Jumaat, 6 Mei 2011

Kukuh Aqidah, Sukses Harakah-2

Kesan tarbiyah bagi membentuk aqidah yang mantap dan “masak” di dalam jiwa pendokong agama Allah SWT telah menjadikan mereka senantiasa meletakkan kepentingan Islam lebih dari segalanya. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan peribadi mereka sehingga akhirnya nyawa dan darah, mereka persembahkan kepada Allah SWT.

“AbdurRahman bin Auf pernah menginfaqkan separuh harta miliknya pada zaman Rasulullah SAW, lalu dia menambah lagi dengan 40,000 dinar, lalu ditambah lagi dengan menyerahkan 500 ekor kuda dan 500 ekor unta yang majoriti hartanya ini
diperolehi daripada hasil perdagangan”

Apa yang dapat dilihat dari sikap AbdurRahman tadi adalah natijah dari madrasah tarbiyah nabi dan keyakinan beliau kepada janji Allah SWT. Kerana itulah mereka senantiasa mengutamakan kepentingan Islam walau dengan menginfaqkan separuh dari harta mereka demi menegakkan agama Allah SWT. Kesedaran bahawa dunia adalah barang pinjaman dan amanah dari Allah adalah menjadi sebab utama mereka tidak terpengaruh dengan dunia lalu mengutamakan Islam. Kita juga sudah maklum dan mengetahui bahawa, antara penghalang utama bagi para dai’e adalah nafsu dan cinta kebendaan. Jika kedua musuh ini kita tidak dapat nak atasi dan membiarkan ianya menjadi semakin kuat, maka tersangat mudahlah bagi para dai’e akan gugur di pertengahan jalan dakwah.

Meninggalkan kebendaan bukan bermakna kita tidak perlu berharta. Bahkan Allah sangat menuntut kita agar berharta. Tambahan, dengan berharta, kita lebih mudah untuk menyebarluaskan dakwah. Jalan menuju pahala juga bertambah dengan kita berharta. Mana tidaknya. Dengan berharta, kita dapat bersedekah, kita dapat melipat gandakan syukur kita pada Allah dan bermacam-macam lagi. Sungguh, saya amat terkesan dengan pesanan lecturer Religion In Malaysia yang mengajar saya sem ini. Bagi saya, beliau mempunyai jiwa murabbiah. Beliau bukan sekadar memberi ilmu tetapi bertindak juga sebagai guider menjadi seorang muslim yang praktikal. Pesan beliau, nak jadi seorang pelajar yang cemerlang, banyakkan bersedekah. “Sedekah”lah dengan penuh jiwa dan raga. Percayalah, “pulangan”nya pasti tidak akan terkira dan terjangka dek fikiran kita. Jazakillah Miss Nur ‘Adila diatas pesanan yang sungguh mendalam dan membangun hamasah.

Baik, kembali pada tajuk. Allah SWT telah menegaskan bahawa balasan bagi mereka yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi Islam adalah SYURGA. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚفَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” Surah At Taubah - 111

Inilah yang dikejar dan ingin direbut oleh mukmin yang yakin dengan janji Allah sehingga mereka tegap bersabar ditinggal berseorangan, dipulau, dipenjara, dipisah dari anak isteri dan pelbagai penderitaan lagi. Janji Allah inilah yang menjadi penawar kepada susah payah mereka dalam menelusuri jalan dakwah.

BERILTIZAM DENGAN KERJA-KERJA ISLAM

Kata Ustaz Fathi Yakan:
“Bila saya mengaku sebagai Muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jamaah , bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara yang benar-benar Islam”
-Maza Ya’ni Intimail Islam.

Inilah resam hidup seorang pejuang. Kemana pun dia pergi, walau dimanapun dia berada, Islam akan dijunjung dan dibangun pesatkan. Dia akan beristiqamah dengan jamaah kaum Muslimin dan bermujahadah menjauhi konsep nafsih-nafsih dan bersendirian dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Seluruh masa dan tenaga dicurahkannya untuk menjayakan cita-cita Islam. Terutamanya dalam memastikan tertegak dan terlaksananya sebuah negara yang “benar-benar” Islam. Dia akan memastikan dirinya tidak akan ada masa terluang tanpa kerja Islam. Dia tidak akan sesekali menjadikan kerja-kerja Islam ini hanyalah sekadar kerja bertaraf, “jika ada masa”. Setiap nafasnya, degupan jantungnya, aliran darahnya dan semuanya hanyalah kerana Allah dan Islam tercinta.

Dan ketahuilah bahawa kesungguhan ini hanya ada pada pemilik hati yang mendapat hidayah dari Allah SWT dan dipilih oleh Allah SWT. Sungguh benar, hidayah itu milik Allah SWT. Kita belum tahu lagi kesudahan hidup kita bagaimana. Su’ul Khatimah ataupun Husnul Khatimah. Amalan kitalah yang akan menentukan khatimah kita.

Kita bukan yang memulakan perjuangan dan bukan kita jugalah yang paling hebat diuji dalam perjuangan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan dengan celaan. Tidak usah kita mendabik dada mengatakan aku telah berjuang sedangkan kita tidak tahan ujian. Kekuatan aqidah kitalah yang menjadi pemangkin kepada jatuh bangkitnya kita.

Akhir kalam, saya yakin, jika Aqidah Kukuh, maka insyaAllah, Sukseslah Harakah. Sirah nabi telah banyak membuktikan kegemilangan Islam bermula dari keteguhan dan keutuhan aqidah. Saya juga akan tetap yakin bahawa tanpa kombinasi kesufian dalam harakah, kita tidak akan mampu mencapai ketamadunan yang ulung dan berkat. Wallaاu a’lam.

"if we study the past, it is to understand the present and
to prepare for the future"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan