Khamis, 6 Ogos 2009

Benar-benar Mengujiku...Diskusi Ilmi Jadi Pengubatnya

Sedang Malaysia hangat dengan gelombang demontrasi "Mansuhkan ISA" pada 1 Ogos baru-baru ini, teringat saya pada ayat 122 Surah At-Taubah yang bermaksud "dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak sebahagian dari setiap golongan diantara mereka pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali(memperdalam pengetahuan agama) agar mereka dapat menjaga dirinya". Walaupun niat ana ketika itu, begitu bersemangat untuk turun berdemonstrasi, tapi apabila direnung semula ayat Surah At-Taubah ini, Alhamdulillah saya semakin jelas dalam menilai aulawiyatnya.

Daku Dalam Dilema

Pada malam 31 Julai, setelah selesai mesyuarat, saya terima satu mesej dari seorang senior saya ketika saya membuat Persijilan Tahfiz di Darul Quran dahulu, Akh Marwan Bukhari, yang menyatakan keinginannya untuk mengajak saya ke UNISEL untuk menghadiri satu diskusi ilmi bersama Akh Fayshal dan murabbinya, Akh Nizam. Saya benar-benar dalam dilema ketika itu. Demonstrasi atau Diskusi? Kata Akh Marwan, beliau akan sampai ketempat pengajian saya, Universiti Islam Antarabangsa pada malam tersebut supaya dapatlah saya dan beliau bergerak ke UNISEL untuk menghadiri diskusi ilmi itu bersama-sama. Setelah dimaklumkan yang Akh Marwan telah tiba, saya bersama seorang sahabat saya, Akh Asyraf bergegas ketempat dimana Akh Marwan berada ketika itu. Sewaktu dalam perjalanan, sahabat ana Akh Asyraf melihat saya semacam lainnya. Seperti runsingkan sesuatu. Dia seolah-olah dapat membaca fikiran saya. Dia membisikkan pada telinga saya, "Surah At-Taubah ayat 122". Saya tersentap mendengar bisikan tersebut. Seraya terus teringat terjemahan ayat tersebut. Kini saya makin jelas menilai aulawiyat. Hilang terus dilema saya diragut dengan sepotong ayat Al-Quran yang cukup memberi motivasi itu. Terus pada ketika itu, saya telah membuat keputusan dan telah thabat dengan keputusan itu dimana saya memutuskan bahawa saya akan pergi ke UNISEL untuk berdiskusi. Setelah 4 minit perjalanan, bersualah saya dengan Akh Marwan dengan beberapa orang sahabat beliau yang lain. Saya dengan tanpa syak dan ragu-ragu lagi telah menyatakan persetujuan saya untuk mengikut beliau ke UNISEL pada esok hari. Beliau tersenyum manis..

Benar-benar Mengujiku

Kini, tibalah 1 Ogos.. Diriku diselubungi perasaan "excited". Tidak sabar rasanya untuk bertemu dengan seorang ilmuan muda yang makin menonjol ketika ini. Akh Fayshal atau dikenali dengan nama penanya "Rausyan Fikir" telah menetapkan tempat diskusi di UNISEL dengan niat untuk berasa aman sedikit dari kehangatan berdemonstrasi. Kami meninggalkan UIA tepat jam 11 pagi. Mengikut Akh Marwan selaku pengantara komunikasi kami dengan Akh Fayshal, kami akan bertolak ke UNISEL, Kuala Selangor. Kronologi perjalanan kami: KTM Pantai Dalam - KTM KL Sentral - KTM Sungai Buloh - UNISEL Kuala Selangor(menaiki teksi). Setelah tiba di UNISEL Kuala Selangor, timbul kehairanan dalam kotak minda saya. Saya hairan, mengapa Akh Fayshal memilih tempat yang sunyi sebegitu rupa? Mahasiswa UNISEL pada ketika itu sedang cuti. Jadi, memang sunyilah institusi pengajian itu. Semasuknya kami kedalam UNISEL, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat fardhu zohor. Setelah selesai solat, Akh Marwan telah mendapat makluman dari Akh Fayshal yang mengatakan beliau kini sedang menunggu kami di hadapan pintu dewan besar UNISEL. Mendengar berita itu, kami terus bergegas ke dewan besar. Hairan kami semua.. Apabila menghubungi Akh Fayshal, katanya beliau memang benar-benar sudah berada dihadapan dewan besar UNISEL tapi hairannya kelibat Akh Fayshal masih belum kelihatan. Sedangkan ketika itu kami memang betul-betul sudah berada dihadapan dewan besar. Sedang dalam keaadaan kehairanan, tiba-tiba kedengaran satu soalan dari salah seorang dari kami yang memecah sepi kami semua. "SEPATUTNYA, DISKUSI DI UNISEL KUALA SELANGOR ATAU UNISEL SHAH ALAM?" Kami kebingungan. Lantas Akh Marwan terus menelefon Akh Fayshal. Tergelak besar Akh Fayshal apabila mendapat tahu kami semua berada di UNISEL Kuala Selangor. Sepatutnya diskusi akan berlansung di UNISEL Shah Alam.. Kami hanya mampu tersenyum. Situasi ini sangat menguji kami..

Pengubat Rindu Kepada Ilmu


Akh Fayshal berasa simpati kepada kami. Oleh itu, atas budi bicara beliau, beliau telah menetapkan tempat diskusi yang baru iaitu di KL Sentral. Kami tersenym lebar mendengar berita itu. Disebabkan kecintaan kami pada ilmu, kami bertolak semula ke KL Sentral dari UNISEL Kuala Selangor. Kronologi perjalanan kami dari UNISEL Kuala Selangor: UNISEL Kuala Selangor - KTM Rawang - KTM KL Sentral. Akhirnya saya bersama-sama beberapa orang rakan berpeluang juga mengadakan diskusi ilmi bersama Abang Fayshal dan murabbi beliau, Abang Nizam. Diskusi tersebut telah diadakan di KL Central bermula pada pukul 8.45 sehingga 10.15 malam. “Persiapan dan Cabaran Pemuda Islam dalam Menangani Hegemoni dan Globalisasi” menjadi tajuk diskusi kami seperti tajuk yang telah direncanakan oleh Akh Marwan.

Kenapa tajuk ini?

Akh Marwan memilih topik ini untuk didiskusikan memandangkan isu sebegini terlalu jarang dibincangkan oleh anak muda Islam pada hari ini. Pada pandangan saya, agak mendukacitakan sekiranya zaman muda yang sepatutnya dihiasi dengan ilmu dan mencipta idealisme yang tauhidik telah dicemari dengan pelbagai krisis seperti hedonisme di samping sikap malas muda-mudi sendiri yang hanya menggemari isu-isu politik tanpa memahami secara mendalam apa sebenarnya masalah yang sedang berlaku.

Abang Fayshal telah menerangkan topik tersebut dengan baik dan sesuai dengan laras pemikiran kami yang masih belum sampai usia remaja. Beliau telah memulakan diskusi tersebut dengan menerangkan definisi hegemoni dan hegemoni di samping huraian yang menggabung jalinkan sejarah umat terdahulu dan juga umat era moden ini. Beliau juga sempat berkongsi beberapa pengalaman beliau sejak di bangku sekolah sehinggalah ke hari ini.

Selepas itu telah diadakan sesi soal jawab. Kami tidak melepaskan peluang tersebut dengan mengutarakan beberapa persoalan kepada beliau dan murabbinya, Abang Nizam. Saya telah mengajukan beberapa persoalan dan antaranya berkenaan kelompok libertarianisme yang semakin berani tampil di tengah-tengah masyarakat dewasa ini. Kelompok yang bergantung pada dahan pohon ‘Malaysian Tank’ ini merupakan adik-beradik kapitalisme dan hal tersebut telah diperakui oleh mereka sendiri. Agak mendukacitakan apabila mereka tanpa segan-silu telah menggunakan hujah-hujah agama untuk menyokong kegiatan mereka. Kepalsuan yang bersulamkan kebenaran.

Secara peribadi, saya berpuas hati dengan diskusi selama 90 minit itu meskipun saya sendiri mempunyai beberapa pandangan yang berbeza dengan kedua-dua tokoh tersebut.

Mari berdiskusi!

Sejak akhir-akhir ini, saya amat bersetuju dengan Akh Marwan kerana saya juga cukup berminat untuk berada dalam majlis sebegini. Berdiskusi dengan menyatakan pendapat dan pandangan yang ilmiah di samping menjadi pendengar yang baik terhadap pandangan orang lain.

Kalau kita kembali kepada sirah nabi saw bersama-sama para sahabat, nescaya kita akan menemui kisah-kisah perbincangan ilmu yang sentiasa hidup dalam kalangan mereka. Justeru, saya mengesyorkan cadangan untuk mencambahkan minat berdiskusi kepada anda supaya minda kita semakin maju di samping menjadi medan kita meluahkan fakta dan pandangan hasil uzlah kita bersama dengan buku-buku dan pengajian ilmu.

Bagi yang belum menyertainya, tunggu apa lagi. InsyaAllah, sekali berdiskusi anda nak lagi.

Terima kasih saya ucapkan kepada Abang Fayshal dan Abang Nizam yang sudi melayan kami tempoh hari. Ada masa, kita jumpa lagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan