Isnin, 29 Mac 2010

Monolog Diri, Apabila Diuji....

Tiba-tiba sahaja diri ini bermonolog...

Mengimbau perjalanan diri sebagai hamba Rabbi,
Teringat satu saat diuji,
Kadangnya seakan ingin mengalah dan menyerah diri,
Akhirnya jumpa juga daku, satu konklusi,
Rupanya daku sering terlupa,
adanya kasih sayang Rabbi setiap kali daku diuji.
Ya Allah,
kasih sayangMu,
benar-benar menyentap jiwa dan nurani,
Terima kasih Ya Rabbi,
Terima kasih kerana sudi untuk terus menguji.

Sahabat-sahabiah sekalian,

Kasih sayang Allah SWT tiada tolak bandingnya. Kasih Allah pasti membawa kepada kejayaan dan syurga berbanding kasih sayang manusia yang tidak semestinya membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan. Bahkan kasih sayang yang tidak bertempat akan membawa kehancuran dan kebinasaan.

Bila seorang ayah atau ibu mengasihi anaknya dengan cara yang salah maka akan terjadilah seperti yang dipaparkan oleh Tan Sri P. Ramlee di dalam filem ‘Anakku Sazali’. Sehingga untuk menegur kesalahan pun tidak tahu bagaimana untuk menyusun ayat agar tidak terguris perasaan si anak, maka inilah sebab kepada kehancuran anak itu. Bila tanda kasih adalah dengan mencurahkan kekayaan dan kemewahan serta menunaikan segala kehendak si anak, maka akan lahirlah anak yang sombong dan bongkak.

Allah SWT mencintai hambaNya dengan pelbagai cara yang sangat mengandungi unsur tarbiyyah dan didikan. Tidak ada makhluk yang paling dicintai oleh Allah SWT selain daripada Rasulullah SAW. Namun Baginda tidak pernah sunyi dari ujian, kepayahan dalam dakwah serta kesusahan dalam kehidupan. Adakah itu semua bermakna Allah SWT tidak mengasihi Baginda SAW?. Jawabnya sama sekali tidak!. Rasulullah SAW pernah ditawarkan gunung ganang Makkan ditukar menjadi emas lalu diberikan kepada Baginda SAW. Namun Baginda SAW telah menolak tawaran tersebut dengan penuh adab serta dengan ilham dari Allah SWT. Sebaliknya Baginda SAW memohon supaya dijadikan kenyang sehari dan lapar sehari. Semuanya itu adalah kerana Baginda mahu menjadi hamba yang bersyukur.

Dalam masa yang sama, Allah SWT mendidik sekalian hambaNya bahawa kesenangan hidup dan kekayaan harta bukanlah segala-galanya. Berapa ramai yang berputus asa dengan kehidupan dunia yang penuh tipu daya ini dan ramai jua yang telah tenggelam dengan mabuk dunia hingga hilang jati diri dan rosaklah kejernihan hati.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawasanya Allah SWT apabila mengasihi hambanya; maka Allah SWT akan menguji hambaNya itu dengan ujian serta musibah. Lalu sesiapa yang redha dan sabar, ia akan terpilih sebagai hamba yang sabar dan bersyukur di sisi Allah SWT. Terangkatlah ia disisi Rabbul ‘Alamin sebagai hamba yang muqarrabin dan dekat denganNya lalu layak dicurahkan rahmat dan keampunan dariNya.

Sabar dan redha dengan ujian Allah jua menjadi sebab kepada terhapusnya dosa dan terangkatnya kedudukan dan darjat disisi Allah. Semakin berat ujian maka semakin besarlah pahalanya dan semakin cerah peluang untuk dekat dengan Allah SWT. Rugilah mereka yang tidak diuji. Lebih besar kerugian bagi mereka yang tidak sabar dengan ujian. Dan jika hendak difikirkan, siapa kita untuk tidak diuji oleh Allah SWT? Renung-renungkanlah...

Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan