan KEADILAN. Dan sebab itulah, ISLAM ITU ADIL UNTUK SEMUA.