Sungguh benarlah bahawa permulaan perjalanan menuju Allah SWT harus bermula dengan kebersihan dan kejernihan hati. Inilah titik bidayah kepada jalan menuju keredhaan Allah yang abadi di akhirat. Menurut al Imam Ibni Abi Jamrah, pendapat yang rajah ialah Nabi SAW dibelah dadanya 4 kali. Pertama; ketika Baginda masih kecil di dalam pemeliharaan dan penjagaan ibu susuannya Halimah as Sa’diyah rdh, kali kedua; ketika Baginda mencapai umur baligh, kali ketiga; ketika Baginda menerima wahyu dan keempat; ketika Baginda diisra’ dan dimi’rajkan.
Ketika berlakunya isra’ dan mi’raj, Rasulullah SAW sedang tidur di sisi Ka’bah dengan diapit oleh Saiyyiduna Hamzah dan Saiyyiduna Ja’far Ibn Abi Thalib radhiyallahu ‘anhuma. Ketika itulah datang malaikat membawa bekas emas yang terisi hikmah dan iman lalu dibelah dada Nabi SAW, dikeluarkan hati Baginda dan dicuci dengan air zamzam. Dibersihkan dari hati Nabi SAW karat hitam yang menjadi tempat duduknya syaitan bagi menyempurnakan tugas kerasulan agar bertindak menurut wahyu semata-mata. Kemudian bermulalah perjalanan agung tersebut dengan berkendenraankan buraq dan ditemani Jibril.
Di dalam hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah bahawasanya di dalam hatimu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh tubuh, jika rosak ia maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah bahawa itulah yang dinamakan hati”
Sahabat sahabiah sekalian,

Kecintaan kepada Islam dan istiqamah beramal dengannya adalah bermula dari hati. Pertama, hati yang mempunyai kemahuan dan yang kedua, hati yang dipilih untuk menerima curahan hidayah dari Allah SWT.
Firman Allah :
"Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya(membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang Yang tidak beriman"
Surah Al-An'am:125
Kefahaman terhadap ayat di atas ialah, rasa lapang dada, kemahuan yang tinggi untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan dan semangat perjuangan yang tinggi yang terlihat dari kader dakwah adalah kerana hati yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.
Di dalam peristiwa agung Isra’ Mi’raj, Rasulullah SAW telah ditunjukkan pembalasan Allah kepada ahli ketaatan dan ahli maksiat. Bilamana Baginda terhidu keharuman ruh para syuhada' yang syahid kerana mempertahankan aqidah seperti keluarga Yasir dan Masyitah, tukang sikat puteri Firaun, maka sudah tentu sekali peristiwa ini menjadi dorongan yang sangat kuat bagi para mujahid meneruskan perjuangan mereka. Yakin dan percayalah bahawa perjuangan kita tidak akan dipersiakan oleh Allah SWT.
Tanya hati dan diri kita, apa yang sebenarnya menghalang kita untuk aktif di arena perjuangan jika tidak kerana hati yang cenderung kepada kesenangan duniawi. Pupuklah hati dengan kesungguhan mujahadah di jalan Allah SWT. Moga-moga, ia akan memancarkan nur kemahuan dan kesanggupan yang tinggi untuk hidup mulia dan mati syahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan