Rabu, 20 Jun 2012

Rasa Susah Itu Sunnah...

Ketika menusia berada dalam jurang kesesatan yang sangat jauh, ketika itulah Nabi Ibrahim A.S diutus oleh Allah SWT. Tugas utama Baginda Ibrahim adalah mengajak kaumnya kepada kebenaran, menegakkan perkara ma'ruf dan mencegah perkara mungkar. Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajak kaumnya mentauhidkan Allah. Tetapi sayang sekali kaumnya menolak ajakan Baginda yang didakwa disampaikan dengan cara seruan yang sangat keras, tidak boleh diterima. Bahkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke ke dalam unggun api yang besar untuk membinasakannya. Setelah kenabian Nabi Ibrahim A.S berakhir, masyarakat semakin lama semakin bertambah menyimpang dari jalan yang lurus dan benar. Mereka kembali mengagungkan dan menyembah patung-patung, serta mereka lebih condong kepada kehidupan duniawi dan segala sesuatu yang bersifat materialistik.

Ketika manusia sedang berada dalam puncak kesesatan yang jauh, maka di saat itulah Allah SWT mengutus Nabi Musa A.S di Mesir. Saat itu jiwa penduduk Mesir telah membatu, bahkan jiwa mengeras ibarat lebih keras dari batu. Nabi Musa A.S berusaha mengajak mereka ke jalan yang benar. Nabi Musa A.S menegakkan tugas suci seorang Rasul yakni amar ma'ruf dan nahi mungkar. Beliau dan Nabi Harun A.S, saudara Baginda yang turut bersamanya mengajak manusia ke jalan yang lurus dengan susah payah dan penuh dengan tentangan serta penderitaan. Kedua-dua utusan Allah itu, terus bersabar saat menyampaikan risalah kenabian yang ditaklifkan di bahu mereka.

Tugas amar ma'ruf nahi mungkar bukanlah perkara yang mudah. Pastinya akan diuji dengan kesusahan dan ancaman. Tubuh Nabi Zakaria A.S pernah diancam dan dibelah menjadi dua menggunakan gergaji besi, kerana menyampaikan risalah dakwah. Demikian pula halnya dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa A.S, kedua-dua jiwa manusia mulia ini diancam bunuh, ketika mengajak kaum-kaumnya mentauhidkan Allah SWT. Meskipun demikian, tentangan yang dihadapi Nabi Muhammad SAW dari kaum Baginda sendiri lebih berat dan dahsyat, sehingga Baginda S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah R.A(mafhumnya):

"aku telah menerima tentangan dan ancaman dari kaummu dengan sangat keras"
(Sahih Buhkhari)

Tugas dakwah sememangnya berat dan mencabar. Begitulah juga lebih beratnya tugas dakwah yang dijalankan para Nabi dan Rasul, sejak Nabi Adam A.S sampai kepada baginda Rasulullah SAW. Tugas menegakkan dakwah, dan amar ma'ruf nahi mungkar sangat berat, dan memerlukan jiwa-jiwa yang sangat ikhlas dan sabar. Jiwa yang sanggup menanggung perit maung perjuangan. 

Perlu diketahui bahawa, sesiapa sahaja yang merelakan dirinya untuk mengembangkan tugas suci ini, hendaklah dia sentiasa menjaga dirinya untuk tsabat dan istiqamah. Sebab tugas suci ini memerlukan peribadi-peribadi yang teguh dan konsisten dalam menjalankan tugasnya. Bukan orang-orang yang mencari kehidupan dunia dan mengabaikan janji Allah SWT. Dengan kata lain, setiap mukmin perlu menjalankan tugas ini agar terpelihara imannya. Ini kerana, kaitan iman dan amal sangatlah dekat. Seorang mukmin tidak boleh mendiamkan kejahatan yang nyata dihadapannya. Seorang mukmin juga tidak seharusnya menilai kehidupan peribadinya terlebih dahulu berbanding dari kematian atau kerosakan umatnya.


Hendaknya, setiap mukmin sentiasa mengorbankan segala apa yang menjadi miliknya untuk menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Sebab, amalan ini membentuk kehidupan tersendiri bagi kualiti diri seorang mukmin. Setiap mukmin yang menjadikan iman dan dakwah sebagai sumber amalan di dalam hidupnya, maka ia termasuk dalam golongan yang menjaga lima maqasid syar'iyyah: "agama, akal, keturunan, harta dan nyawa".

Di zaman kini, untaian kata para pendakwah tidak ada lagi "atsar-nya" (kesannya) kepada manusia, ibarat membuang garam di tengah laut. Di kaca-kaca media, di tengah-tengah majlis ta'alim, dan pelbagai forum, kata-kata pendakwah seperti tiada bekasnya. Sia-sia. Seperti suara di tengah padang pasir. Ini disebabkan para pendakwah seumpama itu memiliki objektif peribadi dan kepentingan duniawi. Mereka bukan orang-orang yang ikhlas, tetapi para pengejar dunia dan menjadikan dunia tambatan kehidupan mereka. Mereka menggunakan agama sebagai kuda "tunggangan" untuk mendapatkan dunia.


Tidak hairan umat kini semakin jauh dari hidayah Allah SWT. Sementara itu, kesesatan, kederhakaan, kemaksiatan, serta pelbagai ragam dosa terus bertambah. Kerana pendakwah bukan terdiri dari orang-orang yang ingin menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, tidak ke kiri mahupun ke kanan (tiada pendirian yang teguh menegakkan kebenaran), tetapi berdiri di tengah-tengah manusia demi menegakkan mahligai bagi dirinya sendiri. Wallahu'alam.


Mutiara Kata, Fathullah Gulen

Khamis, 14 Jun 2012

Perginya Mutiara Tarbiyah - Ust Yahya Osman

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ 

"Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah perkampungannya dengan kampung yang lebih baik dan ahli keluarganya yang baik, suami isteri yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka"

"innalillahi wainna ilaihi raji'uun"

Pulangnya murabbi tarbiyah abnaul harakah, Ust Yahya Osman bertemu Rabbul Jalil. Sedih yang tidak terungkap dari kata-kata. Rasanya baru sahaja saya mendengar mutiara kata dari Allahyarham tahun lepas bersama sahabat-sahabat sebagai hadiah tamatnya kami dari matrikulasi UIA. Masih teringat saat saya disuruh Allahyarham kedepan untuk bertanyakan soalan. Masih teringat juga saat saya menyorong wheelchair beliau dan memayungi beliau ke rumahnya seusai memberi tazkiyatunnafs kepada kami di Darul Quran, Machang. Masih juga teringat pesan beliau yang cukup lekat dihati sehingga sekarang. Allahyarham, bicaranya selalu menekankan tentang solat berjemaah, soal halal dan haram dan sebagainya. Perkara yang cukup asas tapi sangat membekas dihati. Wallahi, sejak berjinaknya saya dengan perjuangan, setiap kali saya pulang ke kampung saya di Machang, Kelantan, selalu saya berniat dan berazam untuk menziarah beliau dan mendapatkan taujihat dari beliau.

kenangan bersama Allahyarham Ust Yahya Osman

Teringat kata-kata beliau:
"saya ni tuo dah. tak lama dah. kalu buleh, saya nak kongsi semua apa yang saya ada sebelum pergi"

Saya yakin, Allahyarham mahu melihat anak-anak muda jundi tarbawi menyambung perjuangan beliau. Saya yakin, Allahyarham sangat mengharapkan agar ilmu yang dicurahkan itu diamalkan.

Al Fatihah buat Allahyarham Ustaz Yahya Osman, Murabbi Tarbiyah PAS Pusat